Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Rabu, 6 Jun 2012

Kisah Orang Dakwah?



Mohd. Arabi Abdullah, nama sebenarnya Saimon Petrus pernah mengkristiankan beberapa orang Islam di Sarawak. Dipendekkan cerita, berdasarkan pengalaman dan kemampuan beliau dalam dunia dakwah, akhirnya beliau dikerah ke pedalaman Sabah, di daerah Keningau untuk berdakwah. Beberapa waktu selepas itu, beliau ditemani seorang sahabat  seperjuangan dari semenanjung. Menurut Arabi, datang sahabat ini bukan atas tiket arahan sebagaimana beliau. Tapi, itu tidak menjadi persoalan kerana fokus utama adalah dakwah.

Mereka ke hulu dan ke hilir. Berjumpa orang-orang kampung dalam keadaan berjalan kaki, kekadang menumpang kereta-kereta balak. Kemudian, tidur di rumah-rumah panjang  di samping melihat dan merasai pelbagai sikap dan kepercayaan  masyarakat pedalaman. Namun, kata Arabi Abdullah, bukan semua sahabat dan kawan kita benar-benar tulus dalam bab-bab memberi laporan.  Akhirnya, watak-watak utama umpamanya akan hilang, terhakis oleh ketidakjujuran. Sementara watak-watak sampingan pula menjadi watak utama. Itu ulasan Arabi terhadap rakannya dahulu. Beberapa pengalaman dakwah di pedalaman Sabah yang ditulis rakannya itu menurut Arabi tidak benar kerana bukan sahaja mematikan watak-watak utama kisah bahkan menghakmilik watak yang bukan wataknya.

Masih berkisar orang yang sama. Haji Adnan turut mengingatkan kepada saya. Kata beliau “Nazri, berhati-hati”, tanpa lanjutan kata. Akhirnya, saya temui maksud kata-kata itu. Rupanya,  manusia itu  pencedok kisah-kisah dakwah mereka. Watak-watak utama kisah akan jadi miliknya=menipu.

Lain kisah. Seorang haji dari semenanjung datang berjumpa saya di awal tahun 2000-an. Waktu itu, dia belum bergelar dato. Gara-gara mulut manisnya, sehingga kini saya berhutang janji dengan beberapa orang individu di Ranau.  Dia beriya-iya meminta tolong dengan saya.  Saya ingat lagi katanya waktu itu: “ Nazri, tolong cari anak-anak yatim untuk kita terbangkan ke KL untuk terima sumbangan Koperasi……….”. Setahu saya, koperasi ini milik beliau. Saya pun mencari anak-anak yang dimaksudkan. Tiba masa, saya tanyai dia dan dengan selamba dia beri alasan memalukan. Sangat licik. Perbuatannya meletak nama saya menjadi orang penting dalam koperasinya rupanya ada udang sebalik batu. Akhirnya, bukan saya sahaja, dengan nama anak-anak yatim sekali dia peralatkan. Beberapa waktu, barulah saya mendapat sebab mengapa dia peduli dengan nama-nama Sabahan waktu itu. Saya tidak menyangka dia jaja nama kami dan berurusan dengan salah seorang menteri Sabah berasal dari Ranau. Saya jumpa menteri ini dan benar, itulah kejadiannya.

Si pencedok watak dan haji yang kini sudah berpangkat dato, agak sama watak luaran mereka. Kedua-duanya cenderung berserban jubah. Akhirnya, bukan nama dan bukan kisah sahaja yang diperalatkan tapi dengan pakaian sunnah sekali mereka peralat. Pengalaman saya dijadikan ‘alat’ bukan setakat 2 kali, bahkan berkali-kali. Mereka juga datang dengan watak hampir sama seperti dua manusia ini. Benar-benar mencemar pakaian nabi. Pinta saya tidak banyak. Berhenti menipu dan datangi mereka yang sudah kalian tipu. Mohonlah kemaafan.





Ahad, 20 Mei 2012

Wakaf



[Ainon Mohd. Laporan kewangan "Projek PengIslaman Saudara di Pedalaman Sabah": Rekod duit dalam uncang kita sekarang RM62,813. Jumlah yang sudah dikeluarkan adalah RM38k untuk membiayai Misi I - VI. Baki dalam uncang: RM24,813. Jumlah yang sudah memeluk Islam sejak Misi I bermula pada November 2011 adalah 114 orang. Misi ke-VII akan dijalankan pada 27 Mei - 6 Jun 2012. Tag: Ustaz Mohd Fadli Yusof.]

Hampir 7 bulan Projek Pengislaman saudara di Pedalaman Sabah yang dibuat saudara Mohd Fadli Yusuf melibatkan beberapa kampung sekitar daerah Keningau meliputi beberapa mukim seperti Nabawan, Sapulut, Salung dan Pagalungan.  Jika menurut laporan perenggan di atas, dalam masa hampir 6 bulan, 114 orang telah diislamkan beliau.  Kerja dan usaha gigih beliau ini cukup mulia serta patut diberi sokongan semua pihak. Namun, dalam usaha seperti ini, tentu akan berlaku beberapa perkara biasa dan penting melibatkan pihak-pihak lain misalnya pewakafan tanah dan seumpamanya yang jika tidak diurus dan ditangani dengan cara yang wajar akhirnya bakal menjadi masalah besar kepada waris pewakaf itu sendiri. Hal seperti ini kerapkali berlaku sehingga penyelesaian di hujungnya melibatkan perundangan.  Bagi mengelak perkara  seperti ini berlaku, seyogia  beberapa perkara di bawah diberi perhatian oleh saudara Mohd. Fadli Yusuf :-

1.    Pemberi wakaf hendaklah diberi kefahaman sedalam-dalamnya  tentang wakaf, kebaikannya serta keberuntungannya. Makluman serta kefahaman ini bukan saja diberikan kepada pewakaf, bahkan perlu sampai kepada waris-waris pewakaf agar tidak berlaku pertindihan atau salah faham yang akhirnya menimbulkan tuntutan waris-waris berkaitan terhadap harta wakaf tersebut sebagaimana pernah berlaku sebelum ini.   Selain saudara Mohd. Fadli Yusuf sendiri, pihak  JHEAINS juga disaran agar sama-sama memberi kefahaman berkaitan perkara ini kepada pemberi wakaf.

2.    Semua pengislaman yang dibuat hendaklah didaftar segera kepada pihak JHEAINS untuk membolehkan pihak berwajib memberi perlindungan jika berlaku pertembungan pengurusan agama, terutama sekali melibatkan kematian, perkahwinan, perceraian,  tuntutan harta dan seumpamanya. Perkara ini juga dikenalpasti sering berlaku. Kesannya, akan memberi  salah tanggap masyarakat bukan Islam  terhadap Islam, hanya kerana ketidakfahaman.

3.    Ketiadaan daftar Islam bagi mana-mana individu, khususnya mereka yang diislamkan pada zaman USNO dan BERJAYA tidak boleh dianggap saudara baru meskipun mereka itu mengulang syahadah.


Tiga perkara SMS ini merupakan perkara-perkara yang cukup penting serta harus diambil perhatian oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan program pengislaman.  Jika tidak, permasalahan ini akhirnya hanya akan membebani para saudara baru.

Terakhir, SMS ingin bertanya, daripada jumlah 114 orang yang diislamkan, berapa orang yang telah mendapat biaya Pusat Zakat Negeri Sabah berupa wang dan pendidikan sebagaimana sebelum ini PZS turut terlibat sama dalam membiayai mereka? Juga, daripada jumlah 114 orang ini, sudah berapa  orang  yang telah diproses pendaftarannya oleh pihak JHEAINS? Sudahkah saudara Mohd Fadli Yusuf mengurus daftar pengislaman mereka?

Rabu, 11 April 2012

kerjasama

Khamis, 5 April 2012

TOLONG JUJUR

SMS mulakan tulisan kali ini dengan permintaan; ‘TOLONG JUJUR’ pada SMS yang sekian lama bercakap isu mualaf di Sabah secara konsisten, sementara yang lain cakapnya musiman bagai musim buah durian. SMS terpaksa mengangkat bakul sendiri. Inipun bukan menjual durian di tep-tepi jalan. Jika ada sesiapa yang memberi cop menggunakan ilmu tasauf, mengupas dengan ayat Quran dan hadis, maka terpulanglah pada anda. Namun, pasti dan benar, setiap manusia tidak terlepas dari timbangtara akhirat. Sejuta kali ‘kau’ beralasan dan berselindung menggunakan bahasa tasauf yang entah berapa lapis di dunia ini, suatu masa baunya terhidu juga. Kalau ‘kau’ terlepas di sisi manusia, biarlah Allah mengadili kita kelak, kerana Dia yang Maha Pengadil. Kenyataan kali ini untuk SMS dan mereka yang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam di bumi SABAH. Barangkali limpahan pujian, sanjungan dan penghargaan terhadap kerja-kerja ini justeru telah melahirkan bibit-bibit taksub . Meski perkara ini diperlukan untuk menguatkan semangat perjuangan khusus untuk mereka yang terlibat tapi jangan kita lupa, menegur dan memberi nasihat kepada mereka juga perlu kerana kita tidak mahu orang-orang yang bekerja di jalan ini, terbuai sehingga lena atas pujian-pujian. Suatu kesilapan besar andai kita biarkan tokoh-tokoh seperti ini terbabas dan mabuk dalam perjuangan, sebagaimana yang pernah berlaku dalam jemaah ARQAM dahulu.


Bercakap tentang mualaf dan permasalahannya, kalau di Sabah, SMSlah pendahulunya. Meski yang lain punya pertubuhan dan persatuan atas nama mualaf, namun sehingga hari ini mereka tidakpun mempamerkan suatu wadah sama ada menerusi blog, web dan FB dan sebagainya kepada khalayak untuk tujuan perkongsian, atau barangkali SMS tidak menjumpainya. Suatu ketika, di awal pembongkaran isu mualaf, SMS pernah di’hentam’ kumpulan manusia dan individu yang duduk di tampuk agama. Waktu itu, tiada siapapun di antara penyedar-penyedar isu ini yang berdiri dan bersuara membenarkan isu yang SMS perkatakan ini. Adapun, hanya penyokong yang berdiri di belakang yang hanya meng’iya’ dan mengangguk betul, tanda ‘iya’ atau setuju? Syukurlah sekarang kita sudah ramai dan masing-masing sudah celik tentang hal ini. Apa yang cuba SMS sampaikan, memulai perkara ini bukan semudah yang ‘kau’ sambung sekarang. Tambahan, SMS tidak punya ilmu agama setinggi ‘kau’ dan sampai sekarang SMS masih cuba memperbaiki diri. Barangkali pedas apa yang SMS katakan ini tapi, sama-samalah kita belajar menerima hakikat bahawa dalam perjuangan jangan yang manis-manis saja kita telan, sedang yang pahit-pahit langsung kita buang walhal, yang pahit itulah ubat dan ramuan paling mujarab.

SMS selalu sedar yang SMS ini bukan terbaik dan bukan terhebat dalam medan juang khususnya dalam memperkatakan isu-isu berkaitan mualaf. Anda tidak mustahil mengatakan yang SMS ini hanya tahu bercakap, berbuat bising dan heboh tentang isu-isu mualaf sedang tindakannya ke mana? Tidak mengapa dan kalau ini terjadi, anda tidak salah, sebab tidak kenal SMS. Ekoran rasa sedar inilah menyebabkan SMS tidak pernah memadam, menutup apalagi memblok mana-mana ulasan di dinding FB SMS kerana kesemua ulasan SMS terima sebagai bahan membina untuk SMS. Pun, kalau perlu membela diri, itu hak SMS. Ada juga ulasan yang SMS sengaja tidak membalasnya kerana ia bukan ditujukan khusus kepada tulisan SMS. Pada SMS, kita boleh saja bertukar pandangan, cadangan hatta mengkritik kerana itu sebahagian yang dianjurkan agama. Seperkara yang kurang elok, apabila kita hanya tahu mengulas tetapi tidak mengakhirkan ulasan dengan panduan dan jalan penyelesaian. Jika mengkritik, sebaiknya khususkan nama yang mahu dikritik, bukan kritikan umum yang menjadikan para pemaklumbalas lain terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal bicara. Sikap seperti ini melambatkan proses perkembangan pemikiran di kalangan kita. Selain itu, kesilapan membuat tanggapan juga selalu mengubah kebaikan menjadi buruk .


Barangkali kesemua individu dan persatuan yang berjuang atas nama mualaf sudah perlu mengadakan pertemuan segera. Untuk tujuan ini, Suara Mualaf Sabah ( SMS ) menawarkan diri sebagai pengantara. Justeru terlalu banyak ruang untuk diperkatakan tentang mualaf, maka dalam pertemuan itu cukuplah satu agenda iaitu MUALAF. Kemudian nanti kita lebarkan pembicaraan berdasarkan pengalaman masing-masing.


NOTA;

Kepada mereka yang melalui proses mualaf, sila bagi input








Khamis, 29 Mac 2012

Kemuncak Jawaban


SAR Kampung Salimandut merupakan kemuncak jawaban permasalahan mualaf yang sekian lama menjadi isu utama tulisan dan bicaraan Lebon Botong@ Nazri Abdullah. Selama bertahun, beliau menyuarakan isu mualaf yang tidak berpenghujung. Pengalaman demi pengalaman bersama mualaf dari segenap ceruk rantau Sabah, akhirnya menoktahkan permasalahan mualaf ini dengan pewujudan pusat pendidikan. 

Atas kesedaran ini SAR Kampung Salimandut dibangunkan di tapak bergeran milik Botong Anjuk, ayah kepada Lebon Botong. Meskipun demikian, ia tidak lebih dari sebuah igauan andai tiada pihak yang tampil memberi sokongan. Muslimin dan muslimat, di mana saja kalian berada, jawatankuasa sekolah merayu agar kita bersama-sama membangunkan sekolah ini. Kalian semua dialu-alukan membuat sumbangan dalam bentuk material seperti bahan mentah untuk binaan bangunan atau wang ringgit.

Semua sumbangan tuan-tuan bolehlah disalurkan menerusi akaun sekolah ini sebagaimana telah kami paparkan sebelum ini. Semoga sumbangan tuan-tuan bakal menjadi saham akhirat, kelak.

Rabu, 21 Mac 2012

SAR Kg. Salimandut

Alhamdulillah, hasil sokongan dan sumbangan para penyumbang prihatin yang turut mahu melihat terbangunnya pusat pendidikan orang-orang mualaf Sabah, maka secara rasmi kami maklumkan bahawa akaun SAR Kg. Salimandut Tandek, Kota Marudu kini bukan lagi menggunakan akaun peribadi seperti yang dipaparkan beberapa waktu sebelum ini. Serta –merta kini, akaun peribadi atas nama MOHD. NAZRI BIN ABDULLAH dibatalkan. Selepas ini, mana-mana pihak yang mahu menyumbang bolehlah disalurkan terus ke akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU, NO AKAUN: 10016010085807 di BANK ISLAM, seperti terpapar dalam gambar.

Kepada muslimin dan muslimat yang secara lansung atau tidak langsung membantu merealisasikan kewujudan akaun ini, saya mewakili pihak pengurusan sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda. Sesungguhnya kami tidak dapat membalas kebaikan kalian melainkan Allah jugalah yang layak menilai dan membalasnya .

MAKLUMAN;
Semua urusan berkaitan sumbangan hanya menggunakan nama akaun SAR KG. SALIMANDUT, TANDEK, KOTA MARUDU. Kami tidak melantik mana-mana orang tengah, agen atau wakil sekali gus menafikan urusan mengutip derma atau sumbangan daripada mana-mana pihak, sama ada menggunakan nama sekolah, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Sebarang keraguan atau ketidakjelasan berkaitan hal ini, boleh dikemukakan kepada kami menerusi talian 019-8827449.

Jumaat, 9 Mac 2012

Peristiwa





Sudah sebulan lebih SAR Kg. Salimandut mendapat kelulusan pihak JHEAINS. Sehingga kini, pihak pengurusan masih dalam proses mengumpul dana untuk membuka akaun sekolah kerana sumbangan yang diterima setakat ini masih belum mencukupi. Usaha kedua , membuat tabung sumbangan yang akan disimpan di kedai-kedai sebagaimana pihak lain melakukannya. Namun, ia tersekat seketika waktu apabila pelekat yang sudah siap ditempah di sebuah kedai di Kota Kinabalu, mengalami perubahan warna dan tulisan sehingga tidak menepati ciri-ciri asal sebagaimana dikehendaki pihak pengurusan.

Baru berlalu. Saya bersama Datuk Setiausaha Agung USIA ke Kota Marudu. Ada jemputan Majlis Sambutan Maulidurrasul di sebuah sekolah. Tiba di sekolah, saya terlihat seorang manusia yang sebelum ini cukup saya percaya. Mulanya, dia tersenyum melihat kereta yang kami naiki menghampiri perkarangan. Saya buka pintu kereta dan dia bagai terkejut melihat saya berada di depan matanya. Tingkahnya mengundang naik suhu darah saya. Terlihat juga hitam pekat kemerahan di mukanya apabila melihat saya turun dari kereta. Entah perasaan apa yang datang ke saya tika itu. Rasa mahu meneriak dan membalingnya dengan kamera berbaur dan bermunculan dalam hati. 

Pertemuan tidak dirancang dengan manusia bertopeng ini menyorot ingatan saya ke Pak Lah. Terngiang peristiwa ketika Pak Lah memberi satu hadiah berbentuk kerja kepada saya atas nama mualaf. Harapannya, agar itu dapat menanggung kos-kos program mualaf termasuklah membina sekolah mualaf, seperti yang sedang saya perjuangkan ketika ini. Jumlah kerja tersebut bagi saya terlalu besar kerana selepas ditolak pelbagai kos, ia tidak bakal membebankan mana-mana pihak. Andai ia terlaksana seperti pelan asal, tentu keadaannya berlainan sekarang. Pihak pengurusan SAR barangkali tidak perlu meminta pertolongan kepada mana-mana pihak sehingga mewujudkan kotak sumbangan dan seumpamanya. Sungguhpun mohon sumbangan itu tidak salah, tapi jauh di sudut hati saya masih ada parut kesal. Saya yakin bongkaran kisah ini nanti, tentu ada pengajarannya.

Saya menikmati Majlis Sambutan Maulidurrasul hari itu dengan hati terusik. Masa beredar. Kemudian, saya dikilan pula dengan pengumuman Tokoh Maal Hijrah Sekolah hari itu. Walaupun pengumuman itu berjaya menggamatkan suasana yang menanggung sarat guru-guru dan para murid, ia sedikitpun tidak dapat mengembalikan perasaan percaya saya kepada manusia ternobat tokoh itu. Biar dia dicanang sebagai manusia yang banyak menabur jasa kepada sekolah tapi di suatu ruang lain, dia juga telah hancurkan harapan para mualaf mendapatkan sekolah dan pendidikan. Kasihan kalian yang menepuk tangan untuknya di atas pentas. Hidup-hidup kalian ditipunya! Tak apalah. Kalian tidak tahu berapa nilai perjanjian yang pernah kami buat bersaksi peguam. Pun, itu sudah saya buang ke tong sampah. Tokoh yang kalian sanjung itu, kini hidup bergaya dengan Ninja King hasil penipuannya yang dialas tikar sejadah dengan beratap bumbung Masjid Kota Marudu. Waktu itu, lidahnya lembut berkata. Saya ditatangnya bagai anak kecil yang bawa tuah padanya. Walau sifatnya sudah dapat saya cium sejak awal, namun demi seorang sahabat dan persaudaraan Islam, saya tidakkan semua bayangan hitam di mata dan bisikan hati langit tika itu. Cukup dulu cerita ini. Ia terlalu panjang untuk diceritakan.

Itu hanya satu sudut peristiwa di hati saya. Di suatu sudut lain, hati saya tersentuh dengan sikap keluarga yang bukan Islam tetapi prihatin tentang SAR yang sedang diusahakan. Nong Tuyundo. Nama ini bukan asing pada saya. Dia, selain mengambiltahu keperluan membuka akaun, turut mempromosikan FB SAR Kg. Salimandut ini kepada sahabat-sahabatnya. Malu dan terharu saya menilai sikapnya. Namun, saya tahu kenapa dia melakukan itu. Meski kami tidak seagama, tapi kami sekeluarga. Sikapnya membuatkan saya khatam dengan pelbagai kitab ragam manusia. Dulu, anak lelakinya menarbiah jiwa saya sehingga kisah antara kami saya selit dalam blog Suara mualaf Sabah. Tingkah anak-anaknya menyebabkan saya menjadikan mereka ‘guru’ saya. Mengapa tidak? Anak-anak kecilnya itu begitu mencintai Islam. Meski mereka belum mengisytihar rasmi agama mereka sebagai Islam, tapi mereka berpuasa, bersolat dan belajar mengaji hingga kini. Terbaru, saya jumpa anak ini ketika sambutan Mauliddurrasul di sekolah. Siap bersongkok, bersampin dan berbaju Melayu juga turut berarak, berselawat dan mendengar ceramah. Anak-anak Nong Tuyundo, membesar di mata saya dan setiap limpasan kehidupan mereka menarbiah saya berkali-kali. Waktu ini, sekali lagi ibu mereka pula menarbiah. 

Kisah dan rasa di atas cukup bagi saya terajar pelbagai ilmu. Ia menguatkan keyakinan saya bahawa SAR Kg. Salimandut mesti dibangunkan dengan apa cara sekalipun. Pun, jika ia tidak berjaya di tangan saya, saya percaya akan muncul tangan-tangan lain yang akan menyambungnya dari zuriat Sang Mualaf Kimaragang. 

Inti dari kisah ini, boleh kita kongsikan sebagai pengajaran; Islam rosak kerana kita sendiri yang tidak menjaganya dengan sempurna. Islam dipagar dengan pagar daerah, negeri dan bangsa. Pihak-pihak yang diharapkan pula berlaku tidak amanah. Hilang pertimbangan kerana sikap gila dunia.

Watak-watak yang saya paparkan. Seyogia, pembacalah yang memikirnya sendiri. Sengaja saya tidak simpulkan perkara ini kerana saya percaya pembaca akan memahami. Kerana itu, saya tidak mengakhiri tulisan saya kali ini dengan kata-kata akhir sekali.

Isnin, 5 Mac 2012