Oktober 2008 adalah detik mula SMS menggunakan blog sebagai media penyampai Suara Mualaf Sabah kepada pihak-pihak berkaitan selain akhbar kemudian disusuli Radio Online Cahayafm, facebook dan youtube. Semuanya dibuat dengan harapan pihak-pihak berkaitan mengambil peduli sekali gus mengetahui pelbagai permasalahan mualaf di Sabah.
Tidak terniat malah bukan tujuan SMS mengaibkan mana-mana pihak dengan pendedahan pelbagai permasalahan bahkan SMS sedar telah wujud individu-individu atau team dalam organisasi atau jabatan berkaitan yang berperanan dalam mengurus hal-hal mualaf. Tetapi, SMS percaya bukan semua permasalahan mualaf sampai ke telinga pihak-pihak berkaitan dan jika sampaipun, ia bersifat politik semasa yang sifatnya kurang telus.
Tukaran tahun 2012 ini, SMS berharap kepada sesiapa yang inginkan maklumat langsung , silalah berhubung terus dengan SMS tanpa melalui sesiapa kerana SMS tidak pernah mewakilkan mana-mana individu kecuali seorang dua yang telah bermula bersama-sama SMS sebagai rakan kerja sejak 2004. Penafian ini bertujuan supaya nama mualaf tidak diperdagangkan dan dijadikan lombong wang apalagi mengaitkan nama SMS sendiri.
Sementara pelajar-pelajar yang inginkan bantuan penyelidikan daripada SMS dan tidak tertunai, SMS mohon maaf kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat murni kalian atas kekangan peribadi SMS. SMS sarankan agar pelajar terlibat terus berjumpa SMS jika berkesempatan. Semua artikal dan gambar berkaitan , boleh kalian ambil untuk tujuan penyelidikan. Namun, SMS mohon agar bahan-bahan ambilan ini diletak link sumber Suara Mualaf Sabah atau laman-laman berkaitan.