10.10.2009, hari ini, pertemuan kali pertama antara staff-staff SAM bakal berlangsung. Sedar atau tidak, SAM telah mula berlari laju selepas perlahan-lahan merangkak dan berjalan sejurus selepas lahirnya. SAM kini mendapat tempat di kalangan pembaca khasnya anak-anak jati Kota Marudu yang prihatin terhadap pembangunan tanah tumpah darah mereka.SAM semakin berkembang dengan adanya kerjasama bersama utarafm yang dulu dikenali sebagai Ponetfm.
Melihat paparan utama KUBNET “ Mengimbau Kenangan Ponetfm & SAM”, membawa saya mengingat kembali sejarah penggabungan SAM dan Utarafm. Masih terngiang-ngiang di telinga saya akan suara DJ Rumputt ketika pertama kali mendengar radio online Ponetfm semasa berada di Ranau. Kemantapan suara DJ Rumput ‘menDJ’ membawa minda saya melihat lorong-lorong dan jalan-jalan yang cerah untuk Ponetfm asal saja radio online ini bersedia mengambilkira beberapa perkara .
Selepas 4 hari berhubung secara maya, saya bertolak dari Ranau ke Kota Marudu seterusnya ke Pitas semata-mata dengan niat membina satu hubungan bersepadu untuk kebaikan negeri Sabah. Pada awalnya, saya tidak memberitahu mana-mana rakan SAM berkaitan perkara ini atas sebab kunjungan saya ke Pitas bersifat SMS ( Suara Mualaf Sabah ) namun, kerana saya juga terlibat langsung dengan SAM maka saya telah menghubungi Sanguru agar sama-sama menghadiri pertemuan yang telah saya rancang lebih awal.
Inilah antara sejarah awal hubungan SAM dengan Ponet.fm yang kini dikenali sebagai Utara.fm. Hari demi hari kedua-duanya semakin membesar. Lalu, kita harus merenung dan mengimbau kembali titik mulanya hubungan ini agar kita tidak lupa menghargai setiap hubungan yang telah terbina. Hubungan ini amat besar makna dan kesannya untuk kedua-dua pihak. Justeru, setiap kita perlu sentiasa mengelak daripada mencalar dan sewajarnya menjaga hubungan ini agar hikmahnya bakal dirasai oleh semua. Jangan kita cemari hubungan ini dengan sifat-sifat mazmumah kerana ia bakal memusnahkan suatu hubungan. Hubungan ini perlu terus disemai dan dibajai dengan kasih sayang. Semoga SAM dan Utara.fm terus melakar sejarah untuk agama, bangsa dan Negara!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi