Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Rabu, 14 Januari 2009

Perhebatkan dialog jelaskan Islam


Oleh SITI AINIZA KAMSARI - ( Utusan Malaysia )

ANTARA kewajipan yang sukar ditunaikan oleh umat Islam adalah berdakwah kepada bukan Islam. Lebih-lebih lagi dalam menjelaskan kebaikan dan mempertahankan Islam apabila diserang oleh golongan bukan Islam.

Walaupun terdapat komuniti penduduk Islam yang berjaya sebagai minoriti dengan membentuk kekuatan mereka sendiri terutamanya di negara-negara Barat, namun sebahagian besar mereka tidak mengambil peluang menjelaskan mengenai Islam.

“Sebaliknya, mereka menumpukan bekerja keras untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik terutamanya di bidang ekonomi,” luahan Profesor di Pengajian Islam di Jabatan Sejarah dan Klasik Universiti Alberta Kanada, Prof. Dr. Ibrahim Abu Rabi.

Kata beliau, di Amerika Syarikat (AS) sahaja, terdapat antara 10,000 hingga 15,000 Muslim yang bertugas sebagai doktor perubatan.

Namun, sayangnya, mereka yang mampu menjelaskan mengenai Islam apatah lagi berhujah mempertahankan Islam bagi membersih dan menaikkan imej agama itu masih terlalu kurang.
“Masalah ini yang menyebabkan dialog antara agama (interfaith) gagal dimanfaatkan oleh umat Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Islam, Globalisasi dan Kefahaman Antara Agama’ anjuran Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS) Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Dr. Ibrahim, senario itu kini berubah terutama selepas tragedi 9/11, apabila Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York diserang.

“Masing-masing kemudiannya terus mengambil inisiatif bagi menjelaskan mengenai Islam. Ini kerana serangan tersebut bukanlah saranan dan ajaran Islam. Islam bukan agama keganasan apatah lagi menjadikan orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa.

“Saya sendiri antara yang tidak putus-putus terlibat menyertai dialog dan memberi penjelasan mengenai Islam sedangkan para penyerang 9/11 itu didapati terdiri dari bangsa Arab dan berasal Saudi yang menjadi sekutu rapat AS,” jelasnya.

Dr Ibrahim adalah rakyat Palestin yang dilahirkan di Nazareth Galilee tetapi kini mempunyai dua kerakyatan iaitu AS dan Israel. Beliau menerima ijazah awalnya dari Universiti Birzeit, Tebing Barat, Palestin sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Cincinnati dan Universiti Temple Philadephia seterusnya menjawat pelbagai jawatan sebagai ahli akademik Islam yang tersohor.

Menurut Dr. Ibrahim yang fasih berbahasa Arab, Inggeris dan Hebrew, sifat ingin tahu Barat membuatkan mereka menjadikan penubuhan pasukan pemikir (think tank) sebagai satu budaya dan soal pembiayaan tidak pernah menjadi satu masalah kerana pelbagai pihak sedia membiayai terutama pihak gereja.

“Asalkan mereka dapat apa yang mereka ingin tahu dan memberikan mereka pelbagai strategi termasuk mengenalpasti kelemahan pihak lawan.

“Badan pemikir seperti ini jarang terdapat di negara-negara Islam namun
tidak dinafikan kini lebih ramai yang menyertai sesi-sesi dialog dan seminar yang kebanyakannya dianjurkan oleh umat-umat Islam yang ‘marah’, terutamanya penduduk Palestin,” katanya.

Ini kerana dialog yang memberikan penjelasan secara kolektif dan konsisten tentunya menghasilkan suasana dan dialog yang sihat, yang pada akhirnya membawa kepada Barat ingin mengenali Islam tanpa sebarang prejudis dan prasangka mengenai agama itu.

Namun Dr. Ibrahim tidak menafikan gerakan globalisasi turut bermakna satu gerakan agresif bagi tujuan penjajahan, penaklukan dan pencerobohan.

“Perkara ini bukan baru, ia telah berlangsung sekian lama. Sekalipun kalangan Barat berkata semua gerakan itu tidak lebih bertujuan murni, iaitu modenisasi dan usaha pendemokrasian atau kononnya mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya.

Tegas Dr. Ibrahim lagi, minat sebenar kuasa besar Barat adalah melihat umat Islam lemah, mundur dan tertindas melalui cara berpecah-belah.

“Mereka lebih menyokong dengan memberikan pelbagai bantuan untuk kumpulan-kumpulan yang berpecah dalam sesebuah negara Islam itu. Mereka mahukan suasana puak-puak sektarian itu supaya terus kekal,” jelasnya.

Ini memberikan gambaran kepada betapa tidak seriusnya pentadbiran Presiden George W. Bush dalam kata berikrar untuk mengembalikan demokrasi ketika mereka menyerang dan menceroboh Iraq pada 2003.

“Pada praktisnya mereka berjaya mengekalkan suasana perpecahan pembahagian kuasa antara puak-puak Syiah dan Sunnah bagi membolehkan dalam satu keadaan tanpa disedari Amerika berpeluang untuk mendapatkan ‘faedah’ sebenar dari Iraq,” katanya.

Polarisme seperti ini terserap di hampir kesemua negara Islam yang lain, sehinggakan kata Dr. Ibrahim menyebabkan ada individu-individu Islam yang menjadi mangsa serangan sesama sendiri.

“Ini termasuklah ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qaradawi yang menjadi mangsa serangan puak Syiah yang menuduh beliau sebagai alat AS yang kononnya dibayar oleh kuasa besar itu melalui Arab Saudi untuk menyerang puak-puak Syiah.

“Ini hanya satu idea namun globalisasi yang dasarnya untuk menutup sempadan-sempadan yang memisahkan memang satu cabaran terbesar kepada umat Islam,” katanya.
Syarahan yang dipengerusikan oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IAIS Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali turut menampilkan Dr. Roger Van Zwanenberg, tokoh pengasas The Gateway Trust dan kini merupakan Pengerusi Pluto Press, iaitu syarikat penerbitan terkenal dunia yang beribu pejabat di London.

Pakar sejarah ekonomi dunia itu menarik perhatian peserta pada sesi syarahan kali ini apabila menyentuh soal konflik dan tragedi kemanusiaan di Palestin.
“Kita masih berdiri atas pelbagai persimpangan yang memisahkan antara dunia Islam dan Barat, lebih-lebih lagi dengan terjadinya tragedi 9/11 yang memberi impak yang dahsyat terhadap umat Islam.

“Dalam pada isu konflik Palestin yang masih tidak selesai malah telah menjangkau sehingga 60 tahun dan begitu juga perang yang masih berpanjangan di Afghanistan selama 40 tahun, bayangkan berapa banyak kemusnahan yang telah berlaku.

“Sedangkan jika mahukan perdamaian dan jalan penyelesaian, semua konflik itu boleh diselesaikan dalam tempoh satu malam sahaja. Jika itu dimahukan oleh negara-negara Eropah dan AS, mereka boleh capai dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Sikap tamak terhadap penguasaan minyak menyebabkan Dr. Roger pesimis dalam soal kedamaian di Timur Tengah, apatah lagi mengharapkan bakal Presiden AS, Barack Obama dapat lakukan untuk menyelamatkan ‘dunia’.

Menurutnya, selagi negara-negara kuasa besar masih mempunyai dan mengekalkan bajet-bajet perbelanjaan yang besar dalam soal ketenteraan dan persenjataan, maka yang kekal adalah peperangan.

“Anda melihat pertandingan (pilihan raya Presiden AS) begitu demokrasi dan begitu mendapat sambutan namun ia tidak lebih seperti satu sarkas, jadi apa yang boleh kita harapkan,” katanya.
Umat Islam yang semakin terbuka fikiran mereka hari ini namun memerlukan mereka supaya bersatu dan berpegang kepada ajaran yang menyuruh kita berikhtilaf tetapi semata-mata untuk merapatkan jurang perbezaan, saling mengenali dan memahami serta supaya kita tidak berfikiran sempit dan tertutup!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi