Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Selasa, 9 Disember 2008

Raikan mereka...





Ust. Abdul Rahman Abdullah ( Pengetua Rumah Anak Yatim Baitul Ummah )


Meraikan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitul Ummah Kuala Lumpur. Mereka kini dalam program integrasi pelajar bersama pelajar-pelajar Pusat Tahfiz al-Quran kelolaan Ust. Hanzalah di Kota Kinabalu. Hari Raya di rumah Suara Mualaf Sabah ( SMS )

Isnin, 8 Disember 2008


SELAMAT HARI RAYA IDUL ADHA
KEPADA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
Daripada: Suara Mualaf Sabah & warga mualaf pedalaman Sabah.

Tanah Runtuh...Mengapa?

Ulasan Akhbar :

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, menggemparkan seluruh negara dan kejadian ini bukan kali pertama berlaku di kawasaan yang sama. TV dan akhbar telah membuat liputan pelbagai tajuk dan warna gambar kejadian tersebut sehingga sebahagian besar berita TV berkisar kejadian ini. PM dan TPM masing-masing membuat kenyataan, diikuti menteri-menteri berkaitan. Pakar-pakar Sains dan Teknologi merumuskan kejadian ini berlaku disebabkan struktur tanah di kawasan lereng bukit, tanah menampung terlalu banyak air dan macam-macam lagi. Semua itu merupakan sebab musabab kejadian ini berlaku. Hakikatnya, perlu kita fikirkan seketika tentang firman Allah dalam al-Quran, surah alKahfi ayat 32 hingga 42.

Mari kita sama-sama membaca Tafsir al-Quran Rasm Uthmani (Prof. Dr. Hj. Mahmud Yunus ) pada halaman 424 -426 berkaitan ayat 32 hingga 42 surah al Kahfi; Dalam ayat-ayat ini Allah SWT memberi satu perumpamaan iaitu dua orang lelaki bersaudara, seorang kafir bernama Qatrus dan seorang lagi mukmin bernama Yahuza. Keduanya mendapat pusaka dari orang tuanya 8000 dinar, lalu dibahagi dua, masing-masing mendapat 4000 dinar. Oleh Qatrus, wang itu dibelikannya tanah yang luas untuk dijadikan kebun. Dan saudaranya yang mukmin, Yahuza mengorbankan hartanya untuk amal kebajikan sehingga habislah semua wangnya. Qatrus telah mempunyai dua bidang kebun yang luas; iaitu kebun anggur dilingkari dengan pohon-pohon kurma yang berderet-deret dan indah. Di antara keduanya ditanam pula dengan bermacam-macam tanaman. Di dalam kebun itu mengalir air untuk menyirami kebun itu. Pada suatu hari, datang Yahuza menemui Qatrus lalu Qatrus berkata, aku lebih kaya darimu, hartaku lebih banyak, pengikutku juga ramai. Lalu dibawanya Yahuza masuk ke dalam kebun-kebun sambil menyombong diri, seraya berkata: kebun ini tidak akan musnah, bahkan akan tetap kekal. Kiamat juga pasti tidak akan datang, jawab saudaranya; Patutlah engkau kafir ( engkar) terhadap Allah SWT yang menjadikan engkau dari tanah, kemudian dari air lelaki kemudian menyempurnakan kejadianmu sebagai seorang lelaki.Tapi aku tetap yakin bahawa Allah SWT tuhanku, dan tidak pernah aku menyekutukannya dengan sesuatu juapun. Ketika kamu masuk ke kebun itu, mengapa kamu tidak sebut Maasya Allah, la haula wala quwwata illaa billah ( inilah kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dari Allah Taala).
Jika kamu melihat aku kekurangan harta dan anak-anak, maka, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahiku kebajikan yang lebih baik dari hasil kebunmu. Siapa tahu, boleh jadi Allah SWT mendatangkan bahaya dari langit ke kebunmu, lalu musnah dan licin tanahnya, atau air dalam kebun itu dihisap tanah, sehingga kering dan tandus. Sebab itu, jangan engkau menyombong diri. Tidak lama kemudian, datang bahaya yang tidak disangka-sangka, sehingga musnah semua kebun itu, baru dia insaf dan menyesal, tetapi sesal kemudian tidak berguna. Perumpamaan ini patut dijadikan pengajaran bagi orang-orang kaya yang sombong kerana kekayaannya. Mereka harus insaf, bahawa harta benda itu adalah amanah Allah SwT di tangannya. Apabila Allah SWT kehendaki, nescaya diambil-Nya kembali
.


Aliran air bawah tanah punca runtuh - Najib

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

NAJIB Tun Razak dan isteri, Rosmah Mansor mendengar keluhan mangsa ketika melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa nyawa dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui siasatan awal, aliran air itu adalah serupa dengan punca tragedi tanah runtuh di pangsapuri Highland Towers yang berlaku 15 tahun lalu.
"Ini yang paling berbahaya sekali kerana kita tidak tahu sebenarnya tanah di kawasan itu terancam.
"Walaupun kawasan itu nampak seolah-olah selamat tetapi sebenarnya tidak dan kita mesti lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek pembangunan di kawasan sebegini," katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi kejadian di sini hari ini.
Justeru, katanya, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk tidak lagi meluluskan sebarang permohonan pembangunan di kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko tinggi.
Menurutnya, beliau berharap para pemaju dapat mematuhi arahan itu dan tidak melobi untuk mendapatkan kelulusan bagi projek pembangunan di kawasan-kawasan sedemikian pada masa hadapan.
Dalam perkembangan sama, Najib berpuas hati dengan kerja-kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan agensi-agensi berkaitan di lokasi kejadian.
Katanya, agensi kerajaan seperti polis, tentera, Pertahanan Awam (JPA 3) serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) menunjukkan kerjasama yang baik sepanjang kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan.
Selain itu katanya, pihak polis juga menunjukkan kecekapan mereka apabila mengeluarkan dua mangsa kejadian yang masing-masing diserang sakit jantung dan hamil dari tempat kejadian dengan menggunakan helikopter.
Namun, katanya, pihak penyelamat perlu mengambil tindakan dengan penuh berhati-hati kerana kawasan itu masih belum stabil.
''Kalau ada aktiviti yang boleh menggegarkan kawasan ini, ia boleh memberi kesan terhadap pergerakan tanah," jelasnya.


1,500 rumah di Bukit Antarabangsa bergelap

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sebanyak 1,500 buah rumah dari sembilan buah taman di Bukit Antarabangsa bergelap malam ini kerana 12 daripada 16 pencawang elektrik yang rosak tidak dapat dibaik pulih.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, perkara itu berlaku kerana kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dibenarkan menghampiri pencawang terbabit kerana ia berada berdekatan kawasan bencana.
"Bagaimanapun kita telah menyediakan janakuasa dan apabila pencawang itu boleh dibaiki kita terus sambung bekalan.
"Saya harap 5,000 penduduk yang terjejas mengambil langkah keselamatan sekiranya mereka menggunakan lilin bagi mengelak berlakunya malapetaka lain," katanya ketika ditemui semasa melawat kawasan bencana tanah runtuh itu di sini hari ini.
Mengenai bekalan air pula Shaziman berkata, bekalan untuk 2,200 buah rumah telah dipulihkan manakala baki 800 lagi dijangka pulih tengah malam ini.
Beliau yang juga memangku tugas Menteri Kerja Raya berkata, seramai 12 pegawai teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, pegawai terbabit akan melakukan kajian mengenai kejadian tanah runtuh itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mendiami kawasan bercerung dan bertebing supaya memerhatikan sebarang kelainan pada strukturnya.
"Saya harap mereka membuat laporan kepada pihak berwajib, mereka perlu berhati-hati kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan hujan akan berlarutan dalam masa terdekat," katanya.


Ketua Setiausaha Sulit PM terselamat

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, di sini awal pagi ini kerana bermalam di rumah ibunya.
Mohamed Thajudeen berkata, disebabkan pulang lewat malam tadi selepas habis urusan kerja, beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibunya, di Kampung Baru.
"Walaupun saya sedih dengan apa yang menimpa, namun saya bersyukur kepada Allah kerana kami sekeluarga terselamat dari malapetaka itu.
"Saya langsung tidak menyangka keputusan kami untuk bermalam di rumah ibu saya ada hikmah di sebaliknya," katanya ketika ditemui di sini.
Menceritakan peristiwa itu Mohamed Thajudeen berkata, beliau menerima panggilan daripada salah seorang jirannya kira-kira pukul 4 pagi dan tiba di lokasi kejadian satu jam kemudian.
Katanya, beliau yang tidak menyangka runtuhan berkenaan seperti yang dikatakan oleh jirannya itu bagaimanapun terkejut apabila melihat sebahagian besar rumahnya musnah dalam runtuhan tersebut.
"Sedih... saya tinggal di rumah ini lama," ujarnya.
Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta CRV dan Perdana milik Mohamed Thajudeen turut tertimbus dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, kehadiran penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa di lokasi kejadian mencuri perhatian para petugas media yang bertugas di kawasan berkenaan sejak pukul 6.30 pagi itu.
Siti Nurhaliza yang tinggal kira-kira satu kilometer dari kawasan kejadian berkata, beliau tidak mendengar sebarang bunyi ekoran runtuhan tanah tersebut yang meranapkan 14 buah rumah.
Tambahnya, buat masa ini beliau sekeluarga belum mengambil sebarang keputusan untuk berpindah.

Sabtu, 6 Disember 2008

Dusun Islam Ranau, Sabah.




Generasi Dusun Islam di Ranau mendapat Islam daripada dua pendakwah awal yang datang ke Ranau iaitu Allahyarham Mandur Syarif yang berasal dari Indonesia yang memperkenalkan Islam ke tengah-tengah masyarakat Dusun dengan cara perubatan atau lebih dikenali masyarakat Ranau sebagai ( Bomoh ). Manakala seorang lagi ialah Allahyarham Haji Zaini Al-Palembang yang membawa Tareqat, ke dalam masyarakat suku ini. Semoga roh mereka di rahmati Allah, Al-Fatihah.

Begitulah berhikmahnya dua orang tokoh ini menawan masyarakat Dusun sehingga Islam di terima sebagai anutan mereka. Kedua-dua mereka bermasyarakat dan tinggal bersama orang kampung suku Dusun. Sehingga ke hari ini, dua nama besar ini sukar di cari ganti.













Ulasan kenyataan akhbar :



Cadangan pihak USIA membawa masuk lebih ramai para ilmuan dari luar negara untuk melahirkan golongan profesionalisme umat Islam yang berkefahaman mantap dalam asas agama ini melambangkan keprihatinan pihak USIA menggerakkan dakwah ke tengah-tengah masyarakat bandar. Langkah ini menunjukkan syiar Islam tidak pernah dipinggirkan di tengah-tengah arus pemodenan. Masyarakat bandar sewajarnya bijak menilai usaha-usaha sebegini agar mereka tidak terus kekal lalai serta menerima dakwah sebagai satu keperluan sama seperti perlunya makan dan minum dalam kehidupan seharian mereka. Jika sekadar menghadiri program dakwah disebabkan surat rasmi yang mewajibkan mereka hadir ke program –program dakwah, nampaknya usaha-usaha dakwah yang berpusat di tengah-tengah bandar hanya membuang masa dan kos kerana, orang datang bukan disebabkan kemahuan tapi sebaliknya. Biasanya, orang-orang agama jugalah yang memenuhkan ruang-ruang dalam program-program agama sepeprti ini…Inilah senarionya di bandar.



Mari kita lihat jenis manusia bandar. Pekerja kilang dan kedai, pencuci kereta, penjaja, pelobi, menteri, peniaga, kakitangan kerajaan, menteri dan lain-lain. Otak-otak manusia yang tinggal di bandar ini terutamanya golongan-golongan professional, biasanya celik dan terbuka. berputar ikut peredaran sekeliling. Sentiasa ligat berfikir. Kalau tidak, orang kampung tidak akan berani turun ke padang yang asing baginya semata-mata mencari rezeki. Bagaimana pesatnya Bandar itu membangun, begitu jugalah pesatnya fikiran mereka berkembang. Apa saja yang mereka perlukan tentu mereka dapat. Setakat memenuhi keperluan harian, boleh saja, yang penting kemahuan. Seandainya mereka menganggap Islam sebagai satu keperluan, mereka tentu punya pelbagai alternatf untuk memenuhi keperluan ini. Pendek kata, dunia di hujung jari. Jika sudah begini, individu yang memang sudah kenal Islam lagilah hebat. Tidak perlu ditukul, paku ilmu itu memang jelas sudah masuk ke diri mereka. Pendek kata, masalah orang bandar dan golongan professional ini tidaklah seteruk orang-orang pedalaman. Nah…Kalau muslim Bandar yang sudah pintar dan celik ini tidak mahu Islam, anggap remeh tentang amalan Islam sedangkan mereka tahu kewajipan yang sepatutnya mereka tunaikan, itu bukan salah sesiapa lagi melainkan diri mereka. Syiar sudah sampai kepada mereka tetapi diri sendiri tidak mahu beramal. Jika ditumpukan juga kepada orang-orang seperti ini, ia mungkin menenggelamkan perhatian kita kepada usaha dakwah di pedalaman-pedalaman Sabah.



Antara sempadan daerah Pitas dan Kota Marudu dan Kudat, wujud sebuah kampung yang dipanggil Kampung Jambatan Besi. Jalan ke kampung ini berliku-liku. Tiada kemudahan hatta surau kecil pun di kampung ini tapi, majority penduduknya beragama Islam. Sebelum lading kelapa sawit wujud, mereka turun ke Beluran menaiki perahu. Terdapat lebih sepuluh buah rumah di sini. Rutin harian bertanam padi, menangkap ikan dan memburu. Hasil mereka dijual ke Beluran. Kini, kawasan tanah pertanian mereka yang sekengkang kera dihimpit oleh ladang kelapa sawit.



Saya dan beberapa orang pendakwah bebas sampai ke tempat ini ketika program dakwah 2006. Percaya atau tidak, orang-orang ditempat ini menanam mayat manusia seperti menanam bangkai anjing kerana tidak tahu cara pengkebumian secara Islam, tapi bila ditanya agama mereka, mereka jawab, “kami Islam”. Inilah antara peristiwa sedih yang pernah kami lalui dalam program dakwah sehingga saya terfikir mungkinkah masih ada kelompok manusia yang wujud di bumi Sabah ini yang belum pernah ditemui manusia?



Senario masyarakat pedalaman di atas menunjukkan keperluan dakwah ke pelusuk-pelusuk pedalaman sudah mencapai tahap maksima. Kita mahu tunggu apa lagi? Dalam waktu orang bandar sudah selesa diberi program bertaraf global, orang-orang Islam di pedalaman masih tinggal kosong. Tidak ada apa-apa. Mereka hanya tahu mereka itu agamanya Islam tapi setakat mengaku sahaja. Nama Islam itu hanya didengar tapi syiarnya tidak sampai. Kalau orang-orang bandar, orang-orang professional dimantapkan asas Islamnya bak disuap nasi ke mulut , orang Islam di pedalaman, dihidang nasi pun tidak. Walhal, orang-orang pedalman seperti ini tidak meminta lebih. Otak mereka tidak licik dan ligat seperti orang bandar. Kita ajarlah satu benda, mereka akan terima tanpa banyak soal. Beritahulah mereka tentang keEsaan Allah di tempat mereka bercucuk tanam atau di sungai tempat mereka menangkap ikan pun, mereka akan terima kerana, fikiran mereka tidak bercabang. Tumpuan mereka satu-satu masa tidak banyak. Apa yang utama bagi mereka ialah perut mesti diisi. Keperluan lain dari makan tidak mendesak mereka. Sebenarnya, mudah kalau mahu mendekati mereka. Keberjayaannya orang-orang kristian menawan dan menyebarluar agama mereka ke masyarakat pedalaman mungkin disebabkan mudahnya menawan hati mereka. Ditawan dengan sebungkus maggi kemudian bertukar akidah, kisah biasa yang kami dengar di pedalaman.



Bandar dan desa. Dua jurang yang mewujudkan dua blog fikiran. Wang ratusan ribu yang digunapakai dalam program dakwah di bandar semata-mata untuk mengglobalkan dakwah mungkin dapat menyelamatkan akidah ratusan orang di pedalaman. Program dakwah di bandar biarlah dibuat secara sederhana dan seadanya, tidak perlu lagi melibatkan kos itu dan ini semata-mata mahu melengkapkan kertas kerja dan membuat hitam putih dimana wang itu disalur. Berbaloi agaknya kalau wang-wang besar ini, kita labur ke pelusuk-pelusuk pedalaman kerana di situlah sebenarnya dan selayaknya dana-dana itu digunakan. Di situlah medan sebenar dakwah, di situ jugalah ratusan manusia sedang hidup terumbang-ambing. Berdiri atas Islam tapi, ilmu tidak ada.

Pengglobalan dakwah perlu dilaksanakan adil ke seluruh pelusuk desa dan pedalaman. Nampaknya kurang praktikal jika program-program besar dakwah berkali-kali diadakan di bandar-bandar utama di Sabah sedangkan masyarakat luar Bandar tidak mendapat faedah dari program tersebut. Pendakwah-pendakwah perlu ditambah kuantii dan kualitinya serta dihantar ke kampung-kampung berpusat ke seluruh negeri Sabah.

Pihak USIA harus mengembalikan kegemilangannya ketika zaman USNO & Tun Mustafa. Ketika itu USIA sungguh aktif di luar bandar meskipun ada motif politik. Penterjemahan buku-buku agama dalam bahasa tempatan Sabah juga membantu menangani usaha dakwah yang kian malap sejak kebelakangan ini. Orang perseorangan yang di kampung-kampung yang diangkat masyarakat setempat sebagai imam kampung ( tidak bertauliah ) wajar diangkat sebagai pendakwah an diberi latihan khusus jika perlu.

Inilah perkara yang patut kita fikirkan semula. Jangan kaburkan pandangan kita dengan program dakwah global yang ada di bandar. Dakwah di bandar sudah lebih global dari global. Teknologi kini amat canggih, mereka boleh santap ilmu itu bila saja mereka mahu.






USIA bawa lebih ramai penceramah luar Negara
( Utusan Malaysia 4. Dis 2008 )



KOTA KINABALU Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) berhasrat membawa lebih ramai penceramah agama Islam dari luar negara sebagai langkah menglobalkan program dakwah ke seluruh negeri ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Abdullah Hussin berkata, program ceramah tersebut merupakan pendekatan terbaru USIA bagi melahirkan golongan profesional umat Islam yang memiliki asas kefahaman agama yang mantap dan jitu.
''Ceramah adalah medium terbaik yang dapat memberikan kefahaman mengenai ajaran Islam kepada orang ramai. Baru-baru ini, kita telah menjemput tokoh luar negara iaitu Dr. Sheikh Yusuf Estes dari Amerika Syarikat.
''Kehadiran beliau berjaya mengumpul 1,000 orang di Auditorium Yayasan Sabah," katanya di sini semalam.
Abdullah berkata, kehadiran penceramah luar itu secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat agar lebih terbuka serta lebih memahami agama Islam dari perspektif yang positif.
Menurutnya, kefahaman mengenai Islam amat penting dalam keadaan dunia masa kini yang menggangap umat Islam terlalu ekstrem kerana kurangnya kefahaman terhadap Islam.
Dalam pada itu Abdullah berkata, USIA akan terus mensasarkan golongan belia dalam program ceramah yang dianjurkan.
Ini kerana, katanya, didikan agama yang tinggi akan melahirkan belia berakhlak mulia dan disegani seluruh masyarakat berbilang kaum.
Untuk itu, jelasnya, USIA akan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan pertubuhan Islam lain di Sabah bagi memastikan keberkesanan program ceramah yang dilaksanakan.

Selasa, 2 Disember 2008

Aramai tiii ...


Selamat pengantin baru Eronita Matubin & suami

Kiri; Cikgu Androd Sadian ( blogger ) Kanan; Cikgu Jidin Janaun


Muzik tradisional terdiri daripada tawag dua buah, botukul tiga buah dan kulintangan sembilan buah sering dimainkan ketika majlis pernikahan atau pesta menuai oleh Suku kaum Dusun Kimaragang apabila dipukul mengeluarkan bunyi yang rancak dan mengasyikkan. Kumpulan Sri Tumunda ( gambar ) sering diundang ke majlis keraian jabatan-jabatan kerajaan di peringkat daerah dan negeri







<< < < Rinapa / Rinabus - Bahasa Dusun Kimaragang bermaksud lauk yang direbus / sup. Resepinya cukup mudah: air, garam, perasa

Masyarakat Kampung Salimandut Tandek, Kota Marudu, Sabah. Suku Dusun Kimaragang
3 hari lalu saya berkesempatan bertemu dengan pemblog Kota Marudu yang menggelarkan dirinya SANGURU @ HHM. Sentuhan-sentuhan pena dan minda beliau tidak kurang hebatnya, ditambah lagi dengan ilustrasi kartun yang menjadikan kita berfikir kartun-kartun. Meskipun hanya kartun bisu tapi punya pengertian yang mendalam dan tersirat, cukup untuk dijadikan pengajaran. Saudara-saudara yang ingin membaca dan mengetahui lanjut aliran fikiran anak muda ini, silalah layari blog beliau http://yomogun.blogspot.com .

Masyarakat Sabah khususnya Orang Dusun sering disinonimkan dengan ‘aramai tii’. Dua frasa ini sebenarnya menjurus kepada situasi bersuka ria@ berpesta pora yang melibatkan lebih dari seorang. Selain itu, ia juga disifatkan sebagai kumpulan yang sedang berpesta minum-minum sehingga mencapai tahap mabuk dan ketagih. Minuman memabukkan dalam masyarakat Dusun ini terlalu bervariasi sehingga menimbulkan banyak nama antaranya Tapai, Riningkat, Kinomol, Sagantang, Lihing, Bahar dan banyak lagi. Kesemua nama yang disebutkan ini sinonim dengan arak dalam bahasa Melayu. Hanyasanya sumber atau bahan campuran minuman menjadikan namanya berbeza-beza. Begitulah pincangnya gelaran yang diberi kepada kaum Dusun. Pendek kata, asal dengar aramai tii saja, itu tentu Dusun, walhal masih banyak lagi kaum lain di Sabah malah dunia ini yang tidak kurang hebatnya menagih arak hatta ada negara di dunia ini menjadikan arak sebagai sumber kekayaan sekali gus simbol kemewahan negara.

Dalam pertemuan saya dengan Sanguru , pelbagai isu kami sentuh berkaitan N. 5 Tandek dan masa depan. Meski kami bukan Yang Berhormat ( YB ) tapi, tidak salah bah kan berfikir ala-ala YB…Hehehe… Beliau seorang pendidik. Saya pula seorang petani yang berkecimpung dengan NGO. Berlumpur dan berjemur matahari biasa bagi saya. Sebagai NGO saya tidak pernah membenteng diri dari berhubung dengan mana-mana individu dan jabatan kerajaan khususnya di Sabah. Sejak 18 tahun lalu, saya sudah menyertai badan NGO sehingga hari ini . Dalam waktu sepanjang itu, saya biasa ditanya tentang tahap pendidikan saya. Masyarakat menganggap tahap pendidikan yang ditamatkan di universiti dan mendapat pelbagai gelaran itu sebagai kayu pengukur kecerdasan, kepintaran dan kebijaksanaan individu. Tapi, saya tidak ada semua itu kerana universiti saya ialah universiti kehidupan. Sebab itu, bila mereka bertanya, saya akan jawab “ saya keluaran UK, dan mendapat Phd dalam bidang alam dan manusia”. Biasanya orang akan berfikir seketika sebelum saya menjelaskan maksud sebenar.

Dari mana datangnya idea UK itu? Saya tidak menipu bukan? Sebab jelas, selain membaca buku, saya juga sering membaca watak manusia. Saya baca alam sekeliling. Pergolakan persekitaran saya sama ada benda hidup atau mati semuanya menjadikan akal ini menimba pelbagai ilmu. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia sebaik-baik kejadian.

Bersantai di anjung aramai tiii memang ramai. Pernikahan anak buah saya 3 hari lalu memasyarakatkan lagi penduduk kampung Salimandut. Selamat pengantin baru Eronita Matubin & suami. Untuk mereka, ingatlah, rumahtangga ini jangan manisnya sahaja ditelan sementara pahitnya dibuang tapi kedua-duanya mesti ditelan bersama. Kepada semua yang bertungkus lumus membantu menjayakan perkahwinan mereka, diucapkan jutaan terima kasih . Tukang masak , pelayan, pencuci piring dan macam-macam kerja yang tidak pernah diberi gaji. Memadai dengan kasih sayang, perpaduan hati dan ucapan terima kasih, itulah prinsip orang kita.

Catatan : Masyarakat Dusun Kimaragang masih mengekalkan budaya tolong menolong dan bantu membantu . Apa sahaja jenis keramaian mereka akan datang mengisi jawatan-jawatan kosong dalam majlis tidak kira lelaki dan perempuan. Percaya atau tidak, datanglah sendiri mendekati masyarakat ini. Dan satu hal yang pasti…memang aramai … Bagaimana pula di tempat anda … ?




Sabtu, 29 November 2008

Cop Keramat vs Yang Maha Adil

( NGO )


( Antara pemimpin Sabah )


( Payau indada harga )

Dalam masyarakat Bajau Ubian yang tinggal di pesisir pantai negeri Sabah terutama di Teluk Pulau Bumbum Semporna Sabah, adat menjadi sumber hukum dan pegangan yang masih kuat diamalkan masyarakat setempat. Perkara ini telah disaksikan sendiri oleh pendakwah bebas, Puan Rosnani Untol ketika program dakwah di pulau tersebut baru-baru ini. Menurut beliau, antara contoh amalan dan pegangan yang masih mereka amalkan adalah adat ketika berlaku kematian iaitu:

1. Jika berlaku kematian, kubur si Mati akan dijaga siang malam selama 20 hari atau 40 hari dalam tempoh 100 hari dari tarikh si Mati meninggal dunia.



2. Menyediakan tempat khas kononnya tempat untuk roh si mati bersemadi . Katil dan tilam disediakan dan dipasangkan kelambu serta dihias seperti kamar pengantin.


3. Imam akan ke kubur si Mati sebelum Maghrib untuk menjalankan acara membawa roh pulang ke rumah. Ketika waktu ishraq, roh akan dihantar semula oleh imam ke kubur.


4. Acara tari-menari serta bermain daun terup@ pakau untuk menghilangkan rasa mengantuk sepanjang berjaga merupakan amalan biasa dalam masyarakat ini.


Persoalannya, kenapa ini berlaku ? Jawabnya, kerana mereka ini jahil tentang Islam serta para pendakwah tidak serius mendampingi masyarakat. Penduduk di sebahagian tempat di pedalaman Sabah yang pernah kami kunjungi dalam misi program dakwah menyatakan bahawa kunjungan pihak Jabatan Agama ke tempat mereka amat jarang dan jika adapun ianya bermusim. Teruknya senario dakwah di kawasan pedalaman ini dapat digambarkan apabila ditanya kepada penduduk di salah sebuah kampung yang kami kunjungi, bilakah kali terakhir tempat itu didatangi jabatan agama, dijawab “ 11 tahun yang lalu” . Suasana Ini telah dan sedang berlaku di kampung-kampung pedalaman, Sabah. Mungkin saudara-saudara pembaca agak terkejut dengan berita seperti ini tapi inilah hakikatnya keadaan yang berlaku di Sabah dengan gelaran harmoninya Negeri di Bawah Bayu.


Kepada pihak kerajaan dan menteri yang berkaitan, sepatutnya ketika membuat lawatan ke Sabah, anda wajar memanggil orang yang benar-benar terlibat langsung dengan kerja dakwah khasnya badan NGO . Janganlah ditelan bulat-bulat sahaja laporan pegawai-pegawai yang dibayar gaji kerana memikul tanggungjawab. Kasihanilah masyarakat Islam yang masih tercari-cari apa itu Islam? Salah merekakah jika syiar itu tidak sampai pada mereka? Mudah sangatkah kita bebankan mereka tentang tanggungjawab menuntut ilmu sedang mereka di waktu yang sama bergelanggang di perkebunan dan lautan mencari rezeki dan tidak tahupun tentang kewajipan menuntut ilmu. Di mana silapnya? Orang alimkah atau orang jahil yang silap?

Bagi kami yang selama ini hanya membaca akhbar dan mendengar kenyataan di TV tentang bantuan ini dan itu untuk masyarakat mualaf, nampaknya masih musykil tentang hal-hal bantuan seperti itu kerana, orang-orang yang duduk di akar dan umbi rata-rata tidak mendapat bantuan yang diwar-warkan itu, sedangkan itu keperluan dan hak mereka. kemanakah perginya?

Lihat saja contoh termudah. Di daerah Kota Marudu, ada pegawai agama yang lebih mahir mengenal mata payau ( rusa ) daripada mengenal kebutuhan orang-orang mualaf dan masyarakat Islam. Hampir lupa kerjanya sebagai pegawai agama. Mungkin kerana terlalu bergelap di dalam hutan maka dia dan rakan-rakannya tidak nampak lantai dan atap orang-orang yang patut mereka bantu. Hanya fikir bagaimana cara membesarkan periuk sendiri, periuk orang lain tidak ada pun tidak apa. Apa tidaknya, harga payau mencecah rm20 sekilo. Hampir kena tangkap perhilitan pun tidak jara-jara lagi.


Biasanya, laporan itu atas kertas saja. Biar tiada dibuat yang penting dokumentasi. Itulah barangkali nilai gaji hujung bulan pegawai-pegawai ni…Dokumentasi atas kertas. Kesimpulannya, kalau mahu tahu hal sebenar, apa yang berlaku di akar umbi, panggillah rakan-rakan NGO dan individu-individu yang terlibat langsung dengan dakwah untuk berdialog dan berbincang kemudian sama-sama merancang dan bertindak . Sebabnya mudah saja…Kerja Agama Islam ini bukan kerja orang kerajaan sahaja tapi kerja setiap individu muslim lelaki dan perempuan. Kepada mereka yang bergelar pegawai dakwah di daerah-daerah seluruh Sabah, anda semua, buat kerjalah sungguh-sungguh dan jangan nafikan sumbangan orang lain sehingga menyalahgunakan cop keramat mengharamkan yang halal. Kalau tidak percaya dan masih ragu, kami boleh bawa Pak Menteri dan YB ke tempat yang dimaksudkan kerana kami tahu dan kenal benar kampung mereka serta bahasa badan dan mulut mereka. Alasan kampung jauh sangat, jalan berbatu, berlumpur dan macam-macam sudah tidak relevan lagi tuan…. Kalau tidak, kenapa si Kancil dan Mavy boleh sampai ke sana ( biar patah mematah bidainya ) tapi, kereta 4 x 4 Ford Ranger masih sentiasa kilat dan harum angin aircondnya …Ada pepatah yang boleh dipakai, “ hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih ” ertinya, kalau mahu, jalan kaki pun boleh, kalau tidak mahu, Ninja King pun tidak boleh… Jadi…Lu fikirlah sendiri. Insyallah, bermula awal tahun 2009 saya akan terus-menerus buat laporan jadi CNN. Biarlah orang kata menyibuk… Permasalahan umat Islam di Sabah khususnya para mualaf perlu dibongkar dengan fakta yang betul dan tepat. Ia tidak mungkin dapat di tolak di hadapan hakim Yang Maha Adil tika tiba waktu Kebangkitan.

Selasa, 25 November 2008

AL-FATIHAH

Al-Fatihah kepada seluruh roh muslimin & muslimat



Merujuk keratan akhbar Utusan Malaysia di bawah, sudah tentu terdetik di hati kita “ takut kerana salah, berani kerana benar ”. Kalau sayalah yang ditanya sama ada wajar atau tidak Tun mendedahkan nama pemimpin UMNO yang terbabit dengan politik wang, maka saya akan jawab, “wajar didedahkan”. Alasannya ialah supaya makhluk perosak@pemain-pemain wang ini tidak membunuh UMNO dalam kerangka perjuangan asalnya. Mereka ini ibarat membubuh racun kepada agama, bangsa dan negara yang akhirnya menumbangkan sendiri parti UMNO. Jika dilihat, maksudnya samalah seperti mereka ini pembunuh. Amatlah penting nama mereka diumum terus tanpa berselindung lagi. Pembunuh senyap itu kan amat merbahaya. Saya rasa, ini amaran terakhir Tun kepada ahli UMNO kerana telah sekian lama isu politik wang ini diperkatakan tapi tidak ada penghujungnya. Saya bukan anti UMNO tapi, kerana sayangkan UMNO lah saya mengutarakan hal ini sekali gus menyokong hasrat Tun.


Tun Mahathir dirayu jangan dedah nama




JOHOR BAHRU 23 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dirayu agar memikirkan semula hasratnya untuk mendedahkan senarai nama pemimpin UMNO yang terbabit dengan politik wang.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana tindakan tersebut bakal memberi implikasi negatif yang besar kepada parti.
Calon Naib Presiden UMNO itu berkata, Dr. Mahathir kemungkinan menerima aduan daripada pihak-pihak lain tetapi penganiayaan boleh berlaku tanpa melakukan siasatan rapi.
Katanya, semua prinsip undang-undang meletakkan soal keadilan sebagai asas dan sebagai parti politik kewujudan unsur sabotaj tidak boleh dinafikan.
"Dalam hal ini, saya merayu dan berharap Tun memahami situasi implikasi yang beliau akan lakukan. Namun memang tiada siapa yang boleh menahan Tun untuk melakukannya.
"Seperti yang dikatakan, oleh kerana hanya terdapat maklumat dan siasatan sedang dibuat, maka dalam banyak hal kita tidak mahu berlakunya unsur penganiayaan," kata Menteri Pengajian Tinggi itu.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pelajar di Luar Universiti Johor anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kementeriannya di Pasir Gudang di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa mempunyai senarai pemimpin UMNO yang terbabit dengan politik wang dan berhasrat mendedahkannya jika Lembaga Disiplin UMNO tidak mengambil tindakan tegas ke atas ahli tersebut.
Khaled berkata, darip segi prinsip parti, UMNO telah menyerahkan aduan politik wang kepada Lembaga Disiplin untuk mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan.
Namun jelasnya, kadangkala terdapat aduan yang sama dibuat tetapi lembaga itu tidak dapat mendedahkan nama-nama ahli selagi mereka belum didapati bersalah.
Menurutnya, mungkin persepsi orang terhadap mereka yang didedahkan nama itu akan disyaki bersalah tetapi akhirnya tidak bersalah selepas siasatan selesai.
"Persepsi beginilah yang telah menimbulkan masalah apabila kita mendedahkan nama mereka yang disiasat.
"Namun pada masa sama, saya bersetuju gejala politik wang perlu dihapuskan dan saya juga berharap jangan terlalu tinggi keghairahan hendak menangkap orang, kita hanya akan menutup pintu keadilan," katanya.

Ahad, 23 November 2008

Duit-duit di mana kau duit ...


Malam hari Khamis ( malam Jumaat ), banyak kelebihannya. Kalau kita banyakkan amal ibadah seperti zikir, selawat dan sebagainya Allah s.w.t akan berikan ganjaran pahala yang amat besar…Ini kisah hari Khamis, 20 Nov baru-baru ni. Waktu itu, saya balik kampung dengan anak dan isteri. Malamnya, saya sempat bersembang dengan sepupu saya, Mohd. Shukri bin Mazlan tentang perjuangan dan UMNO. Saya tertarik dengan kisahnya sebelum menawarkan diri bertanding AJK bahagian UMNO Kota Marudu. Menurutnya, dia melakukan solat hajat sebanyak 3 kali memohon pada Allah agar dapat menawan kerusi AJK sekiranya kemenangannya itu nanti membawa kebaikan untuk agama, bangsa dan negara. Ternyata dalam pertandingan itu dia menang, walaupun dia tidak pernah bertanding mana-mana jawatan sebelum ini. Dia sendiri merumuskan keadaan sebelum kemenangannya dalam pertandingan merebut jawatan AJK sebagai agak sukar kerana prosesnya melibatkan pelbagai karenah calon yang masing-masing mahu meraih undi. Bagi mereka yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu, masa inilah yang sesuai untuk menambah poket agar muatannya lebih sedikit dari poket orang lain. Harga tangan tika ini, tinggi. Lebih-lebih lagi kalau ada calon yang melobi peraih kerana mahu namanya dipangkah terus. Nampaknya, walaupun perlembagaan demi perlembagaan digubal untuk menangani isu politik wang, keadaan ini masih terus aktif berlaku. Lihat dan dengarlah khabar-khabar di mana-mana kawasan atau bahagian, isu ini tidak pernah berhenti dibual-bualkan. Hanya pembawaan suasana itu sahaja yang membezakan isu ini. Biasanya, mereka yang terlibat cuma buat selamba kerana masing-masing pakai prinsip ‘TST’ ( tahu sama tahu). Selepas itu, mereka diam dan main tengok begitu-gitu saja macam tiada apa-apa, kata orang Sabah. Kecualilah, bila timbul rasa tidak puas hati maka mulalah mereka keluarkan kenyataan Si Anu dan Si Anu bagi RM… Kalau tidak, perbuatan membagi-bagi tu sanggup dipendam hatta pecah di perut pun... Berbalik pada sembang-sembang kampung dan malam Khamis lalu, mungkin juga kemenangan sdr. Shukri dalam penawarannya menjadi AJK UMNO Kota Marudu merupakan anugerah Allah kerana kesucian hatinya untuk agama. Mudah-mudahan, begitulah. Saya berharap agar beliau mampu mewarnakan UMNO Kota Marudu dengan warna baru nan segar agar arus perdana Kota Marudu akan sentiasa berpaksikan aspirasi rakyat. Kepada mereka yang terus-terusan membengkokkan niat selama ini, segeralah luruskan niat sebelum Allah hantar orang baik untuk membongkar segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sekali gus menjatuhkan mereka dengan tong-tong busuk mereka. Ini tidak mustahil, cuma tunggu masa sahaja. Tika itu, menangis air mata darah pun, sudah tidak berguna. Rakyat pun nanti akan meludah muka mereka dan berkata “konon kau menang kerana akar umbi, padahal main duit”...Alangkah malunya kalau ini berlaku. Para pembaca budiman, kita bersabar dan tunggu sahajalah saat dan waktunya berlaku. Sebelum mengakhiri tinta kali ini, saya sarankan , UMNO Kota Marudu agar membaca sejarah Sharif Osman di Teluk Marudu. Fikir dan kajilah bagaimana perjuangannya membela agama, bangsa dan negara sehingga harga dirinya melambung naik dan terus menjadi sebutan kerana kejujuran perjuangannya, meski di akhir hayat beliau kalah di tangan Orang Putih…Para pemimpin UMNO berubahlah…