Cadangan pihak USIA membawa masuk lebih ramai para ilmuan dari luar negara untuk melahirkan golongan profesionalisme umat Islam yang berkefahaman mantap dalam asas agama ini melambangkan keprihatinan pihak USIA menggerakkan dakwah ke tengah-tengah masyarakat bandar. Langkah ini menunjukkan syiar Islam tidak pernah dipinggirkan di tengah-tengah arus pemodenan. Masyarakat bandar sewajarnya bijak menilai usaha-usaha sebegini agar mereka tidak terus kekal lalai serta menerima dakwah sebagai satu keperluan sama seperti perlunya makan dan minum dalam kehidupan seharian mereka. Jika sekadar menghadiri program dakwah disebabkan surat rasmi yang mewajibkan mereka hadir ke program –program dakwah, nampaknya usaha-usaha dakwah yang berpusat di tengah-tengah bandar hanya membuang masa dan kos kerana, orang datang bukan disebabkan kemahuan tapi sebaliknya. Biasanya, orang-orang agama jugalah yang memenuhkan ruang-ruang dalam program-program agama sepeprti ini…Inilah senarionya di bandar.
Mari kita lihat jenis manusia bandar. Pekerja kilang dan kedai, pencuci kereta, penjaja, pelobi, menteri, peniaga, kakitangan kerajaan, menteri dan lain-lain. Otak-otak manusia yang tinggal di bandar ini terutamanya golongan-golongan professional, biasanya celik dan terbuka. berputar ikut peredaran sekeliling. Sentiasa ligat berfikir. Kalau tidak, orang kampung tidak akan berani turun ke padang yang asing baginya semata-mata mencari rezeki. Bagaimana pesatnya Bandar itu membangun, begitu jugalah pesatnya fikiran mereka berkembang. Apa saja yang mereka perlukan tentu mereka dapat. Setakat memenuhi keperluan harian, boleh saja, yang penting kemahuan. Seandainya mereka menganggap Islam sebagai satu keperluan, mereka tentu punya pelbagai alternatf untuk memenuhi keperluan ini. Pendek kata, dunia di hujung jari. Jika sudah begini, individu yang memang sudah kenal Islam lagilah hebat. Tidak perlu ditukul, paku ilmu itu memang jelas sudah masuk ke diri mereka. Pendek kata, masalah orang bandar dan golongan professional ini tidaklah seteruk orang-orang pedalaman. Nah…Kalau muslim Bandar yang sudah pintar dan celik ini tidak mahu Islam, anggap remeh tentang amalan Islam sedangkan mereka tahu kewajipan yang sepatutnya mereka tunaikan, itu bukan salah sesiapa lagi melainkan diri mereka. Syiar sudah sampai kepada mereka tetapi diri sendiri tidak mahu beramal. Jika ditumpukan juga kepada orang-orang seperti ini, ia mungkin menenggelamkan perhatian kita kepada usaha dakwah di pedalaman-pedalaman Sabah.
Antara sempadan daerah Pitas dan Kota Marudu dan Kudat, wujud sebuah kampung yang dipanggil Kampung Jambatan Besi. Jalan ke kampung ini berliku-liku. Tiada kemudahan hatta surau kecil pun di kampung ini tapi, majority penduduknya beragama Islam. Sebelum lading kelapa sawit wujud, mereka turun ke Beluran menaiki perahu. Terdapat lebih sepuluh buah rumah di sini. Rutin harian bertanam padi, menangkap ikan dan memburu. Hasil mereka dijual ke Beluran. Kini, kawasan tanah pertanian mereka yang sekengkang kera dihimpit oleh ladang kelapa sawit.
Saya dan beberapa orang pendakwah bebas sampai ke tempat ini ketika program dakwah 2006. Percaya atau tidak, orang-orang ditempat ini menanam mayat manusia seperti menanam bangkai anjing kerana tidak tahu cara pengkebumian secara Islam, tapi bila ditanya agama mereka, mereka jawab, “kami Islam”. Inilah antara peristiwa sedih yang pernah kami lalui dalam program dakwah sehingga saya terfikir mungkinkah masih ada kelompok manusia yang wujud di bumi Sabah ini yang belum pernah ditemui manusia?
Senario masyarakat pedalaman di atas menunjukkan keperluan dakwah ke pelusuk-pelusuk pedalaman sudah mencapai tahap maksima. Kita mahu tunggu apa lagi? Dalam waktu orang bandar sudah selesa diberi program bertaraf global, orang-orang Islam di pedalaman masih tinggal kosong. Tidak ada apa-apa. Mereka hanya tahu mereka itu agamanya Islam tapi setakat mengaku sahaja. Nama Islam itu hanya didengar tapi syiarnya tidak sampai. Kalau orang-orang bandar, orang-orang professional dimantapkan asas Islamnya bak disuap nasi ke mulut , orang Islam di pedalaman, dihidang nasi pun tidak. Walhal, orang-orang pedalman seperti ini tidak meminta lebih. Otak mereka tidak licik dan ligat seperti orang bandar. Kita ajarlah satu benda, mereka akan terima tanpa banyak soal. Beritahulah mereka tentang keEsaan Allah di tempat mereka bercucuk tanam atau di sungai tempat mereka menangkap ikan pun, mereka akan terima kerana, fikiran mereka tidak bercabang. Tumpuan mereka satu-satu masa tidak banyak. Apa yang utama bagi mereka ialah perut mesti diisi. Keperluan lain dari makan tidak mendesak mereka. Sebenarnya, mudah kalau mahu mendekati mereka. Keberjayaannya orang-orang kristian menawan dan menyebarluar agama mereka ke masyarakat pedalaman mungkin disebabkan mudahnya menawan hati mereka. Ditawan dengan sebungkus maggi kemudian bertukar akidah, kisah biasa yang kami dengar di pedalaman.
Bandar dan desa. Dua jurang yang mewujudkan dua blog fikiran. Wang ratusan ribu yang digunapakai dalam program dakwah di bandar semata-mata untuk mengglobalkan dakwah mungkin dapat menyelamatkan akidah ratusan orang di pedalaman. Program dakwah di bandar biarlah dibuat secara sederhana dan seadanya, tidak perlu lagi melibatkan kos itu dan ini semata-mata mahu melengkapkan kertas kerja dan membuat hitam putih dimana wang itu disalur. Berbaloi agaknya kalau wang-wang besar ini, kita labur ke pelusuk-pelusuk pedalaman kerana di situlah sebenarnya dan selayaknya dana-dana itu digunakan. Di situlah medan sebenar dakwah, di situ jugalah ratusan manusia sedang hidup terumbang-ambing. Berdiri atas Islam tapi, ilmu tidak ada.
Pengglobalan dakwah perlu dilaksanakan adil ke seluruh pelusuk desa dan pedalaman. Nampaknya kurang praktikal jika program-program besar dakwah berkali-kali diadakan di bandar-bandar utama di Sabah sedangkan masyarakat luar Bandar tidak mendapat faedah dari program tersebut. Pendakwah-pendakwah perlu ditambah kuantii dan kualitinya serta dihantar ke kampung-kampung berpusat ke seluruh negeri Sabah.
Pihak USIA harus mengembalikan kegemilangannya ketika zaman USNO & Tun Mustafa. Ketika itu USIA sungguh aktif di luar bandar meskipun ada motif politik. Penterjemahan buku-buku agama dalam bahasa tempatan Sabah juga membantu menangani usaha dakwah yang kian malap sejak kebelakangan ini. Orang perseorangan yang di kampung-kampung yang diangkat masyarakat setempat sebagai imam kampung ( tidak bertauliah ) wajar diangkat sebagai pendakwah an diberi latihan khusus jika perlu.
Inilah perkara yang patut kita fikirkan semula. Jangan kaburkan pandangan kita dengan program dakwah global yang ada di bandar. Dakwah di bandar sudah lebih global dari global. Teknologi kini amat canggih, mereka boleh santap ilmu itu bila saja mereka mahu.
USIA bawa lebih ramai penceramah luar Negara
( Utusan Malaysia 4. Dis 2008 )
KOTA KINABALU Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berhasrat membawa lebih ramai penceramah agama Islam dari luar negara sebagai langkah menglobalkan program dakwah ke seluruh negeri ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata, program ceramah tersebut merupakan pendekatan terbaru USIA bagi melahirkan golongan profesional umat Islam yang memiliki asas kefahaman agama yang mantap dan jitu.
''Ceramah adalah medium terbaik yang dapat memberikan kefahaman mengenai ajaran Islam kepada orang ramai. Baru-baru ini, kita telah menjemput tokoh luar negara iaitu Dr. Sheikh Yusuf Estes dari Amerika Syarikat.
''Kehadiran beliau berjaya mengumpul 1,000 orang di Auditorium Yayasan Sabah," katanya di sini semalam.
Abdullah berkata, kehadiran penceramah luar itu secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat agar lebih terbuka serta lebih memahami agama Islam dari perspektif yang positif.
Menurutnya, kefahaman mengenai Islam amat penting dalam keadaan dunia masa kini yang menggangap umat Islam terlalu ekstrem kerana kurangnya kefahaman terhadap Islam.
Dalam pada itu Abdullah berkata, USIA akan terus mensasarkan golongan belia dalam program ceramah yang dianjurkan.
Ini kerana, katanya, didikan agama yang tinggi akan melahirkan belia berakhlak mulia dan disegani seluruh masyarakat berbilang kaum.
Untuk itu, jelasnya, USIA akan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan pertubuhan Islam lain di Sabah bagi memastikan keberkesanan program ceramah yang dilaksanakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi