Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Ahad, 26 Disember 2010

Murtad Di Sabah


Petang semalam, ekor berita Undang-undang  Murtad di Sabah  yang  dipaparkan sebentar  dalam berita terkini TV3 menguasai fikiran SMS. Rasa ingin tahu lebih lanjut tentang berita ini terbit semata-mata mahu mengesahkannya kerana  ia berkaitan  hal  yang SMS perjuangkan selama ini. Isu murtad; perkara yang kerapkali  SMS perkatakan  dalam mana-mana pertemuan  dengan pihak-pihak  berkaitan termasuk jugalah penulisan. Acapkali SMS ditempelak  justeru sebahagian kelompok Islam di Sabah tidak sependapat dengan SMS dalam memperkatakan isu  ini . Label  ‘tidak berhikmah’, ‘terlalu berterus-terang’ dan pelbagai istilah yang menunjukkan ketidaksetujuan, tidang asing bagi SMS. Terima kasih. SMS terima ia seadanya.

Alhamdulillah,  pagi ini berita   tentang  isu murtad  SMS dapatkan  dari Utusan Online . Benarlah, ia telah diperkatakan Pengarah JHEAINS, Datuk Amri A. Suratman (berita dilampir), orang yang selayaknya menjawab dan memutuskan.  Setelah puluhan tahun ia dibingitkan dan diperkatakan  pelbagai pihak, secara terbuka atau sebaliknya, akhirnya, disimpul dengan kenyataan akhbar ‘ Undang-undang Murtad di Sabah’. Pujian wajar diberikan kepada JHEAINS dengan kenyataan pengarahnya  kerana  ini  menunjukkan pihak mereka sudah punya pendirian dalam isu murtad.  Harapan SMS , moga usaha ini bakal bersambung dan berkekalan.

Syukurlah, Pusat Pemulihan Akidah Kinarut  dijangka siap pada pertengahan tahun 2011. SMS  yakin pihak-pihak berkaitan telah bersiaga dengan pengisian-pengisian  wajar dan sesuai untuk penghuni-penghuni pusat ini kelak. Sudah tentulah semua pihak jabatan agama negeri dan persekutuan telah atau bakal menggabungkan tenaga untuk memikirkan sekali gus menderaf modul-modul  berkaitan untuk menjadikan bakal-bakal penghuni pusat ini insaf, sembuh dan pulih sepenuhnya daripada keterpesongan mereka sebelumnya. 

Sebagai cadangan, tidak rumit kiranya, pihak JHEAINS  mengadakan pertemuan dengan para pemikir , pendakwah-pendakwah bebas, para blogger dan seumpama mereka  sekadar mendengar pandangan pelbagai sudut punca pemurtadan dan penanganannya, agar penawar yang benar-benar memberi kesan dapat dimurnikan lagi setelah mengambilkira pelbagai sudut; bermaksud, perawatan para penghuninya  bukan hanya mempraktikkan teori-teori  perawatan dalam kitab , malah mengambilkira kaedah-kaedah  rawatan lain selagi ia berfokus kepada penyembuhan dan paling penting tidak bertentangan dengan sumber hukum Islam.

Harus kita  ingat bahawa, pemurtadan yang berlaku khususnya di Sabah berpunca  dari pelbagai elemen penyumbang  selain  kejahilan . Setiap mereka  yang terjerumus  dalam  isu ini pasti  punya sejarah masing-masing.  Antaranya yang dianggap remeh tapi benar adalah perceraian.  SMS  bersedia berkongsi fikiran  dalam hal ini, bila-bila waktu.

Undang-undang murtad di Sabah

TAWAU 25 Dis. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) akan menguatkuasakan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan sebaik sahaja pusat pemulihan akidahnya di Kinarut siap pertengahan 2011.
Pengarah Jheains, Datuk Amri A. Suratman berkata, pada masa ini jabatan itu lebih menekankan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah berbanding mengambil tindakan undang-undang.

"Pelaksanaan undang-undang ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik untuk lima tahun akan datang," katanya kepada Bernama selepas menangguhkan Persidangan Pegawai-pegawai Kanan Jheains 2010, di sini malam tadi.

Isu saudara baru kembali ke agama asal sering menjadi bahan perbincangan pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan pada perhimpunan baru-baru ini, Usia Bahagian Ranau mendedahkan ratusan saudara baru di daerah itu kembali murtad.

Usia mendakwa antara punca saudara baru kembali ke agama asal ialah kerana mereka terabai dan tidak mendapat bimbingan sewajarnya tentang Islam selepas mereka menganut agama suci berkenaan.
Amri berkata, semua imam di Sabah akan telibat secara langsung untuk memberi penerangan dan kaunseling kepada masyarakat, khususnya saudara baru di kawasan masing-masing terutama generasi muda bagi memastikan mereka memahami undang-undang syariah.

Mengenai usaha dakwah, beliau berkata, Jheains akan memberi tumpuan kepada kawasan strategik dan luar bandar terutama kawasan yang mempunyai bilangan saudara baru yang ramai.
"Pegawai-pegawai dakwah kita akan memfokuskan kepada masalah ibadah. Perkara ini akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Persidangan itu antara lain membincangkan usaha mempertingkatkan pengurusan hal ehwal Islam melalui budaya kerja berasaskan prestasi dan berkaitan pelaksanaan undang-undang Syariah dan Dakwah.
- BERNAMA



Sabtu, 25 Disember 2010

Percikan Minda



Baru-baru ini, SMS  dihubungi pihak JAKIM Sabah melalui telefon dari salah seorang kakitangannya. Dalam perbualan itu, SMS maklum bahawa pihak JAKIM bakal mengadakan satu program dakwah berpusat di Kota Kinabalu.  Antara sasaran dalam program itu adalah saudara baru.  SMS diminta mereka untuk menghantar 5-10 orang saudara baru.  Sekadar memberikan nama-nama saudara baru yang wajar dihantar ke program seperti ini, tidak sulit. Tapi, untuk memastikan mereka sampai dan duduk mengikuti program itu, bukanlah mudah.  Berlegar di fikiran SMS  4-5 orang saudara baru yang baru memeluk Islam tahun 2010. Program ini tentunya sangat diperlukan  oleh mereka di samping bermanfaat untuk semua masyarakat Islam.

Barangkali, pihak berkaitan  wajar mengambilkira beberapa perkara sebagai penambahbaikan pengurusan program seperti ini.  Pihak SMS telah lama bergelanggang dalam kelompok saudara-saudara baru dan pengalaman ini boleh dikongsikan untuk kebaikan bersama. Setakat ini, kebanyakan saudara baru yang SMS temui  tinggal jauh dari Kota Kinabalu dan seperti orang lain mereka  perlu menguruskan periuk nasi mereka . Lebih jelas lagi, kebanyakan mereka hidup sekadarnya, kerja kampung  dan tidak mungkin dapat menyediakan kos tambang pergi balik ke Kota Kinabalu, lebih-lebih lagi dalam jangka waktu yang singkat.  Saudara-saudara baru yang ada di bandar atau ekonominya lebih mantap mungkin bernasib baik kerana tidak perlu bertarung fikiran memikirkan keutamaan keperluan dalam waktu yang sama.  Tumpuan mencari atau menambah ilmu mungkin sedikitpun tidak menggugat ekonomi mereka. Bahkan, mereka tiada alasan untuk tidak hadir ke mana-mana majlis ilmu.

Kalaulah  program ini dimaklumkan lebih awal, seminggu atau dua minggu sebelumnya, SMS masih sempat bergegas sendiri ke kampung-kampung bekaitan untuk memaklumkan perkara ini kepada saudara-saudara baru atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk memudahkan mereka sampai ke tempat program. SMS  sedikit kecewa sebenarnya hatta terfikir ,kalaulah SMS miliki sebuah bas besar, waktu itu juga SMS akan datangi para mualaf untuk dibawa ke program itu. Apa pihak berkaitan tidak nampak kancil SMS ini sudah ‘tua’ dan tidak mampupun mengangkat 5 orang dalam satu-satu  perjalanan? SMS sedikit hairan, mengapa program sepenting ini tidak diwar-warkan lebih awal,  walhal SMS selama ini mengintai-intai kalau-kalau terdapat program yang sesuai untuk saudara-saudara baru hadiri.  Ataukah, kehadiran SMS dengan saudara-saudara baru dari kampung hanya dijadikan sebagai pencukup ‘korum’ justeru dihubungi lewat tidak sampai 24 jam dari masa program bermula.

SMS tidak bermaksud menjadikan isu ‘masa’ atau ‘kos’ sebagai  alasan tidak setuju dengan cara pengurusan pihak berkaitan kerana SMS melihat Islam itu suatu yang wajar diperjuangkan walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun, kegagalan orang Islam merancang dan mengurus itu adalah antara penyumbang Islam lambat diterima oleh pihak bukan Islam, lebih-lebih lagi perancang dan pengurus itu di kalangan mereka yang mampu dan punya kuasa .

Sebelum ini, telah berkali SMS lontarkan perkara  seumpama ini dalam bentuk tulisan semata-mata untuk difikirkan bersama oleh umat Islam khususnya pihak berwajib.  Kalau mahu meluaskan dakwah, sudah SMS cadangkan agar kecualikan saudara-saudara baru ini  daripada kelayakan sijil dan sebagainya . Meskipun itu menjadi ukuran dunia, namun demi  kepentingan Islam, jika mereka melepasi  ilmu Fardhu Ain, berilah ruang  kepada mereka berada di  jabatan agama mengikut kemahiran yang ada.  Daripada pengalaman SMS, di kalangan mereka ada yang  berpengaruh, dihormati di kalangan masyarakat setempat malah mahir dalam perhubungan kemasyarakatan.  Mintalah  mereka ini berbuat apa  saja dalam hal-hal berkaitan, mereka mahir. Kalaulah mereka ini dijadikan agen dakwah sementara  para ustaz pula mengisi penerokaan mereka, pasti syiar Islam cepat sampai ke tengah-tengah  masyarakat pendalaman.

Khamis, 16 Disember 2010

Ahad, 5 Disember 2010

Kerjasama



Alhamdulillah.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih memberi peluang untuk saya menulis artikel gembira ini.

Pada hari Sabtu 4 Disember yang lalu, pihak Portal Islam Murabbi.Net telah memeterai Kerjasama dengan sebuah Stesen Radio Islam Online Pertama iaitu Cahayafm.net. Mungkin sudah ramai yang tahu akan kewujudan Radio Cahayafm.net ini. Oleh itu, saya ingin mengajak Ahli Usrah Murabbi.net untuk bersama-sama mendengar radio Cahayafm.net sambil layari Portal Islam Murabbi.Net

Kami juga ingin berterima kasih kepada Cahayafm.net kerana mengwar-warkan Murabbi.net di Radio rasmi mereka..Semoga Allah sahaja yang dapat membalas jasa pihak Cahayafm.net. Semoga Portal Islam Murabbi.net dapat dijadikan bahan untuk cahayafm.net menyebarkan dakwah di radio mereka

Semoga dengan wujudnya kerjasama ini dapat bersama-sama menyebarkan Dakwah Insyallah. Kami juga mengalu-alukan kepada mana-mana NGO serta mereka yang berminat untuk Berkerjasama dengan Portal Islam Murabbi.net


Sekian 

Terima Kasih

Mohamad Hilmi Bin Mohamad Ariffin
Presiden Portal Islam Murabbi.Net

Sabtu, 4 Disember 2010

Percikan Minda



Dalam beberapa waktu lagi tahun Hijriah bakal berganti. Dunia Islam yang dibawa Rasulullah SAW melebihi 1400 tahun mencatat pelbagai peristiwa sepanjang perjalannya sehingga hari ini. Bermula awal kenabian Rasul SAW sehingga kewafatan baginda, kemudian disambung oleh sahabat-sahabat ulung Rasulullah; Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Ali Radiallahu anhum, sejarah Islam terus mencatat pahit manis perjuangannya dan semuanya ini memberi pengajaran buat umat Islam kini. Gerakan-gerakan Islam dan orang perseorangan dalam memperjuangkan Islam juga sudah pasti ada catatan tersendiri. SMS tidak terkecuali dalam hal ini. Menyuarakan suara mualaf di Sabah, meski tidak menyeluruh, namun suara-suara itu dapat SMS rakam dalam penulisan atau dalam mana-mana penglibatan muzakarah SMS. Melalui pengamatan, didapati 100 individu yang SMS temui dan selami perjalanan hidup mereka sebagai mualaf, hampir 99% dari mereka mengalami permasalahan yang sama.

Segala lontaran SMS sama ada melalui tulisan atau ucapan dalam mana2 pertemuan dengan pihak berkaitan benar-benar telah SMS rumuskan. Teliti dan berhati-hati agar difahami benar oleh pihak kerajaan sekali gus dinilai oleh jabatan agama untuk tindakan selanjutnya. SMS tidak berniat sedikitpun menyinggung mana-mana pihak dalam hal ini melainkan menyatakan kebenaran. Justeru, SMS lebih rela menyatakan kebenaran sekalipun pahit. Sekalipun SMS dilontar dengan pelbagai tanggapan; Tidak berhikmah, tidak menjaga nama baik Islam, tidak profesional dan bermacam-macam sindiran. SMS terima sebahagiannya kerana di situ ada benar yang tidak dapat SMS sangkal. Namun, kebanyakan mereka cuma menganalisia perkara atau entri-entri yang SMS lontarkan menggunakan andaian semata-mata tanpa mendalami atau sekurang-kurangnya berinteraksi dengan SMS .

Menganalisis politik dan mata wang tidak sama halnya dengan menganalisis aqidah dan Islam. Politik boleh saja diramal mengikut pemikiran, logik dan sebagainya. Namun, ada ketikanya ramalan itu tidak tepat ketika ‘RM’ mengambil peranan. Permasalahan mualaf, sesiapapun dari kita boleh bercakap. Seperkara yang sering kita abaikan atau terlupa ambilkira dalam hal ini ialah; ada beberapa perkara yang sukar diungkapkan oleh umum kecuali seorang yang pernah melalui perjalanan hidup seorang mualaf. Semua gambar paparan SMS bukan sekadar hiasan semata tetapi, mereka itulah yang terlibat langsung dengan permasalahan yang SMS utarakan. Justeru, kepada anda yang tidak berasa senang dengan apa yang SMS paparkan, ingin sekali SMS mengajak mereka ke kampung-kampung dan tempat-tempat berkaitan dan biarlah anda bertanya sendiri; Apa benar lontaran SMS selama ini atau sebaliknya.

Kebelakangan ini, suara SMS melalui beberapa media mungkin mula diberi perhatian justeru pihak2 tertentu sudah mulai turun padang di samping mengambil tahu hal-hal berkaitan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kebajikan dan hak mualaf. 2 hal yang wajar diterima mualaf ini, mungkin tidak akan berkesudahan. Barangkali ada suara yang menyatakan mualaf kini tidak sama dengan mualaf dulu. Kini, mualaf bukan lemah. Mereka berilmu. Mereka kaya. Mereka mampu. Tidak perlu dibantu, dan sebagainya. Benar. Kita tidak nafikan kewujudan itu. Namun, itu bukan gambaran menyeluruh mualaf. Jika kesemua mereka sudah berkeadaan sedemikian, bagaimana pula nasib mereka yang SMS utarakan selama ini? Silalah baca entri-entri SMS bermula awal, kemudian rumuskanlah. Jika perlu, silalah berhubung dengan SMS. SMS sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk bertukar-tukar pandangan hatta bermusyawarah agar isu ini tidak lagi berlaku. Kenyataannya, sejak bergelanggang di pentas penulisan, hanya sekali SMS dijemput dalam seminar anjuran JAKIM. 

Frasa; “ Kenapa mereka ( para mualaf ) tidak berjumpa dengan pihak-pihak mereka?”. Inilah maklumbalas paling tidak layak dikemukakan malah memalukan. Dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan, sepatutnya merekalah yang wajar berjumpa dengan para mualaf . Carilah mereka ke pelusuk-pelusuk sudut hidup, khususnya di kampung-kampung. Apalah maknanya kereta berlogo jika hanya dijadikan tunggangan di jalan-jalan beraspal dan bertar? Jika perlu, apa kata, jika sediakan SMS sebuah kereta dengan kos minyak tiap-tiap bulan. Biar SMS yang mencari mereka dan menghantar permasalahan mereka ke tempat kalian? Tanpa gaji sesen pun, SMS sanggup dan bersedia.

Akhir sekali, mari kita sama-sama fikirkan kelompok-kelompok ini. Diislamkan kerana politik dan kerajaan suatu waktu dahulu. Sudah ramai di kalangan mereka ini dimurtadkan. Tiadakah setitispun air mata kalian untuk kelompok ini ? Sejarah mualaf di Sabah, tiada suku Berunai, Bajau, Suluk dan Bugis . Kenapa? Kerana mereka mewarisi Islam keturunan. Mualaf sinonimnya pada suku Dusun, Cina, Dayak dan Iban.