Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Ahad, 4 November 2012

AMT USIA



USIA bakal mengadakan mesyuarat dalam kalangan AMT sebelum masyuarat agung akan datang. Saya percaya ada dalam kalangan AMT tidak sabar menanti tarikh penting ini kerana inilah masa paling sesuai menyuarakan pelbagai perkara penting tidak kira bersifat ulangan atau sebaliknya. Secara peribadi, saya juga tidak sabar mengikuti pelbagai agenda yang bakal diluluskan, diKIV, dipertimbangkan atau disegerakan pelaksanaannya sementara hal-hal lain sudah tentu menyentuh banyak perkara mengikut undang-undang tubuh yang terkandung dalam perlembagaan. Saya sangat mengharapkan sidang akan memberi tumpuan khusus membincangkan dakwah seperti berikut;
1.    Dakwah di kawasan pedalaman Sabah ( kawasaan perbukitan ) yang belum pernah dikunjungi mana-mana pendakwah.
2. Pembelian kereta lasak 4 x 4 untuk kegunaan operasi dakwah di kawasan perbukitan.
3. Penempatan semula enjin elektrik milik 1B yang menggangu ( bising ) terletak di bangunan USIA ke bangunan lain.
4. Pemekasaan operasi Dakwah Maya USIA.
5. Penstrukturan semula Unit Dakwah USIA.
Terakhir, berikan juga peluang kepada UNIT IT USIA yang telah dilancarkan Ketua Menteri untuk memberi taklimat khas sama ada sebelum masyuarat atau selepas mesyuarat. Ia tidak memakan masa lama, hanya lebih kurang 1 jam 30 minit dan insyaAllah, sidang akan tahu dan faham tentang fungsi dan matlamat unit ini diwujudkan.

Rabu, 17 Oktober 2012

Gerakan Mencari

ﺍﻧﻖ ﻣﻮﺩﺍ ﺍﻳﻦ ﻧﺎﻡ ﻣﺤﻤﺪ ﻧﻈﺎﻡ ﺍﻟﻠﻪ ﺑﻦ ﺭﻣﻠﻲ ﻳﻎ ﺩﻛﻨﺎﻟﻲ ﺭﻣﻠﻲ ﺳﺮﺑﻥﺍﺻﻞﺩﺍﺭﻱﻛﻤﻔﻮﻍﺑﻨﺘﺎﻳﻦﺗﻤﻔﺎﺭﻭﻟﻲ ﺳﺎﺑﻪ
ﻣﺤﻤﺪ ﻧﻈﺎﻡ ﺗﻠﻪ ﺗﻴﺪﻕ ﺩﺍﻓﺖ ﺩﻫﻮﺑﻮﻏﻲ ﺳﺠﻖ ﺩﻭﺍ ﺗﺎﻫﻮﻥ ﻳﻎ ﻻﻟﻮ 
ﺭﻣﻠﻲ ﺳﺮﺑﻦ ﺗﻠﻪ ﻣﻨﻴﻐﻜﻞ ﻓﺪ ﺳﻤﺒﻴﻠﻦ ﺑﻠﺲ ﺍﻭﻛﻮﺱ ﻳﻎ ﻻﻟﻮ ﻧﺎﻣﻮﻥ ﻣﺤﻣﺪ ﻧﻈﺎﻡ ﺗﻴﺪﻕ ﺟﻮﻙ ﻓﻮﻟﻎ 
ﺍﻳﺒﻮﺙ ﺳﺘﻴﺎﻑ ﻫﺎﺭﻱ ﻣﻨﻮﻏﻜﻮ ﻛﻔﻮﻻﻏﻨﺚ .ﻓﻮﺍﻥ ﺭﻭﺳﻴﺎﻩ ﺩﺍﻣﻮﻱ ﻫﺎﺭﻑ ﺳﺴﻴﺍﻑ ﺗﻤﻮﺋﻲ ﻣﺤﻤﺪ ﻧﻈﺎﻡ ﺩﺍﻓﺖ ﻫﻮﺑﻮﻏﻲ ﺩﻱ ﺩﻫﻴﻦ ﻓﻮﻥ
0178354003



Ahad, 7 Oktober 2012

ESOK MASIH ADA ?



JHEAINS, JAKIM, YADIM, PERKIM, PZS, MUIS ,USIA, bahkan persatuan dan pertubuhan NGO serta semua badan agama jika bersatu mengumpul rombongan kereta pacuan 4x4, kereta yang ada, tentu mampu menyokong operasi dakwah di pedalaman-pedalaman Sabah. Namun, setakat ini, gerakan kereta sebegini belum ada terlihat, apalagi kereta yang dihiasi bendera dakwah sebagaimana persatuan dan kelab 4x4. Apa yang biasa kita lihat adalah kereta bergaya dan mewah meluncur atas jalan beraspal. Berkali perkara ini saya suarakan dalam mana-mana meja pertemuan dan penulisan. Apa nanti kalau ditanya kita bakal beri jawaban sebagaimana filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin, ESOK MASIH ADA ?

Isnin, 3 September 2012

Assalamualaikum.




Kepada para pembaca web Suara Mualaf dan blog Suara Mualaf Sabah, kalau sebelum ini tumpuan penulisan saya berkisar beberapa bahagian seperti rintihan saudara baru yang telah diajukan kepada saya di samping cadangan-cadangan dan penambahbaikan sesuatu perkara kepada pihak berkaitan, sudah waktunya kini seminar, forum, ceramah dan yang seumpamanya dileluasakan untuk kelompok-kelompok saudara baru. Saya percaya pemikiran-pemikiran saudara baru amat jarang diketengahkan melalui program-program seperti ini. Sebagai individu yang terlibat langsung dalam memikirkan perkara ini, saya dengan rasa rendah hati menawarkan perkongsian pemikiran yang menjurus kepada dunia mualaf kepada mana-mana pihak yang sudi menjemput saya dan berkongsi pengalaman melalui program yang dimaksudkan.

Ahad, 5 Ogos 2012

Pengislaman


Kampung Salimandut. Setiap kali menjelang Ramadhan, ada saja saudara mara memeluk Islam di Kampung ini. Arus dakwah yang berterusan serta keterlibatan pihak dermawan yang sentiasa memberi sokongan secara tidak langsung menjadi penyebab keadaan ini terus bersambung. Tahun ini, sejak Syaaban  sudah 7 orang yang diislamkan. Akan menyusul satu lagi pengislaman di kampung ini pada 8 Ogos 2012. Doakan program ini berjalan lancar.

Ahad, 22 Julai 2012

Memoir Lebon Botong | Perjalanan Seorang Mualaf

Hari dan tarikh aku dihantar ke PLDK tiba. Sudah lama, dan tidak mampu kuingat tarikh keramat aku melangkah meninggalkan Kampung Salimandut. Tiada jam dinding di rumah untukku rujuk masa, jauh sekali kalendar. Wang poket? Pun, tidakku ingat berapa ringgit yang ada. Apa yang jelas di ingatan, waktu itu, kugalas beg sandang lusuh berisi baju, seluar dan berus gigi berusia. Perjalananku ke PLDK waktu itu kukira paling ‘lawa’ dengan kasut sekolah kesayanganku ditambah fesyen rambut guntingan kampung. 


Sabtu, 21 Julai 2012

Terima Kasih


Alhamdulillah. Segala yang dirancang untuk sambutan Ramadhan bersama saudara baru pada 19 Julai 2012 bertempat di Kg. Salimandut berjalan lancar mengikut jadual. InsyaAllah program seumpama ini akan dijadikan taqwim SAR Kg. Salimandut pada masa-masa akan datang sebagai medium dakwah. Kepada yang terlibat menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak, pihak AJK SAR Kg. Salimandut merakamkan jutaan terima kasih.

Projek Amal

Assalamualaikum. Kepada muslimin dan muslimat, sempena Ramadhan tahun ini, Cahayafm melancarkan satu projek amal mencetak CD bacaan Quraan beserta tafsir dalam Bahasa Melayu seperti yang dikeudarakan oleh Cahayafm melalui Bacaan Quran 24 jam Cahayafm. Cetakan CD sebanyak 5000 keping akan diagih-agihkan kepada saudara baru di seluruh Sabah secara percuma. Untuk tujuan tersebut anda hanya perlu menaja kos pencetakan satu CD bernilai RM20.00 setiap satu. Hasil tajaan sebahagiannya akan disumbangkan ke SAR Kg. Salimandut untuk membina beranda Masjid Kg. Salimandut yang akan dijadikan kelas sementara SAR Kg. Salimandut sebelum bangunan kekal dapat dibangunkan. Untuk tajaan dan sumbangan membangunkan projek ini, sila masukkan terus ke akaun SAR Kg. 

Akaun SAR Kg. Salimandut, Tandek, Kota Marudu
10016010085807 Bank Islam 

Sila klik link SAR Kg. Salimandut, Tandek, Kota Marudu | Kongsi kepada rakan-rakan FB anda sebagai tanda sokongan http://www.facebook.com/pages/Sekolah-Agama-Rakyat-Kg-Salimandut-Tandek-Kota-Marudu-Sabah/123244254456699


Link bacaan quraan 24 jam cahayafmhttp://quraan24jamcahayafm.blogspot.com/http://alquran.cahayafm.net/



Jumaat, 20 Julai 2012

Tuntutan Mualaf


Kami warga mualaf Sabah mahu menyatakan tuntutan kepada kerajaan Malaysia khususnya JAKIM, agar membuka salah satu pusat latihan dakwah sedia ada sebagai pusat latihan khusus untuk para mualaf tanpa mengenakan syarat, kelayakan akademik dan had umur sebagaimana fungsi PLDK di awal kewujudannya dulu. 
Sebagai tanda sokongan terhadap tuntutan ini, kami berharap agar saudara muslimin dan muslimat me'LIKE' page ini.

 — 

Sabtu, 30 Jun 2012

Perkongsian




MJasni AShukri atau Rumputt. Saya mengenali beliau melalui alam MAYA. Ketika itu beliau sedang ke udara di sebuah radio online dipanggil Ponetfm. Saya terpanggil untuk mengenali beliau lebih dekat kerana ada sesuatu yang saya lihat boleh dipasar untuk dakwah masa itu. Cuma, beliau tidak perasan. Pertemuan pertama di dataran Bengkoka bersama beberapa rakan lain, menguatkan lagi naluri bahawa saya boleh berbuat sesuatu terhadap ilmu dan kemampuan beliau. 

Antara kata-kata yang saya utarakan pada beliau pada waktu-waktu pertemuan, “Kamu bukan batu yang tidak berharga tapi, bagi saya kamu adalah sebutir permata, sama ada kamu percaya atau tidak, satu masa kita akan bersiaran di hotel bersama orang kenamaan”. Beliau tersipu masa itu, namun saya yakin saya boleh melakukannya dengan izin Allah, berdasarkan pengalaman. Kini, ia sudahpun berlaku.


Kita sering mendengar rungutan dan kekecewaan dalam pelbagai bidang. Sedar atau tidak, persainganlah menyebabkan kita gagal memiliki apa yang kita impikan. Lantas, hilang rasa keyakinan diri. 
Kemudian, terasalah seperti dunia ini tidak adil pada kita. Bukan itu sahaja, macam-macam lagi anggapan negatif datang membaluti fikiran dan jiwa. Kebuntuan sebegini perlu dikikis dan dibuang untuk mengangkat diri kita menuju destinasi mengenal diri sebelum mencipta satu demi satu kejayaan hatta kejayaan yang dirasakan mustahil. 
Kami bersedia kongsikan bagaimana melepasi tali yang mengikat potensi diri anda.Bagaimana, bila dan di mana? Akan kami war-warkan nanti.








Isnin, 25 Jun 2012

Bobolian Masuk Islam | Pawang Masuk Islam | Kg. Salimandut, Tandek


Dadus binti Pamaju lahir pada 12.5.1925 dan kini berusia 87 tahun. Beliau adalah antara Bobolian yang sekian lama menjadi rujukan dalam hal perubatan masyarakat Dusun Kimaragang Tandek. Kemampuan beliau membaca mantera dalam ritual pengubatan selama 3 hari 3 malam merupakan kebiasaan baginya. Bukan itu sahaja, beliau bahkan telah melahirkan anak murid yang turut sama membantu beliau dalam mana-mana upacara penganut Pagan. Akhirnya, pada tanggal 23 Jun 2012 bersamaan bulan Syaaban, selepas solat Isyak beliau memeluk Islam. Katanya, sejak sekian lama dia telahpun mengetahui bahawa Islamlah agama benar. Sebelum pengislamannya, telah beberapa kali beliau menyatakan hasratnya memeluk Islam kepada cucunya. Katanya, ”uruskan pengislaman saya sebelum saya sakit kuat”.

Rabu, 20 Jun 2012

Sogokan



Adalah tidak wajar jika mana-mana pertubuhan atau persatuan atas nama Islam tidak mahu duduk semeja atau bekerjasama dengan mana-mana pihak jabatan agama, demikian jugalah sebaliknya. Namun, apa yang berlaku kini, persatuan-persatuan atau pertubuhan hanya dilibatkan pada waktu-waktu tertentu saja. Seharusnya, mana-mana pihak atau badan-badan agama yang mendapat peruntukan wajar menyalurkan bantuan kepada persatuan atau pertubuhan mengikut kuasa yang diberi agar kelompok-kelompok ini boleh dan mampu melakukan sebarang aktiviti di peringkat mereka. Apalah ertinya pertubuhan atau persatuan yang ada jika tidak dijadikan rakan pasukan oleh jabatan agama.
Berita lanjut; http://www.suaramualaf.com/

Sabtu, 16 Jun 2012

Khamis, 7 Jun 2012

Menaja Pelajar

Assalamualaikum. 

Kepada warga Kota Marudu dan Pitas khususnya belia dan beliawanis lepasan SPM yang tidak dapat menyambung pelajaran ke mana-mana institusi atau tingkatan 6 bawah, pihak SAR Kg. Salimandut bersedia menaja beberapa orang dalam kalangan mereka untuk menyambung pelajaran ke sebuah pondok di Kedah ( pondok Nurul Ihsan. Kokdiang Kedah ),selama tempoh 1 tahun atau mengikut kecepatan peningkatan ilmu pelajar.

Tiket perjalanan pergi dan balik dan wang poket akan disediakan pihak SAR Kg. Salimandut. Sehabis belajar di pondok ini, pelajar akan berkhidmat di SAR Kg. Salimandut. Sesiapa yang berminat sila hubungi 019-8827449 atau SMS dengan kadar segera.

Rabu, 6 Jun 2012

Kisah Orang Dakwah?



Mohd. Arabi Abdullah, nama sebenarnya Saimon Petrus pernah mengkristiankan beberapa orang Islam di Sarawak. Dipendekkan cerita, berdasarkan pengalaman dan kemampuan beliau dalam dunia dakwah, akhirnya beliau dikerah ke pedalaman Sabah, di daerah Keningau untuk berdakwah. Beberapa waktu selepas itu, beliau ditemani seorang sahabat  seperjuangan dari semenanjung. Menurut Arabi, datang sahabat ini bukan atas tiket arahan sebagaimana beliau. Tapi, itu tidak menjadi persoalan kerana fokus utama adalah dakwah.

Mereka ke hulu dan ke hilir. Berjumpa orang-orang kampung dalam keadaan berjalan kaki, kekadang menumpang kereta-kereta balak. Kemudian, tidur di rumah-rumah panjang  di samping melihat dan merasai pelbagai sikap dan kepercayaan  masyarakat pedalaman. Namun, kata Arabi Abdullah, bukan semua sahabat dan kawan kita benar-benar tulus dalam bab-bab memberi laporan.  Akhirnya, watak-watak utama umpamanya akan hilang, terhakis oleh ketidakjujuran. Sementara watak-watak sampingan pula menjadi watak utama. Itu ulasan Arabi terhadap rakannya dahulu. Beberapa pengalaman dakwah di pedalaman Sabah yang ditulis rakannya itu menurut Arabi tidak benar kerana bukan sahaja mematikan watak-watak utama kisah bahkan menghakmilik watak yang bukan wataknya.

Masih berkisar orang yang sama. Haji Adnan turut mengingatkan kepada saya. Kata beliau “Nazri, berhati-hati”, tanpa lanjutan kata. Akhirnya, saya temui maksud kata-kata itu. Rupanya,  manusia itu  pencedok kisah-kisah dakwah mereka. Watak-watak utama kisah akan jadi miliknya=menipu.

Lain kisah. Seorang haji dari semenanjung datang berjumpa saya di awal tahun 2000-an. Waktu itu, dia belum bergelar dato. Gara-gara mulut manisnya, sehingga kini saya berhutang janji dengan beberapa orang individu di Ranau.  Dia beriya-iya meminta tolong dengan saya.  Saya ingat lagi katanya waktu itu: “ Nazri, tolong cari anak-anak yatim untuk kita terbangkan ke KL untuk terima sumbangan Koperasi……….”. Setahu saya, koperasi ini milik beliau. Saya pun mencari anak-anak yang dimaksudkan. Tiba masa, saya tanyai dia dan dengan selamba dia beri alasan memalukan. Sangat licik. Perbuatannya meletak nama saya menjadi orang penting dalam koperasinya rupanya ada udang sebalik batu. Akhirnya, bukan saya sahaja, dengan nama anak-anak yatim sekali dia peralatkan. Beberapa waktu, barulah saya mendapat sebab mengapa dia peduli dengan nama-nama Sabahan waktu itu. Saya tidak menyangka dia jaja nama kami dan berurusan dengan salah seorang menteri Sabah berasal dari Ranau. Saya jumpa menteri ini dan benar, itulah kejadiannya.

Si pencedok watak dan haji yang kini sudah berpangkat dato, agak sama watak luaran mereka. Kedua-duanya cenderung berserban jubah. Akhirnya, bukan nama dan bukan kisah sahaja yang diperalatkan tapi dengan pakaian sunnah sekali mereka peralat. Pengalaman saya dijadikan ‘alat’ bukan setakat 2 kali, bahkan berkali-kali. Mereka juga datang dengan watak hampir sama seperti dua manusia ini. Benar-benar mencemar pakaian nabi. Pinta saya tidak banyak. Berhenti menipu dan datangi mereka yang sudah kalian tipu. Mohonlah kemaafan.





Ahad, 20 Mei 2012

Wakaf



[Ainon Mohd. Laporan kewangan "Projek PengIslaman Saudara di Pedalaman Sabah": Rekod duit dalam uncang kita sekarang RM62,813. Jumlah yang sudah dikeluarkan adalah RM38k untuk membiayai Misi I - VI. Baki dalam uncang: RM24,813. Jumlah yang sudah memeluk Islam sejak Misi I bermula pada November 2011 adalah 114 orang. Misi ke-VII akan dijalankan pada 27 Mei - 6 Jun 2012. Tag: Ustaz Mohd Fadli Yusof.]

Hampir 7 bulan Projek Pengislaman saudara di Pedalaman Sabah yang dibuat saudara Mohd Fadli Yusuf melibatkan beberapa kampung sekitar daerah Keningau meliputi beberapa mukim seperti Nabawan, Sapulut, Salung dan Pagalungan.  Jika menurut laporan perenggan di atas, dalam masa hampir 6 bulan, 114 orang telah diislamkan beliau.  Kerja dan usaha gigih beliau ini cukup mulia serta patut diberi sokongan semua pihak. Namun, dalam usaha seperti ini, tentu akan berlaku beberapa perkara biasa dan penting melibatkan pihak-pihak lain misalnya pewakafan tanah dan seumpamanya yang jika tidak diurus dan ditangani dengan cara yang wajar akhirnya bakal menjadi masalah besar kepada waris pewakaf itu sendiri. Hal seperti ini kerapkali berlaku sehingga penyelesaian di hujungnya melibatkan perundangan.  Bagi mengelak perkara  seperti ini berlaku, seyogia  beberapa perkara di bawah diberi perhatian oleh saudara Mohd. Fadli Yusuf :-

1.    Pemberi wakaf hendaklah diberi kefahaman sedalam-dalamnya  tentang wakaf, kebaikannya serta keberuntungannya. Makluman serta kefahaman ini bukan saja diberikan kepada pewakaf, bahkan perlu sampai kepada waris-waris pewakaf agar tidak berlaku pertindihan atau salah faham yang akhirnya menimbulkan tuntutan waris-waris berkaitan terhadap harta wakaf tersebut sebagaimana pernah berlaku sebelum ini.   Selain saudara Mohd. Fadli Yusuf sendiri, pihak  JHEAINS juga disaran agar sama-sama memberi kefahaman berkaitan perkara ini kepada pemberi wakaf.

2.    Semua pengislaman yang dibuat hendaklah didaftar segera kepada pihak JHEAINS untuk membolehkan pihak berwajib memberi perlindungan jika berlaku pertembungan pengurusan agama, terutama sekali melibatkan kematian, perkahwinan, perceraian,  tuntutan harta dan seumpamanya. Perkara ini juga dikenalpasti sering berlaku. Kesannya, akan memberi  salah tanggap masyarakat bukan Islam  terhadap Islam, hanya kerana ketidakfahaman.

3.    Ketiadaan daftar Islam bagi mana-mana individu, khususnya mereka yang diislamkan pada zaman USNO dan BERJAYA tidak boleh dianggap saudara baru meskipun mereka itu mengulang syahadah.


Tiga perkara SMS ini merupakan perkara-perkara yang cukup penting serta harus diambil perhatian oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan program pengislaman.  Jika tidak, permasalahan ini akhirnya hanya akan membebani para saudara baru.

Terakhir, SMS ingin bertanya, daripada jumlah 114 orang yang diislamkan, berapa orang yang telah mendapat biaya Pusat Zakat Negeri Sabah berupa wang dan pendidikan sebagaimana sebelum ini PZS turut terlibat sama dalam membiayai mereka? Juga, daripada jumlah 114 orang ini, sudah berapa  orang  yang telah diproses pendaftarannya oleh pihak JHEAINS? Sudahkah saudara Mohd Fadli Yusuf mengurus daftar pengislaman mereka?

