Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Ahad, 22 Mei 2011

Pengundi N5 Tandek dan MP Bandau.

Dia hanya dapat mempamerkan senyuman tawar dan sekali sekala bercakap. Selebihnya, hanya tangisan yang menyambut ketika saya bertanyakan hal-hal kebajikan dan batang tubuh pemimpin yang datang menjejak kaki ke rumah beliau. Dua tahun terlantar bukanlah masa yang singkat bagi seorang tua lumpuh dan berusia. 
klik cerita selanjutnya; http://www.suaramualaf.com/

Khamis, 19 Mei 2011

Web Suara Mualaf Sabah


Suara mualaf sabah, kini di kenali sebagai www.suaramualaf.com

Isnin, 16 Mei 2011

Suara Hati






Suara Hati Seorang Abang buat Adik.

Dedikasi buat;
Farah Ain dan suami
Masni dan suami
Jue dan Shukri
Isteri dan anak-anakku

Surat ini terlalu istimewa buat adik-adikku yang masing-masing sedang berjuang menuju satu destinasi dan cita-cita mengecap bahagia dunia sehingga barangkali telah lupa destinasi sebenar; hidup manusia; tempat paling aman dari kesengsaraan. Semoga kalian dalam keadaan baik-baik semuanya bersama keluarga dan kerjaya.

Mungkin ini bukan waktu paling sesuai abang mendatangi kalian . Pun bukan medium terbaik justeru menggunakan alam maya sebagai wadah interaksi dengan kalian. Maafkan abang kerana tindakan ini. Apatah lagi, surat ini terbuka umum sebelum sampai ke pangkuan kalian. Ketahuilah, abang tiada niat mengaibkan kalian, jauh sekali menjatuhkan maruah kalian yang kini, masing-masing sudah dewasa. Ketahuilah juga bahawa sebagai saudara tua kalian, abang ingin benar melihat kalian berubah sebelum antara kita terpisah oleh kematian.

Sengaja abang ambil ruang ini kerana abang sedar sesama kita jarang bertentang mata dan bertemu lutut di tikar tarbiah Masing-masing kita punya tanggungjawab pada keluarga dan tentulah kita masing-masing mengharapkan layarnya menuju bahagia. Terasa abang ingin mengulangi zaman kanak-kanak kita dan berharap ia diwarnai tegur sapa nan manja dan mesra. Namun, seingat abang kita tidak pernah punya suasana itu kerana seluruh hidup kita tertumpu perjuangan hidup. Inilah kenangan dan ingatan yang menjadi hadiah hidup kita bersaudara. Hampir 24 jam sehari kita dihidangkan dengan perjuangan mencari sesuap nasi semata-mata memastikan kepedihan ulu hati kita teubat dan sekurang-kurangnya teralas dan fizikal kita tidak bantut. Akibatnya, dunia kemesraan kita hanya berlegar di tin2 kosong dan angan2 permainan kita hanya melihat ruang Migaganak, Lolopong dan Tawos. Inilah kita. Biar kita simpannya sebagai sebuah kenangan.

Kini, mari abang bawa kalian ke alam dewasa agar kalian benar-benar berada di landasan sedar dan insaf. Sebagai abang yang sudah berada di zon petang, waktu pulang bila-bila masa akan menjemput abang . Pejamkanlah mata kalian, kemudian, tanyai hati , apa selama ini kita bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang kita terima atau tidak ? Tanyakan juga sebanyak mana ibadah yang telah kita lakukan setakat umur kita di alam dunia? Apakah benar, kita benar-benar telah mengikut seruan Allah atau sebaliknya? Abang tidak akan menghurainya kerana abang yakin setiap hati kita akan menjawab.

Bagi abang, sepanjang hidup, Islam yang kita terima inilah anugerah termahal . Kalian harus bersyukur kerana kalian lahir sebagai Islam, berbanding abang yang menerima Islam penuh dengan sejarah. Alhamdulillah, ibu dan ayah kita juga akhirnya menerima Islam. Terima kasih Allah, kerana menunaikan doa dan munajat hambamu. Kisah mereka pasti abang catat untuk dijadikan memoir berharga buat keturunan kita.

Jangan pernah lupa, adik-adikku. Dulu, hidup kita kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Hidup kita lebih mewah kini walaupun berbanding orang lain, kita jauh lebih miskin sebenarnya. Begitulah ukurannya andai kita guna pengukur dunia yang rakus dan lupa pada Pencipta. Inilah perkara yang abang takuti berlaku pada kalian; diuji nikmat, lalu mencintai dunia lebih dari akhirat sehingga meninggalkan segala suruhan Allah dan akhirnya tergolong dalam kalangan Islam yang hanya pada nama serta tidak peduli tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah. Na’uzubillahi min zaalik. Jangan tidak peduli adik-adikku. Kita takut, di akhirat kelak, kita tidak dipeduli Allah.

Ikhlas dari abang kalian.

Rabu, 11 Mei 2011

KEMBARA DAKWA



Kembara Dakwah ke Negara China pada Julai 2011 merupakan penutup kepada beberapa siri kembara sebelum ini. Namun, siri umrah kali kedua bakal diadakan dan ia melibatkan imam-imam qaryah dan juga bilal-bilal daerah Ranau. Kenyataan ini  diberikan sendiri kepada Cahayafm oleh Tuan Haji Safrin bin Karim dalam pertemuan baru-baru ini bertempat di kediamannya. Umum layak memberi penghargaan kepada individu-individu seperti beliau kerana kedudukan mereka sebagai sebahagian penggerak dakwah dalam masyarakat. Dalam perbualan, beliau menambah bahawa sekembali dari Kembara Dakwah Negara China serta sejurus  terlaksana Karnival Aidilfitri,  pembentukan AJK bertindak bagi merealisasikan pembinaan pondok di sebuah kawasaan yang telah dikenalpasti sesuai dijadikan pusat tarbiah bagi anak-anak Dusun bakal diadakan. Pewujudan pusat ini sekali gus akan menjadi mercu tanda kembara-kembara dakwah yang telah dilakukan.

Meskipun Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama telah wujud di daerah Ranau, tetapi  hanya individu atau murid yang memenuhi syarat serta layak sahaja yang dapat memasuki institusi ini. Justeru, individu serta saudara-saudara seislam yang tidak mempunyai sijil-sijil kelayakan serta dalam waktu yang sama memerlukan ilmu serta tarbiah Islam harus diambilkira keperluan mereka untuk memasuki mana-mana institusi. Adalah menjadi harapan agar  kewujudan pondok itu kelak  bakal memenuhi keperluan  golongan-golongan berkeperluan seperti mereka.

Tuan Haji Safrin turut menyebut beberapa nama yang terlibat dalam kembara sebelum ini termasuklah Tuan Hj. Rauf, saudara Mohd Ayub Jamirin, saudara Asmin bin Nasir serta beberapa individu aktif dan terlibat langsung dengan aktiviti-aktiviti dakwah di Ranau. Harapan beliau agar siri kembara  yang telah terlaksana bakal memberikan pengalaman dan ilham kepada semua yang terlibat sekali gus mempergunakan segala pengalaman itu dalam membangunkan Islam di Ranau. Ia sesuailah dengan tanggungjawab Tuan Haji Safrin sendiri sebagai Ketua Biro Ekonomi dan Kebajikan Badan Dakwah Ranau .

Pengalaman melihat pondok-pondok  yang  giat dibangunkan pejuang-pejuang agama di Indonesia sudah cukup membangkitkan semangat dan membuka minda para peserta kembara. Harapan Tuan Haji Safrin agar gabungan kekuatan tenaga, fikiran, ilmu, kewangan serta apa jua yang dilakukan oleh semua pihak untuk agama Allah tanpa berhitung kira atau mempolitikkannya mudah-mudahan  dinilai Allah sebagai kebaikan. Sebagaimana Allah mengamanahi beliau dengan kekayaan, maka, seperti itu jugalah menjaga kebajikan agama, turut dilihat beliau sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilakukannya sebelum ajal.

Di akhir pertemuan saya dengan beliau, sempat saya mengimbau kisah-kisah beliau sebelum dan selepas kaya. Sebagai individu Islam serta sahabat, tegur-menegur dan saling ingat-mengingatkan untuk kebaikan itu adalah kewajipan. Sewajarnyalah  kita memberi sokongan terhadap usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Tuan Haji Safrin.

Ahad, 8 Mei 2011

Setapak Lagi



Janathan Kandok


Tn. Hj. Saprin Karim

Daripada maklumat yang diterima, penduduk daerah Ranau kini menghampiri 90 ribu orang dan 46% daripadanya beragama Islam. Inilah hasil dakwah berterusan pelbagai pihak  yang mulanya dipelopori Mandur Syarif kemudian bersambung dengan usaha para penggiat dakwah secara berkumpulan atau sebaliknya. Semalam di Rest House Lohan, sebelum Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau bermula, saya sempat bersembang dengan Tuan Hj. Safrin Karim tentang perkembangan terkini Cahayafm kerana mengambilkira kedudukan beliau sebagai penasihat Cahayafm

Menariknya, dalam perbualan itu, beliau secara jujur memberikan jawaban terhadap apa yang saya persoalkan tentang perkembangan dan maklumbalas masyarakat terhadap Cahayafm dengan menyatakan bahawa kebangkitan dan kesedaran dalam melihat keperluan dan kepentingan dana untuk aktiviti dakwah  bukan tidak ada dalam diri individu Islam, bahkan kalau mereka dihidangkan dengan pelbagai info dakwah mereka sememangnya mahu mendengar malah kelihatan sangat bersemangat. Namun, bila masuk bab ‘KOS’, kebanyakan orang-orang kaya bersikap lewa dan agak berkira bahkan ada juga yang liat memberikan sumbangan. Akhirnya,  proses dakwah yang sepatutnya digerakkan dengan cepat terbantut begitu sahaja malah mati tanpa meninggalkan kesan rasa berdosa atau sekurang-kurangnya rasa bersalah di hati orang-orang berkemampuan.

Demikian, pandangan Tuan Haji Saprin Karim terhadap topik bualan malam itu. Beliau yang baru balik dari Kembara Dakwah bersama rombongan Keluarga Mesra Ranau  juga akan ke negara China pada Julai ini untuk melihat sendiri bagaimana Islam dihayati dan diamalkan  oleh umat Islam China. Program kembara ini turut bertujuan agar mereka  yang  terlibat benar-benar membuka minda selepas ini sekali gus memikirkan bagaimana dakwah dapat diaplikasi dan dikembangkan  secara lebih  berkesan dalam masyarakat Dusun.

Alhamdulillah, dalam mesyuarat ini Cahayafm telah dijadikan sebagai penyiar rasmi kepada Program Karnival  Aidilfitri kendalian Badan Dakwah Daerah Ranau dengan kerjasama Keluarga Mesra Ranau. Program ini turut diterajui oleh beberapa orang pemimpin berkaliber. InsyaAllah, Cahayafm bakal menemubual mereka dalam waktu terdekat. Sebagai radio online yang membawa jenama islamik, Cahayafm telah diberi ruang bersuara dalam mesyuarat tersebut. Mewakili Cahayafm, beberapa pandangan  telah  saya sampaikan dan seperti biasa, saya sekali lagi mengajak dan mencabar pihak-pihak berkaitan agar sama-sama bekerjasama serta menggunakan media ini secara maksimum agar  seluruh info dan perkembangan semasa dakwah dapat disebarluas serta dikongsikan bersama dengan  pelayar-pelayar  internet seantero dunia.

Sehari sebelum kembali ke Ranau, saya sempat berhubung dengan peneraju sebuah persatuan mualaf  Dusun Kimaragang ,saudara Janathan Kandok. InsyaAllah, beliau memberi lampu hijau untuk satu pertemuan bersama Cahayafm.  Pertemuan ini diharap akan berlaku dalam masa terdekat. Cahayafm juga dalam perancangan untuk ke Melaka bagi mendapatkan buku-buku Panduan Solat dan Quran yang disumbangkan oleh seorang hamba Allah untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Dusun Islam. Pun, semua ini bergantung kepada kos. InsyaAllah, pencarian dana akan kita anjurkan selepas ini untuk menampung kos pengambilan dan penghantaran Quran dan buku-buku yang diberi percuma oleh dermawan tersebut kepada individu-individu berkaitan.  Kepada orang-perseorangan yang ingin sama-sama beramal jariah bolehlah berhubung terus kepada Cahayafm.

Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau

Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau bertempat di Lohan Rest House. Antara agenda perbincangan termasuklah Sambutan Hari Raya Aidilfitri besar-besaran yang bakal menghimpunkan 10,000 umat Islam dari 130 buah kampung. Perincian program ini akan dibuat dalam waktu terdekat. Perkembangan program akan diwar-warkan melalui Cahayafm dari masa ke masa. Cahayafm merupakan penyiar rasmi bagi program ini.




Isnin, 2 Mei 2011

Terima Kasih



“ Jangan sesekali nafikan sumbangan dan keterlibatan setiap individu dalam perjuangan Islam”. Kata2 ini masih segar di telinga saya.  Ia kata-kata seorang pendakwah yang konsisten bergelanggang dalam dunia dakwah sejak zaman mudanya  hinggalah kini. Beliau yang saya maksudkan ialah ustaz Abdul Halim Abbas. Selain disarati pengalaman dan ujian dalam dunia dakwah, beliau turut mengongsikan pemikirannya dalam beberapa buah buku tulisannya. Salah satunya bertajuk; Bagaimana Menjadi Wali.

