FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar". - Surah al-Bayyinah, ayat 5
Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada Allah Taala. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia.
Dalam hal ini, ulama telah menggariskan tanda-tanda ikhlas itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:
Pertama, takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun agamanya, terutama sekiranya ia seorang yang berkebolehan. Kerana ia yakin bahawa Allah menerima sesuatu amalan itu berdasarkan batin, bukan lahirnya semata-mata.
Kedua, orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.
Ketiga, lebih suka melakukan amalan atau kerja secara sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti. Dalam konteks sebuah organisasi, ia lebih suka menjadi tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada dalam perut bumi, namun ia adalah asas bagi pokok itu hidup, tegak dan kuat.
Keempat, baginya sama saja berkerja sebagai pemimpin atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan hadapan.
Kelima, tidak menghiraukan kepuasan hati manusia sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah Taala.
Keenam, suka atau bencinya, memberi atau menolaknya, rela atau marahnya, semuanya kerana Allah Taala dan agamanya.
Ketujuh, ia tidak bersifat malas, lemah disebabkan perjalanan yang jauh, lambat dapat memetik hasil dan lambat mencapai kejayaan.
Kelapan, gembira dengan kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.
Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka". - Surah al-Hijr, ayat 39-40
Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama terkenal ketika mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". - Surah al-Mulk, ayat 2, lalu berkata: Sebaik-baik amal itu ialah yang paling ikhlas dan yang paling betul.
Kemudian ia ditanya: "Bagaimana yang paling ikhlas dan betul itu ? Jawabnya: sesuatu amal itu sekiranya ia ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua sekali iaitu ikhlas dan betul.
Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah dan betul pula mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala bermaksud: "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". - Surah al-Kahf, ayat 110.
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi