Oleh NOR ZAINAH NORDIN – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) akan mula mengadakan kelas-kelas agama yang diajar dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin dan Tamil di masjid-masjid pada tahun depan bagi merapatkan hubungan saudara baru dengan institusi masjid.
Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi berkata, kelas-kelas agama itu yang juga dikendalikan dalam bahasa Melayu dan Inggeris akan mula diajar di masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Beliau berkata, daripada pengamatan Perkim, saudara-saudara baru yang memeluk Islam didapati tidak rapat dengan institusi masjid dan ia berkemungkinan disebabkan mereka tidak biasa dengan masjid.
‘‘Oleh itu, bagi merapatkan hubungan dan meningkatkan minat mereka kepada institusi masjid, maka kelas-kelas agama yang kini dikendalikan dalam pelbagai bahasa di Perkim diperluaskan ke masjid-masjid,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban anjuran pejabat Penasihat Khas Perdana Menteri berhubung Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Masjid Amru Al ‘Asr, Bandar Baru Sentul di sini hari ini.
Ariffin berkata, dalam melaksanakan kelas itu, Perkim perlu menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri-negeri berikutan institusi masjid berada di bawah bidang kuasa jabatan itu.
Katanya, setakat ini, sambutan daripada institusi masjid amat menggalakkan, tetapi Perkim perlu memilih masjid yang sesuai dengan matlamat dan kumpulan sasar kelas agama tersebut.
‘‘Dengan adanya kelas-kelas agama ini, saudara baru yang lebih fasih dalam bahasa berkenaan misalnya Mandarin, bolehlah ke masjid untuk menghadiri kelas yang diajar dalam bahasa itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi