Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Selasa, 14 Oktober 2008

MUALAF MAHU BANGUNAN BARU TEMPAT BELAJAR AGAMA ( utusan malaysia )





Mualaf mahu bangunan baru tempat belajar agama


KOTA MARUDU 13 Okt. - Saudara baru yang mendalami ilmu agama Islam di Masjid At Taqwa di sini, menyifatkan kelas agama di situ sebagai 'jendela' untuk mereka melihat keindahan Islam.
Menurut mereka, melalui 'jendela' tersebut, golongan mualaf dapat melihat kebenaran dan keindahan Islam yang sebenarnya melalui ilmu yang diajarkan di situ.
Mereka yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini amat bersyukur kerana dibenarkan menimba ilmu agama di masjid itu dan pada masa yang sama tidak dikenakan apa-apa bayaran.
Bagaimanapun, rata-rata mereka amat berharap jika sebuah bangunan baru yang khusus untuk golongan itu belajar disediakan bagi memudahkan apa juga aktiviti yang dijalankan.
Salah seorang pelajar di situ, Aminah Abdullah, 45, dari Kampung Sasapot, Tandek, dekat sini, berkata, ketiadaan bangunan yang khusus untuk mendalami Islam menyukarkan aktiviti mereka.
Aminah mendakwa, keadaan di masjid itu akan menjadi terlalu padat dan kadangkala tidak dapat menumpukan perhatian ketika kelas agama sedang berlangsung kerana suasana yang bising.
Katanya, kelas agama di situ dijalankan secara serentak tanpa ada sekatan di antara satu kelas dengan kelas yang lain kerana pihak masjid tidak boleh berbuat demikian.
''Kalau ada sebuah bangunan khas dan umum untuk semua, keadaan akan lebih teratur, selesa dan memudahkan kami menimba ilmu,'' katanya yang nama asalnya Anci Modong.
Beliau berharap, pihak yang bertanggungjawab sedar akan masalah tersebut dan tidak membiarkan perkara itu berlarutan kerana bilangan mereka yang masuk Islam bertambah setiap tahun.
Aliza Abdullah, 67, dari Kampung Panitau, memberitahu, dia akan datang mendalami ilmu agama di situ pada setiap hujung minggu untuk memantapkan kefahaman Islam.
Katanya, sejak kelas pengajian dibuka hujung tahun lalu, banyak yang telah menerima manfaat daripadanya kerana sebelum ini, tidak ada kelas agama yang formal seperti itu.
Aliza yang sebelum ini dikenali sebagai Kalinsu Lau berkata, kelas agama tersebut seolah-olah sebagai tempat golongan mualaf di daerah ini bergantung untuk menuntut ilmu Islam.
''Sebelum ini, selepas lapan tahun memeluk Islam, saya tidak mempunyai tempat untuk belajar agama Islam dan tambahan pula bekas suami yang Islam sejak lahir tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar,'' katanya.
Menurut Aliza, dengan adanya kelas agama seperti itu, mereka yang baru memeluk Islam akan dapat dibimbing dengan ajaran asas dan seterusnya diberikan ilmu agama secara berperingkat.
Mohd. Yunus Majunas, 41, berkata, dia dimaklumkan bahawa sebuah bangunan baru untuk golongan itu akan dibina dan tapaknya pun sudah dikenal pasti iaitu bersebelahan masjid itu.
Beliau yang berharap dapat bergelar pendakwah bebas, memohon pihak kerajaan mempercepat proses pembinaan bangunan baru itu kerana sehingga kini tidak ada kerja pembinaan dijalankan.
Difahamkan, katanya lagi, kerja pembangunan di situ masih tidak dimulakan selepas Kerajaan Pusat membubarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS).
''Projek bangunan itu diluluskan ketika JPPS masih wujud dan sejak jabatan itu dibubarkan dan ditubuhkan Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), projek itu terus terbantut sehingga kini,'' katanya.
Mohd. Yunus berharap, kerja pembinaan akan dimulakan kerana golongan tersebut amat memerlukan bangunan tersebut meskipun masih belum ke tahap yang mendesak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi