Masjid Cina milik
semua orang Islam
|
|
HARI ini imej Islam menjadi tercalar disebabkan oleh persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat sempit. Gambaran mereka terhadap Islam hanya berkisar isu-isu orang Melayu, Arab, keganasan dan pelbagai label negatif.
Hal ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi pola perkembangan dakwah Islamiah di kalangan bukan Islam, terutamanya orang Cina di negara ini yang ketara amat perlahan berbanding negara-negara lain di dunia.
Sungguhpun Malaysia sudah merdeka lebih 50 tahun, namun orang Cina yang memeluk Islam tidak sampai satu peratus. Hari ini penduduk Cina di Malaysia berjumlah 6.5 juta - ini bermakna orang Cina yang memeluk Islam hanya sekitar 60,000 orang.
Berbeza di negeri bukan Islam, agama Islam mendapat sambutan yang begitu hebat. Tetapi kenapa dalam negara Islam sendiri, agama Islam seolah-olah kelihatan tidak mendapat tempat dan perkembangannya amat perlahan. Di manakah silap dan salahnya? Kajian yang serius perlu dilakukan.
Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah terutama kepada kaum Cina bukan Islam, menegaskan bahawa cara kita 'menjual' Islam hari ini amat bersifat etnik atau kemelayuan atau kearaban.
Lantaran itu, saran beliau, sudah sampai masanya untuk dipecahkan tembok ini dengan membukakan minda kita agar dapat menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global.
"Caranya tidak lain dan tidak bukan, marilah kita mulakannya dengan membina sebuah masjid berseni bina Cina di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur. Saya yakin kita semua akan dapat lihat banyak perubahan, terutamanya perkembangan syiar Islam.
"Penubuhan masjid Cina Muslim ini membolehkan usaha mendekatkan golongan bukan Islam ini terhadap Islam. Selain menyelesaikan kes-kes lain yang membabitkan golongan Cina Muslim seperti kes murtad yang berpunca daripada ketiadaan pemantauan serta penjagaan kebajikan daripada pihak bertanggungjawab.
"Kewujudan masjid berseni bina Cina yang turut berfungsi sebagai pusat aktiviti dakwah, sudah tentu dapat menyelesaikan banyak permasalahan dalam usaha merealisasikan dakwah Islamiah, terutama di kawasan bandar yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Cina," kata Dr. Mohd. Ridhuan akan kepentingan disegerakan pembinaan masjid Cina ini dan kebaikan yang bakal diperoleh.
Menurutnya lagi, idea penubuhan masjid berseni bina Cina ini telah diutarakan sejak Macma ditubuhkan pada 1994. Namun, hasrat ini mula disuarakan pada 1996 dan menjadi semakin berkumandang pada 2000 hingga sekarang.
"Kami telah menemui menteri-menteri yang menjaga hal-ehwal Islam untuk merealisasikan hasrat tersebut sejak sekian lama," katanya semasa diminta mengulas usaha pihaknya merealisasikan pembinaan masjid Cina di negara ini.
Mohd. Ridhuan bersyukur usaha berterusan itu akhirnya mendapat respons positif serta sokongan penuh daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi.
Ini kerana kata Mohd. Ridhuan, menteri itu bukan sekadar memahami tetapi melihat hasrat persatuan yang mewakili komuniti Cina Muslim Malaysia dari perspektif yang luas serta demi perkembangan dakwah, waima beliau bukan berlatar belakangkan pengajian agama sepenuhnya.
Ditambah pula sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar usaha ini disegerakan. Respons positif diperoleh rentetan daripada surat yang telah diajukan kepada Abdullah pada 14 Ogos lalu. Seterusnya diikuti dengan beberapa perbincangan dan pertemuan yang masih berterusan sehingga kini.
Lantaran itu, Mohd. Ridhuan menyakini kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin negara itu bakal menamatkan penantian yang selama ini diharapkan komuniti Cina Muslim khasnya dan umat Islam di Malaysia.
"Setakat ini perbincangan tentang tapak pembinaan di Kuala Lumpur sedang diadakan. Sudah tentu kami mahukan tempat yang strategik di kawasan majoriti orang Cina. Contohnya, di tapak bekas Penjara Pudu.
"Saya fikir tapak ini amat strategik. Jika berjaya direalisasikan, saya yakin perkembangan Islam akan menjadi semakin hebat, selain ia akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Yang pastinya, kawasan itu strategik untuk perkembangan dakwah.
"Lagipun, kawasan bekas tapak penjara ini, tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat komersial. Keadaan di sana hari ini penuh sesak. Sekiranya kawasan tersebut dijadikan sebuah masjid berseni bina Cina, ia mampu menjana ekonomi negara dari sudut pelancongan," katanya.
Beliau juga menepis anggapan segelintir pihak yang mengatakan pembinaan masjid Cina akan memecahbelahkan masyarakat, merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.
Jelas Mohd. Ridhuan, pandangan golongan ini menunjukkan kedangkalan pemikiran dan kegagalan mereka untuk melihat Islam sebagai agama yang bersifat sejagat atau universal.
"Mereka hanya melihat agama adalah untuk etnik tertentu sahaja. Sedangkan Islam adalah agama untuk semua manusia yang ada di muka bumi ini. Persoalan saya, adakah masjid yang berseni bina kubah adalah seni bina Islam atau seni bina Melayu. Sebenarnya, kubah adalah berasal daripada seni bina Moorish Indian, tidak ada kaitan langsung dengan seni bina Melayu atau Islam.
"Kenapa kita boleh menerima seni bina Moorish Indian, tetapi tidak seni bina Cina atau bangsa lain? Apakah selama ini kewujudan masjid India dan masjid Pakistan telah memecahbelahkan masyarakat hari ini? Perlu diingatkan bahawa seni bina atau reka bentuk yang wujud hari ini adalah ilham yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia.
"Maknanya, seni adalah hak Allah SWT. Cuma jangan sampai kesenian itu mempunyai unsur yang bercanggah dengan hukum Allah seperti mempunyai unsur-unsur patung dan sebagainya," tambah Mohd. Ridhuan yang hanya mahu memecahkan tembok stereotaip yang telah lama terpahat dalam pemikiran orang bukan Islam bahawa Islam itu agama orang Melayu atau orang Arab.
Menjawab persoalan kekangan yang dihadapi dalam merealisasikan hasrat murni ini, menurut Mohd. Ridhuan halangan yang paling ketara ialah untuk memecahkan tembok pemikiran lama masyarakat Malaysia termasuk orang agama.
"Jika orang agama pun tidak boleh faham, cuba bayangkan bagaimana dengan orang biasa. Bagi kami, fungsi masjid adalah sama seperti masjid-masjid lain. Tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Ini bermakna, tidak timbul isu, masjid ini khusus untuk orang Cina sahaja.
"Apa yang kami mahukan ialah seni binanya sahaja yang berbentuk Cina atau berbentuk pagoda seperti mana masjid-masjid yang terdapat di negeri China. Ia bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat Cina bahawa kewujudan mereka di muka bumi ini adalah dengan ciptaan Allah.
"Malah ada pula yang berpandangan masjid ini nanti akan dibolot oleh orang Cina sahaja, bermula daripada ahli jawatankuasanya sehinggalah penggunaan bahasa syarahan dan khutbah. Ini adalah kekeliruan yang sengaja dibuat-buat," katanya apa yang matlamat untuk mengalihkan perhatian bukan Islam Cina supaya melihat Islam dalam perspektif yang luas.
Hakikatnya, ujarnya lagi, masalah pentadbiran dan pengurusan masjid Cina tersebut adalah isu kecil dan terpinggir. Apa yang dimahukan setakat ini hanyalah masjid yang berseni bina Cina.
Saran Mohd. Ridhuan, umat Islam perlu sedar bahawa kejadian bangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
"Ini bermakna seni bina juga adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar," jelas beliau.
Mohd. Ridhuan menambah, tidak perlu syarat 40 jemaah untuk membina masjid Cina Muslim seperti yang digembar-gemburkan. Masjid Cina Muslim tidak semestinya dipunyai oleh masyarakat Cina Muslim sahaja.
Katanya, prinsip asas masjid mesti difahami dengan jelas. Ia adalah kepunyaan semua orang Islam dan dalam konteks undang-undang, ia mesti diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Agama Negeri-Negeri.
"Kita boleh namakan apa sahaja nama pada masjid tersebut. Apa yang dipinta ialah sebuah masjid yang mempunyai seni bina Cina yang dapat menarik perhatian orang Cina bukan Islam untuk melawati masjid tersebut bagi mendapatkan penerangan mengenai Islam, menjadi pusat pelancongan dan pusat pemudah cara.
"Ini dapat memudahkan kita menerangkan kepada mereka tentang keindahan agama Islam sebenar yang bersifat universal dan tidak hanya dilihat hanya anutan kaum tertentu sahaja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi