BASMALAH WALHAMDALAH
Persiapan menghadapi dunia baru Islam hendaklah dikemaskinikan dengan cara:-1) Barisan yang dipercayai hendaklah diletakkan di hadapan.2) Barisan yang patuh dan setia diberi arahan.3) Barisan yang diragui diawasi gerak-geri mereka.
Umat Islam sedang berhadapan dengan DUNIA BARU ISLAM. Islam yang diselimuti bida’ah dan khurafat akan dihapus dari pegangan umat. Islam yang didokong oleh mujahid yang bersedia mengorbankan semua milik peribadi demi tertegaknya kalimah Allah yang maha tinggi akan muncul di tengah-tengah ummah. Akhir-akhir ini, umat Islam telah mengharungi berbagai pengalaman sukacita dan dukacita manakala, barisan-barisan pejuang Islam pula menempuh pelbagai mehnah atau ujian dari Allah juga dari manusia. Peristiwa-peristiwa ini menjadikan kita kenal siapa yang tabah, sabar serta redha menghadapi ujian.Allah, Rasul dan orang mukmin menilai semua sikap mereka. Bagi yang melihat pejuang-pejuang Islam bermati-matian berjuang berhak pula menilai mereka dari kacamata sendiri kerana para pejuang itulah nanti yang bakal menerajui DUNIA BARU ISLAM. Ada di antaranya akan jadi pemimpin. Ada pula yang akan menjadi pelaksana yang patuh dengan segala perintah yang diarahkan.Di antara mereka ada juga yang mesti diawasi selalu agar tidak tergelincir dari landasan perjuangan.Barisan pemimpin merupakan barisan paling hadapan. Mereka berada di hadapan umat sebagai imam. Mereka dipercayai kerana siddiqnya mereka dalam perjuangan. Mereka dapat mencapai darjat itu dengan sebab telah menempuh mehnah-mehnah besar dalam perjuangan. Walaupun besar ujian yang mencabar pendirian dan pegangan, mengancam nyawa dan ketenteraman hidup namun mereka tabah menghadapi segala-galanya dengan tenang. Mereka berpegang kepada peringatan Allah:“Fasbir kama sobaro ulul azmi minarrusuli”.Maksudnya: Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari kalangan Rasul-rasul yang telah benar-benar bersabar .(Ayat 35: Surah 46 Al Ahqaaf: Juz 26)Ramai orang petah berbicara. Pidato berapi-api tetapi tidak mempunyai pegangan yang kukuh. Mereka hanya seperti gendang-gendang kosong yang terdiri dari belulang dan sebatang kayu yang dilubangkan. Kita sebagai pengikut jangan mudah tertipu oleh gendang-gendang kosong ini. Kenalilah orang yang hendak kita ikuti itu dari sejarah hidup mereka. Jangan kenali mereka dari lidah mereka yang tidak bertulang.
Seseorang dipercayai kerana kejujurannya. Mengenali jujurnya seseorang bukan dapat dikenali hanya dengan ucapan, tulisan atau dengan berita yang sampai kepada kita sahaja. Kejujuran seseorang dikenali kerana persahabatan kita dengannya serta orang-orang yang bersahabat rapat dengannya. Setiap orang adalah cermin bagi sahabatnya. Untuk mengenali seorang yang akan dipilih menjadi imam atau pemimpin hendaklah kita kenali sahabat-sahabat di sekelilingnya. Jangan hanya sekadar bertemu di majlis-majlis atau pertemuan-pertemuan rasmi kerana itu tidak memadai. Kita juga sering tertipu dengan mereka yang dianggap pemimpin. Sedangkan hakikatnya persahabatan sehari dua sahaja tidak dapat memberikan beberapa tunjuk ajar kepada mereka. Mereka bukan pemimpin, mereka yang harus dipimpin. Kadang-kadang kesalahan yang mereka lakukan terang-terang di dalam dosa-dosa besar. Bagaimanakah kita boleh ditipu sedemikian rupa? Sedangkan yang kita ingin ialah Islam yang murni, jangan sampai jatuh lopak dua kali. Cukuplah pengalaman dahulu mengajar kita agar mengenali siapa intan siapa kaca.Pemimpin agama hendaklah berwibawa. Wibawa sebagai pemimpin agama bukan sebagai pemimpin politik, bukan pemimpin ekonomi, bukan pemimpin kesatuan sekerja. Pemimpin agama hendaklah terdiri daripada orang yang punya nur iman yang memancar terserlah pada anggota lahirnya menjadi amalan hidup hariannya. Tindak tanduknya sama dengan hukum-hukum Allah di dalam Al-Quran. Dialah Al-Quran hidup, dialah lambang warisan Nabi-nabi.Kalau tidak ada itu semua pada dirinya, dia bukan pemimpin agama. Tetapi dia maling yang berpura-pura menjadi imam. Setelah malam semakin tua maka ia mula membuat angkara.Pemimpin agama yang sejati, yang benar-benar tulin. Tidur baringnya menjadi contoh. Makan minumnya menjadi contoh. Gurau sendanya menjadi contoh. Cakap dan petuanya menjadi ikutan. Pegangannya kukuh, tabahnya bukan kepalang. Segala petua sesuai dengan Al-Quran segala tindak tanduknya sesuai dengan Sunnah. Segala cakapnya tidak berdolak-dalik. Pemaafnya bukan main. Nasihatnya benar-benar berkesan. Kasih sayang kepada pengikutnya seperti kasih kepada dirinya dan anak isterinya. Ia membawa umat mencari kebahagian abadi bukan memburu kebahagiaan sementara. Jujurnya ketara sekali. Bersahabat dengannya menyenangkan hati. Barangsiapa yang meminta pertolongan daripadanya tidak mengecewakan. Tawadhuknya bukan hanya kepada orang yang dekat dengannya. Tetapi juga dengan orang yang jauh daripadanya. Pandangannya, pandangan yang jauh kehadapan, untuk keselamatan abadi. Kebenciannya hanya kepada kejahatan dan apa yang dibenci Rasul dan dibenci Tuhan. Padanya yang haram haramlah yang halal halallah, yang makruh tetap makruh dan yang mubah tetap mubah. Adakalanya berubah dari hukum itu kepada hukum yang lain.Hubungan kuat dengan Allah dan kuat dengan manusia. Tidak mahu ia memutuskan silaturrahim. Yang ia mahu ialah ukhuwah dan mahabbah. Pemurahnya bagai daun berguguran. Akhlanya indah bak bunga mekar di taman. Harum namanya kerana taqwanya bukan kerana dibesar-besarkan di mass media. Inilah sebahagian kecil daripada sifat-sifat yang patut ada pada barisan hadapan yang menjadi pemimpin bagi umat Islam yang akan membangun DUNIA BARU ISLAM. Jika ada orang seumpama ini maka berdosalah anda sekiranya anda memilih orang lain sebagai imam. Jika tidak ada maka pilihlah orang yang mendekati sifat-sifat yang tersebut tadi sebagai pemimpin.Hendaklah kita ingat akan pertengkaran ahli neraka ketika mereka menyalahkan pemimpin yang menyebabkan mereka masuk neraka. (Ayat 166-167: Surah 2 Al Baqoroh: Juz 2)Bukanlah pemimpin Islam itu pasti ke syurga tetapi pemimpin kafir sudah pasti ke neraka. Mereka yang digambarkan di atas tadilah yang berhak menjadi barisan hadapan umat ini. Merekalah golongan yang dipercayai oleh kita.(2) Allah tidak menjadikan semua orang punya jiwa yang kuat, yang mampu memimpin umat dengan dengan bermacam-macam karenah. Sebahagian besar daripadanya Allah jadikan mereka itu patuh kepada arahan-arahan yang bersifat makruf atau baik dan tidak setuju dengan arahan-arahan yang mungkar. Mereka ini adalah orang-orang yang Allah jadikan hatinya ingin melihat syiar Islam terserlah di muka bumi Tuhan ini. Mereka bersedia melaksanakan perintah-perintah yang datang dari hukum hakam Allah itu. Selama ini mereka makan hati kerana terpaksa melaksanakan arahan-arahan yang mungkar. Pedih hatinya bukan main tetapi apa boleh buat. Pada mereka sekiranya ada peluang menerima arahan yang bersifat bersih dari mungkar, berebu-rebutlah mereka melaksanakannya seperti orang yang berebut-rebut tawaf di Kaabah.Pada hakikatnya golongan ini sudah semakin bertambah besar di tengah masyarakat Islam. Mereka hanya menanti-nantikan siapa di antara pemimpin dunia Islam yang betul-betul berani melaksanakan hukum hakam Allah. Kerinduan mereka kepada pemimpin seumpama ini sudah sangat menebal. Sehingga telah menjadi buah mulut. Mereka perkatakan hal ini di mana-mana. Di pejabat, di tempat kerja, di dalam kenderaan, di tempat-tempat berehat, dalam mesyuarat, di majlis-majlis diskusi dan di mana-mana sahaja. Hatta di padang golf. Sebenarnya dalam banyak hal golongan ini telah banyak melakukan sabotaj terhadap arahan-arahan mungkar. Mereka telah berjaya menggagalkan beberapa banyak arahan yang bercanggah dengan syariat. Sekurang-kurangnya mereka menggagalkan sebahagian daripada rancangan-rancangan itu.Kepatuhan mereka kepada syariat bukan paksaan daripada sesiapa. Tetapi kepatuhan mereka adalah kerana keinsafan dan kesedaran mereka sendiri. Demikian juga benci mereka kepada mungkar adalah kerana keinsafan dan kesedaran mereka sendiri. Pengajian-pengajian agama yang bertaburan di merata-rata, telah membuka mata hati mereka. Hidayah dari Allah telah mencurah-curah kepada mereka. Mereka laksana Ansar di Madinah. Mereka membantu agama dari hati mereka sendiri. Kesanggupan berkorban mereka sungguh mengagumkan. Di tangan merekalah hukum hakam Islam akan dilaksanakan. Mereka adalah laksana tangan dan kaki bagi jasad. Mereka yang bergerak cergas membawa Islam ke sana ke mari supaya berkembang luas.Oleh kerana mereka golongan yang patuh kepada arahan maka pemimpin Islam atau imam ummah hendaklah menghubungi mereka untuk memberi arahan yang nanti akan mereka laksanakan di mana sahaja mereka berada sepanjang waktu. Perintah-perintah agama ini apabila turun dari pemimpin kepada orang yang patuh seumpama ini ia akan berjalan dengan cepat, mereka akan berkata sami’na waato’na dan terus laksanakan perintah.(3) Setelah menempuh ujian dan pengalaman dalam perjuangan kita dapat menilai pula mana golongan yang diragui kejujuran dan ketaatannya. Mereka adalah golongan yang mahu Islam berdaulat, mahu syiar Islam berkembang tetapi mereka golongan hamba Allah yang tidak dapat menundukkan nafsu jahatnya walaupun mereka mujahadah bersungguh-sungguh, sesekali nafsu jahat itu memberontak juga, oleh sebab itu golongan ini sering tergelincir, kadang melanggar syariat.Dengan sebab perbuatan mereka maka sering terjadi jamaah-jamaah Islam dikecam. Apa yang mereka lakukan laksana nila setitik rosaklah susu sebelanga. Sebahagian daripada mereka terdiri daripada orang yang mementingkan diri mereka sendiri tetapi kepentingan itu dikaut dari Islam. Contohnya mereka berniaga atas nama Islam tetapi diurus dengan sistem riba’. Mereka mengurus urusan haji banyak orang tergendala dibuatnya. Mereka solat jenazah tetapi menuntut upah dari keluarga si mati. Mereka selewengkan wang zakat dan baitulmal. Mereka guna jenama Islam pada barang-barang yang syubahat.Golongan ini hendaklah diawasi gerak langkahnya, mata masyarakat hendaklah celik melihat gelagat mereka, telinga masyarakat hendaklah peka mendengar perkhabaran dari mereka, hati-hati terhadap mereka, jangan sampai umat Islam yang jujur tertipu oleh makar mereka. Pemimpin-pemimpin Islam yang siddiqin hendaklah berani bertindak ke atas golongan ini, jika diketahui dengan pasti mereka melakukan penyelewengan. Hendaklah tidak teragak-agak bertindak memberi ta’zir, tarbiyyah dan tazkirah keras. Mereka sebenarnya mahu Islam berdaulat. Mereka tidak mahu bendera kuffar berkibar megah. Tetapi sayangnya mereka kalah oleh hawa nafsu. Kita telah pun banyak pengalaman dan sering terperangkap dengan tipuan-tipuan. Oleh itu hendaklah berhati-hati supaya jangan jatuh lubang dua kali. Kerana berjaya mengawal golongan ini maka Khulafa Urrasyiddin berjaya menegakkan syiar Allah dan mendaulatkan ahkamullah dan berjaya menyatukan kekuatan ummah. Sekiranya kita berjaya memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa pemimpin Islam yang layak memimpin ummah telah wujud dan dapat memberi arahan-arahan yang dipatuhi oleh golongan yang taat dan dapat pula mengawasi golongan yang sering tunduk kepada hawa nafsu maka jemaah Islam akan semakin dihormati, disegani dan akhirnya akan diikuti orang. Ketika itu akan muncul wajah-wajah baru di dalam barisan Islam di mana mereka lebih berkemampuan daripada barisan lama. Inilah yang terjadi ketika orang seperti Amru Ibnu Al-As dan Khalid Ibnu Walid masuk Islam.Mereka memeluk Islam setelah melihat Islam berjaya. Rasul berjaya memimpin para sahabat. Perintahya dipatuhi, orang-orang yang degil diasuh sehingga menjadi benar-benar taat. Mereka memeluk agama Islam sedangkan pada diri mereka telah ada kemampuan dan keterampilan. Maka merekalah yang di tonjol menjadi pemimpin tentera dan masyarakat. Peristiwa ini akan terus berulang dalam sejarah. Inilah juga yang akan berlaku masa kini sekiranya umat Islam dapat mengemaskinikan barisan-barisan perjuangan yang didokongnya. Sekian, wassalam.12.48pm, Hari Ahad, 21 April 1991. Di Markas Lelaki Pantai Jerejak, Pulau Pinang.KESIMPULANApabila pemimpin terdiri daripada orang-orang yang bertaqwa dan pentadbir terdiri daripada orang-orang soleh maka rakyat akan dapat barokah. “Lauana ahlalquro amanu wattakau lafatahna alaihim barokatim minassamai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi