Oleh ZULHISHAM ISHAK
utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 1 Mac - Pusat Zakat Sabah diminta supaya mempercepatkan bayaran zakat kepada beberapa orang mualaf di negeri ini yang masih tidak memperoleh wang itu sejak enam bulan lalu.
Penyelaras Program Mualaf Sabah, Mohd. Nazri Abdullah berkata, pembayaran itu perlu disegerakan kerana ramai saudara baru terdiri daripada mereka yang miskin.
"Kebanyakan mereka ini yang tinggal di kampung pedalaman amat bergantung dengan pemberian wang zakat untuk keluar ke kawasan pekan bagi mempelajari ilmu agama Islam.
"Wang zakat ini besar maknanya bagi mereka, jadi mengapa perlu disekat atau menangguh pemberiannya? Adakah perlu didesak baru diberi kepada golongan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, masalah yang sama timbul pada tahun lalu dan apabila Utusan Malaysia mendedahkan perkara itu, pusat tersebut serta-merta membayarnya tetapi untuk beberapa bulan sahaja.
Mohd. Nazri berkata, masalah tersebut sering kali disuarakan lebih-lebih lagi di daerah Tandek dan Kota Marudu tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan oleh pihak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan itu amat mendukacitakan kerana ramai saudara baru yang sanggup tidak turun ke sawah atau kebun semata-mata untuk menghadiri kelas agama di pekan atau masjid berhampiran.
"Jangan kita sia-siakan pengorbanan dan keikhlasan mereka dalam mencari ilmu asas mengenai Islam, kita mesti mengambil berat masalah saudara seagama seperti yang dituntut ajaran Islam," katanya.
Beliau berkata, salah satu alasan pihak pemungut zakat sebelum ini adalah kerana terdapat mereka yang masuk Islam tetapi tidak berdaftar secara rasmi dengan jabatan berkaitan.
Jika masalah berkenaan dijadikan alasan, katanya, adalah tidak munasabah kerana kes saudara baru yang tidak berdaftar itu merupakan masalah lama kira-kira 20 tahun lalu.
Kata Nazri, sekiranya masalah tersebut adalah isu utama, mengapa pula mualaf yang baru memeluk Islam turut menerima nasib yang sama.
"Adakah setiap kali masalah ini timbul kita perlu disuarakan kepada pihak media barulah tindakan atau zakat akan diberi? Kami amat berharap supaya masalah birokrasi ini dihapuskan," katanya.
Menurutnya, jika masalah birokrasi itu tidak dihapuskan, dikhuatiri akan menjejaskan imej jabatan agama Islam.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang berkenaan supaya lebih sensitif dengan masalah tersebut dan memainkan peranan dengan berkesan supaya agama itu tidak dipandang serong oleh bukan Islam.
Tahniah Saudara Nazri,
BalasPadamTeruskan dengan perjuangan suci mu.
amin. semoga rahmat Allah keatas sdra
BalasPadamhebat la kau tuan
BalasPadam