Berurusan bersama orang seusia pakcik Monon@Ahmad Shukri memberikan saya banyak pelajaran yang tidak mungkin saya timba dari mana-mana buku. Tanpa mengenal penat lelah, beliau ke sana ke mari berjumpa dengan pihak-pihak berkaitan memohon kebajikan dan bantuan bukan untuk dirinya tetapi untuk orang-orang yang berada di kawasannya. Semuanya atas dasar tanggungjawab beliau sebagai seorang muslim. Beliau sebelum ini telah beberapa kali turun ke Kota Kinabalu untuk berurusan dengan JAKIM. Harapan beliau agar bantuan-bantuan sewajarnya akan disumbang kepada pihak-pihak di kawasan beliau yang seharusnya menerima bantuan. Agak mengecewakan kerana di akhir pertemuan, pihak JAKIM hanya dapat menyediakan kelengkapan solat untuk 22 orang peserta ; saudara-saudara baru, dan juga untuk 9 orang yang bakal masuk Islam. Selebihnya, pihak JAKIM tidak dapat menyediakan kelengkapan ini atas dasar pengamatan mereka.
Usaha pakcik ini tidak berhenti setakat itu. Beberapa kali beliau mohon agar dapat berjumpa langsung dengan Datuk Bolkiah Hj Ismail selaku wakil Rakyat kawasan N.3 Pitas untuk memaklumkan tentang perkara ini dan akhirnya beliau berdepan sendiri dengan Datuk Bolkiah. Menurut pakcik Monon, Datuk Bolkiah sebelum ini telah menyatakan kesediaannya menyediakan makan sahur justeru, Datuk Bolkiah meminta pakcik Monon membantu Pegawai Jheains Pitas untuk menyenaraikan saudara2 baru dan yang berkaitan selain menyatakan janji2 lain sehingga Pakcik Monon terlalu yakin dengan apa yang diperkatakan oleh Datuk Bolkiah. Kisah pertemuan Pakcik Monon dan Datuk Bolkiah diceritakan pakcik Monon kepada SMS setiap kali beliau pulang dari rumah Datuk Bolkiah.
Pagi ini lain jadinya. Kata Pakcik Monon, Datuk tidak dapat memberi apa-apapun untuk program ini; baik sumbangan peribadi mahupun melalui jalan-jalan lain. Berulang-kali pula Datuk sarankan agar Pakcik Monon berurusan terus dengan pihak JHEAINS, JAKIM dan badan-badan agama yang lain di sekitar Kota Kinabalu.
Sangat pelik dan menghairankan tindakan Datuk ini. Sebagai wakil rakyat, seharusnya beliaulah yang lebih bertanggungjawab melakukan kerja-kerja berhubung, menelefon dan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan seperti yang dibuat Pakcik Monon, sesuai dengan jawatan beliau sebagai wakil rakyat Pembantu Menteri. Meskipun Pakcik ini turut merasai tanggungjawabnya terhadap saudara seagama dan rela berbuat semua kerja-kerja itu, namun siapalah Pakcik Monon berbanding Datuk Bolkiah?
Kata Pakcik Monon lagi, atas cadangan pihak AJK program , beliau sekali lagi diminta menghubungi Datuk Bolkiah untuk mohon sumbangan peribadi sebanyak RM500. Pun , Datuk ini tidak beri.
Sebagai aktivis mualaf Sabah yang tampil mengemukakan pelbagai isu dan permasalahan mualaf khususnya di negeri Sabah, sudah pasti SMS melihat perkara ini tidak wajar berlaku, apalagi melibatkan seorang Datuk yang tahu serba serbi dalam hal2 pentadbiran serta perjalanan sesuatu perkara. Datuk tidak wajar lepas tangan atau mengambil sikap tidak endah dalam hal ini.
Sebagai wakil rakyat, Datuk wajar menilai semula apa yang Datuk telah tuturkan pada Pakcik Monon@Ahmad Shukri melalui pelbagai sudut; politik, kemanusian, agama dan sebagainya. Pihak-pihak berkaitan terutamanya Ketua Menteri wajar mengambil perhatian perkara ini. Bagaimana mungkin slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dapat dicapai jika YB-YB di bawah Yang Berhormat Ketua Menteri bersikap seperti ini kepada seorang pakcik yang hanya menjadi pengerusi kepada sebuah surau?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi