Ujian kecerdasan akal hadir ketika fikiran berkocak dengan perkara2 di atas. Apakah ketika itu, anda berada dalam kedudukan stabil kerana berpaksi kepada ketenangan dan kedamaian? Atau kalau anda seorang muslim, apakah fikiran, emosi dan jiwa masih dipaksikan kepada Allah ( ingat Allah )? Kalau tidak, maka jelaslah kita berada dalami lingkungan lalai. Ingatkah kita tentang ilmu yang disampaikan oleh guru2 agama berkaitan lalai? Lalai dikupas sebagai sebahagian dari sifat mazmumah yang tidak disukai Allah. Sebab itulah, bila kita buka tafsir al- quran, perkataan lalai jelas disebut kerap kali semata-mata sebagai peringatan kepada manusia. Antaranya disebut dalam dalam surah al- Maun yang bermaksud; “Maka, celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya”. Kemudian, disebutkan lagi dalam surah al- Asr yang bermaksud; “ Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran”.
Nah, alangkah bahayanya lalai manusia sehingga Allah peringatkan bahawa orang yang solat juga boleh tercelaka kerana lalai. Jika begitu, apa lagilah orang yang tidak solat? Bukankah berkali-kali muflisnya kerana tidak berbuat? Jatuh bangkrapsi kerana tidak ingat dan sebagainya? MasyaAllah.. Di mimbar Jumaat, telinga kita selalu disaji dengan firman Allah; ”wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Allah”. Ingat, di waktu kita sudah tidak ada apa-apa harapan terhadap dunia, sewaktu roh berpisah selamanya dengan jasad, maka kembali dengan jiwa yang tenang inilah yang diharap-harapkan. Amat sedih tatkala kita kembali dengan jiwa yang sebaliknya tika imam mengulangi talqin ini saat itu, walhal ketika hayat, kita sering diingatkan tentangnya.
Ayat ini juga selalu kita dengar; “Sesungguhnya orang yang bijak itu adalah mereka yang selalu ingat akan mati”. Kita kembali kepada persoalan awal kita. Tentang sejauh mana kepintaran kita. Tika bangun, apakah keadaan bangun kita tergolong dalam golongan yang telah disebutkan awal tadi? Jika ya, maka jelaslah kita bukan berada dalam lingkungan yang Allah kehendaki sebenarnya. Meski kita memiliki pengiktirafan pelbagai sijil dunia, kita masih dapat ditipu dan diperbodoh-bodohkan oleh nafsu yang menjadi alat iblis laknatullah. musuh kita yang jelas. Dia bukan sahabat kita. Oleh itu jangan berani menghulur persahabatan dengan nafsu. Bacalah perjalanan para sufi yang sepanjang kembara sufi mereka, nafsu ditundukkan, diperangi, malah dihapuskan. Jika kabur tentang nafsu, mari kita singkap apa jenis makhluk ini.
Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, telah disebutkan 7 tingkatan nafsu. Iaitu :
1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah
Nafsu Ammarah adalah nafsu paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang disalut nafsu Ammarah, akan berasa bangga bila melakukan dosa. Dia berasa kebahagiaan dan kelazatan yang teramat sangat apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada dalam tingkatan nafsu Ammarah bahkan akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Mereka inilah yang menjadi tunggak dan promoter-promoter kepada program maksiat dan kemungkaran. Mereka rayu dan tarbiah manusia-manusia lain untuk bersama-sama melakukan maksiat dan kemungkaran secara berjemaah.
Andainya ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana yang menghalang kepada program menyeru makruf dan mencegah kemungkaran. Andainya ada manusia yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu akan dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang akan sentiasa menjadi batu api dan melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan adalah neraka. Muktamad. Kalau mati tanpa taubat akan dihumban ke neraka. Manakala dosa-dosa manusia lain yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan beroleh saham darinya. Jadi, bersiagalah kepada mereka yang bernafsu Ammarah. Sejurus maut menjemput, bersiap sedialah untuk dibakar dalam neraka.
Lawwamah. Orang yang bernafsu Lawwamah sedar bahawa dirinya sering terlibat dengan dosa. Sering juga dia mengkritik diri apabila terlibat dengan dosa. Mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kepada Allah, tak ingat kepada syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar yang dia telah terlanjur. Kemudian, dia akan menyesal dan mengkritik dirinya sendiri atas keterlanjuran yang telah dilakukan. Tetapi setelah masa berlalu, dia akan ulangi dosa kemungkaran yang menjadi kegemarannya. Seandainya orang bernafsu Lawwamah ini berjaya membuat kebaikan, maka senang timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab perjuangan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.
Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tidak merasa bangga apabila melakukan dosa, dia tidak pula mengajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tidak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tetapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tidak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang sebegini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.
Mulhamah. Orang yang bernafsu Lawwamah, apabila dia sedar bahawa dia melakukan dosa, hasil mengkritik diri setelah terlanjur melakukan dosa akan berusaha menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dipelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Orang yang bernafsu Mulhamah, masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidaklah sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun, dosa walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap akan ke neraka.
Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana tidak sengaja. Bukan suka-suka mencari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru sedar akan kejinya perbuatannya itu maka orang bernafsu Mulhamah pula sewaktu buat dosa sudah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dilakukannya. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, mengkritik dirinya, orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat mengkritik diri malahan mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa . Namun, orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hatinya pedih bila melakukan dosa, walau tidak sengaja. Namun, ada usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.
Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Datanglah 1001 macam ujian dan musibah melanda, hatinya tidak akan tergugat malah tetap sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia sujud mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah. Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya di akhirat kelak.
Timbul persoalan. Bagaimana ingin meningkatkan taraf nafsu? Tidak lain dan tidak bukan adalahh dengan bermujahadatunnafsi ( bermujahadah melawan nafsu ). Langkah pertama ialah dengan menimba ilmu Fardhu Ain. Seterusnya beramal dengannya. Dalam beramal inilah berlaku proses mujahadah melawan nafsu.
Mujahadah melawan nafsu tempatnya di hati. Maka dalam proses mujahadah ini, terdapat tiga peringkat yang akan dilalui. Pertama peringkat takhalli (buang). kedua peringkat tahalli ( isi ). Ketiga peringkat tajalli (merasai). Tamsilan yang boleh dibuat tentang ketiga-tiga peringkat mujahadah adalah seperti sebuah bekas yang mengandungi sampah sarap. Sebuah bekas mengandungi sampah sarap yang menyakitkan mata. Apabila sampah sarap tersebut dibuang dari bekas dan bekas dibersihkan, itulah tamsilan kepada proses takhalli. Setelah bekas kosong dan bersih, bekas tersebut diisi pula dengan buah-buahan atau makanan yang lazat, dihias lagi dengan kuntuman-kuntuman bunga yang cantik dan mekar. Inilah tamsilan kepada proses tahalli. Setelah keindahannya terserlah, sesiapa sahaja yang memandang akan merasakan kindahan bekas yang berisi buah-buahan dan bunga, inilah tamsilan proses tajalli. Dalam mujahadah melawan nafsu. Perlawanan berlaku di hati. Di kala nafsu mengajak hati untuk berlaku riyak dan sombong, maka lawanlah bisikan tersebut. Inilah takhalli. Rasa sombong dan riyak, digantikan dengan rasa tawadduk dan rendah diri. Paksa hati untuk tawadduk dan rendah diri. Inilah tahalli. Apabila manusia lain melihat kita memiliki sifat mahmudah dan mencontohi kita. Memanfaatkan sifat yang ada pada kita, itulah tajalli. Maka ini boleh dikiaskan kepada sifat-sifat yang lain. Semoga kita beroleh panduan dalam melakukan mujahadah terhadap nafsu kita, agar nafsu kita mampu dididik dan dijinakkan. Akhirnya, semua ini akan dapat kita manfaatkan untuk keagungan dan kemuliaan Islam.
Untuk mengatahui lebih lanjut berkaitan nafsu, ikuti ceramah online di Cahayafm bertajuk Tingkatan Nafsu. Pendek kata, kita bakal tahu siapa kita sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'SUDAHKAH ANDA SOLAT '
Kepentingan Menjaga Solat Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi