Kebajikanterabai punca mualaf murtad - Utusan Malaysia
KOTA KINABALU 25 Feb. - Kebajikan diabaikan merupakan antara punca utama mengapa segelintir saudara baru di negeri ini kembali kepada ajaran agama asal mereka.
Penyelaras Program-program Mualaf Sabah, Mohd. Nazri Abdullah berkata, kebajikan dan hak mereka sebagai golongan mualaf sering kali tidak diendahkan oleh pihak bertanggungjawab.
Jelasnya, keadaan tersebut membuatkan golongan berkenaan terkapai-kapai dan berasa tidak dipedulikan oleh saudara seagama.
"Mereka memerlukan bimbingan sebagai saudara baru, begitu juga dengan kemudahan asas seperti kitab suci al-Quran, sejadah, buku-buku mengenai solat, puasa dan sebagainya.
"Bagi mereka yang baru masuk Islam, tindakan susulan mesti dilakukan dan jangan sekali-kali membiarkan mereka tanpa sebarang bimbingan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kesediaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kajian mendalam mengenai masalah murtad di kalangan saudara baru di pedalaman negeri ini.
Nazri berkata, kebanyakan saudara baru terdiri daripada golongan miskin dan amat memerlukan bantuan.
"Malangnya, ramai yang masih tidak mendapat bantuan contohnya wang zakat, malah mereka yang sudah memeluk Islam lebih 10 tahun pun masih ada yang tidak pernah menerimanya.
"Begitu juga dengan rumah-rumah mereka yang daif dan uzur, lebih teruk lagi kalau mereka ini yang tinggal di kawasan wakil rakyat bukan Muslim, langsung tidak terbela," katanya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya golongan ini tidak dipinggirkan dan usaha perlu dilakukan supaya mereka tidak merasa tersisih.
Menurutnya, sehingga kini, masih belum ada kompleks atau pusat komuniti untuk mualaf menjalankan aktiviti mereka.
Selain masalah tersebut, beliau mendakwa masalah birokrasi di sesetengah pejabat agama di negeri ini turut menyusahkan golongan berkenaan sekali gus membantutkan usaha dakwah.
"Pendaftaran saudara-saudara baru sering menjadi masalah, kami tidak tahu mengapa perkara seperti ini wujud, ini belum lagi masalah pemberian wang zakat yang sering bermasalah," ujarnya.
salam tuan rumah... masalah serupa yg sa hadapi di Tanah Melayu ni. kalu di sabah, lebih2 lagi di pedalaman tu rasanya kritikal sgt2.
BalasPadamw.salam sdr itulah hakikat sebenarnya, isu ini suda sekian lama berlaku. akibatnya nama islam itu tercemar di mata para mualaf ... melurus kebengkokan fahaman ini perlukan masa dan tenaga,wang ringgit dan apa sahaja demi kecucian islam ...
BalasPadam