Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Selasa, 14 Oktober 2008

'BERKORBAN' DEMI SAUDARA BARU ( utusan malaysia )

‘Berkorban’ demi saudara baru

Oleh Zulhisham Ishak


KOTA MARUDU 13 Okt. – Seramai 12 tenaga pengajar kepada 300 saudara baru di daerah ini, bersyukur kerana dapat mengajar dan menyemai asas ilmu pengajian agama Islam kepada golongan itu di Masjid At Taqwa di sini.
Walaupun masih tidak ada bangunan khusus bagi mereka mengajar golongan mualaf berkenaan di pekan Kota Marudu, tetapi dengan inisiatif pihak pengurusan masjid berkenaan, tenaga pengajar yang terdiri daripada uztaz dan ustazah itu berjaya merealisasikan misi mereka.
Setiap Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 12.30 tengah hari di masjid tersebut diadakan 13 kelas agama yang mengajarkan asas agama Islam kepada semua saudara baru itu.
Pengajian agama itu dibuat secara percuma dan dilakukan secara sukarela.
Tenaga pengajar di situ menggunakan pelbagai teknik mengajar bagi memastikan golongan mualaf dapat memahami ajaran Islam secara tepat dan berkesan.
Salah seorang ustazah di situ, Zaleha Ginsat, 69, berkata, bagi peringkat permulaan, beliau akan menerangkan apa itu Islam dan menghuraikan segala tuntutan dan asas Islam.
Katanya, perkara itu dilakukan beberapa kali sehingga saudara baru benar-benar faham dan kemudian mengajar jawi dan muqaddam bagi membolehkan mereka membaca al-Quran.
‘‘Kalau mereka tidak tahu membaca atau menulis, kami akan bacakan sehingga 10 kali dan meminta mereka mengikut dan menghafalnya,’’ katanya yang merupakan bekas guru agama.
Sementara itu, ketika menjalankan kegiatan dakwah di kampung di daerah itu, katanya, beliau memberi penerangan yang cukup kepada mereka yang berminat dengan agama Islam.
Katanya, golongan sasar itu turut didekati pendakwah daripada agama lain dan meminta mereka membezakan antara ajaran Islam dengan agama lain.
‘‘Tidak ada paksaan dalam agama. Selepas diberi penerangan, boleh dikatakan semuanya akan memilih Islam,’’ katanya yang telah memeluk Islam lebih 40 tahun lalu.
Ustaz Abd. Mutalib Abdullah, 51, pula berkata, kebanyakan yang memeluk Islam di daerah berkenaan begitu bersungguh-sungguh ingin mempelajari dan mengetahui keindahan Islam.
Beliau yang sudah mengislamkan lebih 158 orang di tempatnya di Kampung Parung, memberitahu, setiap mereka yang menerima hidayah akan diwajibkan datang ke masjid itu untuk belajar agama.
Dalam pada itu, masalah ketiadaan bangunan khususnya untuk golongan mualaf itu bukan satu perkara baru, yang mana di Sabah, cuma terdapat tiga tempat pengajian untuk saudara baru iaitu Pusat Latihan Dakwah di Keningau, Kundasang dan Kudat.
Bagaimanapun, tempat pengajian itu tidak dibuka kepada umum dan hanya mengambil mualaf yang berkelayakan sahaja iaitu mereka yang lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Penyelaras Program Mualaf Sabah, Mohd. Nazri Abdullah berkata, keadaan itu membuatkan saudara baru yang tidak berkelulusan SPM mempunyai masalah untuk mendalami ilmu agama Islam.
Katanya, syarat yang dikenakan itu menyukarkan mereka yang tidak berkelulusan terutamanya orang tua, suri rumah dan ibu tunggal yang baru memeluk Islam.
‘‘Kita berharap pihak yang prihatin akan membina sebuah bangunan baru untuk saudara baru. Pada masa yang sama, salah sebuah tempat pengajian sedia ada perlu dibuka kepada umum.
‘‘Bukan terhad untuk mereka yang mempunyai SPM sahaja, dengan cara ini akan membantu saudara baru meningkat dan memantapkan kefahaman Islam mereka,’’ ujarnya.
Katanya, sepanjang Ramadan lalu, bagi mengimarahkan surau atau masjid dengan melibatkan mualaf, Yayasan Iftimam telah mengadakan pelbagai aktiviti.
Jelasnya, yayasan tersebut yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, menganjurkan majlis berbuka puasa, solat tarawih dan tazkirah sepanjang bulan puasa.
‘‘Yayasan ini sudah tiga tahun berturut-turut menganjurkan pelbagai aktiviti di Sabah pada setiap bulan Ramadan dan kali ini sebanyak 33 program sudah dilaksanakan,’’ katanya.
Beliau berkata, 13 daripada program itu dijalankan di surau dan masjid di Ranau, Kota Marudu, Matunggong, Semporna, Papar dan Kinarut, manakala selebihnya di Kota Kinabalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi