Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Sabtu, 25 Disember 2010

Percikan Minda



Baru-baru ini, SMS  dihubungi pihak JAKIM Sabah melalui telefon dari salah seorang kakitangannya. Dalam perbualan itu, SMS maklum bahawa pihak JAKIM bakal mengadakan satu program dakwah berpusat di Kota Kinabalu.  Antara sasaran dalam program itu adalah saudara baru.  SMS diminta mereka untuk menghantar 5-10 orang saudara baru.  Sekadar memberikan nama-nama saudara baru yang wajar dihantar ke program seperti ini, tidak sulit. Tapi, untuk memastikan mereka sampai dan duduk mengikuti program itu, bukanlah mudah.  Berlegar di fikiran SMS  4-5 orang saudara baru yang baru memeluk Islam tahun 2010. Program ini tentunya sangat diperlukan  oleh mereka di samping bermanfaat untuk semua masyarakat Islam.

Barangkali, pihak berkaitan  wajar mengambilkira beberapa perkara sebagai penambahbaikan pengurusan program seperti ini.  Pihak SMS telah lama bergelanggang dalam kelompok saudara-saudara baru dan pengalaman ini boleh dikongsikan untuk kebaikan bersama. Setakat ini, kebanyakan saudara baru yang SMS temui  tinggal jauh dari Kota Kinabalu dan seperti orang lain mereka  perlu menguruskan periuk nasi mereka . Lebih jelas lagi, kebanyakan mereka hidup sekadarnya, kerja kampung  dan tidak mungkin dapat menyediakan kos tambang pergi balik ke Kota Kinabalu, lebih-lebih lagi dalam jangka waktu yang singkat.  Saudara-saudara baru yang ada di bandar atau ekonominya lebih mantap mungkin bernasib baik kerana tidak perlu bertarung fikiran memikirkan keutamaan keperluan dalam waktu yang sama.  Tumpuan mencari atau menambah ilmu mungkin sedikitpun tidak menggugat ekonomi mereka. Bahkan, mereka tiada alasan untuk tidak hadir ke mana-mana majlis ilmu.

Kalaulah  program ini dimaklumkan lebih awal, seminggu atau dua minggu sebelumnya, SMS masih sempat bergegas sendiri ke kampung-kampung bekaitan untuk memaklumkan perkara ini kepada saudara-saudara baru atau sekurang-kurangnya mencari jalan untuk memudahkan mereka sampai ke tempat program. SMS  sedikit kecewa sebenarnya hatta terfikir ,kalaulah SMS miliki sebuah bas besar, waktu itu juga SMS akan datangi para mualaf untuk dibawa ke program itu. Apa pihak berkaitan tidak nampak kancil SMS ini sudah ‘tua’ dan tidak mampupun mengangkat 5 orang dalam satu-satu  perjalanan? SMS sedikit hairan, mengapa program sepenting ini tidak diwar-warkan lebih awal,  walhal SMS selama ini mengintai-intai kalau-kalau terdapat program yang sesuai untuk saudara-saudara baru hadiri.  Ataukah, kehadiran SMS dengan saudara-saudara baru dari kampung hanya dijadikan sebagai pencukup ‘korum’ justeru dihubungi lewat tidak sampai 24 jam dari masa program bermula.

SMS tidak bermaksud menjadikan isu ‘masa’ atau ‘kos’ sebagai  alasan tidak setuju dengan cara pengurusan pihak berkaitan kerana SMS melihat Islam itu suatu yang wajar diperjuangkan walau dalam apa keadaan sekalipun. Namun, kegagalan orang Islam merancang dan mengurus itu adalah antara penyumbang Islam lambat diterima oleh pihak bukan Islam, lebih-lebih lagi perancang dan pengurus itu di kalangan mereka yang mampu dan punya kuasa .

Sebelum ini, telah berkali SMS lontarkan perkara  seumpama ini dalam bentuk tulisan semata-mata untuk difikirkan bersama oleh umat Islam khususnya pihak berwajib.  Kalau mahu meluaskan dakwah, sudah SMS cadangkan agar kecualikan saudara-saudara baru ini  daripada kelayakan sijil dan sebagainya . Meskipun itu menjadi ukuran dunia, namun demi  kepentingan Islam, jika mereka melepasi  ilmu Fardhu Ain, berilah ruang  kepada mereka berada di  jabatan agama mengikut kemahiran yang ada.  Daripada pengalaman SMS, di kalangan mereka ada yang  berpengaruh, dihormati di kalangan masyarakat setempat malah mahir dalam perhubungan kemasyarakatan.  Mintalah  mereka ini berbuat apa  saja dalam hal-hal berkaitan, mereka mahir. Kalaulah mereka ini dijadikan agen dakwah sementara  para ustaz pula mengisi penerokaan mereka, pasti syiar Islam cepat sampai ke tengah-tengah  masyarakat pendalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'SUDAHKAH ANDA SOLAT '

Kepentingan Menjaga Solat Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi