Hijrah 1430 bersamaan 2009 Masihi baru sahaja membuka tirainya. Tirai 1429/ 2008 manusia tinggalkan dengan pelbagai peristiwa pahit, manis, suka dan duka yang akan dicatat menjadi sejarah kepada dunia kerana, tidak ada yang terlibat dalam babak-babak perasaan ini melainkan manusia. Inilah watak-watak penting dalam episod sepanjang satu tahun. Bagi mereka yang tidak pernah merasa susah sepanjang waktu 12 bulan lalu, sudah tentu tidak ada catatan pahit diari 2008, sebaliknya pula bagi mereka yang merasa kepahitan, sudah tentulah banyak kenangan yang bakal dibawa dan dikenang hingga ke tahun ini, 2009 dan seterusnya. Bagi mereka yang kaya, pasti dairi 2008 penuh dengan keuntungan yang menggembirakan. Orang politik yang gagal ( belum jadi YB ) pasti akan terus mengatur langkah dengan slogan ‘lawan tetap lawan’ dan begitulah seterusnya tiap watak dengan perwatakan, masing-masing dengan tekad dan azam serta keinginan untuk dicapai pada tahun 2009.
Alhamdulillah Allah beri ruang yang adil pada semua manusia. SMS dalam usia 8 tahun bersama masyarakat dan 2 bulan bertatih dalam blog juga tidak ketinggalan diberi ruang untuk berazam bersama. InsyaAllah, jika diberi rezeki umur yang panjang, masa yang luas, SMS bakal menjadikan azam 2009 ini nyata. Tentunya SMS mahukan yang lebih ‘umph’ daripada 2008. Slogan ‘ kejar akhirat bagai mau mati esok dan kejar dunia bagai hidup selamanya’ tentu menguatkan lagi azam kita semua untuk sama-sama bergelanggang di muka bumi.
Kalau diukur dengan ukuran dunia, SMS munkin tidak mencapai rangking A hingga J ( Top 10 ) namun, kerana adilnya Allah, Dia tidak membezatarafkan SMS dengan yang lain, jauh sekali menyisih SMS kerana tiada kelayakan sarjana dan sebagainya. Dia Maha Berkuasa kerana mengizinkan SMS membantu masyarakat, Dia Maha Berkehendak kerana menjadikan mimpi SMS bertemu PM suatu kenyataan dan Dia Maha Kuasa kerana menjadikan permohonan naik taraf saliran air dan surau di kampung orang-orang mualaf, Kg. Salimandut diluluskan oleh PM. Alhamdulillahi rabbil a’lamiin , kerana permohonan menaiktaraf beberapa buah surau di beberapa buah kampung di daerah-daerah mualaf di Sabah iaitu Kg. Pamansukan di Daerah kecil Matunggung, dan Kampung Langsat di daerah Ranau juga turut diluluskan pada tahun 2008.
SMS juga mencatat kenangan manis apabila turut sama membantu OKU Jaibal mendapatkan rumah PPRT termasuk Imam Kg.Parong dan beberapa orang lain di sekitar Kota Marudu. Alhamdulillah, mereka kini tinggal di rumah batu.Ucapan khas syukur selayaknya untuk Allah, dan ucapan khas terima kasih kepada pemimpin negara, Pak Lah. Terima kasih kepada Datuk Taufik yang turut prihatin dan sama-sama turun padang membantu orang-orang mualaf di Kampung Salimandut Tandek, Kota Marudu.Kepada pemimpin-pemimpin daerah dan kampung serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang nama-nama mereka tidak dapat SMS sebut, terima kasih dan teruskanlah sikap prihatin dan bertanggungjawab kita di 2009 ini. Sesungguhnya, jasa dan komitmen kalian, tidak dapat dibayar namun yakinlah nilaian Allah tidak pernah menghampakan hambaNya kerana sekecil zarahpun kebaikan, Allah tidak pernah terlepas pandang menilainya. Sebenarnya, SMS berasa gembira kerana usaha kecil ini akhirnya dinikmati oleh masyarakat Kampung setempat.
Bukan berniat mencalar ambang 2009 dengan rasa yang tidak sedap tapi sekadar mahu mencatat sesuatu yang mungkin boleh diambil ikhtibar oleh pihak-pihak berkaitan. SMS ingin meluahkan sedikit kekecewaan apabila muncul kontraktor-kontraktor yang dapat kerja-kerja menaiktaraf ini mula besar kepala dan berlagak ‘temberang ’ ( tidak termasuk kontrakter Surau Kg. Salimandut dan Kg. Mangkaluah). Yang kurang sopannya, mereka ini, langsung tidak tahu bersyukur dan berterima kasih apalagi menghargai titik peluh orang yang bertungkus-lumus memohon dana dan turun naik berurusan sehingga kontraktor-kontraktor ini dapat kerja. Sudahpun pihak ini bertungkus lumus meluang masa dan tenaga, membuang kos itu dan ini dengan wang sendiri, timbul pula pihak-pihak yang secara angkuh menafikan keterlibatan pihak berkaitan dalam mendapatkan dana ini walhal jika dihitung-hitung, sehingga detik ini, lima sen dibelah tujuhpun pihak yang bertungkus lumus ini tidak dibayar jauh sekali diberi penghargaan atas kerja-kerja yang dilakukan. Mereka maunya apa? Gambar? kertas kerja? Bukti mengurus? semuanya SMS masih simpan sebagai sampel kenang-kenangan ( hehehe... itu saja bah...)
Andai katalah mereka terus menyombong, terus menyakiti hati orang-orang fakir, terus mengumpul harta dan tidak tahu menoleh kiri dan kanan melihat keperitan orang-orang yang memerlukan, maka silakanlah tuan kontraktor...SMS selepas ini tidak akan teragak-agak pula turun naik tangga menyatakan nama-nama kontraktor yang gagal buat kerja kerana beberapa faktor. Biarlah lesen tuan puan disenaraihitam, jangan hati orang kampung jadi hitam kerana projek lintang pukang. Apa salahnya dan apa kurangnya jika mereka ini bersikap berbudi bahasa dan bersopan santun? Belajarlah menghormati orang lain, lihatlah dengan jauhari keperluan orang yang memerlukan, saksamalah menilai orang-orang seperti mereka.
Niat asal SMS, dana yang disumbangkan hasil dari projek-projek penaiktarafan ini adalah untuk dakwah dan membantu mereka yang sepatutnya. Sekarang, biarlah malaikat Raqib dan Atid yang menilai dan menulis janji dan niat mereka pula. Tuan-tuan kontraktor, Allah dan malaikat tidak boleh diberi rasuah, jujurlah dengan kerja-kerja kamu. Andai tidak, bersedialah menerima pembalasan di dunia dan di akhirat. Cepat atau lambat, pembalasan itu suatu yang pasti. Ingat jugalah, doa orang yang teraniaya itu, makbul...dan... Sepetang hari ini di hadapan bangunan Wisma Merdeka, Kota Kinabalu, kereta buruk SMS disaman polis trafik..... tunggu SMS paparkan dalam blog seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi