
Mohd Nazri Abdullah
Sejak kebelakangan ini Suara Mualaf Sabah ( SMS ) banyak memberi kenyataan akhbar antaranya dalam Utusan Malaysia, Sabah Times dan Utusan Borneo. Kenyataan yang diberikan adalah berkisar tentang kepentingan para mualaf khasnya di daerah Kota Marudu dan amnya di Sabah. Pihak- pihak berkaitan telah memberi respon. Seperti yang kita baca dalam petikan akhbar, kata mereka ....

Menurut pelajar mualaf, wang ihsan daripada Pusat Zakat Sabah seperti yang dijanjikan tiap-tiap bulan Rm 200 telah diberikan kepada mereka ini seminggu sebelum Hari Raya Idulfitri tahun 2008. Mereka mendapat bayaran 6 bulan setelah SMS membuat kenyataan akhbar tentang keadaan pelajar mualaf yang sedang belajar di masjid Pekan Kota Marudu. Namun sehingga hari ini ( tamat pengajian 1 tahun ) baki 6 bulan selebihnya, belum mereka terima lagi. Yang layak menjawab kenyataan ini adalah pihak Zakat Sabah ...

Tanyalah pelajar-pelajar ini, apa betul atau tidak mereka ini sudah mendapat elaun pendidikan daripada pihak anda .... Pagi Sabtu esok, mereka akan berkumpul seperti biasa, belajar di Masjid pekan Kota Marudu. Silakanlah datang dan tanya mereka. Jangan tanya kakitangan JHEAINS Kota Marudu, kerana kalau anda tanya, pasti anda menerima jawaban 'ok' semuanya. Jangan tidak datang bos... Oh ya, hari itu, SMS ada cakap pasal
udang di sebalik batu. SMS tutup dululah udang dan batu ni. Nanti, bila elaun pelajar mualaf dibayar, barulah SMS beritahu bos ... ( klik gambar untuk mendapatkan imej yang jelas )
Pusat Zakat Sabah sasar kutipan RM21j
KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah menyasarkan kutipan zakat harta RM21 juta tahun ini daripada masyarakat Islam yang layak untuk membayar zakat harta mereka di negeri ini.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Mohd Zaratkhan Abd Rahman, berkata pihak-nya berharap sasaran itu dapat dicapai dengan peningkatan tahap kesedaran dan keyakinan orang ramai terhadap institusi zakat itu.
“Kesedaran orang ramai terhadap institusi zakat ini semakin bertambah dan ini jelas dapat di lihat dengan jumlah mereka yang layak membayar zakat terus bertambah dari tahun setahun,” katanya kepada New Sabah Times di sini, kelmarin.
Katanya, pada tahun lalu Pusat Zakat Sabah telah berjaya mengutip RM16.4 juta untuk zakat harta daripada lebih 11,000 orang pembayar zakat harta, ini jauh lebih baik daripada tahun 2003 iaitu hanya RM2.6 juta daripada hanya kira-kira 300 orang yang membayar zakat harta.
“Sejak 2003, jumlah pembayaran zakat harta sentiasa meningkat dari tahun ke setahun di mana RM2.6 juta pada 2003, diikuti 2004 (RM3.5 juta), RM7 juta (2005), RM12 juta (2006) dan RM12.4 juta pada tahun 2007 dan RM16.4 juta tahun lalu,” katanya.
Manakala, bagi zakat fitrah pula katanya, ia juga turut meningkat bermula daripada 2003 sejumah RM3.9 juta berjaya dikutip daripada umat Islam di negeri ini dan ia meningkat kepada RM7.3 juta pada tahun lalu daripada lebih 900,000 pembayar zakat fitrah.
Mohd Zaratkhan berkata, pada tahun ini, pihaknya masih meletakkan sasaran untuk mengutip RM7 juta zakat fitrah daripada kira-kira 1 juta pembayar zakat fitrah di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam yang layak membayar zakat harta mereka supaya tampil ke hadapan untuk membayar zakat daripada harta mereka kepada Pusat Zakat yang kemudiannya akan diagih-agihkan kepada golongan yang layak menerima wang zakat berkenaan.
Jelasnya, tahun lalu sahaja daripada RM23.8 juta wang zakat harta dan fitrah yang diterima oleh Pu-sat Zakat Sabah, sebanyak RM19.4 juta sudah diserahkan kepada seluruh penerima zakat yang layak.
Dalam pada itu, Mohd Zaratkhan juga berkata, pada tahun ini pihaknya dijangka akan memperuntukkan RM2 juta.
Sementara itu, beliau berkata, Pusat Zakat Sabah juga telah membelanjakan RM1.5 juta tahun lalu untuk tujuan meraikan dan pendidikan untuk pengurusan kelas bimbingan agama Islam untuk saudara baru (mualaf)
Tahun ini, katanya, jumlah peruntukan itu dijangka akan bertambah dan pihaknya meletakkan sasaran peruntukan RM2 .3 juta untuk tujuan itu.
Selain itu, Pusat Zakat juga turut membantu untuk memberikan bantuan bulanan maksimum RM200 kepada lebih 5,000 penerima yang terdiri daripada golongan miskin tegar di negeri ini termasuk saudara baru.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan bahawa golongan mualaf di negeri ini diabaikan termasuk soal pembayaran zakat yang didakwa lambat dibayar kepada golongan terbabit.
“Kita kena ikhlas dan telus dalam membantu sesiapa sahaja termasuk saudara baru, jangan membuat tohmahan yang tidak berasas … ini kerana akan menjejaskan keyakinan terhadap mereka yang membayar zakat yang pada masa ini pencapaian institusi zakat sudah bertambah baik,”katanya.
Baru-baru ini Penyelaras Program-Program Mualaf Sabah, Mohd Nazri Abdullah, meminta Pusat Zakat Sabah supaya mempercepat bayaran zakat kepada beberapa mualaf di negeri ini yang didakwanya tidak memperolehi wang itu sejak enam bulan lalu.
Sabah Times 6 Mac 2009