Kata2 yang dibekalkan beliau suatu waktu dulu kepada saya cukup singkat dan jelas. Namun, apa yang mendorong  saya  untuk menyegarkan semula  kata2  itu dalam tulisan ringkas saya kali ini adalah susulan pos saya yang  mengundang komen beberapa sahabat, antaranya sdr. Rafidi, Azman, Khobil, Rosnani, Raja Chulan dan Datuk Masidi. Justeru lontaran idea para sahabat menarik untuk diperkembangkan, maka saya kongsikan tulisan ini. Moga2 ia mendatangkan kebaikan.

Kata2 sdr.Rafidi tidak dinafikan kebenarannya. Nyatanya, memang ada individu2 kaya dan jutawan Islam yang benar2 berada dalam zon yang diperkatakan sdr. Rafidi.  Wujud mereka dengan sikap kedekut, haloba, sombong dan gila dunia. Namun, barangkali kita lupa bahawa orang2 kampung yang tidak punya apa2 juga bersikap seperti itu; sombong, tidak mahu belajar, gila dunia, takbur hingga tidak solat malah kedahsyatannya sehingga orang2 lama menggelarnya; bodoh sombong. Namun, kerana orang2 kaya dilihat besar maka, sikap demikian seakan-akan berdampingan dengan mereka saja sehingga cop2 kurang baik semuanya kita lempar ke orang kaya. Seharusnya, kita adil dalam memperkatakan perkara  ini. Saya percaya kita masih ada doa untuk mereka  agar hati mereka lembut dan mendapat kesedaran atas keterlanjuran mereka bersifat rakus, tamak dan sebagainya.  Pun begitu, sikap2 sombong seperti itu ditegur Allah secara jelas dalam Quraan. Firaun misalnya, ditegur melalui Nabi Musa. Ksah-kisah tentang semua jenis manusia boleh didengar melalui Tafsir Quran 24 jam di Cahayafm.

Tukang2 kebun, petani2, nelayan2, pegawai2 kerajaan, guru2, ahli2 koperat, YB2, menteri2 dan semua peringkat kedudukan yang menyumbang dalam perjuangan Islam baik berbentuk fikiran, tenaga, wang ringgit, makan minum dan apa saja pastinya mereka layak kita sebut2kan nama2 mereka di lingkungan kita. Namun, ia tidaklah bermaksud kita tidak boleh menegur mereka bilamana mereka berbuat silap, malah wajib ditegur mengikut kemampuan kita masing2 agar kesilapan yang mereka lakukan tidak berterusan. Inilah namanya DAKWAH. Bukan saja sakit diterima penerima, bahkan penyampai juga rasa sakit sebenarnya. Mengapa tidak?  Ia bukanlah semudah membuka mulut di saat kita menerima kebaikan dari mereka kemudian tiba2 kita tarbiah saat terpesongnya dia. Hakikatnya, inilah ikatan yang dinilai sebagai persahabatan malah lebih dari itu sebenarnya kerana kita semua saudara seislam.

Ada keburukan yang wajar kita sembunyikan pada pengetahuan awam. Kita dilarang membuka  aib seseorang tanpa bukti yang jelas atau tidak cukup syarat misalnya tidak bersaksi. Namun, perlanggaran seseorang  dalam menjaga maslahat awam seperti keterlibatannya dalam mendirikan kilang2 arak, judi dan maksiat itu wajar dihebahkan kepada pengetahuan umum kerana ia melibatkan kepentingan dan maslahat awam. Secara jelas, perkara ini boleh dirujuk ke mana2 guru agama agar kita lebih faham keadaan ini. Larangan memuji-muji kebaikan seseorang di hadapan orang2  berkaitan juga ada hikmahnya. Bagaimanapun, di belakang mereka, kita dibolehkan memuji .

Sepanjang keterlibatan saya dalam dunia dakwah, ramai individu yang secara langsung menyokong dan melibatkan diri sehingga saya tidak mampu menyebut nama2 mereka satu persatu. Dengan izin Allah, walaupun sebelum ini nama2 mereka telah beberapa kali saya tulis dalam artikel2 pendek namun, bagi saya tidak rugi jika nama2 ini saya ulangtulis sekali lagi  antaranya;  semua deejay Cahayafm, penyokong, pendengar, Datuk Masidi, Hj. Saprin Karim, Datuk Tawfiq, Syed Abbas dan wakil2 rakyat di kawasan  program2 dakwah yang kami jalankan. Selain itu, pihak USIA, Jheains, JAKIM, YADIM, ustaz2, ustazah2 dan orang perseorangan yang tidak dapat saya sebut nama2 mereka satu persatu. Mudah2an kalian semua terus istiqomah di atas kebaikan yang kalian lakukan untuk Islam. Hanya Allah yang lebih tahu menilai kebaikan semua pihak.

Terima kasih semua yang terlibat.