Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Ahad, 19 April 2009

Mualaf Terus Terpinggir ?


Sdr. Jahidin menjadi jurupandu SMS dan rombongan ke Kg. Malangang, Kiulu untuk melihat surau yang mereka dakwa dalam akhbar.


Cuma ini yang termampu. Buku Panduan Solat dan BukuIqra SMS tinggalkan untuk mereka, sedangkan 1001 macam lagi keperluan yang mereka butuhkan di sini. Memang benar dakwaan mereka. Surau ini tidak ubah seperti sebuah rumah. Tiada apa-apa lambang menunjukkan ia sebuah surau. Lihatlah gambar kanak-kanak ini . Tentu anda punya rasa untuk menyatakan namun tidak cukup bahasa untuk melontarkannya bukan ?


Orang tua ini akan menulis apa sahaja yang disampaikan oleh ustaz kerana mereka memang dahagakan ilmu. Namun, berapa kerat sajakah para ustaz yang sanggup turun padang tanpa imbuhan untuk mereka? Wajarkah antara kita menuding jari dan meletakkan kesilapan kepada Si Anu dan Si Anu walhal hakikatnya mereka terus terabai kerana pihak berkuasa terlalu meletakkan sistem sebagai kebenaran. Akhirnya, tinggallah timbunan-timbunan kejahilan terhumban ke muka-muka para mualaf.


Ketika hujan... baldi menjadi mangsa menangkis percikan air hujan yang membasahi lantai


Surau ini tidak ubah seperti kotak segiempat tepat. dibina ketika zaman pemerintahan PBS. Menurut penduduk di sini, dahulu surau mereka diperbuat dari papan dan ada letrik. Namun, bila ada pihak tertentu menjadikan surau ini sebagai kambing hitam, maka inilah jawabnya. Air letrik dan tandas sudah tidak ada sehingga menyukarkan orang-orang yang mahu singgah dan melakukan solat di sini.


Para dermawan yang telah memberi amanat kepada SMS untuk menyampaikan bantuan amal jariah mereka, SMS telahpun menyampaikan sumbangan-sumbangan kalian berupa Buku Panduan Solat, Iqra dan al-Quran bermula dari Kg. Marasinsim Pitas, Kg. Mosolog, Kg. Salimandut, Kg. Garuda Baru, Kg. Parong dan Kg. Damai yang kesemuanya dalam daerah Kota Marudu. Begitu juga di Kg. Pamansukan dan Kg. Hobut dalam Daerah Kecil Matunggung. Pusat Pengajian Mualaf di daerah Ranau begitu juga dan hari ini, di Kg. Malangang, Kiulu, Tamparuli.


Selain buku-buku Panduan Solat dan Iqra, kebanyakan para mualaf masih memerlukan buku Fardu Ain lengkap, buku-buku Tauhid dan sebagainya.


Langkah kanak-kanak ini ditentukan dengan bekalan ilmu yang mereka terima, oleh itu mendidik mereka adalah tanggungjawab kita umat Islam .


Pengajian di surau ini bermula pada tiap-tiap hari Ahad jam 10 pagi hingga selepas Zohor. Masing-masing membawa juadah untuk di makan waktu tengahari.


Mereka meluahkan perasaan pada SMS dan rombongan tentang kesukaran mereka melakukakan ibadah di surau ini. Menurut mereka, masih terdapat individu Islam di celah-celah bukit antara sempadan Ranau, Tambunan dan Tamparuli. Kereta 4 x 4 sahaja yang sesuai merentasi hutan. Keadaan perhubungan menyukarkan SMS datang ke kampung-kampung Dusun di tengah-tengah hutan di Sabah.

Individu Islam yang ingin menyertai Operasi Mualaf dalam bentuk jalinan kekeluargaan boleh berhubung dengan SMS di alamat yang tertera di sisi kiri blog.


Petikan Suara rakyat Kg. Malangang, Kiulu pada Utusan Malaysia. Sehari selepas itu pengarah JHEAINS membuat ulasan dan jaminan. Inilah jawaban dan jaminan mereka terhadap suara rakyat. SMS melihat jawaban yang diberi tidak ubah seperi jawaban seorang YB kepada rakyat. Sudah ratusan kali jawaban seperti itu didendangkan ke telinga kami , sehingga menampakkan Islam itu diikat oleh undang-undang buatan manusia. Bukan Islam itu mengikat manusia- SMS


ARKIB : 13/04/2009 - Utusan Malaysia

Tempatkan guru agama tetap - Penduduk

KIULU 12 April - Lebih 100 saudara baru dari Kampung Malanggang di sini meminta pihak bertanggungjawab menempatkan guru agama secara tetap bagi membimbing mereka untuk mempelajari ajaran Islam dengan mendalam.

Mereka yang ditemui Utusan Malaysia berkata, ketiadaan guru agama tetap menyebabkan golongan mualaf di kawasan itu berasa terpinggir dan disisihkan.

Seorang saudara baru Rashid Godiu Abdullah, 33, berkata, menempatkan guru agama adalah amat penting supaya nasib saudara-saudara baru di kampung itu tidak terabai.

"Dengan adanya guru agama, dia akan dapat menjaga hal ehwal berkaitan agama Islam untuk keperluan masyarakat mualaf, di sini.

"Setakat ini kami hanya mengharapkan guru agama dari sekolah berdekatan mengajar kami dengan sukarela. Itupun hanya seminggu sekali," katanya.

Menurutnya, segala kelengkapan sembahyang dan buku-buku agama tidak disediakan sedangkan, surau berkenaan adalah tempat solat utama oleh penduduk Malanggang.

Rashid menambah, dia tidak menolak kemungkinan segala kekurangan itu telah menyebabkan bilangan mualaf yang belajar agama di surau berkenaan semakin berkurangan.

''Kini tinggal kira-kira 59 orang yang aktif mendalami asas-asas ajaran Islam di situ," katanya.

Bagi Afendi Abdullah, 50, guru agama secara tetap amat penting bagi membolehkan pengajaran tentang Islam dilakukan secara berterusan dan mendalam.

Katanya, kehadiran guru agama itu mampu merancakkan aktiviti dakwah di kawasan berkenaan.

"Aktiviti seperti ceramah agama amat jarang diadakan di sini," katanya.

Rohani Abdullah, 47, pula mencadangkan pihak bertanggungjawab menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan aktiviti dakwah dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

"Sebelum ini ada beberapa rakan saya yang telah memeluk Islam tetapi disebabkan kurang pendedahan terhadap agama Islam, mereka rasa dipinggirkan lalu kembali kepada agama asal mereka.

"Oleh itu, adalah baik jika satu jawatankuasa pemantauan ditubuhkan di kawasan ini, agar saudara baru tidak mudah terpengaruh dengan sebarang agama lain, melainkan agama Islam itu sendiri," katanya.







ARKIB : 15/04/2009 - Utusan Malaysia

JHEAINS sedia bina masjid ganti surau daif

KOTA KINABALU 14 April - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sedia membina masjid bagi menggantikan Surau Malanggang, Kiulu yang didakwa berada dalam keadaan daif.

Pengarah JHEAINS, Amri Suratman berkata, keputusan itu bagaimanapun bergantung kepada siasatan khususnya berkaitan status tapak surau berkenaan dan bilangan umat Islam di daerah tersebut.

"Sebelum JHEAINS menyalurkan peruntukan, kita perlu mengetahui status tapak surau berkenaan, adakah milik persendirian atau telah pun diwakafkan untuk didirikan surau.

"Selain itu, jumlah jemaah dan umat Islam di situ juga perlu menepati keperluan pembinaan sebuah masjid," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas rintihan penduduk Islam di kampung Malanggang dan kawasan sekitarnya yang disiarkan Utusan Malaysia semalam kerana terpaksa menggunakan kemudahan surau sedia ada yang didakwa serba kekurangan.

Selain tidak dilengkapi kemudahan asas, struktur surau berkenaan juga uzur dan tidak dilengkapi kemudahan bersolat serta bahan bantuan mengajar untuk saudara baru.

Amri berkata, pada peringkat awal, pihaknya akan menghantar beberapa pegawai untuk menyiasat dakwaan penduduk dan meneliti keadaan surau berkenaan.

"Kita akan menghantar seorang Penolong Pegawai Tadbir Agama menyiasat perkara ini dengan lebih terperinci dan masalah yang dihadapi.

"Saya menjangkakan laporan terperinci akan siap dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan jika laporan yang diterima menepati syarat untuk kita mendirikan masjid, tiada masalah kita untuk berbuat demikian," katanya.

Mengenai dakwaan pihaknya mengabaikan pembangunan dan penyelenggaraan surau berkenaan, Amri berkata, masalah utama surau kampung Malanggang itu terbiar kerana surau berkenaan tidak didaftarkan di bawah JHEAINS.

Katanya, ini menyukarkan pihaknya menyalurkan bantuan kerana ia tidak berada dalam senarai perancangan pembangunan.

"Kalau sesuai dan memenuhi syarat, kita akan masukkan dalam senarai perancangan pembangunan dan ini akan membolehkan surau berkenaan menerima bantuan selenggara,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi