Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Khamis, 29 Mac 2012

Kemuncak Jawaban


SAR Kampung Salimandut merupakan kemuncak jawaban permasalahan mualaf yang sekian lama menjadi isu utama tulisan dan bicaraan Lebon Botong@ Nazri Abdullah. Selama bertahun, beliau menyuarakan isu mualaf yang tidak berpenghujung. Pengalaman demi pengalaman bersama mualaf dari segenap ceruk rantau Sabah, akhirnya menoktahkan permasalahan mualaf ini dengan pewujudan pusat pendidikan. 

Atas kesedaran ini SAR Kampung Salimandut dibangunkan di tapak bergeran milik Botong Anjuk, ayah kepada Lebon Botong. Meskipun demikian, ia tidak lebih dari sebuah igauan andai tiada pihak yang tampil memberi sokongan. Muslimin dan muslimat, di mana saja kalian berada, jawatankuasa sekolah merayu agar kita bersama-sama membangunkan sekolah ini. Kalian semua dialu-alukan membuat sumbangan dalam bentuk material seperti bahan mentah untuk binaan bangunan atau wang ringgit.

Semua sumbangan tuan-tuan bolehlah disalurkan menerusi akaun sekolah ini sebagaimana telah kami paparkan sebelum ini. Semoga sumbangan tuan-tuan bakal menjadi saham akhirat, kelak.

Rabu, 21 Mac 2012

SAR Kg. Salimandut

Alhamdulillah, hasil sokongan dan sumbangan para penyumbang prihatin yang turut mahu melihat terbangunnya pusat pendidikan orang-orang mualaf Sabah, maka secara rasmi kami maklumkan bahawa akaun SAR Kg. Salimandut Tandek, Kota Marudu kini bukan lagi menggunakan akaun peribadi seperti yang dipaparkan beberapa waktu sebelum ini. Serta –merta kini, akaun peribadi atas nama MOHD. NAZRI BIN ABDULLAH dibatalkan. Selepas ini, mana-mana pihak yang mahu menyumbang bolehlah disalurkan terus ke akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU, NO AKAUN: 10016010085807 di BANK ISLAM, seperti terpapar dalam gambar.

Kepada muslimin dan muslimat yang secara lansung atau tidak langsung membantu merealisasikan kewujudan akaun ini, saya mewakili pihak pengurusan sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda. Sesungguhnya kami tidak dapat membalas kebaikan kalian melainkan Allah jugalah yang layak menilai dan membalasnya .

MAKLUMAN;
Semua urusan berkaitan sumbangan hanya menggunakan nama akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU. Kami tidak melantik mana-mana orang tengah, agen atau wakil sekali gus menafikan urusan mengutip derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak, sama ada menggunakan nama sekolah, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Sebarang keraguan atau ketidakjelasan berkaitan hal ini, boleh dikemukakan kepada kami menerusi talian 019-8827449.

Jumaat, 9 Mac 2012

Peristiwa





Sudah sebulan lebih SAR Kg. Salimandut mendapat kelulusan pihak JHEAINS. Sehingga kini, pihak pengurusan masih dalam proses mengumpul dana untuk membuka akaun sekolah kerana sumbangan yang diterima setakat ini masih belum mencukupi. Usaha kedua , membuat tabung sumbangan yang akan disimpan di kedai-kedai sebagaimana pihak lain melakukannya. Namun, ia tersekat seketika waktu apabila pelekat yang sudah siap ditempah di sebuah kedai di Kota Kinabalu, mengalami perubahan warna dan tulisan sehingga tidak menepati ciri-ciri asal sebagaimana dikehendaki pihak pengurusan.

Baru berlalu. Saya bersama Datuk Setiausaha Agung USIA ke Kota Marudu. Ada jemputan Majlis Sambutan Maulidurrasul di sebuah sekolah. Tiba di sekolah, saya terlihat seorang manusia yang sebelum ini cukup saya percaya. Mulanya, dia tersenyum melihat kereta yang kami naiki menghampiri perkarangan. Saya buka pintu kereta dan dia bagai terkejut melihat saya berada di depan matanya. Tingkahnya mengundang naik suhu darah saya. Terlihat juga hitam pekat kemerahan di mukanya apabila melihat saya turun dari kereta. Entah perasaan apa yang datang ke saya tika itu. Rasa mahu meneriak dan membalingnya dengan kamera berbaur dan bermunculan dalam hati. 

Pertemuan tidak dirancang dengan manusia bertopeng ini menyorot ingatan saya ke Pak Lah. Terngiang peristiwa ketika Pak Lah memberi satu hadiah berbentuk kerja kepada saya atas nama mualaf. Harapannya, agar itu dapat menanggung kos-kos program mualaf termasuklah membina sekolah mualaf, seperti yang sedang saya perjuangkan ketika ini. Jumlah kerja tersebut bagi saya terlalu besar kerana selepas ditolak pelbagai kos, ia tidak bakal membebankan mana-mana pihak. Andai ia terlaksana seperti pelan asal, tentu keadaannya berlainan sekarang. Pihak pengurusan SAR barangkali tidak perlu meminta pertolongan kepada mana-mana pihak sehingga mewujudkan kotak sumbangan dan seumpamanya. Sungguhpun mohon sumbangan itu tidak salah, tapi jauh di sudut hati saya masih ada parut kesal. Saya yakin bongkaran kisah ini nanti, tentu ada pengajarannya.

Saya menikmati Majlis Sambutan Maulidurrasul hari itu dengan hati terusik. Masa beredar. Kemudian, saya dikilan pula dengan pengumuman Tokoh Maal Hijrah Sekolah hari itu. Walaupun pengumuman itu berjaya menggamatkan suasana yang menanggung sarat guru-guru dan para murid, ia sedikitpun tidak dapat mengembalikan perasaan percaya saya kepada manusia ternobat tokoh itu. Biar dia dicanang sebagai manusia yang banyak menabur jasa kepada sekolah tapi di suatu ruang lain, dia juga telah hancurkan harapan para mualaf mendapatkan sekolah dan pendidikan. Kasihan kalian yang menepuk tangan untuknya di atas pentas. Hidup-hidup kalian ditipunya! Tak apalah. Kalian tidak tahu berapa nilai perjanjian yang pernah kami buat bersaksi peguam. Pun, itu sudah saya buang ke tong sampah. Tokoh yang kalian sanjung itu, kini hidup bergaya dengan Ninja King hasil penipuannya yang dialas tikar sejadah dengan beratap bumbung Masjid Kota Marudu. Waktu itu, lidahnya lembut berkata. Saya ditatangnya bagai anak kecil yang bawa tuah padanya. Walau sifatnya sudah dapat saya cium sejak awal, namun demi seorang sahabat dan persaudaraan Islam, saya tidakkan semua bayangan hitam di mata dan bisikan hati langit tika itu. Cukup dulu cerita ini. Ia terlalu panjang untuk diceritakan.

Itu hanya satu sudut peristiwa di hati saya. Di suatu sudut lain, hati saya tersentuh dengan sikap keluarga yang bukan Islam tetapi prihatin tentang SAR yang sedang diusahakan. Nong Tuyundo. Nama ini bukan asing pada saya. Dia, selain mengambiltahu keperluan membuka akaun, turut mempromosikan FB SAR Kg. Salimandut ini kepada sahabat-sahabatnya. Malu dan terharu saya menilai sikapnya. Namun, saya tahu kenapa dia melakukan itu. Meski kami tidak seagama, tapi kami sekeluarga. Sikapnya membuatkan saya khatam dengan pelbagai kitab ragam manusia. Dulu, anak lelakinya menarbiah jiwa saya sehingga kisah antara kami saya selit dalam blog Suara mualaf Sabah. Tingkah anak-anaknya menyebabkan saya menjadikan mereka ‘guru’ saya. Mengapa tidak? Anak-anak kecilnya itu begitu mencintai Islam. Meski mereka belum mengisytihar rasmi agama mereka sebagai Islam, tapi mereka berpuasa, bersolat dan belajar mengaji hingga kini. Terbaru, saya jumpa anak ini ketika sambutan Mauliddurrasul di sekolah. Siap bersongkok, bersampin dan berbaju Melayu juga turut berarak, berselawat dan mendengar ceramah. Anak-anak Nong Tuyundo, membesar di mata saya dan setiap limpasan kehidupan mereka menarbiah saya berkali-kali. Waktu ini, sekali lagi ibu mereka pula menarbiah. 

Kisah dan rasa di atas cukup bagi saya terajar pelbagai ilmu. Ia menguatkan keyakinan saya bahawa SAR Kg. Salimandut mesti dibangunkan dengan apa cara sekalipun. Pun, jika ia tidak berjaya di tangan saya, saya percaya akan muncul tangan-tangan lain yang akan menyambungnya dari zuriat Sang Mualaf Kimaragang. 

Inti dari kisah ini, boleh kita kongsikan sebagai pengajaran; Islam rosak kerana kita sendiri yang tidak menjaganya dengan sempurna. Islam dipagar dengan pagar daerah, negeri dan bangsa. Pihak-pihak yang diharapkan pula berlaku tidak amanah. Hilang pertimbangan kerana sikap gila dunia.

Watak-watak yang saya paparkan. Seyogia, pembacalah yang memikirnya sendiri. Sengaja saya tidak simpulkan perkara ini kerana saya percaya pembaca akan memahami. Kerana itu, saya tidak mengakhiri tulisan saya kali ini dengan kata-kata akhir sekali.

Isnin, 5 Mac 2012