Gambar atas < > bawah kolam Lombong Mamut,
hari demi hari terhakis. Ribuan liter air dan lumpur
bakal meranapkan Kg. Bongkud, Poring dan Lohan
Dua buah bukit yang terletak di Kg. Bongkud, Ranau.
Di percayai memiliki Emas, wilayah Nabalu kaya dengan hasil bumi.
Gunung Kinabalu, gunung tertinggi Asia Tenggara. Masyarakat Dusun Sabah memanggilnya, NABALU. Dalam dunia perjuangan, ramai pemimpin mengambil NABALU sebagai simbol perjuangan mereka kerana NABALU memiliki aura alam luar biasa yang Allah kurniakan kepadanya. Siapa sahaja melihat NABALU pasti terpegun dengan keberadaan wujudnya. Itulah NABALU.
Lalu, terungkaplah cetusan-cetusan rasa ketakjuban mereka pada NABALU yang kemudian diadaptasikan dalam pelbagai prosa; Cerita-cerita rakyat, puisi, cerpen, novel, dan sebagainya. Semuanya disampaikan menurut pandangan mereka dan diterjemahkan dalam bentuk-bentuk susunan huruf. Sehingga kini, penghujung pembicaraan NABALU masih belum ada lagi.
Jelasnya, kewujudan NABALU di bumi Sabah mencetuskan revolusi pemikiran manusia. NABALU, walau bukan hidup bernyawa seperti manusia, adalah pakar segala pakar motivasi kerana mampu memberi inspirasi kejayaan dan kejutan. Sayang sekali kerana masyarakat pribumi Sabah tidak mampu menilai dan menggunapakai curahan mutiara ilmu yang saban hari Sang NABALU limpahkan pada manusia tanpa mengira fahaman agama, politik, bangsa dan negara. Masyarakat pribumi masih selesa di zon merah, menanti dan menunggu lampu hijau, sedang lampu hijau itu berada di tangan orang lain.
Umpama cerita dongeng; Gambala naga satu ketika dulu berada di NABALU. Namun, kerana rasa takut dengan naga, maka gambala itu dibiarkan begitu sahaja sehingga datang seorang manusia yang berani mengambil risiko.Dia dengan berani merampas gambala naga tersebut dan membawanya lari ke negara sendiri. Akhirnya, yang kaya adalah keturunan pahlawan yang berani mengambil gambala dalam mulut naga dan negaranya. Hairannya, masyarakat pribumi masih mampu mendabik dada dengan tulisan bahawa gambala naga itu suatu ketika dulu adalah milik merek sewaktu masih berada di Gunung Kinabalu @ Nabalu…
Meskipun cerita naga, gambala dan ‘ Nabalu ‘ sebuah dongengan turun temurun, intipati dongengan ini jarang atau mungkin tidak pernah direnung. Kita hanya mendengar dongengan ini kerana kita tidak pernah cuba untuk mengubah cara kita berfikir. Ramai pakar motivasi tanahair berkata, “ kalau mahu berjaya, seseorang hendaklah berani gagal”. Ertinya, tiada kejayaan tanpa kegagalan. Mahu atau tidak, jika kita meletakkan matlamat kita untuk berjaya, kita perlu melalui proses gagal, kemudian barulah kita berjaya.
Bacalah buku orang-orang yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Ternyata kita akan dihidangkan sejarah kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi sebelum beroleh jaya. Kerana itu, sifat menentang arus, mesti ada dalam perjuangan kerana arus itu adalah penghalang-penghalang sebelum kita sampai ke puncak kejayaan. Jika selepas itu kita tidak juga berjaya, maka akurlah bahawa takdir tidak menyebelahi kita. Pun begitu, kita tidak boleh berputus asa . Maka, serahkanlah hidup kita kepada yang maha pencipta kerana sesungguhnya Dia lebih tahu untuk apa anda diciptakanNya terimalah ‘ gagal’ itu dengan redha dan sabar. Walau di mata dunia kita gagal tapi di sisiNya kita berjaya menundukkan nafsu dengan sifat redha dan sabar .
Nah, masyarakat yang berada di Zon Merah hendaklah diluruskan cara berfikir agar bersedia menempuh tugasan baru di luar kotak fikiran masing-masing. Tugas ini sememangnya terpikul di bahu setiap individu yang berada di Zon Berani Gagal. Pimpinlah mereka yang berada di sekeliling anda sehingga mereka berjaya atau paling tidak mereka tidak dibayangi lampu merah yang menakutkan. Tidak mungkin lampu hijau yang ditunggu-tunggu selama ini Lampu Hijau Kejayaan setelah mereka merampas super power galiga naga di NABALU milik kita satu waktu dulu. Bisa sahaja berlaku lampu hijau palsu, mereka beri pada kita.
Petang tadi, saya ke Batu Dua, Mamut, sebuah bekas kawasan penempatan pekerja lombong tembaga yang terbesar di Malaysia, suatu ketika dulu. Di zaman kecil saya, kisah Mamut sempat singgah di telinga saya yang berada nun jauh di Kota Marudu. Ketika itu, riuh kononnya, kepala manusia diperlukan untuk ditanam di Mamut. Inilah tinggalan Mamut. Kini sepi tanpa bangunan. Telah diratakan oleh mesin-mesin besi dan tenaga manusia setelah habis tembaganya diambil.
Nostalgia tinggal di perumahan Mamut sekitar 2002-2006 membuatkan saya tahu benar betapa air bukit Mamut sejuknya sampai ke tulang sum-sum . Kabus tebal dan nyanyian cengkeriknya di kala malam mempesona dan menggamit tinta saya bermain di pentas kertas. Bukan angkat bakul sendiri, tapi sememangnya banyak puisi alam telah lahir di sini dan sebahagiannya tersiar di akhbar tempatan Sabah Times, Daily, Wadah dan Mingguan Utusan manakala yang lainnya lagi dipilih ke buku antologi puisi terbitan DBP. Inilah hasil sentuhan panorama Mamut.
Siapa yang telah mengambil gambala Mamut? Kerana menunggu lampu hijau, masyarakat setempat di sini, khususnya orang-orang kampung di sekitar kampung Bongkud dan kampung-kampung sekawasannya hanya mampu mengesat habuk pencemaran yang acapkali singgah di kulit mereka tatkala angin bertiup. Kalau habuk biasa tidak apa tapi ini habuk luar biasa, sisa tahi tembaga Mamut.
Gambala dalam bahasa Dusun maksudnya mutiara. Dalam kartun animasi yang pahlawannya Si Goku, dinamakan Dragon Ball.
Bersambung…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi