Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Selasa, 31 Mac 2009

Mualaf ...


Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Seandainya ada sepuluh orang Pendeta Yahudi yang sungguh-sungguh iman denganku, tidak seorang jua pun orang-orang Yahudi yang tinggal melainkan mereka masuk Islam semuanya.”
( Muslim )



" Tunjukkanlah kami jalan yang lurus " ( Al-Fatihah; 6 )


" Ketahuilah bahawa dengan berzikir kepada Allah hati menjadi tenteram " ( Al-Ra'd; 28 )


" Dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang memberi kesan pada jiwa mereka " ( An-Nisa; 63 )


" Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada ( jalan )
yang lebih lurus " ( Al-Isra; 9 )


Hadith :

Dari Abu Musa r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:”Perumpamaan petunjuk dan ilmu pengetahuan yang Allah mengutuskan aku untuk menyampaikannya seperti hujan lebat jatuh ke bumi. Bumi itu ada yang subur menghisap air, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput yang banyak. Ada pula yang keras, tidak menghisap air sehingga tergenang. Maka Allah memberi manfaat dengan ia kepada manusia. Mereka dapat minum dan memberi minum (binatang ternak dan sebagainya), dan untuk bercucuk tanam. Dan ada pula hujan yang jatuh ke bahagian lain iaitu di atas tanah yang tidak menggenangkan air dan tidak pula menumbuhkan rumput. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang aku disuruh Allah menyampaikannya, dipelajarinya dan diajarkannya. Dan begitu pula perumpamaan orang yang tidak mahu memikirkan dan mengambil peduli dengan petunjuk Allah yang aku diutus untuk menyampaikannya.”


(Bukhari)

Huraian
Tarbiyah (pendidikan) yang semestinya dilalui oleh setiap muslim cukup banyak. Berbagai tarbiyah yang telah dilalui oleh para sahabat Rasulullah s.a.w sehingga menjadikan mereka memiliki iman yang teguh, bahkan membentuk mereka menjadi generasi terbaik. Allah berfirman: "Dan sesungguhnya jika mereka melaksanakan nasihat yang diberikan kepada mereka, tentulah hal yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (hati mereka di atas kebenaran)." (An Nisa : 66) Maka mempelajari ilmu agama adalah termasuk medan jihad yang paling mulia di mana daripada ilmu tersebut seseorang itu dapat berdakwah (menyebarkannya) kepada orang lain yang sekaligus menjadikan imannya semakin kukuh dan bertambah. Dia menyuruh manusia melakukan perkara–perkara kebaikan dan melarang daripada melakukan perkara kejahatan (maksiat) dalam ertikata bahawa ia bukanlah ulama’ bisu yang berlepas diri daripada apa yang berlaku di sekelilingnya sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: "Di antara manusia, ada orang yang menjadi kunci kebaikan dan penutup kejahatan." (Ibnu Majah) Orang seperti ini juga sentiasa bergaul dengan para ulama’ untuk mendengarkan nasihat mereka. Inilah sifat orang yang belajar agama yang mahu memanfaatkan apa yang dipelajarinya dan dengan itu mereka mendapat pahala di dunia dan balasan yang baik di akhirat.



Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ahad, 29 Mac 2009

Sambutan Maulidur Rasul S. A. W

Malam semalam, 28 Mac 2009 SMS bersama jamaah Kg. Salimandut
memberi taklimat berkaitan sambutan maulidur Rasul S. A. W, untuk 5 buah kampung
Dusun ( Mualaf ) di N. 5 Tandek tahun ini. Cetusan idea SMS; sambutan untuk 5 buah kampung mualaf ini dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ), cawangan Sabah. Ia melibatkan kira-kira 500 orang mualaf dan julung kali diadakan dalam masyarakat Dusun Kimaragang. Tarikh sambutan akan ditentukan pada malam Khamis, 2 April 2009

Di usia 40-an, beliau menerima Islam bersama isterinya. Anak-anak beliau sudah terlebih dahulu memeluk Islam. Pakcik Juludan, antara mualaf yang tinggal di kampung Salimandut.

Rezeki orang musafir. Jamuan makanan percuma dari Allah.
Alhamdulillah...

Antara menu; Udang Bakar. Hidangan di rumah Ust. Zainal, selepas mesyuarat.

Para jemaah menikmati juadah, selepas solat Isyak

Terima kasih kepada JAKIM cawangan Sabah kerana bersedia membiayai program masyarakat mualaf.

Sabtu, 28 Mac 2009

RM1.1 juta zakat diagih setiap tahun, kata Nurul Farhan


Nurulfarhan
Farhan menyampaikan zakat kepada salah seorang penerima.


27th March, 2009 - Sabah Times

KENINGAU: Pusat Zakat Cawangan Keningau mengagihkan kira-kira RM1.1 juta zakat setiap tahun kepada golongan yang memerlukan di seluruh kawasan Pedalaman Atas.

Penyelaras zakat kawasan Pedalaman Atas Nurul Farhan Osman berkata, daripada jumlah itu, Daerah Keningau merupakan penerima terbesar iaitu RM210,840 setahun, Daerah Tambunan RM140,160 setahun, Daerah Kecil Sook sebanyak RM133,320 setahun, Daerah Tenom RM110,520 setahun dan Daerah Nabawan sebanyak RM114,960 setahun.

Sebanyak RM358,800 lagi diagihkan sebagai bantuan Hari Raya bagi setiap tahun.

Farhan berkata, sasaran pengagihan zakat ialah kepada lapan pihak di kawasan itu, yang terdiri daripada golongan Fakir, Miskin, Mualaf, Fissbililah, Ibnusabil, Amil, Hamba dan Al-Qarimin.

Bagaimanapun katannya, di kawasan Pedalaman Atas hanya golongan Fakir, Miskin, Mualaf dan Amil yang mendapat pengagihan itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, pusat itu sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan semua golongan mendapat pembelaan.

“Kita sedia untuk memberi bantuan kepada semua pihak yang layak,” katannya dalam satu temuramah eksklusif di pejabatnya.

Menjawab satu soalan, Farhan berkata, hanya tiga buah syarikat perniagaan daripada kira-kira 300 buah syarikat milik orang Islam di daerah ini yang membayar zakat perniagaan.

Syarikat-syarikat itu terdiri daripada Fokus Niaga Haardware, Megacity Construction dan Kelinik Arifuddin.

Menurutnnya, kesederan tentang perlunya membayar zakat terlalu rendah dikalangan pengurus-pengurus syarikat, mengakibatkan kemampuan Pusat Zakat itu untuk membantu mereka yang memerlukan amat terhad.

Beliau mendedahkan hanya 73 orang daripada kira-kira 30,000 orang yang layak di daerah ini, membayar zakat kepada pusat itu, sementara hanya 200 orang kakitangan kerajaan yang membayar zakat melalui potongan gaji.

Beliau berkata, pembayaran zakat boleh dilakukan melalui atas talian (online), atau menghubunginya melalui talian 016-8116380 atau melalui pemindahan Mybank.2U.

Beliau menasihatkan individu atau pengurus syarikat yang layak membayar zakat, agar berbuat demikian bagi membolehkan setiap program Pusat Zakat Sabah untuk membantu golongan yang
memerlukan, dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Jumaat, 27 Mac 2009

Disembelih ... ?










Petikan Buletin TV3


Pendedahan di TV3 mengenai satu serbuan di Kg. Ara Damansara menunjukkan semua ayam yang ditemui tidak disembelih malah diproses tidak mengikut hukum syarak. Ayam terbabit dikhuatiri dilemaskan terlebih dahulu sebelum disembelih bagi mempercepatkan proses penghantaran. Ia turut dicampur dengan ayam yang diproses untuk golongan bukan Islam.

Apa yang mengejutkan terdapatnya tin-tin arak ditemui di tempat memproses ayam. Rumah penyembelihan ini turut menggaji pekerja asing.

Timbalan mufti negeri Selangor, Datuk Abdul Majid Omar mengesahkan semua ayam yang diproses ini tidak halal dimakan.

"Kerana dia menyembelih tu terlalu ke pangkal leher jadi lidah dia tersekat. Jadi ayam ini dikira bangkai.. tak boleh dimakan. Yang kedua kita dapati bercampur, ada ayam yang dicucuk di sini juga. Ini boleh meragukan," katanya.

Difahamkan lelaki yang menyeggara pusat penyembelihan ini pernah mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Agama Islam Selangor mengenai cara penyembelihan yang betul tetapi ianya tidak diambil kisah.



Ulasan SMS

Menyedari wujudnya perkara sebegini, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah wajar memantau pusat-pusat penyembelihan yang ada di negeri Sabah. Adalah tidak mustahil perkara seperti yang berlaku di Selangor berlaku di negeri ini disebabkan kecuaian pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang diberi lesen penyembelihan halal di samping sikap tamak yang mahu mengaut keuntungan berlipat-ganda.

Pihak JHEAINS juga wajar membuat pemantauan berterusan ke pusat-pusat membeli-belah yang terdapat di premis-premis perniagaan seluruh Sabah dan melihat sendiri sijil-sijil halal yang tergantung di premis-premis peniaga sama ada sijil halal itu benar-benar daripada salinan asal atau sudah diseleweng.

Antara tempat yang diragui dan perlu diberi perhatian biasanya tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai;

1. Pusat membeli belah terkemuka, pasar raya, pasar besar, pasar minggu, tamu harian yang menjual daging segar tempatan dan daging import.


2. Peti ais yang menyimpan stok daging-daging eksport dan import yang terdapat di daerah-daerah seluruh Sabah. Logo halal fotocopy atau sticker halal perlu dipantau.


3. Restoran 3 dalam satu. Premis dimiliki orang Cina Buddha yang hanya menjual minuman sementara makanan pula dijual oleh orang Islam. Suasana kerja bercampur-gaul dalam satu bumbung dengan pegangan agama dan kepercayaan masing- masing juga harus dipantau sejauh mana kebersihan pengendaliannya dari segi syarak.

Isnin, 16 Mac 2009

SMS Bersama USIA


Ahad, 15 Mac 2009, buku-buku Panduan Solat Lelaki dan Wanita, Iqra, Fardhu Ain dan lebih 100 buah buku berunsur Islam pelbagai tajuk siap dibungkus untuk dihantar ke beberapa pusat pengajian mualaf di daerah Kota Marudu. SMS bergegas menaiki kancil, memacut laju melalui bukit bukau untuk menghantar buku-buku tersebut. Kira-kira jam 1o. 45 pagi , SMS sampai ke destinasi pertama.

Surau Kampung Salimandut yang baru siap dinaiktaraf pada hujung tahun 2008 menggunakan peruntukan khas yang SMS pohon langsung daripada Perdana Menteri pada tahun 2007. Surau ini telah SMS pilih sebagai surau perintis untuk projek mini perpustakaan kampung Dusun Mualaf. Kelihatan kancil yang banyak berjasa kepada SMS untuk ke kampung-kampung mualaf, Alhamdulillah.


Meskipun masih kekurangan buku-buku, namun setidak-tidaknya inilah langkah awal yang mampu SMS lakukan. Kepada masyarakat Islam yang ada menyimpan buku-buku terpakai, pihak kami sentiasa terbuka tangan untuk menerimanya dengan tujuan memperbanyakkan lagi kewujudan mini perpustakaan yang kami fikir dapat memberi banyak manfaat kepada para mualaf.


Selasai solat Zohor, SMS dengan dibantu salah seorang jamaah menyusun buku-buku untuk disimpan dalam almari khas.


Buku terpakai dan buku-buku baru hasil sumbangan para dermawan.


Surau kampung Marasinsim, antara pusat pengajian mualaf. Tempat pertama SMS kunjungi kira-kira jam 10.30 pagi.


Ustz. Abdul Kahar Abd. Rahman merupakan ketua bahagian USIA Kota Marudu. Beliau
menyambut kedatangan SMS sekali gus menyerahkan buku Panduan Solat, Iqra dan buku Fardhu Ain kepada pelajar mualaf. Beliau merupakan pendakwah bebas yang cukup terkenal di kalangan masyarakat Dusun.


Buku-buku ini adalah buku hasil sumbangan Tuan Hj. Harun dan rakan niaga beliau yang SMS terima di masjid Kota Belud.


Kelas ini terbahagi 3 kumpulan, kumpulan pertama terdiri di kalangan mereka yang belum tahu solat dan bacaannya, kumpulan kedua pula terdiri daripada mereka yang sudah tahu bacaan solat tetapi bacaannya perlu diperbetulkan di samping belajar Iqra. Manakala kumpulan ketiga pula ialah kumpulan pelajar yang sudah tamat bacaan Iqra dan telah mula melangkah ke tahap belajar membaca al-Quran.


Kelompok 2; 3 orang sedang giat dan tekun belajar Iqra dan yang berkaitan dengannya.


Buku Iqra yang dikongsi 2 hingga 3 orang pelajar kerana ketiadaan buku Iqra. Alhamdulillah, hari ini mereka memiliki sebuah Iqra untuk setiap seorang.


Mereka amat berterima kasih kepada penyumbang.

SMS memberi jawaban kepada pertanyaan dan permintaan mereka untuk mendapatkan telekung wanita. Kepada para pembaca SMS, pelajar-pelajar mualaf ini masih memerlukan kain telekung sebanyak 50 pasang, kain sarung 50 helai, al- Quran 10 buah serta sejumlah kupiah.


Buku panduan solat sudah mereka terima.


Bahan bacaan amat diperlukan mereka.


Kelihatan pinggan-mangkuk pelajar. Suasana dirakam selepas minum pagi.

Ahad, 15 Mac 2009

SMS Musafir Lagi...


SMS menyampaikan perkembangan masyarakat Dusun Islam
kepada dermawan, Tuan Hj. Harun dan rakan niaganya di masjid Kota Belud.
Dermawan seperti mereka merupakan tulang belakang Islam seperti Siti khadijah yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah ketika zaman Rasulullah S. A. W.


12 Mac 2009, di masjid Kota Belud


Suasana seperti ini biasa dilihat di kampung-kampung Dusun di negeri Sabah. Mata terasa segar melihat kerbau yang bilangannya kian berkurang kini.


Gerai di tepi-tepi jalan antara tempat persinggahan SMS ketika lapar dan dahaga. Selain menjimatkan kos, SMS sedikit sebanyak menyokong pengusaha-pengusaha gerai yang bertungkus-lumus mencari rezeki demi meneruskan perjuangan hidup.
SMS dalam perjalanan ke Putatan pada 14 Mac 2009.


Tidak kira masa dan tempat, SMS sering mendapat panggilan telefon dari pelbagai lapisan masyarakat. Antaranya ada yang meminta khidmat kaunseling rumahtangga, pengurusan kematian, kenduri-kendara dan macam-macam lagi.


12 Mac 2009, SMS di Kota Belud bersama sdr. Awg. Hasrul. Beliau antara sahabat yang banyak membantu SMS dan para pendakwah ketika mengadakan program di Kota Belud.


SMS di Ranau pada pagi 11 Mac 2009. Bersama Hj. Safrin Abd. Karim, SMS bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea berkaitan dakwah di Ranau.


Nota, pen dan kamera. Tiga teman akrab SMS dalam setiap perjalanan ke daerah-daerah Dusun. Alat paling berguna untuk merakamkan peristiwa-peristiwa penting sepanjang musafir SMS.



USIA lipat ganda dakwah kembang syiar Islam di kalangan saudara baru -

Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 10 Mac - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan melipat gandakan gerakan dakwahnya di negeri ini dalam usaha mengembangkan syiar Islam di kalangan saudara-saudara baru.

Yang Dipertuanya, Tun Sakaran Dandai berkata, gerakan dakwah yang dijalankan oleh pertubuhan itu pada tahun 1969 hingga 1976 telah melahirkan kira-kira 50,000 saudara baru di Sabah.

''Jumlah tersebut semakin bertambah hingga ke hari ini. Kita beruntung kerana dibantu oleh institusi Islam dan badan-badan dakwah yang lain di negeri ini," katanya pada majlis makan malam meraikan peserta seminar Serantau Perkembangan Islam Borneo di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sabah, Prof. Madya Dr. Worran Kabul; Pengarah Seminar Serantau Perkembangan Islam, Yunus Abd. Samed dan Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin.

Seminar sehari itu disertai lebih 100 peserta tempatan dan luar negara iaitu Indonesia dan Brunei Darussalam.

Sakaran berkata, pertubuhan tersebut akan terus memainkan peranannya sebagai badan dakwah yang terunggul di negeri ini ke arah memperkasakan gerakan dakwah seiring dengan cabaran dan keperluan semasa.

''Dakwah seharusnya dilaksanakan dengan ikhlas dan sistematik supaya ia kekal lestari dan relevan setiap masa," katanya.

Beliau menambah, ledakan kemajuan teknologi maklumat juga harus digunakan oleh golongan pendakwah Islam ke seluruh dunia sebagai pendekatan terbaik dalam gerakan dakwah yang mereka jalankan.

''Para pendakwah tidak seharusnya terikat dengan satu pendekatan sahaja. Mereka harus mempelbagaikan kaedah dan pendekatan yang sesuai dan ia perlu dilakukan dalam perancangan organisasi yang erat dan mantap," ujarnya.

Mengenai seminar tersebut, Sakaran berkata, ia merupakan medan terbaik untuk melebarkan pengetahuan, pemahaman dan pengalaman pendakwah Islam untuk dikongsi bersama oleh seluruh umat Islam di rantau ini.

''Hasil perbincangan melalui seminar ini diharap dapat dikongsi bersama demi kebaikan dan kemajuan masyarakat Islam secara keseluruhannya," katanya.