BUMI SABAH BERGELORA: ANTARA HADIAH RM1 JUTA DENGAN TANGGUNGJAWAB DAKWAH
Namun, ribut yang berlaku ini bukan soal siapa meminta belanja atau siapa yang mahu mengeluarkan wang. Persoalan sebenarnya ialah tentang hukum pertandingan memancing yang berkali-kali sudah kita baca, kita dengar dan kita lihat penjelasannya di Facebook serta pelbagai saluran lain.
Hukum yang berkaitan dengan unsur perjudian dan pertaruhan bukanlah perkara baharu. Penjelasan sudah diberikan, tetapi masih ada yang memilih untuk mengikutinya.
Jika kita mahu melihat keadaan ini, ia tidak jauh berbeza dengan kewajipan solat. Kita tahu solat itu wajib, kita mendengar peringatan setiap hari, tetapi masih ramai umat Islam yang belum mahu menunaikannya. Ertinya, mengetahui sesuatu hukum belum tentu menjadikan seseorang itu mahu mematuhinya.
Di sinilah kita perlu melihat betapa pentingnya usaha dakwah. Jangan hanya sibuk apabila sesuatu isu menjadi tular. Jangan pula program dakwah hanya berulang di tempat yang sama, dengan kelompok masyarakat yang sama.
Kita mesti memperbanyakkan program dakwah di seluruh pelosok Sabah. Gerakkan madrasah, pondok dan maahad tahfiz. Bawa anak-anak kita mendekati institusi pendidikan Islam.
Alhamdulillah, terdapat institusi yang membuka ruang kepada mereka yang ingin belajar agama tanpa meletakkan syarat umur, kelulusan akademik mahupun bayaran pengajian. Ruang seperti inilah yang perlu kita perkenalkan kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, saya ingin mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh. Di tempat-tempat yang dikenal pasti mempunyai aktiviti perjudian atau unsur maksiat, mungkin boleh dipertimbangkan pemasangan penunjuk arah kiblat sebagai salah satu usaha mengajak manusia kembali mengingati Allah.
Siapa tahu, mungkin dengan melihat penunjuk arah kiblat itu, terbuka hati seseorang untuk mencari jalan pulang kepada Allah.
Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilaksanakan dengan tegas dan berhemah. Jika perlu, pemantauan di lokasi pertandingan atau kolam memancing yang terlibat hendaklah dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, termasuk melalui pemeriksaan dan pemantauan secara rasmi. Bukan sekadar hadir untuk melihat, tetapi memastikan peraturan dan hukum yang berkaitan benar-benar dipatuhi.
Akhirnya, kita jangan hanya pandai mencetuskan ribut apabila sesuatu isu berlaku. Kita perlu membina gelombang kesedaran yang berterusan.
Jangan tunggu umat Islam terjebak dalam sesuatu perkara yang dilarang, barulah kita sibuk memberikan penjelasan. Perbanyakkan dakwah, hidupkan institusi pendidikan Islam dan buka seluas-luasnya ruang untuk masyarakat belajar agama.
Kerana tugas kita bukan sekadar menegur mereka yang tersasar, tetapi turut menyediakan jalan untuk mereka kembali.









