Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Sabtu, 7 Februari 2009

Masih Ada Yang Simpati




Henry suamiku,

Apa khabar sayang? Aku harap kau berada di dalam situasi yang baik. Maaf andai kehadiran warkah ini mengganggu konsentrasimu.

Aku dan anak-anak di rumah sentiasa mendoakan kau sejahtera dan gembira selalu.


Henry suamiku,

Tanggal 31 0gos ini genaplah lima tahun engkau dipenjarakan. Ini bermakna aku dan anak-anak perlu bersabar untuk 25 tahun lagi.

Mengapa kau memilih jalan berduri ini Henry?Tahukah kau, betapa sengsaranya aku membesarkan anak-anak tanpa ayah di sisi

mereka. Jika tiada kekuatan lagi dalam diriku mahu saja aku menamatkan hidup ini daripada kecewa menggalas penderitaan yang

tiada akhirnya.


Henry suamiku,

Aku selalu berdoa kepada Tuhan agar jerebu yang menutupi cahaya kebahagiaan keluarga kita ini segera berakhir. Tak tergamak

aku melihat anak-anak kita hidup tidak bersekolah. Pernah sekali anak bongsu kita demam panas, aku hanya mampu melihat dia

menangis menahan kesakitannya, namun aku tidak miliki walau sesen pun wang untuk membeli ubat. Pada waktu yang sama pemilik

bilik sewa mengetuk pintu dengan penuh bengis dan marah seraya mencaci maki aku kerana sudah lima bulan tidak menjelaskan sewa

biliknya. Akhirnya aku terpaksa keluar bersama anak-anak kita mencari jambatan usang untuk berteduh. Tahukah kau aku terpaksa

mengusung anak kita menebalkan muka menadah tempurung setiap pagi di atas jambatan usang itu untuk mencari sesuap nasi bagi

meneruskan kehidupan? Tahukah kau betapa cemburunya aku melihat orang lain berpimpinan tangan menikmati keindahan dunia ini

sementara aku terhina begini?


Suamiku Henry ,

Awan mendung yang menyelubungi hidup anak-anakmu telah berakhir. Segalanya bermula selepas aku didatangi oleh seorang

wanita yang menggelarkan dirinya kakak. Aku dapat merasakan dia seorang yang ikhlas dan berhati mulia. Anak bongsu kita yang

sedang tidur tidak berbaju itu dipegang dan didukungnya. Kakak banyak membantu diri ini mengenali dunia baru dan mengenalkan

ku dengan zakat. Pernah aku bertanya layakkah aku menerimanya”. “Sudah tentu!” jawabnya ringkas. Aku mencelah lagi meminta

kepastian “Tapi saya bukan orang Islam kak”. Dia menarik dalam nafasnya dan dengan penuh senyuman ia berkata “Zakat itu

bantuan kemanusiaan untuk orang sepertimu dik... Anakmu yang kecil ini perlukan makanan berzat yang cukup, tak tergamak akak

nak menelan makanan yang enak sedang akak tahu di sini ada insan yang pedih perut menahan kelaparan”.


Suamiku Henry,

Kini telah lima bulan aku menyewa rumah pangsa di Sg Way. Segala sewa dan perbelanjaan rumah dibayar oleh kakak itu. Sesekali

aku bertanya padanya, “Kak, tidakkah saya menyusahkan akak saja?” Dengan senyuman dia berkata, “Sudahlah dik, akak dah

anggap kau dan anak-anakmu seperti keluarga akak sendiri. Janganlah perbezaan kulit dan agama itu menjadi halangan untuk kita

berkasih sayang sesama manusia.” Aku mencelah lagi, “Tapi kak, belanja yang telah dikeluarkan untuk kami banyak, tak terbalas

kami budi akak. Biarlah saya pergi ke tempat lain saja, tak sanggup lagi nak menyusahkan akak... Jawabnya,“Ahh ! Ini baru sedikit.

Nabi Muhammad s.a.w sewaktu hidupnya pernah membantu seorang Yahudi yang buta tanpa diketahui oleh Yahudi itu bahawa

orang yang membantunya itu adalah Muhammad seorang lelaki yang sangat dibencinya. Inilah keindahan Islam, dik. Agama yang

mewajibkan si kaya membantu si miskin sehingga terlerai kesusahannya.”


Henry suamiku ,

Keluhuran budi wanita itu membuatkan aku tertarik untuk mengetahui agamanya. Bagiku, agamanyalah yang telah mengajar dia

berakhlak mulia. Kehadiran agama baru ini di dalam hidupku telah membuatkan aku yakin untuk terus hidup membesarkan anakanak-

kita.


Henry suamiku,

Melalui warkah ini ingin aku suarakan hasrat hati yang dah lama terpendam untuk memeluk agama Islam yang suci. Bukan aku

hendak membelakangkanmu sayang!! Tetapi kemurniaan agama itu telah mengisi kekosongan hatiku selama ini dan aku tak mampu

lagi menolak kehangatan cinta yang telah bersemi ini.


Henry suamiku,

Seperkara yang berat penaku untuk menulisnya iaitu hubungan kita sebagai suami isteri akan terlerai sebaik sahaja aku menjadi

seorang muslimah. Tapi... usahlah risau sayang… Akukan setia menantimu di taman indah suatu hari nanti. Impian ku…Kitakan

berpimpinan tangan menuju ke masjid mencari sebuah kata pasti di dunia ini.

Selamat tinggal sayang. Terima kasih kerana pernah membahagiakanku .

Yang Benar

………………………………….

(Angela Albert DE Sebastian)

Musliha Albert binti Abdullah

Jumaat, 6 Februari 2009

Dakwah seni Peter Sanders



PETER Sanders merakamkan suasana hening pengunjung Gereja Salisbury Cathedral yang menikmati keunikan dan keindahan azan yang dilaungkan oleh seorang penduduk Islam Britain, Imran Golding di dalam gereja itu pada tahun 2005.


NAMA Andreas Gursky (lahir 1955) mampu membuatkan kita semua ralit. Jurugambar terkenal dari Jerman ini mampu memberikan sentuhan-sentuhan seni berestetika tinggi terhadap semua hasil-hasil karya walaupun hanya dalam bentuk gambar!

Ini kerana gambar seperti yang disifatkan oleh sesetengah pihak merupakan hasil seni yang sebenar, realisme! Tidak kabur, tidak mujarad (absurd) tetapi masih dengan nilai-nilai tersendiri yang hebat.

Maka tidak mustahil apabila karya Gursky yang bertajuk 99 cent 1999 yang dihasilkan pada tahun 1999 menjadi gambar fotografi yang paling mahal di dunia. Ia apabila Sotheby berjaya melelongkan gambar itu pada 7 Februari 2007 dengan harga RM11.7 juta.

Walhal gambar itu adalah mainan warna-warni produk-produk sebuah pasar raya yang dirakam dengan begitu menarik oleh Gursky. Objeknya mudah, namun subjek terpulang kepada yang melihatnya untuk intepretasi gambar tersebut.

Namun dari Barat ini juga, nama seperti Peter Sanders yang berasal dari England, lebih menjadikan seni fotografi itu agar lebih bermaruah.

Peralatan kamera beliau jadikan senjata yang paling ampuh dan menepati sasaran agar tiada lagi kekeliruan dan pemikiran yang sempit dan kolot mengenai Islam.

Ini menyaksikan Sanders mengabdikan seluruh diri dan kehidupannya demi mendapatkan wajah-wajah yang memberikan pelbagai perspektif yang berbeza mengenai Islam.

Namun tidakkah penganut dan elemen semua agama di dunia ini membawakan bersama mereka wajah-wajah yang indah dan menarik?

"Semua agama mempunyai keindahan mereka tersendiri tetapi keindahan Islam sering dibayangi dengan pelbagai fitnah keganasan, kemiskinan, ketinggalan dan segala macam yang bobrok dan buruk.

"Jadi, jika tidak saya yang beragama Islam mempunyai kemahiran, perlukah kita menunggu orang lain melakukannya untuk kita, bukan sahaja soal membersihkan imej namun sebagai satu elemen untuk menyampaikan mesej dakwah?" katanya dalam satu pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Dalam nada bergurau, penulis menyifatkan usaha Sanders ini, tidak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, sanggup ke serata pelosok dunia bagi merakamkan wajah-wajah Islam untuk tatapan semua.

"Pastinya saya bukan Rasulullah tetapi saya meneruskan usaha yang sewajarnya untuk Islam, namun baginda masih yang terbaik untuk segala-galanya. Walaupun saya berperanan umpama jambatan bagi menghubungkan khususnya Islam kepada dunia Barat tetapi apalah sangat berbanding usaha kita ini dengan segala macam pengorbanan yang dilakukan oleh baginda," katanya sambil tersenyum.

Berkali-kali beliau menegaskan tidak sebagaimana anggota masyarakat seni yang lain, hasil karyanya bukan bertujuan mengembungkan poket.

"Saya tidak beroleh apa-apa, sama ada dari beratus ribu keping gambar yang diambil dan buku-buku yang saya hasilkan kerana apa yang penting Islam mesti dibela walaupun dari sekeping gambar," tegasnya.

Maka apa wajarnya lagi Peter Sanders untuk bergelar saudara baru? Tentu sekali tidak sejak memeluk Islam pada tahun 1971. Malah beliau sendiri tidak suka dengan gelaran itu kerana apa yang berlaku pada dirinya hanyalah berlaku transisi dalam hidup dan kesanggupan untuk menerima apabila ditawarkan mengenai Islam.

"Ada sesetengah menolak sesudah ditawarkan tetapi saya tidak ada masalah untuk menerima Islam itu dan dalam masa yang sama, saya masih mengekalkan diri saya, Cuma mungkin saya menjadi seorang yang sedikit bijak dan agak penyabar.

"Ini kerana seseorang yang berjanggut merah datang dan berkata, saya seorang Islam. Jadi adakah saya juga perlu mewarnakan janggut bagi menunjukkan saya juga seorang Islam," soalnya.

Sejak pernah menyiarkan kisah pengislaman Sanders pada tahun 2006 di Mega, Utusan Malaysia, sedari itu azam ditanam untuk menemuinya dan kesempatan menemuinya sempena Pameran 'Seni Perpaduan: Islam di Britain' yang berlangsung dari 20 Januari lalu hingga 20 April 2009, menampilkan gambaran mendalam akan kehidupan umat Islam di Britain di Muzium Kesenian Islam, didapati Sanders seorang yang sangat sederhana.

Tidak sahaja pada penampilan, tetapi beliau sesekali tidak akan menjual pengaruh kuat yang beliau miliki untuk menjadi seorang ahli politik.

"Mengapa perlu?" soalnya kembali.

"Cukuplah saya seorang bergiat dalam seni (fotografi) saya tidak boleh menjadi seorang ahli politik, saya tidak menggemari (politik) kerana politik satu fenomena seperti cuaca, kerap berubah. Malah kerap kepada yang kotor.

"Saya faham politik itu bagaimana kita memanipulasi interaksi sesama manusia tetapi bagi saya seorang ahli politik yang tulen, jika siang dia berpolitik maka pada sebelah malamnya dia seorang yang beribadat sepanjang malam. Jadi, jika dia mengambil tindakan, ia merupakan tindakan yang diberkati malah datangnya dari Allah.

"Jika berpolitik tanpa sembahyang dan bermunajat kepada Allah, apa maknanya itu? Saya tidak boleh, jika saya berpolitik saya mungkin ahli politik yang memberi bencana kepada orang lain," katanya.

Namun dari raut wajah, Sanders tidak mampu menyembunyikan perasaan kecewa di saat pengabdian beliau tercemar dengan detik-detik keganasan Israel terhadap umat Islam yang sangat beliau sayangi itu.

"Di saat saya mengabadikan keunikan Islam dengan seribu satu wajah keriangan, senyuman, kehidupan yang aktif, kejayaan, kepakaran dan sebagainya hari ini, semua ini seolah-olah sudah tidak bermakna lagi apabila begitu ramai umat Islam yang menderita dalam neraka dunia dan menempuh kematian mereka dengan seribu satu kengerian," katanya.

Namun bagi Sanders, kekecewaan bukan tembok penghalang, malah jika di satu bahagian umat Islam ditindas perlu ada umat Islam di bahagian dunia lain yang bebas dan merdeka meneruskan perjuangan tanpa henti agar memberi kekuatan kepada yang ditindas itu.

Namun tahukah anda mengapa Sanders gemar merakam wajah-wajah wanita Islam sebagai subjek utama dalam medium fotografinya itu?

"Saya bukan hendak mendiskriminasi mana-mana pihak atau mengambil kesempatan terhadap keunikan yang tergambar melalui wajah dan aktiviti wanita sebagai subjek utama saya.

"Tetapi kerana saya tidak mahu Islam dikenali sebagai dunia yang dikuasai oleh lelaki. Elemen lelaki, wajah bengis bersama pedang sering kali menjadi gambaran oleh golongan bukan Islam," katanya.

Ini mendorong Sanders hendak menceritakan hakikat sebenarnya wanita-wanita Islam hari ini.

"Mereka golongan yang memainkan peranan yang sangat aktif walaupun hanya bergelar suri rumah.

"Walaupun kadang kala ada enggan wajah mereka dirakamkan tetapi apabila saya menjelaskan niat sebenar saya, mereka akhirnya bersetuju dan membenarkan wajah dan aktiviti mereka dirakamkan melalui lensa kamera saya ini," katanya.

Namun anda tentu lebih tertanya mengapa Sanders tidak membawakan mesej-mesej dari Bandar Gaza, Palestin yang bagai neraka dunia itu.

"Selain saya bukan bertugas sebagai jurugambar atau koresponden perang, adakah anda yakin saya mempunyai hati yang kuat dan tabah?

"Saya terlalu simpati terhadap ramai kalangan rakan yang bertugas di zon perang, mereka akhirnya tidak mampu hatta untuk tidur akibat tugas-tugas yang mencabar itu," katanya.

Ini tentu mengingatkan anda kepada jurugambar terkenal dari Afrika, Kevin Carter. Apa yang terjadinya kepadanya selepas tiga bulan berjaya merakamkan gambar kebuluran seorang kanak-kanak Somalia yang kurus kering menanti saat untuk diratah oleh burung hering!

Walaupun pada Mei 23 1994 beliau dianugerahkan Hadiah Pulitzer kategori Feature Photography pada 27 Julai 1994, beliau membiarkan gas karbon monoksida dari lubang ekzos lori kecilnya menjadi racun membunuh dalam usahanya untuk membunuh diri dalam usia 33 tahun.

Beliau meninggalkan nota bunuh diri antara lain yang berbunyi: "Aku begitu tertekan, tanpa duit untuk menyara kanak-kanak (kebuluran)...Aku begitu dihantui dengan memori-memori kejam pembunuhan dan mayat-mayat serta marah dan kesakitan...kanak-kanak yang kebulur dan cedera, lelaki-lelaki yang gembira sambil membunuh..."

Mereka mungkin mempunyai jiwa yang kuat tetapi jika sering diasak dengan tugas-tugas untuk merakamkan kematian tragis, maka seorang Islam yang hebat seperti Peter Sanders tidak mustahil pada suatu hari akan tumbang juga akhirnya.

Lalu Sanders atau nama Islamnya, Abdul Al Adheem akan terus berada di lokasi-lokasi di mana Islam itu indah, Islam itu adalah yang paling benar!

"Saya pernah ke Baitul Maqdis, Palestin sebanyak dua kali dan perasaan saya adalah yang paling pilu ketika itu dan ini membuatkan saya berazam untuk membebaskan bumi suci itu hatta dari tiap sudut bahagian dunia dan tidak ada perkataan jauh untuk itu," katanya.

Elak kekeliruan kalimah Allah



UMAT Islam perlu bersatu untuk mempertahankan sensitiviti agama daripada diperkotak-katikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga boleh mencetuskan kekeliruan.


Menyentuh isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam terbitan bahasa Melayunya, mungkin ada beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi untuk renungan bersama.

Kerajaan menerusi keputusan Kabinet pada 16 Mei 1986 melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, solat, Baitullah dan Kaabah.

Malah sesetengah kerajaan negeri menambah beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam.

Namun yang peliknya, kenapa masih ada yang cuba menuntut kerajaan membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan cetak mereka?

Alasannya, kalimah Allah diterjemah daripada perkataan God dalam bahasa Inggeris seperti yang tertulis di dalam kitab Bible.

Bagaimanapun, kita perlu akui tuntutan ini sebenarnya amat berbahaya kerana ia lebih banyak menimbulkan kekeliruan.

Bayangkan kekeliruan terutama di kalangan kanak-kanak Islam apabila terbaca papan tanda atau kain rentang berbunyi: "Aku adalah anak Allah" atau "damai sejahtera dari Allah, Bapa kita dan dari Tuhan Jesus Kristus" atau "Anak Allah yang hidup". Semua itu adalah terjemahan terus daripada Bible berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, elok rasanya kita melihat kepada asal-usul bahasa kitab-kitab itu sendiri. Bagi Islam, mudah untuk difahami bahawa bahasa asal kitab suci al-Quran ialah Arab.

Apakah pula bahasa kitab Injil (Bible) dan Taurat? Bagi pengkaji sejarah, diketahui bahasa asal Taurat ialah Hebrew sementara bahasa Greek digunakan untuk Injil.

Sekiranya fakta penggunaan bahasa ini boleh diterima sebagai asas perbincangan, maka ulasan seterusnya selepas ini akan menjadi lebih mudah. Malah bagi orang Islam, tidak perlu untuk kita menjadi pakar tentang kitab Taurat atau Injil (Bible) untuk mengupas isu ini.

Persoalannya sekarang ialah apakah perkataan yang digunakan untuk merujuk "Tuhan" dalam Taurat dan maknanya dalam bahasa Greek pula?

Sekiranya Herald Catholic boleh memahami persoalan asal bahasa ini, mungkin kekeliruan penggunaan perkataan Allah tidak akan timbul.

Dalam Hebrew, perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Elohim, Eloh, El dan juga Yahweh. Ini dapat diperhatikan menerusi Perjanjian Baru, dalam The Gospel of St. Matthew bab 27: 46 yang menyebut: Kira-kira jam tiga berserulah Jesus dengan suara nyaring: "Eli, Eli, lama sabaktani?" (Ertinya: Tuhan-Ku, Tuhan-Ku, mengapa Engkau tinggalkan aku?")

Sementara dalam bahasa Greek, Tuhan disebut Theos. Seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah atau tamadun besar dunia, orang Rom menyembah Tuhan yang dikenali sebagai Hotheos.

Dan sekiranya terdapat di kalangan mereka yang menyembah Tuhan yang dianggap palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai Tintheos.

Jika diteliti kita akan dapati bahawa dalam kedua-dua bahasa itu, sama ada Hebrew ataupun Greek, tiada satu pun kalimah Allah.

Namun begitu ada juga di kalangan mereka yang memberi alasan bahawa penggunaan kalimah Allah ini ialah berdasarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Arab.

Bible versi Arab ini tidak dikenali sebagai Holy Bible tetapi lebih dikenali sebagai Kitab al-Muqaddas. Bible terjemahan Melayu dinamakan sebagai Kitab Berita Baik.

Lanjutan daripada itu juga perlu kita fahami bahawa kalimah Allah yang wujud di dalam Bible Arab tersebut adalah kerana sesetengah keturunan Kristian Arab seperti di Mesir, Syria dan negara lain yang menganutinya sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW menerima dan meyakini fahaman Keesaan Tuhan.

Fahaman ini jauh berbeza dengan fahaman Trinity atau "Tiga Dalam Satu" seperti doktrin kebanyakan penganut Kristian sekarang.

Maka, hujah yang dijadikan sandaran untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah ini tidak dapat diterima kerana golongan Kristian Trinity sendiri tidak menerima, bahkan mengkafirkan golongan Kristian Unity (mengakui satu Tuhan).

Selain daripada hujah itu, terdapat juga pandangan bahawa kekeliruan tidak akan timbul jika penggunaan kalimah ini dibenarkan kerana kalimah Allah yang hendak digunakan itu merujuk kepada terjemahan God dalam Bible sedangkan perkataan Tuhan pula daripada kalimah Lord.

Pandangan ini juga sebenarnya mengelirukan malah bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Bible sendiri. Apakah bezanya antara Allah dan Tuhan dalam Kristian?

Sekiranya Tuhan merujuk kepada Jesus dan Allah pula ialah Tuhan Bapa di Syurga, maka perlulah difahami bahawa kalimah Tuhan dan Allah adalah dua perkataan yang merujuk hanya kepada Allah sahaja.

Bagi membuktikan hal ini kita boleh merujuk kepada The Gospel Of St Mark 12:29 yang menyebut: "Jawab Jesus: Hukum yang terutama ialah: Dengarlah wahai Bani Israel, Tuhan Allah kita, Tuhan Yang Esa."

Dalam ayat ini siapakah Tuhan Yang Esa? Adakah ia merujuk kepada Jesus? Pastinya tidak! Malah kalimah Tuhan di atas merujuk kepada Allah semata-mata.

Sekali lagi ia bertentangan dengan apa yang dinyatakan bahawa kalimah Lord (Tuhan) di dalam Bible merujuk kepada Jesus.

Sekiranya hujah diteruskan dengan menyatakan bahawa dalil paling jelas yang menunjukkan kalimah Tuhan merujuk kepada Jesus dan Allah pula merujuk kepada Tuhan Bapa seperti yang di dalam The Gospel Of St. Matius 16:22 yang menyebut: "Tetapi Petrus menarik Jesus ke samping dan menegur Dia, katanya: "Tuhan (Jesus), Semoga Allah (Tuhan Bapa) menjauhkan hal itu."

Sekiranya ini dijadikan hujah dan alasan, maka mereka yang berkenaan perlu menyelesaikan dahulu percanggahan antara kedua-dua ayat di atas. Jelaskan sama ada Tuhan itu merujuk kepada Jesus sahaja ataupun turut merujuk kepada Allah.

Malah kata-kata Jesus sendiri menjelaskan keesaan Allah seperti di dalam The Gospel of St. John 20:17 yang menyebut: "Kata Jesus kepadanya: Janganlah engkau memegang aku, sebab aku belum pergi kepada Bapa, tetapi pergilah kepada saudara-saudara-Ku dan katakanlah kepada mereka bahawa sekarang Aku akan pergi kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah-Ku dan Allahmu."

Dalam kata lain, Jesus bukanlah Allah ataupun Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana Jesus sendiri menyatakan Tuhan yang sebenar ialah Allah.

Maka jelaslah di sini, kewajaran kerajaan Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Ia bertujuan mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, maka ia akan mengundang padah.

Amat malang apabila keharmonian beragama di negara ini yang dibina atas dasar tolak ansur dan saling memahami, digoncang oleh tangan-tangan yang sengaja ingin mencetus ketegangan dan huru-hara.

PENULIS ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Khamis, 5 Februari 2009

Sisipan Gambar


' Lensa SMS '


Gambar Kenangan PWTC.


Berurusan di pejabat UMNO demi SMS


Dalam Perjalanan Ke KL Petang Semalam.

Makanan Kegemaran SMS


Lensa SMS Chow Kit jam 8.30 pagi di tingkap hotel.


Chow Kit.


Chow Kit.



Josh Hassan, Yahudi Peluk Islam

Jika saya tidak memeluk Islam, mungkin saya seorang penganut Hindu atau seorang Kristian. Tetapi mengapa saya hendak menyembah seorang Nabi (Nabi Isa a.s) sedangkan baginda sendiri tidak pernah mengaku dirinya mempunyai ciri-ciri ketuhanan untuk disembah oleh manusia.

Demikian pengakuan Josh Hassan, yang dilahirkan sebagai Yahudi. Menjelang usia 10 tahun, kedua-dua orang tua saya memasukkan saya ke Conservative Syanagogogue. Ia terletak di Brookline, Massachussetts yang majoriti penduduknya terdiri dari bangsa Yahudi. Saya dihantar ke situ semata-mata bagi mempelajari bahasa Hebrew dan mendalami agama Yahudi itu sendiri.

Kebanyakan tenaga pengajar terdiri daripada Yahudi dari Israel yang berjaya membuatkan saya percaya kepada kebenaran agama itu. Di usia semuda itu, saya seorang yang percaya kepada wujudnya tuhan. Juga begitu berminat untuk membaca kisah-kisah dari Kitab Taurat dan Kitab Perjanjian Lama yang kesemua ini menjadikan saya menjadi seorang kuat berpegang kepada Yahudi melebihi dari ibu bapa saya sendiri dan rakan-rakan saya yang lain.

Begitu pun ketika dalam pengajian mengenai Yahudi dan Israel di Rumah Ibadat Yahudi itu saya ditemukan dengan satu agama yang agak baru kepada saya, iaitu Islam. Namun yang lebih mengejutkan apabila Islam juga mempercayai Tuhan yang Satu 'sebagaimana' ajaran utama Yahudi. Saya begitu tertarik dengan kepercayaan umat Islam terhadap Allah, kitab suci mereka al-Quran serta menunaikan haji ke Mekah.

Namun, oleh kerana pengajian di situ mempunyai agenda tersembunyi iaitu tarikan kuat terhadap Israel, fikiran saya telah kuat dipengaruhi bahwa Islam terdiri daripada pengganas-pengganas yang sentiasa bertindak kejam dengan menjadikan orang Yahudi sebagai sasaran serangan letupan dinamit.

Saya perlu berpegang teguh bahawa orang Yahudi, merupakan umat terpilih dan orang Arab itu, terdiri daripada mereka yang kesemuanya jahat belaka. Sejak itu saya tidak lagi mendengar mengenai Islam sehinggalah pada tahun 1999.

Dalam tempoh itu, terutamanya dari tahun 1994 hingga 1995 keluarga saya telah menukar daripada ajaran Yahudi yang ortodoks kepada yang lebih liberal yang kami panggil Yahudi Baru (Reform Jews). Melaluinya Rabbi kami bukan lagi kosher. Namun di suatu saat saya mula meragui kemampuan Rabbi, iaitu seorang pemimpin suci sebagai lelaki yang memimpin kesemua penganut Yahudi supaya mendekati Tuhan.

Kekecewaan terhadap agama Yahudi yang semakin tumbuh dalam diri menyebabkan tanpa ada pilihan lain, minat saya kembali semua kepada agama Kristian.

Saya berasa agak kagum ketika itu melihatkan agama Nasrani ini kerana sepertinya agama itu mempunyai kekuatan yang tersendiri setelah sedikit demi sedikit saya mendapati Yahudi merupakan agama yang korup.

Lalu saya melangkahkan kaki buat pertama kali dalam upacara sembahyang di sebuah gereja dan cuba bercakap dengan para paderi ketika itu. Tetapi saya menghadapi saat yang paling sukar yang pernah saya lalui untuk mempercayai Nabi Isa a.s sebagai dewa atau tuhan yang layak untuk disembah. Tetapi saya terpaksa memaksa diri saya untuk menyembah kepada 'Anak Tuhan' itu dengan sedaya upaya tetapi saya masih tidak menemui jawapan.

Oleh kerana saya masih keliru, saya terus mempelajari Catechism (Soal Jawab Kristian) dan mengikut upacara sembahyang tanpa saya melakukan upacara baptis terlebih dahulu. Tambahan pula, saya belum boleh diterima dalam mazhab Katholik kerana seseorang yang hendak memeluk Katholik perlu mempelajari terlebih dahulu selama sembilan bulan.

Tetapi andai kata saya meninggal dunia sebelum sempat sembilan bulan, adakah para paderi tersebut akan bertanggungjawab terhadap status agama saya. Sedangkan mereka tahu saya mempunyai niat memeluk Kristian.

Saya akhirnya tidak mampu untuk menerima Kristian kerana seperti yang saya dengar sebelum ini dan seperti yang saya pelajari, agama itu dipenuhi doktrin-doktrin yang tidak benar.

Pada 26 Januari 1999 saya terus berhenti menghadiri kelas-kelas mengenai ajaran Kristian. Tindakan itu begitu menggembirakan orang tua saya.

Tetapi saya masih percaya mengenai wujudnya Tuhan Yang Satu dan sehinggalah pada suatu hari ketika berada di sebuah perpustakaan dan melalui rujukan saya melalui Ensiklopedia Britannica saya menjumpai kisah Nabi Muhammad SAW.

Namun saya amat sedih apabila diceritakan mengenai baginda dikatakan telah menyembelih kesemua orang Yahudi yang berasal daripada pelbagai kabilah terutama semasa baginda berhijrah ke Madinah.

Saya berasa sungguh marah dan keliru dalam masa yang sama, saya telah diajar sedari dulu mengenai tindakan Rasulullah yang membunuh dan menyembelih orang Yahudi menyebabkan kini saya seolah-olah telah kehabisan pilihan.

Namun saya tahu bahawa ensiklopedia itu juga korup dan saya bercadang untuk mengenali rumah ibadat dalam islam iaitu masjid seperti yang disebut dalam ensiklopedia itu.

Sehinggalah pada 28 Februari 1999 saya ternampak sebuah masjid di Jalan Prospect di Boston dan tanpa membuang masa saya mengunjungi masjid tersebut.

Hati saya begitu berdebar-debar kerana saya mudah dikenali sebagai Yahudi dengan identiti yang saya miliki. Sehinggalah saya dibawa menemui anggota jemaah masjid tersebut sebaik sahaja mereka selesai melakukan ibadat.

Saya menyatakan hasrat untuk mempelajari Islam kepada mereka dan tanpa disangka-sangka perkara tersebut disambut baik oleh mereka. Saya umpama dihujani hadiah dalam satu masa yang sama, apabila kesemua lelaki di masjid itu berlumba-lumba memberi penerangan mengenai Islam kepada saya.

Saya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan dan merasakan tempoh untuk saya memeluk Islam semakin dekat dan saya cukup bersedia untuk melafazkan kalimah syahadah.

"Tetapi adakah anda pasti? Anda tidak dipaksa untuk melakukan perkara ini (memeluk Islam!)," ujar mereka dalam nada bersaudara dan mesra. Saya agak terkejut dan mengakui saya tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan sehinggalah saya benar-benar mantap dan mengenali Islam dengan lebih dekat lagi.

Jadi, hari itu saya belum memeluk Islam secara rasmi. Namun ia merupakan hari Sabtu yang indah apabila kami terus berkenalan daripada semua anggota jemaah masjid yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan berbeza latar belakang.

Saya mendapati mereka semua mempunyai tujuan dan matlamat yang sama, iaitu menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah SWT. Sehinggalah pada 6 Mei 2000, saya kembali ke masjid, yang ketika itu saya perhatikan para jemaah sedang menunaikan solat zuhur dan sujud kepada Allah.

Saya sudah tidak dapat menunggu lebih lama. Sejurus selesai mereka berjemaah, saya tampil untuk memeluk Islam secara rasmi. Dalam seumur hidup saya, mengucap dua kalimah syahadah itu kemudiannya didapati merupakan perkara terbaik yang pernah saya lakukan. Tetapi kalaulah saya melakukan lebih awal lagi, tidakkah itu adalah lebih baik lagi?!.

Rabu, 4 Februari 2009

Majlis Sambutan Ma'al Hijrah & Festival Nasyid Daerah Ranau 8 Safar 1430 Hijrah - 3 Feb 2009

'Lensa SMS'


(SMS)


Suara Mualaf Sabah ( SMS )


Pegawai Kemajuan Rakyat, Paginatan ( PKR )



Kumpulan Nasyid Sekolah Menangah Agama Ranau (SMA )


Kumpulan Nasyid Kundasang.


Kumpulan Nasyid Kg. Paka 11


Kumpulan Nasyid Kg. Paka


Pelajar ( SMK ) Ranau


Tuan DO En. Sariman Basir


Kakitangan Kerajaan


Kaum Ibu


Masyarakat Setempat Ranau


Remaja Dusun Islam


Pegawai Daerah Ranau

Penghinaan agama rasmi?

Utusan Malaysia

WALAUPUN isu sensitiviti agama sering menjadi topik perbincangan, masih ada pihak yang enggan menerima hakikat bahawa masyarakat kita memerlukan pendekatan lebih teliti untuk menangani isu ini. Ia begitu rumit dan tidak mudah untuk dibicarakan.

Isu penggunaan perkataan Allah dalam terbitan bukan berkaitan agama Islam adalah isu terkini yang dibincangkan. Walaupun belum ada larangan mahkamah mengenai penggunaannya, golongan ini harus faham bahawa masyarakat Islam di negara ini tidak berpuas hati dengan penggunaan perkataan 'Allah' sewenang-wenangnya.

Perlu diingat, kenyataan undang-undang seperti tafsiran mahkamah bukanlah satu faktor terbaik dalam menjaga keharmonian antara agama di negara ini. Keharmonian itu lebih bergantung kepada sifat faham-memahami, menghormati serta sifat bertoleransi antara satu sama lain.

Sifat memahami, menghormati dan bertoleransi ini bukan sahaja daripada aspek hubungan politik atau ekonomi, malah merangkumi sosial termasuk membabitkan antara agama.

Mungkin ramai yang menganggap sifat toleransi ini hanya mudah disebut di bibir, namun langkah sebenar mengamalkannya amat payah untuk dilakukan. Namun kita percaya, sifat-sifat tersebut telah lama wujud dalam masyarakat Malaysia.

Sifat-sifat itu menjadi penyumbang utama kepada kesejahteraan negara. Ia juga telah membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan kestabilan.

Setelah berjaya mengharungi pelbagai cubaan dan kepayahan untuk mengekalkan hubungan antara kaum dan agama, masyarakat seharusnya bertanggungjawab untuk tidak membuat sesuatu yang boleh memusnahkannya.

Menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat untuk memastikan hubungan sosial kekal sempurna. Tanggungjawab itu termasuklah menghormati kepercayaan agama orang lain.

Perbuatan dengan cara perbuatan lahiriah atau penulisan perlulah sentiasa menghormati perasaan terutamanya sentimen keagamaan semua anggota masyarakat.

Seperti yang dimaklumi, agama adalah antara perkara sensitif. Semua anggota masyarakat harus sedar bahawa setiap ajaran agama mempunyai teras-teras tertentu yang tidak boleh dilunturkan. Ini kerana agama itu sendiri mempunyai ikatan tertentu yang mungkin tidak boleh difahami oleh pengikut agama lain.

Kita telah melihat pengalaman dunia yang mana peperangan malah penghapusan etnik berlaku atas alasan persengketaan agama.

Realiti mengenai peri penting kestabilan sosial, terutamanya dalam perkara berkaitan agama ini harus ditanam dalam fikrah setiap ahli masyarakat.

Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula "aman dan damai".

"Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".

Formula "aman dan damai" ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah.

Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan "aman dan damai" masyarakat negara ini.

Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula 'aman dan damai' itu.

Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti. Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya?

Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya. Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama.

Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic.

Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri. Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.

Undang-undang dan penguatkuasaannya mungkin bukanlah jalan terbaik atau jalan utama untuk menjamin keharmonian antara agama di negara kita, namun mempunyai undang-undang yang lengkap dan penguatkuasaan yang proaktif boleh mengawal selia hubungan baik antara agama.

Sesungguhnya, sifat faham-memahami berhubung kepercayaan agama, adat resam dan keperluan setiap golongan masyarakat adalah jalan terbaik untuk mencapai keharmonian di negara ini.

Sifat toleransi, seperti yang disebut adalah juga formula yang bergandingan dengan sifat faham-memahami antara satu sama lain. Sifat ini harus wujud dalam setiap jiwa dan raga rakyat.

PENULIS ialah Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ahad, 1 Februari 2009

Gambala Naga ...?


Gambar atas < > bawah kolam Lombong Mamut,
hari demi hari terhakis. Ribuan liter air dan lumpur
bakal meranapkan Kg. Bongkud, Poring dan Lohan



Dua buah bukit yang terletak di Kg. Bongkud, Ranau.
Di percayai memiliki Emas, wilayah Nabalu kaya dengan hasil bumi.


Bangunan gambar atas < > bawah
peninggalan lombong tembaga mamut


Gunung Kinabalu, gunung tertinggi Asia Tenggara. Masyarakat Dusun Sabah memanggilnya, NABALU. Dalam dunia perjuangan, ramai pemimpin mengambil NABALU sebagai simbol perjuangan mereka kerana NABALU memiliki aura alam luar biasa yang Allah kurniakan kepadanya. Siapa sahaja melihat NABALU pasti terpegun dengan keberadaan wujudnya. Itulah NABALU.

Lalu, terungkaplah cetusan-cetusan rasa ketakjuban mereka pada NABALU yang kemudian diadaptasikan dalam pelbagai prosa; Cerita-cerita rakyat, puisi, cerpen, novel, dan sebagainya. Semuanya disampaikan menurut pandangan mereka dan diterjemahkan dalam bentuk-bentuk susunan huruf. Sehingga kini, penghujung pembicaraan NABALU masih belum ada lagi.

Jelasnya, kewujudan NABALU di bumi Sabah mencetuskan revolusi pemikiran manusia. NABALU, walau bukan hidup bernyawa seperti manusia, adalah pakar segala pakar motivasi kerana mampu memberi inspirasi kejayaan dan kejutan. Sayang sekali kerana masyarakat pribumi Sabah tidak mampu menilai dan menggunapakai curahan mutiara ilmu yang saban hari Sang NABALU limpahkan pada manusia tanpa mengira fahaman agama, politik, bangsa dan negara. Masyarakat pribumi masih selesa di zon merah, menanti dan menunggu lampu hijau, sedang lampu hijau itu berada di tangan orang lain.

Umpama cerita dongeng; Gambala naga satu ketika dulu berada di NABALU. Namun, kerana rasa takut dengan naga, maka gambala itu dibiarkan begitu sahaja sehingga datang seorang manusia yang berani mengambil risiko.Dia dengan berani merampas gambala naga tersebut dan membawanya lari ke negara sendiri. Akhirnya, yang kaya adalah keturunan pahlawan yang berani mengambil gambala dalam mulut naga dan negaranya. Hairannya, masyarakat pribumi masih mampu mendabik dada dengan tulisan bahawa gambala naga itu suatu ketika dulu adalah milik merek sewaktu masih berada di Gunung Kinabalu @ Nabalu…

Meskipun cerita naga, gambala dan ‘ Nabalu ‘ sebuah dongengan turun temurun, intipati dongengan ini jarang atau mungkin tidak pernah direnung. Kita hanya mendengar dongengan ini kerana kita tidak pernah cuba untuk mengubah cara kita berfikir. Ramai pakar motivasi tanahair berkata, “ kalau mahu berjaya, seseorang hendaklah berani gagal”. Ertinya, tiada kejayaan tanpa kegagalan. Mahu atau tidak, jika kita meletakkan matlamat kita untuk berjaya, kita perlu melalui proses gagal, kemudian barulah kita berjaya.

Bacalah buku orang-orang yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Ternyata kita akan dihidangkan sejarah kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi sebelum beroleh jaya. Kerana itu, sifat menentang arus, mesti ada dalam perjuangan kerana arus itu adalah penghalang-penghalang sebelum kita sampai ke puncak kejayaan. Jika selepas itu kita tidak juga berjaya, maka akurlah bahawa takdir tidak menyebelahi kita. Pun begitu, kita tidak boleh berputus asa . Maka, serahkanlah hidup kita kepada yang maha pencipta kerana sesungguhnya Dia lebih tahu untuk apa anda diciptakanNya terimalah ‘ gagal’ itu dengan redha dan sabar. Walau di mata dunia kita gagal tapi di sisiNya kita berjaya menundukkan nafsu dengan sifat redha dan sabar .

Nah, masyarakat yang berada di Zon Merah hendaklah diluruskan cara berfikir agar bersedia menempuh tugasan baru di luar kotak fikiran masing-masing. Tugas ini sememangnya terpikul di bahu setiap individu yang berada di Zon Berani Gagal. Pimpinlah mereka yang berada di sekeliling anda sehingga mereka berjaya atau paling tidak mereka tidak dibayangi lampu merah yang menakutkan. Tidak mungkin lampu hijau yang ditunggu-tunggu selama ini Lampu Hijau Kejayaan setelah mereka merampas super power galiga naga di NABALU milik kita satu waktu dulu. Bisa sahaja berlaku lampu hijau palsu, mereka beri pada kita.

Petang tadi, saya ke Batu Dua, Mamut, sebuah bekas kawasan penempatan pekerja lombong tembaga yang terbesar di Malaysia, suatu ketika dulu. Di zaman kecil saya, kisah Mamut sempat singgah di telinga saya yang berada nun jauh di Kota Marudu. Ketika itu, riuh kononnya, kepala manusia diperlukan untuk ditanam di Mamut. Inilah tinggalan Mamut. Kini sepi tanpa bangunan. Telah diratakan oleh mesin-mesin besi dan tenaga manusia setelah habis tembaganya diambil.

Nostalgia tinggal di perumahan Mamut sekitar 2002-2006 membuatkan saya tahu benar betapa air bukit Mamut sejuknya sampai ke tulang sum-sum . Kabus tebal dan nyanyian cengkeriknya di kala malam mempesona dan menggamit tinta saya bermain di pentas kertas. Bukan angkat bakul sendiri, tapi sememangnya banyak puisi alam telah lahir di sini dan sebahagiannya tersiar di akhbar tempatan Sabah Times, Daily, Wadah dan Mingguan Utusan manakala yang lainnya lagi dipilih ke buku antologi puisi terbitan DBP. Inilah hasil sentuhan panorama Mamut.

Siapa yang telah mengambil gambala Mamut? Kerana menunggu lampu hijau, masyarakat setempat di sini, khususnya orang-orang kampung di sekitar kampung Bongkud dan kampung-kampung sekawasannya hanya mampu mengesat habuk pencemaran yang acapkali singgah di kulit mereka tatkala angin bertiup. Kalau habuk biasa tidak apa tapi ini habuk luar biasa, sisa tahi tembaga Mamut.

Gambala dalam bahasa Dusun maksudnya mutiara. Dalam kartun animasi yang pahlawannya Si Goku, dinamakan Dragon Ball.

Bersambung…

Jangan Cabar Islam

Oleh Shamsiah Zulkaflishamsiah.zulkafli@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Jangan cabar kesucian Islam. Jangan bangkitkan kemarahan umat Islam.

Peringatan dan amaran keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu ditujukan kepada pemimpin tertentu bukan Islam yang terus menimbulkan isu menyentuh kesucian Islam di negara ini.

Sambil merujuk kepada isu akhbar mingguan Herald Catholic yang mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana menggunakan perkataan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayunya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perkara itu sepatutnya tidak timbul sekiranya semua pihak prihatin dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

‘‘Ada pemimpin bukan Islam yang minta kebenaran supaya perkataan Allah digunakan dalam akhbar itu dengan alasan mengambil contoh Indonesia yang lebih bebas dalam isu agama.

‘‘Ini Malaysia, jangan samakan dengan negara lain, kita adalah sebuah negara Islam seperti termaktub dalam perlembagaan. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” tegasnya pada majlis pelancaran Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok merayu Kementerian Dalam Negeri membenarkan Herald Catholic menggunakan tulisan Allah dalam edisi terbitan bahasa Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan.

Kata Dompok, perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan semua pihak harus membiarkan sistem keadilan negara menentukan sama ada Herald Catholic harus berhenti menggunakan perkataan Allah atau sebaliknya.

Menurut Ahmad Zahid, cubaan untuk menggantikan perkataan Tuhan dengan Allah dalam penerbitan akhbar agama mereka bukan sahaja menyalahi Perlembagaan Persekutuan, malah tindakan itu seperti mempunyai agenda tertentu.

“Apa tujuan mereka? Sejak dulu lagi, sudah termaktub dalam undang-undang mereka tak boleh berbuat demikian,” tegasnya.

Menurut Ahmad Zahid, perbuatan segelintir pemimpin bukan Islam yang sengaja membangkitkan isu itu seolah-olah cuba mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid menegaskan, penganut agama lain di negara ini juga dilarang menyampaikan dakyah agama mereka kepada umat Islam di negara ini.

‘‘Masyarakat bukan Islam perlulah hormati keputusan ini kerana ia tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, sekiranya kesucian Islam terus dicabar, masyarakat Islam di negara ini tanpa mengira fahaman politik akan bersatu dalam mempertahankan kesucian agama Islam.
‘‘Jangan cuba bermain api, jangan cabar umat Islam, kita akan lakukan apa sahaja untuk pertahankan agama suci ini,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau menyeru umat Islam supaya bersatu bagi menangkis pandangan pihak luar yang menganggap masyarakat Islam lemah.

Sementara itu, Wan Mohamad ketika menjawab soalan pemberita mengenai isu Herald Catholic berkata, semua pihak perlu menghormati prosedur undang-undang yang sedang berlangsung tanpa menimbulkan sebarang kenyataan.

‘‘Kes ini sedang berjalan, mereka ini juga bukanlah orang istimewa sehingga boleh mengatasi undang- undang.

‘‘Malah mereka juga terdedah kepada kemungkinan menghina mahkamah jika mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.