Rabu, 11 April 2012

kerjasama

Khamis, 5 April 2012

TOLONG JUJUR

SMS mulakan tulisan kali ini dengan permintaan; ‘TOLONG JUJUR’ pada SMS yang sekian lama bercakap isu mualaf di Sabah secara konsisten, sementara yang lain cakapnya musiman bagai musim buah durian. SMS terpaksa mengangkat bakul sendiri. Inipun bukan menjual durian di tep-tepi jalan. Jika ada sesiapa yang memberi cop menggunakan ilmu tasauf, mengupas dengan ayat Quran dan hadis, maka terpulanglah pada anda. Namun, pasti dan benar, setiap manusia tidak terlepas dari timbangtara akhirat. Sejuta kali ‘kau’ beralasan dan berselindung menggunakan bahasa tasauf yang entah berapa lapis di dunia ini, suatu masa baunya terhidu juga. Kalau ‘kau’ terlepas di sisi manusia, biarlah Allah mengadili kita kelak, kerana Dia yang Maha Pengadil. Kenyataan kali ini untuk SMS dan mereka yang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi SABAH. Barangkali limpahan pujian, sanjungan dan penghargaan terhadap kerja-kerja ini justeru telah melahirkan bibit-bibit taksub . Meski perkara ini diperlukan untuk menguatkan semangat perjuangan khusus untuk mereka yang terlibat tapi jangan kita lupa, menegur dan memberi nasihat kepada mereka juga perlu kerana kita tidak mahu orang-orang yang bekerja di jalan ini, terbuai sehingga lena atas pujian-pujian. Suatu kesilapan besar andai kita biarkan tokoh-tokoh seperti ini terbabas dan mabuk dalam perjuangan, sebagaimana yang pernah berlaku dalam jemaah ARQAM dahulu.


Bercakap tentang mualaf dan permasalahannya, kalau di Sabah, SMSlah pendahulunya. Meski yang lain punya pertubuhan dan persatuan atas nama mualaf, namun sehingga hari ini mereka tidakpun mempamerkan suatu wadah sama ada menerusi blog, web dan FB dan sebagainya kepada khalayak untuk tujuan perkongsian, atau barangkali SMS tidak menjumpainya. Suatu ketika, di awal pembongkaran isu mualaf, SMS pernah di’hentam’ kumpulan manusia dan individu yang duduk di tampuk agama. Waktu itu, tiada siapapun di antara penyedar-penyedar isu ini yang berdiri dan bersuara membenarkan isu yang SMS perkatakan ini. Adapun, hanya penyokong yang berdiri di belakang yang hanya meng’iya’ dan mengangguk betul, tanda ‘iya’ atau setuju? Syukurlah sekarang kita sudah ramai dan masing-masing sudah celik tentang hal ini. Apa yang cuba SMS sampaikan, memulai perkara ini bukan semudah yang ‘kau’ sambung sekarang. Tambahan, SMS tidak punya ilmu agama setinggi ‘kau’ dan sampai sekarang SMS masih cuba memperbaiki diri. Barangkali pedas apa yang SMS katakan ini tapi, sama-samalah kita belajar menerima hakikat bahawa dalam perjuangan jangan yang manis-manis saja kita telan, sedang yang pahit-pahit langsung kita buang walhal, yang pahit itulah ubat dan ramuan paling mujarab.

SMS selalu sedar yang SMS ini bukan terbaik dan bukan terhebat dalam medan juang khususnya dalam memperkatakan isu-isu berkaitan mualaf. Anda tidak mustahil mengatakan yang SMS ini hanya tahu bercakap, berbuat bising dan heboh tentang isu-isu mualaf sedang tindakannya ke mana? Tidak mengapa dan kalau ini terjadi, anda tidak salah, sebab tidak kenal SMS. Ekoran rasa sedar inilah menyebabkan SMS tidak pernah memadam, menutup apalagi memblok mana-mana ulasan di dinding FB SMS kerana kesemua ulasan SMS terima sebagai bahan membina untuk SMS. Pun, kalau perlu membela diri, itu hak SMS. Ada juga ulasan yang SMS sengaja tidak membalasnya kerana ia bukan ditujukan khusus kepada tulisan SMS. Pada SMS, kita boleh saja bertukar pandangan, cadangan hatta mengkritik kerana itu sebahagian yang dianjurkan agama. Seperkara yang kurang elok, apabila kita hanya tahu mengulas tetapi tidak mengakhirkan ulasan dengan panduan dan jalan penyelesaian. Jika mengkritik, sebaiknya khususkan nama yang mahu dikritik, bukan kritikan umum yang menjadikan para pemaklumbalas lain terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal bicara. Sikap seperti ini melambatkan proses perkembangan pemikiran di kalangan kita. Selain itu, kesilapan membuat tanggapan juga selalu mengubah kebaikan menjadi buruk .


Barangkali kesemua individu dan persatuan yang berjuang atas nama mualaf sudah perlu mengadakan pertemuan segera. Untuk tujuan ini, Suara Mualaf Sabah ( SMS ) menawarkan diri sebagai pengantara. Justeru terlalu banyak ruang untuk diperkatakan tentang mualaf, maka dalam pertemuan itu cukuplah satu agenda iaitu MUALAF. Kemudian nanti kita lebarkan pembicaraan berdasarkan pengalaman masing-masing.


NOTA;

Kepada mereka yang melalui proses mualaf, sila bagi input








Khamis, 29 Mac 2012

Kemuncak Jawaban


SAR Kampung Salimandut merupakan kemuncak jawaban permasalahan mualaf yang sekian lama menjadi isu utama tulisan dan bicaraan Lebon Botong@ Nazri Abdullah. Selama bertahun, beliau menyuarakan isu mualaf yang tidak berpenghujung. Pengalaman demi pengalaman bersama mualaf dari segenap ceruk rantau Sabah, akhirnya menoktahkan permasalahan mualaf ini dengan pewujudan pusat pendidikan. 

Atas kesedaran ini SAR Kampung Salimandut dibangunkan di tapak bergeran milik Botong Anjuk, ayah kepada Lebon Botong. Meskipun demikian, ia tidak lebih dari sebuah igauan andai tiada pihak yang tampil memberi sokongan. Muslimin dan muslimat, di mana saja kalian berada, jawatankuasa sekolah merayu agar kita bersama-sama membangunkan sekolah ini. Kalian semua dialu-alukan membuat sumbangan dalam bentuk material seperti bahan mentah untuk binaan bangunan atau wang ringgit.

Semua sumbangan tuan-tuan bolehlah disalurkan menerusi akaun sekolah ini sebagaimana telah kami paparkan sebelum ini. Semoga sumbangan tuan-tuan bakal menjadi saham akhirat, kelak.

Rabu, 21 Mac 2012

SAR Kg. Salimandut

Alhamdulillah, hasil sokongan dan sumbangan para penyumbang prihatin yang turut mahu melihat terbangunnya pusat pendidikan orang-orang mualaf Sabah, maka secara rasmi kami maklumkan bahawa akaun SAR Kg. Salimandut Tandek, Kota Marudu kini bukan lagi menggunakan akaun peribadi seperti yang dipaparkan beberapa waktu sebelum ini. Serta –merta kini, akaun peribadi atas nama MOHD. NAZRI BIN ABDULLAH dibatalkan. Selepas ini, mana-mana pihak yang mahu menyumbang bolehlah disalurkan terus ke akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU, NO AKAUN: 10016010085807 di BANK ISLAM, seperti terpapar dalam gambar.

Kepada muslimin dan muslimat yang secara lansung atau tidak langsung membantu merealisasikan kewujudan akaun ini, saya mewakili pihak pengurusan sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda. Sesungguhnya kami tidak dapat membalas kebaikan kalian melainkan Allah jugalah yang layak menilai dan membalasnya .

MAKLUMAN;
Semua urusan berkaitan sumbangan hanya menggunakan nama akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU. Kami tidak melantik mana-mana orang tengah, agen atau wakil sekali gus menafikan urusan mengutip derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak, sama ada menggunakan nama sekolah, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Sebarang keraguan atau ketidakjelasan berkaitan hal ini, boleh dikemukakan kepada kami menerusi talian 019-8827449.

Jumaat, 9 Mac 2012

Peristiwa





Sudah sebulan lebih SAR Kg. Salimandut mendapat kelulusan pihak JHEAINS. Sehingga kini, pihak pengurusan masih dalam proses mengumpul dana untuk membuka akaun sekolah kerana sumbangan yang diterima setakat ini masih belum mencukupi. Usaha kedua , membuat tabung sumbangan yang akan disimpan di kedai-kedai sebagaimana pihak lain melakukannya. Namun, ia tersekat seketika waktu apabila pelekat yang sudah siap ditempah di sebuah kedai di Kota Kinabalu, mengalami perubahan warna dan tulisan sehingga tidak menepati ciri-ciri asal sebagaimana dikehendaki pihak pengurusan.

Baru berlalu. Saya bersama Datuk Setiausaha Agung USIA ke Kota Marudu. Ada jemputan Majlis Sambutan Maulidurrasul di sebuah sekolah. Tiba di sekolah, saya terlihat seorang manusia yang sebelum ini cukup saya percaya. Mulanya, dia tersenyum melihat kereta yang kami naiki menghampiri perkarangan. Saya buka pintu kereta dan dia bagai terkejut melihat saya berada di depan matanya. Tingkahnya mengundang naik suhu darah saya. Terlihat juga hitam pekat kemerahan di mukanya apabila melihat saya turun dari kereta. Entah perasaan apa yang datang ke saya tika itu. Rasa mahu meneriak dan membalingnya dengan kamera berbaur dan bermunculan dalam hati. 

Pertemuan tidak dirancang dengan manusia bertopeng ini menyorot ingatan saya ke Pak Lah. Terngiang peristiwa ketika Pak Lah memberi satu hadiah berbentuk kerja kepada saya atas nama mualaf. Harapannya, agar itu dapat menanggung kos-kos program mualaf termasuklah membina sekolah mualaf, seperti yang sedang saya perjuangkan ketika ini. Jumlah kerja tersebut bagi saya terlalu besar kerana selepas ditolak pelbagai kos, ia tidak bakal membebankan mana-mana pihak. Andai ia terlaksana seperti pelan asal, tentu keadaannya berlainan sekarang. Pihak pengurusan SAR barangkali tidak perlu meminta pertolongan kepada mana-mana pihak sehingga mewujudkan kotak sumbangan dan seumpamanya. Sungguhpun mohon sumbangan itu tidak salah, tapi jauh di sudut hati saya masih ada parut kesal. Saya yakin bongkaran kisah ini nanti, tentu ada pengajarannya.

Saya menikmati Majlis Sambutan Maulidurrasul hari itu dengan hati terusik. Masa beredar. Kemudian, saya dikilan pula dengan pengumuman Tokoh Maal Hijrah Sekolah hari itu. Walaupun pengumuman itu berjaya menggamatkan suasana yang menanggung sarat guru-guru dan para murid, ia sedikitpun tidak dapat mengembalikan perasaan percaya saya kepada manusia ternobat tokoh itu. Biar dia dicanang sebagai manusia yang banyak menabur jasa kepada sekolah tapi di suatu ruang lain, dia juga telah hancurkan harapan para mualaf mendapatkan sekolah dan pendidikan. Kasihan kalian yang menepuk tangan untuknya di atas pentas. Hidup-hidup kalian ditipunya! Tak apalah. Kalian tidak tahu berapa nilai perjanjian yang pernah kami buat bersaksi peguam. Pun, itu sudah saya buang ke tong sampah. Tokoh yang kalian sanjung itu, kini hidup bergaya dengan Ninja King hasil penipuannya yang dialas tikar sejadah dengan beratap bumbung Masjid Kota Marudu. Waktu itu, lidahnya lembut berkata. Saya ditatangnya bagai anak kecil yang bawa tuah padanya. Walau sifatnya sudah dapat saya cium sejak awal, namun demi seorang sahabat dan persaudaraan Islam, saya tidakkan semua bayangan hitam di mata dan bisikan hati langit tika itu. Cukup dulu cerita ini. Ia terlalu panjang untuk diceritakan.

Itu hanya satu sudut peristiwa di hati saya. Di suatu sudut lain, hati saya tersentuh dengan sikap keluarga yang bukan Islam tetapi prihatin tentang SAR yang sedang diusahakan. Nong Tuyundo. Nama ini bukan asing pada saya. Dia, selain mengambiltahu keperluan membuka akaun, turut mempromosikan FB SAR Kg. Salimandut ini kepada sahabat-sahabatnya. Malu dan terharu saya menilai sikapnya. Namun, saya tahu kenapa dia melakukan itu. Meski kami tidak seagama, tapi kami sekeluarga. Sikapnya membuatkan saya khatam dengan pelbagai kitab ragam manusia. Dulu, anak lelakinya menarbiah jiwa saya sehingga kisah antara kami saya selit dalam blog Suara mualaf Sabah. Tingkah anak-anaknya menyebabkan saya menjadikan mereka ‘guru’ saya. Mengapa tidak? Anak-anak kecilnya itu begitu mencintai Islam. Meski mereka belum mengisytihar rasmi agama mereka sebagai Islam, tapi mereka berpuasa, bersolat dan belajar mengaji hingga kini. Terbaru, saya jumpa anak ini ketika sambutan Mauliddurrasul di sekolah. Siap bersongkok, bersampin dan berbaju Melayu juga turut berarak, berselawat dan mendengar ceramah. Anak-anak Nong Tuyundo, membesar di mata saya dan setiap limpasan kehidupan mereka menarbiah saya berkali-kali. Waktu ini, sekali lagi ibu mereka pula menarbiah. 

Kisah dan rasa di atas cukup bagi saya terajar pelbagai ilmu. Ia menguatkan keyakinan saya bahawa SAR Kg. Salimandut mesti dibangunkan dengan apa cara sekalipun. Pun, jika ia tidak berjaya di tangan saya, saya percaya akan muncul tangan-tangan lain yang akan menyambungnya dari zuriat Sang Mualaf Kimaragang. 

Inti dari kisah ini, boleh kita kongsikan sebagai pengajaran; Islam rosak kerana kita sendiri yang tidak menjaganya dengan sempurna. Islam dipagar dengan pagar daerah, negeri dan bangsa. Pihak-pihak yang diharapkan pula berlaku tidak amanah. Hilang pertimbangan kerana sikap gila dunia.

Watak-watak yang saya paparkan. Seyogia, pembacalah yang memikirnya sendiri. Sengaja saya tidak simpulkan perkara ini kerana saya percaya pembaca akan memahami. Kerana itu, saya tidak mengakhiri tulisan saya kali ini dengan kata-kata akhir sekali.

Isnin, 5 Mac 2012

Isnin, 27 Februari 2012

Suara Mualaf Sabah diangkat sebagai sebuah badan NGO berdaftar


Nazri Abdullah



Petikan kenyataan Pengarah ( JAKIM ) Sabah untuk mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras KAFA Peringkat Kebangsaan bagi membincangkan dan mengenalpasti usaha-usaha ke arah meningkatkan dan meyelaraskan KAFA seluruh negara  [Sabah Times keluaran Isnin, 27 Februari 2012]  amat disambut baik bahkan begitu juga kewujudan ahli jawatankuasa peringkat negeri.

Suara Mualaf Sabah sukacita mencadangkan supaya bakal-bakal ahli jawatankuasa berkenaan bukan saja dianggotai badan-badan agama, tapi juga dilantik dari kalangan aktivis-aktivis NGO serta penulis blog dan web berdasarkan pengalaman mereka.  Begitu jugalah dalam perbincangan berkaitan dakwah. Adalah penting membawa masuk orang-orang berpengalaman serta terlibat dalam kemasyarakatan untuk tujuan membantu khususnya mendapatkan pandangan dari sudut mereka.  Amat mengecewakan apabila wakil-wakil persatuan dan  pertubuhan apalagi penulis maya tidak terlihat langsung kelibat mereka dalam satu-satu perbincangan.  Walhal,  bukan semua mereka tidak punya pemikiran yang baik dalam membincangkan isu-isu berkaitan. Justeru, cetusan ini wajar diambil perhatian oleh jabatan agama.


Jika Suara Mualaf Sabah sebelum ini tampil sebagai media maya yang membawa isu-isu mualaf Sabah, dan alhamdulillah beberapa isu yang SMS kemukakan diambil perhatian oleh pihak jabatan agama , tiba masanya Suara Mualaf Sabah diangkat sebagai sebuah badan NGO berdaftar. Dalam waktu terdekat, pembentukan ahli jawatankuasa bakal dibuat untuk tujuan pendaftaran ke ROS.








Khamis, 23 Februari 2012

SAR Kg. Salimandut





Selaku Pengerusi SAR Kampung Salimandut Tandek , Kota Marudu, saya dengan rasa rendah diri, memohon kepada muslimin dan muslimat, para ahli koperat serta badan-badan NGO yang bermurah hati agar bersama-sama memberi sumbangan dalam bentuk kewangan, alat bantu mengajar sekolah, buah fikiran dan tenaga kepada SAR ini yang dibina khusus untuk anak-anak dan saudara-saudara mualaf di kawasan Tandek, Kota Marudu. Mudah-mudahan, sumbangan itu bakal melancarkan pelaksanaan kelas dan pengajian yang dirancang dalam masa terdekat .

Sebagai makluman, Sekolah Agama Rakyat ini baru saja diluluskan pendaftarannya di bawah JHEAINS dan belumpun wujud sebarang kemudahan melainkan sebuah masjid yang letaknya di Kg. Salimandut sekali gus berfungsi sebagai kelas sementara sehinggalah bangunan di tapak seluas 3 ekar terbina. Pun, kami masih dalam rangka mencari dana untuk membangunkan bangunan sekolah ini.

Atas sebab ketiadaan bajet, akaun sekolah setakat ini belum dapat diwujudkan. Sebagai alternatifnya, sumbangan bolehlah di salurkan melalui akaun saya; MAYBANK- MOHD. NAZRI BIN ABDULLAH -160072482011. Meskipun cara ini agak janggal dan bertentangan, namun, inilah pilihan yang ada pada kami setakat ini. Jika selepas ini wang deposit untuk membuka akaun sudah cukup, serta-merta akaun peribadi ini akan bertukar ke akaun khas. Perkara ini akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Kepada penyumbang yang bermurah hati, sila mesej nama dan jumlah sumbangan anda selepas membuat sumbangan ke akaun tersebut untuk kami bawa ke mesyuarat khas pengurusan. Sebarang pertanyaan, sila hubungi 019-8827449 langsung kepada saya.

Sama-sama kita berdoa moga usaha mendirikan SAR di Tandek ini dipermudahkan.

Selasa, 21 Februari 2012

SAR Kg. Salimandut





Syukur kepada Allah. Akhirnya pendaftaran Sekolah Agama Rakyat Kg. Salimandut, Tandek, Kota Marudu, Sabah diluluskan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Kepada muslimin dan muslimat, pihak kami mohon bantuan merekacipta logo untuk sekolah ini. Berikut disertakan sedikit latar belakang SAR untuk memudahkan anda mendapat gambaran logo rekaan itu nanti:-
1. Bangunan sekolah Agama 
2. Masyarakat persekitaran sebahagian besarnya terdiri daripada mualaf
3. Kombinasi warna hijau, putih dan hitam
4. Penempatan dikelilingi padi/ masyarakat petani/ kaki bukit
5. Kitab al-Quran, sumber rujukan
6. Perkampungan di kaki bukit
7. Kalimah Syahadah

Seyogia jika tujuh unsur di atas dicantum menjadi logo berukuran 1499 x 977 px. Bagaimanapun, anda boleh mencadangkan rekabentuk logo lain berdasarkan ilham anda sendiri. Kami mohon agar perincian setiap logo turut disertakan bersama.

Anda boleh menghantar lebih dari tiga bentuk logo rekaan sendiri. Logo yang menepati pilihan jemaah tadbir sekolah ini bakal dijadikan logo tetap sekali gus menjadi tanda mercu SAR ini. Sumbangan idea anda sangat kami perlukan, justeru penyertaan ini dibuka kepada semua muslimin dan muslimat.
Semoga bantuan yang diberikan bakal menjadi saham akhirat anda.

Khamis, 16 Februari 2012

SAR Mualaf

Isnin, 6 Februari 2012

Jumpa Wali ?

 Datuk Sairin Karno

 Datuk Tawfiq Titingan
 
Datuk Masidi Manjun


Dalam perjalanan ke Merbuk, selepas bertemu Pak Su Mid, Ustaz Abdul Halim Abas melontarkan persoalan; “Ketika zaman USNO, tokoh politik menjadikan Tuan Guru Hj. Muda, Lahad Datu sebagai rujukan dan tempat nasihat kerohanian mereka. Selepas kematian Tuan Guru Hj. Muda, Sabah kehilangan tokoh seperti beliau”. Kami di belakang kereta diam melayani pemandangan melalui tingkap kereta yang dipandu Hj. Khobil. 

Destinasi kembara selama 3 hari di kaki bukit Haji Omar, Merbuk. Daerah ini kaya dengan sejarah. Masih kelihatan tapak-tapak sejarah yang sebahagiannya kini menjadi tapak sawah padi. Sepanjang waktu kami dihidang pelbagai kisah dan sejarah Islam yang sebahagiannya insyaAllah, boleh diterjemahkan ke Sabah.

Semalam di rumah Ustaz Tarmizi, saya lontarkan beberapa harapan dan cadangan agar guru-guru pondok yang ramai di semenanjung ini agar berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk kembangkan rangkaian pondok mereka ke 2 buah negeri ini, ringkasnya bercawangan. Bagi orang-orang soleh idola mereka adalah para pencinta dan pemburu cinta Allah. Walau di manapun mereka berada, kita sepatutnya mencari mereka agar pemikiran dan jiwa kita terisi dengan petunjuk dan ilmu.

Pacuan kereta Vios selaju 120 kilometer sejam, menjadikan perjalanan kami agak pantas, sementara Ustaz Abdul Halim Abas terus ligat melontarkan pembacaannya terhadap dakwah di Sabah. Sejak dulu, inilah Ustaz Abdul Halim Abas yang saya kenali. Pada akhir nota beliau di serambi petang Teluk Air Jernih ketika ini, ada saranan supaya Datuk Masidi Manjun, Datuk Tawfiq Titingan dan Datuk Sairin Karno datang menziarahi Pak Su Mid. Saya turut disaran beliau agar menghubungi mereka. Kenapa  perlu mereka berjumpa Pak Su Mid ? InsyaAllah, ia akan terjawab ketika mereka mengambil ruang dan kesempatan menemui sendiri Pak Su Mid. Sayugia mereka berusaha  mendapatkan ruang dan waktu tersebut  sebelum PRU ke-13.

Jumaat, 3 Februari 2012

Sabtu, 14 Januari 2012

Mualaf



" 4 tahun lalu, saya bekerja di Singapura. Disebabkan kesalahan ringan, saya telah ditangkap oleh polis Singapura  dan merengkok dalam penjara selama 2 bulan.

Ketika berada dalam penjara, salah seorang pegawai telah memberisaya sebuah kitab Islam dan kitab inilah menjadi teman saya sepanjang 2 bulan. Saya baca dari bab ke bab isi kandungan kitab itu, dan semakin  banyak saya baca, saya semakin kuat" katanya.

Ketika ditanya, " kuat apa ?" Beliau menjawab, " saya semakin yakin dengan diri saya dan tenaga itu membuatkan saya semakin tenang. Saya yakin apa saja saya buat ketika itu. Akhirnya, saya memeluk Islam, semalam; 13 Jan 2012".  Ikuti kisah beliau seterusnya.

Selasa, 3 Januari 2012