707 mangsa banjir Keningau dipindah - Utusan Malaysia
KENINGAU 24 Jan. _ Kira-kira 707 mangsa banjir di daerah ini dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara hari ini selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.
Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd. Yusof berkata, mangsa mula dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara sejak pukul 3 petang ini.
"Mangsa yang terlibat ialah 53 keluarga dari kampung Ansip dan 107 keluarga dari kampung Kuala Biah di sini.
"Mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara di Kilang Papan Rimaju, Sekolah Kebangsaan Pekan II dan Dewan Bukit Libudon," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, pada masa ini hujan masih turun dan pihaknya masih terus memantau keadaan banjir di daerah itu.
"Sejak awal pagi lagi beberapa anggota termasuk pegawai polis bersama pasukan bomba memantau keadaan banjir di daerah ini.
"Saya harap semua penduduk berhati-hati dan mengikut arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Ansip, Agustin Angkimau 41, berkata, mereka hanya dapat menyelamatkan dokumen-dokumen penting dan beberapa helai pakaian.
"Barang-barang lain tidak dapat diselamatkan kerana banjir berlaku terlalu cepat dan sudah menenggelamkan rumah kami.
"Namun kami bersyukur kerana tidak ada jiwa yang terkorban walaupun rumah kami ditenggelami air," katanya ketika di temui di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Pekan II di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi