Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Sabtu, 31 Disember 2011

Penafian SMS


Oktober 2008 adalah detik mula SMS menggunakan blog sebagai media penyampai Suara Mualaf Sabah kepada pihak-pihak berkaitan selain akhbar kemudian disusuli Radio Online Cahayafm, facebook dan youtube. Semuanya dibuat dengan harapan pihak-pihak berkaitan mengambil peduli sekali gus mengetahui pelbagai permasalahan mualaf di Sabah. 

Tidak terniat malah bukan tujuan SMS mengaibkan mana-mana pihak dengan pendedahan pelbagai permasalahan bahkan SMS sedar telah wujud individu-individu atau team dalam organisasi atau jabatan berkaitan yang berperanan dalam mengurus hal-hal mualaf. Tetapi, SMS percaya bukan semua permasalahan mualaf sampai ke telinga pihak-pihak berkaitan dan jika sampaipun, ia bersifat politik semasa yang sifatnya kurang telus. 

Tukaran tahun 2012 ini, SMS berharap kepada sesiapa yang inginkan maklumat langsung , silalah berhubung terus dengan SMS tanpa melalui sesiapa kerana SMS tidak pernah mewakilkan mana-mana individu kecuali seorang dua yang telah bermula bersama-sama SMS sebagai rakan kerja sejak 2004. Penafian ini bertujuan supaya nama mualaf tidak diperdagangkan dan dijadikan lombong wang apalagi mengaitkan nama SMS sendiri. 

Sementara pelajar-pelajar yang inginkan bantuan penyelidikan daripada SMS dan tidak tertunai, SMS mohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat murni kalian atas kekangan peribadi SMS. SMS sarankan agar pelajar terlibat terus berjumpa SMS jika berkesempatan. Semua artikal dan gambar berkaitan , boleh kalian ambil untuk tujuan penyelidikan. Namun, SMS mohon agar bahan-bahan ambilan ini diletak link sumber Suara Mualaf Sabah atau laman-laman berkaitan.

Youtube Aldusuni



Himpunan pelbagai youtube Aldusuni ; Melihat rakaman yang ada, sudah tentu terlihat ombak nafas dan suara mereka dalam rakaman tersebut. Kesemua rakaman yang anda tonton, adalah pengalaman dan keterlibatan saya secara langsung dalam perjalanan dakwah, sementara yang berkait dengan politik itu adalah suara hati mereka yang saya lihat perlu dikongsi bersama sebagai ilmu dan salah satu medium mewujudkan pusat ilmu bagi mereka. Akhirnya nanti, ia memberi keuntungan pada Islam sendiri. Mana-mana pihak yang mahu membantu, sila berhubung dengan saya untuk membawa anda terus ke pihak berkaitan ( seperti dalam rakaman).


Jumaat, 23 Disember 2011

Ahad, 11 Disember 2011

Selasa, 6 Disember 2011

Jangan Lupa



Pelbagai tafsiran dan bacaan yang mereka fokuskan kepada saya malam itu. Nampaknya Anuar Ibrahim sangat mengecewakan malam itu. Begitu juga mereka yang buta politik. Saya hanya dilihat seorang pada malam itu. Benar. Tapi, mereka lupa dan tidak melihat mereka yang di belakang saya ada ribuan yang saya temui setiap bulan. Kita tunggulah, siapa pemimpin Malaysia yang berani beri jaminan kepada mualaf selepas ini.

Cerita lanjut;

Isnin, 5 Disember 2011

Tuntutan mualaf




Ringkasnya, dalam kapasiti SMS, SMS mohon agar kalian sempurnakanlah politik kalian kepada kelompok mualaf, bukan memolitikinya. Cukuplah menggunapakai kelompok ini untuk kepentingan sendiri dan menamainya politik. Tugas politikus sejati adalah mengatur dan mengurus rakyat sebaiknya . Bagi kelompok ini, fikirkanlah pendidikan mereka khususnya dan umat Islam umumnya. Pada SMS kerja-kerja dakwah kita belum cukup berbanding suara-suara politik politikus yang dihambur-mambur ke masyarakat.

Akan datang; Tuntutan mualaf kepada kerajaan sejajar pengorbanan golongan ini.


Rabu, 30 November 2011

Khamis, 24 November 2011

USIA

USIA. Antara nama pertubuhan yang dilihat telah sama-sama menyempurnakan perjuangan Islam di Sabah. Anggap saja tulisan kali ini sebagai kilasan perjuangan Islam yang tidak ditulis dalam mana-mana buku, jauh sekali menjadi nota penting dalam sejarah. Jika dianalogikan sebagai makanan, maka lumrah manusia suka memilih makanan berinti sedap . Catatan ini mungkin sedikit tepat kalau SMS istilahkannya sebagai inti terlebih rasa lalu dibuang kerana ‘dirasakan’ tidak sesuai menjadi inti . Tapi, dalam keadaan sebenar, inti tetap inti, walaupun rasanya pahit. Begitu juga hidup. Sepanjang umur kita, tidak mungkin kita simpan sebahagian kisah dan membuang yang sebahagian lagi kemudian menganggapnya tidak pernah berlaku sekalipun perjalanan kisah itu pahit. Untuk rekod ingatan sekurang-kurangnya, kita tetap ambil dan iktiraf kesemua yang berlaku pada kita sebagai pengalaman. Justeru, apa yang SMS tulis selepas ini terpulang para pembaca mencanainya. Apa selayaknya perkara ini dikubur saja kerana menerimanya sebagai hakikat sangat pahit. Dan, kita biarkan diri kita terus lena diulit dan diselimuti gambaran dan rekaan manis justeru itu lebih melegakan banyak pihak.

Dalam memperkatakan hal ini, sila kita baca kisah para nabi dan rasul serta para sahabat. Dalam perjuangan mereka menegak dan menyebarkan syiar Islam, pasti kita temui kisah hitam. Bukan semua perjalanan perjuangan yang mereka tempuhi manis-manis belaka. Mereka pernah kalah dan kecundang dalam pertempuran jihad, ditawan, diseksa, dipulau, dikejar, dikepung malah pelbagai peristiwa dan kisah pahit mereka lalui. Dalam perang Uhud yang hampir dimenangi juga mereka kalah terkesan kerana tidak hiraukan perintah Rasul selain hambatan rasa tamak yang mendesak mereka berebut harta rampasan perang. Meski berada di zaman Rasulullah sekalipun, nafsu para muslimin tidak mudah dikawal kerana mereka juga manusia biasa. Bandingkan pula kita yang hidup jauh dari zaman baginda, tentulah lagi banyak khilafnya. Jadi, siapa kita untuk membuang pahit manis hakikat perjuangan? Terimalah, siapa tahu kita menimba banyak ilmu dan pengajaran sekaligus belajar selok belok berjuang melalui pengalaman-pengalaman seperti ini.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Korban


 Ketua Pemunda UMNO Tenom


 Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu

Ucapan terima kasih kepada saudara Jamawi Jaafar yang tidak putus-putus menyokong dan memberi sumbangan untuk program melibatkan mualaf khususnya  di Utara Sabah. Terkini, seekor lembu disumbangkan beliau dan InsyaAllah, bakal meraih senyuman pada wajah ikhwan mualaf di pagi Aidiladha.

Ucapan terima kasih juga kepada Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Datuk Wetrom@Mohd. Fikri kerana turu menyumbang seekor lembu sempena Aidiladha, tahun ini.

Untuk makluman,  fokus pengagihan daging korban yang kami kendalikan  adalah tempat dan suasana yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang-orang mualaf yang agak jarang merasa daging korban.

Kepada sahabat FB yang ingin bersama dalam program ini, anda masih boleh mengambil bahagian dengan pakej seekor lembu berkongsi 7 orang .

Sabtu, 1 Oktober 2011

Selasa, 27 September 2011

Jawaban SMS


Datuk Masidi Manjun


Datuk Sairin Karno


Juhari Janan
JUHARI JANAN
Salam sdra, apa kah setiap Persatuan perlu di Lantik Senator? Tdk ka kita boleh berdakwah tanpa jawatan dlm Kerajaan. mau disebut YB Senator atau kita berdakwah kerana Allah semata mata. kalau melihat org Dusun dalam Kerajaan BN YB Dtk Masidi Manjun Menteri Berbangsa Dusun Islam.Dtk Hj Sairin Karno Pembantu Menteri Berbangsa Dusun Islam Dan mereka ini juga boleh bersuara dgn masalah yg dihadapi oleh mualaf. Renung renung kan

......selamat beramal....

ULASAN SMS


Alhamdulillah, setakat hari ini dalam pengetahuan SMS baru Sdr. Juhari Janan ( JJ ) yang memberi respon tentang hal ini. Saya ucapkan terima kasih pada saudara.

SMS ingin bertanya pada JJ berkaitan senator-senator sedia ada, apakah mereka mewakili persatuan ? Jawabnya tentu tidak,dan itulah yang SMS tahu sepertilah EZAM MOHD NOR. Kalau SMS ditanya secara peribadi berkaitan perlukah setiap persatuan dilantik senator , maka jawaban SMS tidak perlu. Kecualilah persatuan yang ada benar-benar kelihatan bekerja dan berfungsi. Kalau hanya sekadar namanya persatuan, maka lebih baik dilantik mereka yang di luar persatuan. SMS bukanlah persatuan. Tidak juga terlibat dengan mana-mana persatuan mualaf tapi SMS berdamping para mualaf hampir 25th dan bekerja untuk mereka. Barangkali ada yang bertanya kenapa SMS tidak ikut saja persatuan yang ada? SMS sebelum ini pernah dipelawa sebuah yayasan yang meniti atas nama mualaf. Malangnya, pihak peneraju yayasan menjadikan pentas mualaf sebagai kepentingan politiknya sedangkan dia tidak bekerja ke arah membela nasib para mualaf.

Berdakwah kerana Allah itu benar. Tapi, benarkah kalian melihat kemunculan para mualaf ke dunia Islam ini sungguh-sungguh kalian lihat kerana Allah ? Ikhlaskah kita membiarkan mereka hanya dengan memberi wang zakat ketika menjelang Ramadhan sedangkan terus-terusan saja hidup mereka dihimpit? Jikalau dua individu yang JJ sebutkan itu mewakili suara para mualaf, sudah berapa kali mereka menyuarakan hal mualaf di peringkat negeri dan negara sejak mereka menjadi wakil rakyat? Walaupun mereka lahir dalam suku bangsa Dusun namun mereka lahir dalam Islam dan tidak melalui kehidupan seorang mualaf. Lagipula, posisi mereka bukan hanya wakil rakyat untuk memperjuangkan mualaf saja. Senator yang SMS maksudkan itu adalah senator yang benar-benar dilantik mewakili para mualaf dan hanya akan bercakap tentang hak-hak dan kebajikan para mualaf.

Renungan;
Sepatutnya bukan hanya Masidi dan Sairin saja yang menyuarakan perihal mualaf tetapi keseluruhan umat Islam patut bersuara dan membela mereka. Benarkah kita telah berdamping dan mendekati mereka ? Kalau benar, kenapa pemurtadan di kalangan kelompok ini masih berlaku ? Renung2kanlah.

Isnin, 26 September 2011

Menanti Jawaban



Kepada,
Perdana Menteri Malaysia,
Ketua Menteri Sabah,
Wakil Rakyat Beragama Islam,
Persatuan-persatuan Mualaf,
Pemikir Islam,
Individu Islam.

Assalamualaikum.

Dengan ringkasnya, di mana juga kalian berada ketika ini Suara Mualaf Sabah sekali lagi ingin menarik perhatian kalian, agar memikir dan mendalami gagasan dan permintaan kami kaum mualaf. Termasuk kenyataan ini, sudah kali ke-empat permintaan serupa ini kami lontarkan. Pun, sehingga kini, kami belum menerima sebarang reaksi berbentuk ulasan atau maklumbalas dari pihak kalian, apa lagi memanggil pihak kami untuk membincangkan kewajaran permintaan kami agar pihak kalian  melantik seorang senator dari kalangan para mualaf.

Kami berasa dengan kekerdilan dan ketiadaan kuasa politik pada kami, maka dengan cara maya sebegini sajalah kami bisa menyuarakan perkara ini, apalagi pintu-pintu pihak kalian terlalu gah dan jauh untuk kami kunjungi. Pun juga, jikalau kalian berada di sekitar kami, kami tiadalah bertempat dan menerima kerusi dan meja istimewa tanda keberadaan kami di sisi kalian. Meski  ada waktu sebahagian golongan kami berada di meja-meja bersama kalian tetapi itu adalah protokol atas sebab mereka menjawat jawatan awam. Seringkali bahkan biasa, kalian tidakpun mengambil perhatian kewujudan mereka.

Suara Mualaf Sabah mohon agar kalian memberi jawaban jujur atas permintaan ini. Permohonan ini bukan hanya sekadar kewajaran bahkan keperluan agar keterabaian yang berlaku pada golongan kami dapat dikhabarkan secara tepat, agar hak-hak kami tidak diperkecil-kecil dan diperlambat-lambatkan.  Agar juga agenda-agenda berkaitan pendidikan, ekonomi, politik, pembangunan insan dan seumpamanya terhadap golongan kami diperbincang sebagaimana adanya kami.

Kewujudan kami jika diperhalusi dan dibincangkan, dijadikan agenda negara dan negeri tidak akan merugikan sesiapa bahkan secara totalnya bakal menguntungkan dunia Islam. Apa kalian tidak melihat potensi ini? Kalian bukan saja berbakti di dunia bahkan sahamnya pasti dihitung Allah hingga ke akhirat. Kami melihat jelas perkara ini. Silalah beri ruang pada kami dan kami bersedia memberitahu kebenaran maksud kami.

Akhir sekali, jika kalian berasa permintaan kami ini tidak wajar dan tidak penting, silalah respon perkara ini secara meluas; melalui siaran akhbar, TV, halaman sosial kalian atau apa cara sekalipun hebahannya agar golongan mualaf secara umum dapat menerima berita dan mengetahui jawapan kalian.

Jika golongan OKU, artis, orang asli serta individu-individu yang menyumbang fikiran juga yang berpengaruh dari sudut pengimbangan ( jalan ambil hati ) kalian lantik kerana kepentingan mereka, mengapa pihak kami tidak boleh meminta wakil dari kalangan kami?

Kepada pihak-pihak berkaitan yang terpanggil dan melihat permintaan kami ini tidak patut bahkan berlebih-lebihan hatta merugikan mana-mana pihak, silalah juga beri ulasan melalui saluran yang sama, agar kami tahu. Namun, jika pada pengamatan dan pemikiran kalian melihat ada kewajaran dan keperluan permintaan ini dibuat, maka kami juga mohon agar kalian memasukkan permintaan kami ini sebagai agenda perbincangan di peringkat kalian atau paling tidakpun masukkan perkara ini dalam fail timbul kalian.

Jika tidak dilihat sumbang, Suara Mualaf Sabah mengalu-alukan pertemuan empat mata kepada sesiapa saja yang berkait nama dan jawatannya di atas. Justeru, itulah jalan terbaik agar mudah bagi kami memperjelaskan kerasionalan tuntutan kami.  Kepada pengamal media massa, para wartawan, penulis-penulis blog, facebook, pensyarah politik khususnya, kami mohon agar kalian menyalin kenyataan ini jika mahu membantu kami ( Golongan Mualaf ) memperluaskan hebahan ini hingga ia sampai ke telinga PM.

Sekian. Terima Kasih
Suara Mualaf Sabah ( SMS )

Nota;
SMS bersedia berada di mana-mana pentas untuk menyatakan secara langsung perkara ini. Jika ada pihak-pihak berkaitan yang bermurah hati menganjurkan program perbincangan untuk hal ini, SMS sangat bersetuju. Silalah berhubung.


Selasa, 6 September 2011

Mari Berdakwah


Bila sebut dakwah, fikiran biasa akan terfokus kepada dakwah yang disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz, ustazah, para alim dengan terampilan berserban, berkopiah,  berjanggut dan bertasbih. Kemudian, terbayang wajah  bertompok  hitam dahinya, hafaz Quran dan hadis dan tempat tinggalnya di rumah buruk nan tiada punya apa-apa, jauh sekali memiliki  kereta.

Namun,  kefahaman ini perlu diluruskan agar konsep dakwah lebih luas sehingga siapapun kita, kita masih dilihat sebagai pendakwah, sesuai dengan maksud kejadian manusia yang dicipta Allah sebagai khalifah di muka bumi. Maka, orang yang tidak berlatarkan pendidikan agama dan tiada tampilan kebiasaan yang kita persepsikan sebagai pendakwah asal saja menyeru dan membawa manusia kepada kebaikan juga  sebenarnya adalah pendakwah.  Justeru, setiap kita tidak punya  alasan untuk cuba lari dari menjadi  daie atau pendakwah.

Persoalannya, bagaimana supaya kita yang tidak termasuk dalam persepsi umum seorang pendakwah turut sama bertanggungjawab menjadi daie sedang keberadaan kita hanyalah  sebagai seorang petani atau peladang atau penternak? Bahkan sebenarnya ia lebih mudah berbanding kedudukan seorang ahli agama yang kadangkala  terpaksa mencari sumber rujukan ketika memperkatakan perkara yang hendak diceramahkan. Jika anda Sang Petani, bukankah mudah membuat kebaikan ketika  anda menyempurnakan tanggungjawab anda menjadi penyampai suatu program keagamaan yang anda ketahui bakal berlangsung di tempat anda lalu mengajak sanak saudara dan keluarga anda ke program itu?

Bantutan  dakwah boleh saja berlaku dalam suasana dan keadaan pelbagai . Seorang imam yang  tidak mempunyai kenderaan misalnya akan menjadikan gelanggang dan ruang dakwahnya terhad. Jika  disokong dengan kemudahan,  pasti bakal melebar gelanggang dakwahnya. Setiap kita seharusnya memikirkan perkara ini . Mengapa ia terjadi?

Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung lebih mahal elaunnya daripada seorang imam.  Bahkan, berlaku di beberapa buah kampung yang Pengerusi JKKKnya  bukan saja berpendapatan tetap kerana bekerja di sektor awam atau swasta  tetapi,  dia turut mendapat elaun tambahan kerana menjadi  pengerusi jawatankuasa keselamatan kampung.  Pengerusi JKKK lantikan dan berjawatan seperti ini termasuk masyarakat setempat seharusnya lebih peka  dan memberi ruang serta sokongan kepada  imam kampung menjadi pengerusi JKKK. Pendapatannya bakal bertambah dan ini membolehkan dia membeli motor untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Inilah antara strategi yang perlu dibuat dalam memastikan operasi dakwah satu-satu tempat berjalan lancar.









Sabtu, 3 September 2011

Jumaat, 2 September 2011

JOMIDIN




Satu ketika dulu, dia digelar ‘sinting’ atau ‘50 – 50’. Berbanding orang lain di kampung Salimandut, juga di kalangan mereka yang mengenalinya, hidup dia tidak punya apa-apa. Namun, dialah antara yang ringan tulang. Mintalah bantuan, apa saja akan ditunainya dan jarang menghampakan sesiapa. Sepanjang pengetahuan saya, dia sering dihambur kata-kata tidak bermoral; sindiran atas keadaan hidupnya. Inilah nasib Sang Miskin di mana-mana. Kita lupa, di sisi Allah , bintang termahal adalah iman dan taqwa. Gema takbir di surau Salimandut tahun ini bukan saja menghimpunkan ramai sanak saudara dan sahabat handai bersama-sama menunaikan solat Aidilfitri, bahkan ada beberapa perkara yang membuatkan jiwa saya terdidik dan ia sukar saya gambarkan. Inilah doa-doa para daie yang terus sambung-menyambung. Subhanallah.


Namanya, JOMIDIN. Dia tidak punya isteri, tidak punya tanah, tidak punya akaun simpanan, tidak punya kereta dan segalanya. Hanya yang ada, tulang empat kerat dan usianya yang semakin reput. Diuji dengan sakit ampus, kemudian di hujung usia , akhirnya Allah membuka hatinya untuk bersaksi bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu PersuruNya. Jika diikut logik, mana mungkin dia bertukar agama. Tapi, inilah hakikat. Dia bersama kami , bertakbir dan bertahmid meski dia hanya terkumat-kamit dengan mata terlopong sambil bersila di hujung para jamaah. 


Saya kesal kerana tidak dapat memberi sesuatu yang membuatkan dia tersenyum tika itu, kerana kealpaan. Pun, insya Allah, rumah bambunya akan saya kunjungi untuk menghantar apa saja yang ada. Rumahnya itu telah dibina oleh belia secara gotong-royong. Kini, dia mengalami beberapa perubahan berbanding sebelum ini. Beliau dan 10 orang yang lain telah memeluk Islam pada penghujung tahun 2010 lebih kurang 10 bulan yang lalu.

Khamis, 25 Ogos 2011

SMS bukanlah persatuan atau pertubuhan



Suara  Mualaf Sabah ( SMS ) yang sebelum ini hanya sebuah blog telah dinaiktaraf kepada sebuah web. Ia merupakan wadah untuk menyalurkan permasalahan mualaf , terutamanya mualaf-mualaf yang tinggal di pedalaman Sabah. SMS bukanlah persatuan atau pertubuhan. Ia milik penulis dan kesemua aktiviti yang dibuat merupakan inisiatif sendiri  dibantu beberapa orang individu dan sahabat-sahabat berjiwa prihatin terhadap mualaf. SMS juga tidak mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana  pihak kecuali sumbangan peribadi individu di kalangan kenalan, sahabat handai dan penyumbang-penyumbang prihatin. Walau bagaimanapun, SMS turut  bekerjasama dengan jabatan agama dalam semua urusan agama, begitu juga dengan NGOs berkaitan.  Kesemua tulisan yang terkandung dalam web dan blog adalah milik SMS. Pihak-pihak yang ingin mengambilnya  sebagai bahan,  sila berhubung dengan SMS  atau simpan alamat web SMS sebagai sumber ambilan.

Selasa, 23 Ogos 2011

Terima Kasih


Semalam, berseorangan balik dari Kg. Salimpodon, Pitas melalui Ulu Kukut di daerah Kota Marudu yang dianggap berhantu . Ramai yang seram sejuk melalui jalan ke Utara Sabah terutamanya di waktu malam, sehingga ada orang terpaksa membatalkan perjalanan ke sini, lebih-lebih lagi waktu malam. Syukur, saya sudah biasa berjalan seorangan siang atau malam apatah lagi program yang dibuat tidak menentu waktunya. Jika terlalu mengantuk, saya akan tidur di tepi jalan walaupun kiri dan kanannya belantara. Alhamdulillah, setakat ini belum pernah pula saya berhadapan dengan pengalaman seperti yang dialami sebahagian yang berpengalaman dalam hal ini. Petuanya, banyakkan mengingati Allah dan berserah bulat padaNya.

Lebih kurang jam 11 malam, seorang sahabat menelefon saya dan katanya ada hadiah istimewa untuk saya dan jangan lupa beritahu rakan-rakan lain , katanya. Kemudian, dimatikan telefonnya begitu sahaja tanpa memberitahu kepada saya apa hadiah yang dimaksudkan. Namun, kemudiannya saya faham. Alhamdulillah.

“Beruntunglah bagi mereka yang direzekikan menemui malam rebutan para solihin” . Inilah antara yang diungkapkan di udara melalui radio, antara perbicaraan yang menemani perjalanan saya. Sepanjang jalan dari Kg. Salimpodon ke Kota Kinabalu, perbicaraan tentang Malam Lailatul Qadar beserta ciri-cirinya terus kedengaran. 

Perjalanan malam. Suluhan lampu sangatlah penting. Andaikan perjalanan yang tiada lampu. Alamatnya, perjalanan terumbang-ambing bahkan boleh saja terjatuh ke dalam gaung. Saudara-saudara yang baru diislamkan di Kg. Salimpodon ibarat menemui lampu setelah bertahun melalui perjalanan kelam. Kini, jalan mereka bersuluh. Mudah-mudahan perjalanan mereka terus benderang hingga mampu menerangi yang lain.

Jumaat, 19 Ogos 2011

Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan



Datuk Bolkiah 


Nazri Abdullah


Monon @ Ahmad Shukri 

Pagi tadi, Pakcik Monon @ Ahmad Shukri menghubungi saya dan memaklumkan tentang perkembangan terkini program pada 22 Ogos 2011. Di awal perancangan, program ini dijadualkan menghimpun saudara2 baru, ibu2 tunggal, fakir miskin dan warga emas di samping pengislaman 9 orang bakal saudara seislam bertempat di surau Solimpodon . Gerakan kerja program ini berdasarkan ahli jawatan kuasa yang telah dibentuk. SUARA MUALAF SABAH dalam hal ini, cuba sedayanya menghubungi pihak-pihak berkaitan dan memberi jalan-jalan pengurusan kepada pakcik ini sebagaimana telah kita lakukan pada tahun-tahun sebelum ini. 

Berurusan bersama orang seusia pakcik Monon@Ahmad Shukri memberikan saya banyak pelajaran yang tidak mungkin saya timba dari mana-mana buku. Tanpa mengenal penat lelah, beliau ke sana ke mari berjumpa dengan pihak-pihak berkaitan memohon kebajikan dan bantuan bukan untuk dirinya tetapi untuk orang-orang yang berada di kawasannya. Semuanya atas dasar tanggungjawab beliau sebagai seorang muslim. Beliau sebelum ini telah beberapa kali turun ke Kota Kinabalu untuk berurusan dengan JAKIM. Harapan beliau agar bantuan-bantuan sewajarnya akan disumbang kepada pihak-pihak di kawasan beliau yang seharusnya menerima bantuan. Agak mengecewakan kerana di akhir pertemuan, pihak JAKIM hanya dapat menyediakan kelengkapan solat untuk 22 orang peserta ; saudara-saudara baru, dan juga untuk 9 orang yang bakal masuk Islam. Selebihnya, pihak JAKIM tidak dapat menyediakan kelengkapan ini atas dasar pengamatan mereka.

Usaha pakcik ini tidak berhenti setakat itu. Beberapa kali beliau mohon agar dapat berjumpa langsung dengan Datuk Bolkiah Hj Ismail selaku wakil Rakyat kawasan N.3 Pitas untuk memaklumkan tentang perkara ini dan akhirnya beliau berdepan sendiri dengan Datuk Bolkiah. Menurut pakcik Monon, Datuk Bolkiah sebelum ini telah menyatakan kesediaannya menyediakan makan sahur justeru, Datuk Bolkiah meminta pakcik Monon membantu Pegawai Jheains Pitas untuk menyenaraikan saudara2 baru dan yang berkaitan selain menyatakan janji2 lain sehingga Pakcik Monon terlalu yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Datuk Bolkiah. Kisah pertemuan Pakcik Monon dan Datuk Bolkiah diceritakan pakcik Monon kepada SMS setiap kali beliau pulang dari rumah Datuk Bolkiah.

Pagi ini lain jadinya. Kata Pakcik Monon, Datuk tidak dapat memberi apa-apapun untuk program ini; baik sumbangan peribadi mahupun melalui jalan-jalan lain. Berulang-kali pula Datuk sarankan agar Pakcik Monon berurusan terus dengan pihak JHEAINS, JAKIM dan badan-badan agama yang lain di sekitar Kota Kinabalu. 
Sangat pelik dan menghairankan tindakan Datuk ini. Sebagai wakil rakyat, seharusnya beliaulah yang lebih bertanggungjawab melakukan kerja-kerja berhubung, menelefon dan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan seperti yang dibuat Pakcik Monon, sesuai dengan jawatan beliau sebagai wakil rakyat Pembantu Menteri. Meskipun Pakcik ini turut merasai tanggungjawabnya terhadap saudara seagama dan rela berbuat semua kerja-kerja itu, namun siapalah Pakcik Monon berbanding Datuk Bolkiah?

Kata Pakcik Monon lagi, atas cadangan pihak AJK program , beliau sekali lagi diminta menghubungi Datuk Bolkiah untuk mohon sumbangan peribadi sebanyak RM500. Pun , Datuk ini tidak beri.

Sebagai aktivis mualaf Sabah yang tampil mengemukakan pelbagai isu dan permasalahan mualaf khususnya di negeri Sabah, sudah pasti SMS melihat perkara ini tidak wajar berlaku, apalagi melibatkan seorang Datuk yang tahu serba serbi dalam hal2 pentadbiran serta perjalanan sesuatu perkara. Datuk tidak wajar lepas tangan atau mengambil sikap tidak endah dalam hal ini.

Sebagai wakil rakyat, Datuk wajar menilai semula apa yang Datuk telah tuturkan pada Pakcik Monon@Ahmad Shukri melalui pelbagai sudut; politik, kemanusian, agama dan sebagainya. Pihak-pihak berkaitan terutamanya Ketua Menteri wajar mengambil perhatian perkara ini. Bagaimana mungkin slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dapat dicapai jika YB-YB di bawah Yang Berhormat Ketua Menteri bersikap seperti ini kepada seorang pakcik yang hanya menjadi pengerusi kepada sebuah surau?

Mualaf Keciwah Dengan Datuk

Rabu, 10 Ogos 2011

Murtad



Ahad, 7 Ogos 2011

SMS

Sabtu, 23 Julai 2011

Program Dakwah





Program mengimarahkan Ramadhan bersama Cahayafm dengan kerjasama surau-surau terpilih bersama pendakwah bebas Ustaz Abdul Halim Abas dari Kedah akan bermula awal Ogos depan. Antara pengisian program ; Pengagihan Bubur Lambuk, berbuka puasa bersama penduduk setempat, solat Maghrib dan solat Tarawih berjemaah. Kepada kaum muslimin dan muslimat yang mahu menyumbang ke program ini bolehlah menghubungi Cahayafm di talian 019-8827449 atau melalui email; cahayafm@yahoo.com.my

Antara kampung2 di pedalaman sabah yang terlibat dengan program ini;
1. Kampung Longob
2. Kampung Talantang 1
3. Kampung Damai
4. Kampung Masolog
5. Kampung Tingkalanon
6. Kampung Garuda
7. Kampung Salimandut
8. Kampung Morian
9. Kampung Rakit
10. Kampung Gana
11. Kampung Timbang Batu
12. Kampung Mangkalawa
13. Kampung Parong
14. Kampung Sinanggip
15. Kampung Rukom
16. Kampung Saab
17. Kampung Datong
18. Kampung Kiulu
19. Kampung Lebak
20. Kampung Bundungan
21. Kampung Sinanggip

Perjalanan dan aktiviti program di kesemua tempat akan dilaksanakan mengikut tentatif sedia ada di samping diambil rakamannya dan diuploadkan ke youtube. Walau bagaimanapun, ia bergantung keadaan semasa seperti cuaca, bekalan elektrik dan seumpamanya.

Sabtu, 16 Julai 2011

Yunan China



Masyarakat Cina di Yunnan sangat memanfaatkan setiap inci tanah di bumi mereka, tidak mengira tanah itu rata atau sebaliknya. Bahkan bukit sekalipun, turut ditadbir dan dimanfaatkan sebaiknya. Mereka benar-benar menggunakan sumber alam yang disediakan Allah untuk mereka di bumi Yunnan. Sepanjang kembara, mata ini diperlihatkan pelbagai tanaman yang diusahakan penduduk-penduduk wilayah ini dengan tulang empat kerat dan bantuan mesin terutamanya untuk kerja-kerja pembajakan . Antara tanaman mereka; jagung, padi, tembakau, labu, bawang dan kentang. Selain itu, para penduduk turut memelihara kerbau dan lembu sebagai sumber daging.
Berita lanjut; http://www.suaramualaf.com/

Jumaat, 15 Julai 2011

Ceramah



Kepada muslimin dan muslimat yang tinggal di sekitar Ranau dan Kundasang, anda semua dijemput hadir mengikuti ceramah yang akan disampaikan oleh Ustaz Fadli Yusuf dari Kuala Lumpur. Ceramah di masjid Pekan Ranau akan diadakan selepas solat Maghrib pada 18hb Julai 2011, manakala di masjid Kundasang diadakan pada 19 Julai, juga selepas Maghrib. Program dikendalikan Cahayafm, Pertubuhan Perhimpunan Mualaf Sabah bersama JHEAINS, Ranau.

Sabtu, 18 Jun 2011

Kenapa Murtad ?




Pemurtadan berlaku kerana sebab-sebab KEJAHILAN. Inilah punca utama seseorang itu murtad. Perkara-perkara lain seperti penceraian, kemiskinan, penawaran, perkahwinan, politik dan dakwah hanyalah pengiring kepada kejahilan. Akhir-akhir ini, isu murtad bukan sahaja terfokus pada mualaf tapi turut menyelubung mereka yang lahir dari keluarga Islam asal. Bukan itu saja, pemurtadan yang menjadi-jadi dengan pengakuan terbuka mereka dalam media diiring senyuman dan hujah-hujah beserta ketenangan dan kedamaian yang kononnya mereka perolehi setelah menukar agama mula berleluasa dan umum mengetahuinya. Kemudian, timbullah kasihan, marah, tercabar dan macam-macam rasa yang menjadikan dunia Islam keseluruhannya tertampar dengan isu ini. Pelbagai ulasan dan pendapat di semua peringkat termasuk kerajaan, tokoh-tokoh ilmuwan, pendakwah, jabatan-jabatan agama, NGO dan orang perseorangan Islam turut memperkatakannya sehingga akhirnya, timbul perundangan atau enakmen untuk mereka. Walaupun gubalan yang dibuat kesemuanya merujuk pada undang-undang asal, yang jelas isu murtad ini terus saja berlaku dan berpanjangan tanpa titik.


Berita lanjut;
http://www.suaramualaf.com/

Ahad, 22 Mei 2011

Pengundi N5 Tandek dan MP Bandau.

Dia hanya dapat mempamerkan senyuman tawar dan sekali sekala bercakap. Selebihnya, hanya tangisan yang menyambut ketika saya bertanyakan hal-hal kebajikan dan batang tubuh pemimpin yang datang menjejak kaki ke rumah beliau. Dua tahun terlantar bukanlah masa yang singkat bagi seorang tua lumpuh dan berusia. 
klik cerita selanjutnya; http://www.suaramualaf.com/

Khamis, 19 Mei 2011

Web Suara Mualaf Sabah


Suara mualaf sabah, kini di kenali sebagai www.suaramualaf.com

Isnin, 16 Mei 2011

Suara Hati






Suara Hati Seorang Abang buat Adik.

Dedikasi buat;
Farah Ain dan suami
Masni dan suami
Jue dan Shukri
Isteri dan anak-anakku

Surat ini terlalu istimewa buat adik-adikku yang masing-masing sedang berjuang menuju satu destinasi dan cita-cita mengecap bahagia dunia sehingga barangkali telah lupa destinasi sebenar; hidup manusia; tempat paling aman dari kesengsaraan. Semoga kalian dalam keadaan baik-baik semuanya bersama keluarga dan kerjaya.

Mungkin ini bukan waktu paling sesuai abang mendatangi kalian . Pun bukan medium terbaik justeru menggunakan alam maya sebagai wadah interaksi dengan kalian. Maafkan abang kerana tindakan ini. Apatah lagi, surat ini terbuka umum sebelum sampai ke pangkuan kalian. Ketahuilah, abang tiada niat mengaibkan kalian, jauh sekali menjatuhkan maruah kalian yang kini, masing-masing sudah dewasa. Ketahuilah juga bahawa sebagai saudara tua kalian, abang ingin benar melihat kalian berubah sebelum antara kita terpisah oleh kematian.

Sengaja abang ambil ruang ini kerana abang sedar sesama kita jarang bertentang mata dan bertemu lutut di tikar tarbiah Masing-masing kita punya tanggungjawab pada keluarga dan tentulah kita masing-masing mengharapkan layarnya menuju bahagia. Terasa abang ingin mengulangi zaman kanak-kanak kita dan berharap ia diwarnai tegur sapa nan manja dan mesra. Namun, seingat abang kita tidak pernah punya suasana itu kerana seluruh hidup kita tertumpu perjuangan hidup. Inilah kenangan dan ingatan yang menjadi hadiah hidup kita bersaudara. Hampir 24 jam sehari kita dihidangkan dengan perjuangan mencari sesuap nasi semata-mata memastikan kepedihan ulu hati kita teubat dan sekurang-kurangnya teralas dan fizikal kita tidak bantut. Akibatnya, dunia kemesraan kita hanya berlegar di tin2 kosong dan angan2 permainan kita hanya melihat ruang Migaganak, Lolopong dan Tawos. Inilah kita. Biar kita simpannya sebagai sebuah kenangan.

Kini, mari abang bawa kalian ke alam dewasa agar kalian benar-benar berada di landasan sedar dan insaf. Sebagai abang yang sudah berada di zon petang, waktu pulang bila-bila masa akan menjemput abang . Pejamkanlah mata kalian, kemudian, tanyai hati , apa selama ini kita bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang kita terima atau tidak ? Tanyakan juga sebanyak mana ibadah yang telah kita lakukan setakat umur kita di alam dunia? Apakah benar, kita benar-benar telah mengikut seruan Allah atau sebaliknya? Abang tidak akan menghurainya kerana abang yakin setiap hati kita akan menjawab.

Bagi abang, sepanjang hidup, Islam yang kita terima inilah anugerah termahal . Kalian harus bersyukur kerana kalian lahir sebagai Islam, berbanding abang yang menerima Islam penuh dengan sejarah. Alhamdulillah, ibu dan ayah kita juga akhirnya menerima Islam. Terima kasih Allah, kerana menunaikan doa dan munajat hambamu. Kisah mereka pasti abang catat untuk dijadikan memoir berharga buat keturunan kita.

Jangan pernah lupa, adik-adikku. Dulu, hidup kita kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Hidup kita lebih mewah kini walaupun berbanding orang lain, kita jauh lebih miskin sebenarnya. Begitulah ukurannya andai kita guna pengukur dunia yang rakus dan lupa pada Pencipta. Inilah perkara yang abang takuti berlaku pada kalian; diuji nikmat, lalu mencintai dunia lebih dari akhirat sehingga meninggalkan segala suruhan Allah dan akhirnya tergolong dalam kalangan Islam yang hanya pada nama serta tidak peduli tentang tanggungjawab sebagai hamba Allah. Na’uzubillahi min zaalik. Jangan tidak peduli adik-adikku. Kita takut, di akhirat kelak, kita tidak dipeduli Allah.

Ikhlas dari abang kalian.

Rabu, 11 Mei 2011

KEMBARA DAKWA



Kembara Dakwah ke Negara China pada Julai 2011 merupakan penutup kepada beberapa siri kembara sebelum ini. Namun, siri umrah kali kedua bakal diadakan dan ia melibatkan imam-imam qaryah dan juga bilal-bilal daerah Ranau. Kenyataan ini  diberikan sendiri kepada Cahayafm oleh Tuan Haji Safrin bin Karim dalam pertemuan baru-baru ini bertempat di kediamannya. Umum layak memberi penghargaan kepada individu-individu seperti beliau kerana kedudukan mereka sebagai sebahagian penggerak dakwah dalam masyarakat. Dalam perbualan, beliau menambah bahawa sekembali dari Kembara Dakwah Negara China serta sejurus  terlaksana Karnival Aidilfitri,  pembentukan AJK bertindak bagi merealisasikan pembinaan pondok di sebuah kawasaan yang telah dikenalpasti sesuai dijadikan pusat tarbiah bagi anak-anak Dusun bakal diadakan. Pewujudan pusat ini sekali gus akan menjadi mercu tanda kembara-kembara dakwah yang telah dilakukan.

Meskipun Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama telah wujud di daerah Ranau, tetapi  hanya individu atau murid yang memenuhi syarat serta layak sahaja yang dapat memasuki institusi ini. Justeru, individu serta saudara-saudara seislam yang tidak mempunyai sijil-sijil kelayakan serta dalam waktu yang sama memerlukan ilmu serta tarbiah Islam harus diambilkira keperluan mereka untuk memasuki mana-mana institusi. Adalah menjadi harapan agar  kewujudan pondok itu kelak  bakal memenuhi keperluan  golongan-golongan berkeperluan seperti mereka.

Tuan Haji Safrin turut menyebut beberapa nama yang terlibat dalam kembara sebelum ini termasuklah Tuan Hj. Rauf, saudara Mohd Ayub Jamirin, saudara Asmin bin Nasir serta beberapa individu aktif dan terlibat langsung dengan aktiviti-aktiviti dakwah di Ranau. Harapan beliau agar siri kembara  yang telah terlaksana bakal memberikan pengalaman dan ilham kepada semua yang terlibat sekali gus mempergunakan segala pengalaman itu dalam membangunkan Islam di Ranau. Ia sesuailah dengan tanggungjawab Tuan Haji Safrin sendiri sebagai Ketua Biro Ekonomi dan Kebajikan Badan Dakwah Ranau .

Pengalaman melihat pondok-pondok  yang  giat dibangunkan pejuang-pejuang agama di Indonesia sudah cukup membangkitkan semangat dan membuka minda para peserta kembara. Harapan Tuan Haji Safrin agar gabungan kekuatan tenaga, fikiran, ilmu, kewangan serta apa jua yang dilakukan oleh semua pihak untuk agama Allah tanpa berhitung kira atau mempolitikkannya mudah-mudahan  dinilai Allah sebagai kebaikan. Sebagaimana Allah mengamanahi beliau dengan kekayaan, maka, seperti itu jugalah menjaga kebajikan agama, turut dilihat beliau sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilakukannya sebelum ajal.

Di akhir pertemuan saya dengan beliau, sempat saya mengimbau kisah-kisah beliau sebelum dan selepas kaya. Sebagai individu Islam serta sahabat, tegur-menegur dan saling ingat-mengingatkan untuk kebaikan itu adalah kewajipan. Sewajarnyalah  kita memberi sokongan terhadap usaha-usaha baik yang dilakukan oleh Tuan Haji Safrin.

Ahad, 8 Mei 2011

Setapak Lagi



Janathan Kandok


Tn. Hj. Saprin Karim

Daripada maklumat yang diterima, penduduk daerah Ranau kini menghampiri 90 ribu orang dan 46% daripadanya beragama Islam. Inilah hasil dakwah berterusan pelbagai pihak  yang mulanya dipelopori Mandur Syarif kemudian bersambung dengan usaha para penggiat dakwah secara berkumpulan atau sebaliknya. Semalam di Rest House Lohan, sebelum Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau bermula, saya sempat bersembang dengan Tuan Hj. Safrin Karim tentang perkembangan terkini Cahayafm kerana mengambilkira kedudukan beliau sebagai penasihat Cahayafm

Menariknya, dalam perbualan itu, beliau secara jujur memberikan jawaban terhadap apa yang saya persoalkan tentang perkembangan dan maklumbalas masyarakat terhadap Cahayafm dengan menyatakan bahawa kebangkitan dan kesedaran dalam melihat keperluan dan kepentingan dana untuk aktiviti dakwah  bukan tidak ada dalam diri individu Islam, bahkan kalau mereka dihidangkan dengan pelbagai info dakwah mereka sememangnya mahu mendengar malah kelihatan sangat bersemangat. Namun, bila masuk bab ‘KOS’, kebanyakan orang-orang kaya bersikap lewa dan agak berkira bahkan ada juga yang liat memberikan sumbangan. Akhirnya,  proses dakwah yang sepatutnya digerakkan dengan cepat terbantut begitu sahaja malah mati tanpa meninggalkan kesan rasa berdosa atau sekurang-kurangnya rasa bersalah di hati orang-orang berkemampuan.

Demikian, pandangan Tuan Haji Saprin Karim terhadap topik bualan malam itu. Beliau yang baru balik dari Kembara Dakwah bersama rombongan Keluarga Mesra Ranau  juga akan ke negara China pada Julai ini untuk melihat sendiri bagaimana Islam dihayati dan diamalkan  oleh umat Islam China. Program kembara ini turut bertujuan agar mereka  yang  terlibat benar-benar membuka minda selepas ini sekali gus memikirkan bagaimana dakwah dapat diaplikasi dan dikembangkan  secara lebih  berkesan dalam masyarakat Dusun.

Alhamdulillah, dalam mesyuarat ini Cahayafm telah dijadikan sebagai penyiar rasmi kepada Program Karnival  Aidilfitri kendalian Badan Dakwah Daerah Ranau dengan kerjasama Keluarga Mesra Ranau. Program ini turut diterajui oleh beberapa orang pemimpin berkaliber. InsyaAllah, Cahayafm bakal menemubual mereka dalam waktu terdekat. Sebagai radio online yang membawa jenama islamik, Cahayafm telah diberi ruang bersuara dalam mesyuarat tersebut. Mewakili Cahayafm, beberapa pandangan  telah  saya sampaikan dan seperti biasa, saya sekali lagi mengajak dan mencabar pihak-pihak berkaitan agar sama-sama bekerjasama serta menggunakan media ini secara maksimum agar  seluruh info dan perkembangan semasa dakwah dapat disebarluas serta dikongsikan bersama dengan  pelayar-pelayar  internet seantero dunia.

Sehari sebelum kembali ke Ranau, saya sempat berhubung dengan peneraju sebuah persatuan mualaf  Dusun Kimaragang ,saudara Janathan Kandok. InsyaAllah, beliau memberi lampu hijau untuk satu pertemuan bersama Cahayafm.  Pertemuan ini diharap akan berlaku dalam masa terdekat. Cahayafm juga dalam perancangan untuk ke Melaka bagi mendapatkan buku-buku Panduan Solat dan Quran yang disumbangkan oleh seorang hamba Allah untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Dusun Islam. Pun, semua ini bergantung kepada kos. InsyaAllah, pencarian dana akan kita anjurkan selepas ini untuk menampung kos pengambilan dan penghantaran Quran dan buku-buku yang diberi percuma oleh dermawan tersebut kepada individu-individu berkaitan.  Kepada orang-perseorangan yang ingin sama-sama beramal jariah bolehlah berhubung terus kepada Cahayafm.

Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau

Mesyuarat Biro Kebajikan dan Ekonomi Badan Dakwah Daerah Ranau bertempat di Lohan Rest House. Antara agenda perbincangan termasuklah Sambutan Hari Raya Aidilfitri besar-besaran yang bakal menghimpunkan 10,000 umat Islam dari 130 buah kampung. Perincian program ini akan dibuat dalam waktu terdekat. Perkembangan program akan diwar-warkan melalui Cahayafm dari masa ke masa. Cahayafm merupakan penyiar rasmi bagi program ini.




Isnin, 2 Mei 2011

Terima Kasih



“ Jangan sesekali nafikan sumbangan dan keterlibatan setiap individu dalam perjuangan Islam”. Kata2 ini masih segar di telinga saya.  Ia kata-kata seorang pendakwah yang konsisten bergelanggang dalam dunia dakwah sejak zaman mudanya  hinggalah kini. Beliau yang saya maksudkan ialah ustaz Abdul Halim Abbas. Selain disarati pengalaman dan ujian dalam dunia dakwah, beliau turut mengongsikan pemikirannya dalam beberapa buah buku tulisannya. Salah satunya bertajuk; Bagaimana Menjadi Wali.

Kata2 yang dibekalkan beliau suatu waktu dulu kepada saya cukup singkat dan jelas. Namun, apa yang mendorong  saya  untuk menyegarkan semula  kata2  itu dalam tulisan ringkas saya kali ini adalah susulan pos saya yang  mengundang komen beberapa sahabat, antaranya sdr. Rafidi, Azman, Khobil, Rosnani, Raja Chulan dan Datuk Masidi. Justeru lontaran idea para sahabat menarik untuk diperkembangkan, maka saya kongsikan tulisan ini. Moga2 ia mendatangkan kebaikan.

Kata2 sdr.Rafidi tidak dinafikan kebenarannya. Nyatanya, memang ada individu2 kaya dan jutawan Islam yang benar2 berada dalam zon yang diperkatakan sdr. Rafidi.  Wujud mereka dengan sikap kedekut, haloba, sombong dan gila dunia. Namun, barangkali kita lupa bahawa orang2 kampung yang tidak punya apa2 juga bersikap seperti itu; sombong, tidak mahu belajar, gila dunia, takbur hingga tidak solat malah kedahsyatannya sehingga orang2 lama menggelarnya; bodoh sombong. Namun, kerana orang2 kaya dilihat besar maka, sikap demikian seakan-akan berdampingan dengan mereka saja sehingga cop2 kurang baik semuanya kita lempar ke orang kaya. Seharusnya, kita adil dalam memperkatakan perkara  ini. Saya percaya kita masih ada doa untuk mereka  agar hati mereka lembut dan mendapat kesedaran atas keterlanjuran mereka bersifat rakus, tamak dan sebagainya.  Pun begitu, sikap2 sombong seperti itu ditegur Allah secara jelas dalam Quraan. Firaun misalnya, ditegur melalui Nabi Musa. Ksah-kisah tentang semua jenis manusia boleh didengar melalui Tafsir Quran 24 jam di Cahayafm.

Tukang2 kebun, petani2, nelayan2, pegawai2 kerajaan, guru2, ahli2 koperat, YB2, menteri2 dan semua peringkat kedudukan yang menyumbang dalam perjuangan Islam baik berbentuk fikiran, tenaga, wang ringgit, makan minum dan apa saja pastinya mereka layak kita sebut2kan nama2 mereka di lingkungan kita. Namun, ia tidaklah bermaksud kita tidak boleh menegur mereka bilamana mereka berbuat silap, malah wajib ditegur mengikut kemampuan kita masing2 agar kesilapan yang mereka lakukan tidak berterusan. Inilah namanya DAKWAH. Bukan saja sakit diterima penerima, bahkan penyampai juga rasa sakit sebenarnya. Mengapa tidak?  Ia bukanlah semudah membuka mulut di saat kita menerima kebaikan dari mereka kemudian tiba2 kita tarbiah saat terpesongnya dia. Hakikatnya, inilah ikatan yang dinilai sebagai persahabatan malah lebih dari itu sebenarnya kerana kita semua saudara seislam.

Ada keburukan yang wajar kita sembunyikan pada pengetahuan awam. Kita dilarang membuka  aib seseorang tanpa bukti yang jelas atau tidak cukup syarat misalnya tidak bersaksi. Namun, perlanggaran seseorang  dalam menjaga maslahat awam seperti keterlibatannya dalam mendirikan kilang2 arak, judi dan maksiat itu wajar dihebahkan kepada pengetahuan umum kerana ia melibatkan kepentingan dan maslahat awam. Secara jelas, perkara ini boleh dirujuk ke mana2 guru agama agar kita lebih faham keadaan ini. Larangan memuji-muji kebaikan seseorang di hadapan orang2  berkaitan juga ada hikmahnya. Bagaimanapun, di belakang mereka, kita dibolehkan memuji .

Sepanjang keterlibatan saya dalam dunia dakwah, ramai individu yang secara langsung menyokong dan melibatkan diri sehingga saya tidak mampu menyebut nama2 mereka satu persatu. Dengan izin Allah, walaupun sebelum ini nama2 mereka telah beberapa kali saya tulis dalam artikel2 pendek namun, bagi saya tidak rugi jika nama2 ini saya ulangtulis sekali lagi  antaranya;  semua deejay Cahayafm, penyokong, pendengar, Datuk Masidi, Hj. Saprin Karim, Datuk Tawfiq, Syed Abbas dan wakil2 rakyat di kawasan  program2 dakwah yang kami jalankan. Selain itu, pihak USIA, Jheains, JAKIM, YADIM, ustaz2, ustazah2 dan orang perseorangan yang tidak dapat saya sebut nama2 mereka satu persatu. Mudah2an kalian semua terus istiqomah di atas kebaikan yang kalian lakukan untuk Islam. Hanya Allah yang lebih tahu menilai kebaikan semua pihak.

Terima kasih semua yang terlibat.