Amal sistem pengurusan Islam dalam pentadbiran
|
|
RANAU 24 Feb. - Semua agensi dan jabatan di negeri ini digesa mengamalkan sistem pengurusan berlandaskan Islam bagi mewujudkan kerajaan yang bersih, adil dan amanah.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai, latihan pengurusan yang bercirikan Islam perlu dipertingkatkan.
''Saya menyeru agar program seperti itu dapat dipertingkat dan dipergiatkan supaya semua organisasi di negeri ini dapat mengaplikasikan sistem pengurusan Islam dalam pentadbiran harian mereka.
''Diharapkan latihan melahirkan pemimpin dan ketua-ketua masyarakat dapat dipergiat supaya mereka boleh menjadi pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam,'' katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Latihan Islam Kundasang dekat sini kelmarin.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Mufti Sabah, Datuk Alawi Adnan.
Ahmadshah berkata, hasrat itu juga sejajar dengan hala tuju kerajaan Persekutuan yang menerapkan prinsip-prinsip Islam Hadhari dalam sistem pentadbiran.
Dalam pada itu, bagi memantapkan gerakan dakwah di Sabah, beliau mencadangkan satu pelan perancangan strategik dirangka segera.
Katanya, pelan tersebut perlu relevan dengan perkembangan semasa dan wajar dibuat pada ketika ini untuk kepentingan generasi akan datang.
''Ini sangat penting dalam meneruskan agenda memberi kefahaman Islam dan pemantapan akidah di kalangan anak watan. Saya amat mengharapkan usaha peningkatan syiar Islam di Sabah dapat diperhebat,'' katanya.
Selain itu, katanya, keperluan dan kebajikan golongan mualaf juga perlu diberi perhatian khusus dan tidak sepatutnya diabaikan.
Sehubungan itu, katanya, beliau berharap lebih banyak kompleks atau pusat-pusat komuniti untuk golongan itu dibina di setiap daerah yang akan berperanan sebagai pusat sehenti.
Pusat atau kompleks berkenaan, tambah beliau, akan berfungsi menjalankan semua aktiviti dan menjaga kebajikan golongan berkenaan yang dianggap begitu istimewa kepada umat Islam.
Jelasnya, dari tahun 1970 hingga kini, 117,579 saudara baru didaftarkan dan berikutan perkembangan tersebut, pusat khas itu amat diperlukan.
Jakim akan kenal pasti masalah murtad
RANAU 22 Feb. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan kajian mendalam mengenai masalah dan punca utama segelintir saudara baru di Sabah kembali ke agama asal mereka.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan satu kajian mendalam mengenainya akan dilakukan secepat mungkin.
"Kita memang ada usaha menarik semula golongan mualaf atau saudara baru di negeri ini yang kembali ke agama asal," katanya pada sidang akhbar di Majlis Perasmian Pusat Latihan Islam Kundasang dekat sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Mufti Sabah, Datuk Alawi Adnan.
Beliau diminta mengulas tindakan segelintir saudara baru di pedalaman Sabah yang kembali semula ke agama asal termasuk mereka yang sudah lama memeluk agama Islam.
Wan Mohamad berkata, perkembangan itu amat membimbangkan dan Jakim akan membantu saudara-saudara baru berdasar kepada keperluan dan keadaan sebenar.
Dalam pada itu, katanya, bagi membantu dan membimbing golongan mualaf, Jakim akan membina kompleks atau pusat-pusat komuniti khusus untuk kemudahan mereka.
Katanya, melalui kemudahan tersebut, pelbagai kegiatan dapat dilakukan oleh golongan berkenaan terutamanya dalam mendalami dan meningkatkan kefahaman tentang ajaran Islam.
''Jakim Pusat akan bincang dengan Jakim cawangan Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengenai perkara ini, ia adalah untuk menjaga kebajikan mereka.
''Terbaru, sebuah Pusat Latihan Islam (PLI) Lahad Datu yang siap pada tahun lalu, akan beroperasi pada tahun ini. Setakat ini kita sudah ada empat pusat latihan dakwah di Sabah," katanya.
Beliau berkata, bagi memantapkan usaha dakwah di Sabah, Jakim melantik 19 pendakwah yang terdiri daripada anak tempatan.
Menurut Wan Mohamad, mereka dilatih dan dibimbing sepenuhnya oleh Jakim dan akan berperanan masuk ke kampung-kampung untuk memberi penjelasan mengenai Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi