Kepada seluruh muslimin dan muslimat yang tidak jemu-jemu menyumbang wang ringgit, tenaga dan fikiran dalam membantu usaha dakwah di pendalaman Sabah, saya bagi pihak Dusun Islam Sabah merakamkan ucapan terima kasih kepada anda semua, khususnya Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, YB. Datuk Taufik Hj. Abu Bakar Titingan, YB. Hj. Arifin Arif, YB. Datuk Sairin Karno, YB. Datuk Masidi Manjun, YB. Datuk Bung Moktar Radin, Jailani Hamdan, serta Kerajaan Persekutuan juga Negeri . Tidak lupa juga kepada para pendakwah yang kami bawa ke Sabah ; Ustaz Abdul Halim Hj. Abbas, Habib Rezieq Sihab beserta rombongan, ustaz Razak Bakar, Habib Ali, Ustaz Yusuf Din, Dr. Ismail, saudara Bilal dan saudara Nazrey Johani. Juga kepada penggiat dakwah di Sabah yang sentiasa bersama kami;Ustaz Hanzalah al-Hafiz, Ustaz Ridhwan Baharun, saudara Asree Moro, Pn. Rosnani Untol, saudara Imran Hj. Ibrahim, Saudara Azman( Tawau) dan saudara Azman ( Lahad Datu), saudara Hasrul Abdullah, saudara Muslim Abdullah, Hj. Safrin Karim, saudara Wahid Karim dan ramai lagi orang perseorangan yang tidak dapat disebut nama-nama mereka dalam perutusan Hari Raya Aidil Adha 2008 ini. Terima kasih atas sumbangan buku-buku Panduan Solat, buku Iqra, al-Quran, kain telekung, kain sarung, sejadah, CD Fardu Ain, pakej penghantaran menunaikan ibadah umrah, baju-baju terpakai dan sebagainya. Kesemuanya telahpun kami sampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya di pelusuk-pelusuk kampung di pendalaman Sabah. Akhir sekali, kami percaya bahawa Islam tercinta ini hanya akan tertegak bila empat golongan ini bersatu; 1. Pemimpin yang adil 2. Ilmu para ulamak 3. Pemurahnya orang kaya 4. Doa orang fakir ( Ya ... Allah dengan limpahan rahmat-Mu kami pohon agar mereka yang terlibat dalam usaha dakwah di bumi-Mu ini khususnya di Negeri Sabah, dikurniakan rahmat keampunan-Mu . Amin ya Allah. )

Pengikut

"وَأَلَّوِ ٱسْتَقَمُوا۟ عَلَى ٱلطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَهُم مَّآءً غَدَقًۭا
Dan bahwasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezki yang banyak)." (QS. AL JIN:16)

Khamis, 12 Ogos 2010

Kisah Ramadhan 1




Kisah ini adalah sebuah kisah benar perjalanan yang dilalui oleh seorang mualaf. Paparan kisah ini semata-mata untuk berkongsi pengalaman hidup seorang mualaf. Betapa terdapat sudut-sudut hidup dalam dunia mualaf  yang hanya dirasai oleh seorang mualaf . Kecelikan jiwa kerana mengecap iman berakar aqidah yang satu tidak mengusir  perjalanan sukar yang harus ditempuhi di kala  baru mengenal iman Islam. Sungguh, rasa dan suasana ini masih terlipat kemas dalam kenangan dan ia tidak mungkin dirasai oleh seorang muslim asal. Semoga kisah ini meluaskan lagi deria rasa para pembaca sekali gus mengajak mereka untuk lebih prihatin kepada golongan-golongan bergelar mualaf.

Ramadhan tiba. Dentuman meriam buluh yang memecah sunyi kampung sebelah kedengaran. Itu tandanya, Ramadhan, bulan untuk orang Islam berpuasa sudah tiba. Kampung orang Bajau yang digelar orang-orang kampungku orang Islam akan mula berpuasa.  Aku juga sudah Islam, tapi aku orang Dusun, bukan orang Bajau. Waktu itu, aku baru dan sepanjamg hidupku sebelum memeluk Islam, aku dimomokkan kesilapan konsep: Islam=Bajau, Kristian=Dusun.  Sebagai penganut  Islam, aku hanya tahu beberapa perkara hasil didikan seorang guru sejarah merangkap bapa angkatku. Alfatihah untuk allahyarham ............. Syukur waktu itu aku berjumpa beliau kerana, usia persekolahanku tidak panjang. Aku kandas atas kemiskinan. Rutin ayah ibu sebagai petani miskin tidak mampu menguatkan aku untuk meneruskan pelajaran. Tuaian hasil padi sekali setahun bahkan sering tidak ada tuaian kerana tidak menjadi memaksa aku berhenti bersekolah. Aku tidak mampu belajar atas keringat derita mereka. Ibu masuk keluar hutan mencari ubi kayu liar untuk mengalas perut kami. Berada sepanjang tahun dalam suasana ini, menjadikan hatiku perit mengenangnya. Kekadang aku cemburu melihat orang. Mereka juga petani. Tanam padi. Tuai padi. Mereka juga  miskin, kata mereka. Tapi, masih punya tanah dan kerbau untuk dijual. Hasil jualan masih dapat menampung anak-anak mereka belajar. Pun, aku tidak pernah menyesali hidup kerana perjalanan itu telah menjadikanku matang.

Hari pertama berdepan Ramadhan. Waktu itu, aku tidak tahu apa itu imsak. Begitu juga sahur. Aku hanya tahu mengagak-agak waktu berbuka, kerana tiada sumber dan ilmu untuk mengetahui semua itu. Rumahku tiada ‘tetuang udara’ jauh sekali peti bergambar nan bersuara. Biasanya, aku dan adik makan nasi berlauk ikan sungai kecil-kecil lebihan semalam . Ahli lain dalam keluargaku waktu itu belum memeluk Islam, jadi, lebihan makanan sama ada banyak atau sedikit, kami bahagikan dua. Inilah makanan paling sedap kurasa waktu itu. Hari berikutnya, sayur dari pucuk-pucuk hutan seperti ubi kayu dimasak bercampur ikan masin atau dikenali ‘TUMBUS’ ( Cara masaknya, tuang air dan campur garam ) bakal kami jamah.  Sangat sedap.


 ( Bersambung ... )

Selasa, 10 Ogos 2010

Ramadhan 1431


Semoga puasa kita tahun ini yang terbaik kita lakukan.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Program Ramadhan 1431



Cahayafm.net

Yayasan Ithmam Malaysia


Program Ramadhan 1431/2010 Anjuran Yayasan Ithmam Malaysia
dengan kerjasama Badan-badan NGO Sabah & AJK Masjid/Surau
Daerah Pitas & Kota Marudu Sabah.

Penceramah
Ust. Hj. Abdul Halim Abbas
Yayasan Ithmam Malaysia

Penyelaras Program
Rosnani Untol
Yayasan Ithmam Malaysia
H/p: 019 – 8126615

Penyiar Program/ Penyampai
Nazri bin Abdullah
Cahayafm. net
Sabah.
H/p: 019 – 8827449

Jadual Program Bermula 1 Ramadhan hingga18 Ramadhan 1431 Hijrah/2010
yang meliputi 18 Masjid / surau. Kesemua program ini akan disiarkan secara langsung  melalui Cahayafm.net kepada pendengar ( bergantung tempat; ada talian/ tidak). Jika tiada talian, Cahayafm akan buat rakaman dan liputan berita bergambar.

Antara kampung terlibat; Kg. Salimpodon, Pinggan-pinggan, Tanjung Sinapul, Mampakad, Rokom, Luntuk, Marasinsim, Soselinggok, Taritipan, Baliajung, Garuda, Salimandut, Parong, Pekan Lama, Ranau-ranau dan Ongkilan,

Pengisian Program;
Berbuka puasa bersama penduduk kampung, solat Maghrib / Isyak dan solat Tarawih dan tazkiran Ramadhan.

Nota; Semua kampung terlibat meliputi daerah Pitas dan Kota Marudu dalam masyarakat Bajau dan Dusun mualaf. Muslimin dan muslimat yang ingin bersama-sama dalam program ini bolehlah terus menghubungi penyelaras program atau Cahayafm. Sumbangan dari semua pihak amat dialu-alukan untuk sama-sama membantu individu2 seperti para mualaf, para fakir dan seumpamanya. Program ini merupakan program Ramadhan kali ke 6 dijalankan  ke merata tempat di pedalaman Sabah semenjak 2004.

Nota; Program berbuka puasa akan diselitkan dalam program Ramadhan ini bersama keluarga2 mislkin sekali gus menyampaikan sumbangan2   para penyumbang program.





Salam Ramadhan & Selamat Datang Dj. Miftah.



Menjelang Ramadhan tahun ini, marilah sama2 kita panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana kita masih diberi kesempatan berpuasa Ramadhan tahun ini. Warga Cahayafm mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada para pendengar setia juga kepada muslimin dan muslimat di mana juga berada. Dalam kesempatan ini juga Cahayafm mengucapkan selamat datang dan selamat bersama Cahayafm kepada penyampai Miftah. Terima kasih kerana sudi bersama-sama kami di Cahayafm untuk sama2 berjuang berwadahkan radio online berteraskan Islam yang pertama di Sabah. Kedatangan anda ke Cahayafm mengingatkan kita tentang lembaran sejarah Islam ketika kaum Ansor dan Muhajirin dipersaudarakan oleh Rasul SAW bertapakkan keimanan. Akhirnya, persaudaraan ini telah memberi nafas baru kepada dunia Islam di saat itu sehingga nikmat iman dan Islamnya berkembang dan membiak ke seluruh pelusuk bumi sehingga ke hari ini. Mudah2an bingkisan sejarah ini akan menjadi titik baru dalam usaha Cahayafm memberi info dan perkongsian ilmu kepada seluruh umat Islam di Nusantara di samping hiburan2 yang kami pilihkan untuk para pendengar.

Muslimin dan muslimat yang dihormati, dalam kesempatan ini juga, kami di Cahayafm mengambil kesempatan menyeru sekali lagi agar kita semua dapat bersama-sama berganding tangan memberi nafas baru kepada dunia Islam yang kian pudar akibat lemparan2 nista oleh musuh2 Islam. Sesungguhnya tugasan ini tidak dapat kita capai jika tangan kita tidak berganding bersama. Ayuh kita abaikan sempadan geografi sesama kita yang sedikit sebanyak telah menghalang usaha2 membangunkan kesepaduan fikiran serta perkongsian ilmu dan info sesama kita.

Memandangkan usia Cahayafm kini memasuki bulan ke-lima di bumi Sabah, sudah tentulah masih banyak kelemahan-kelemahan yang perlu diperkemaskan bersama justeru ia menuntut curahan ilmu dan buah fikiran dari anda semua. Cahayafm amat mengalu2kan bantuan anda sekalian agar kesempurnaannya kelak bakal sama2 kita nikmati . Untuk tujuan ini, Cahayafm mengharapkan agar ada insan2 yang tampil membantu usaha kecil ini seumpama menjadi penaja acara2 yang dirancang, juga menaja segmen yang kami ke udarakan. Tanpa bantuan anda semua, sudah pasti kami tidak akan dapat melakukannya. 

Kepada kumpulan2 nasyid di mana juga berada, anda bolehlah menghantar lagu2 kepada kami untuk tujuan membantu mempromosikan hasil2 karya anda.

Akhir sekali, terima kasih atas sokongan anda mendengarkan siaran kami di Cahayafm selama ini. Untuk mendapatkan info2 terkini tentang kami, sila add FB Cahayafm di ruangan kominiti kami.


Cahayafm. Net 
Demi masa

Rabu, 28 Julai 2010

Benarkah Kita Bijak ?


Gantala Bin Lagan @ Hainin

Benarkah kita orang yang bijak, pintar dan memiliki kecerdasan fikiran? Mari kita sama2 ukur pemikiran kita mengikut ukuran apa yang kita fikirkan bermula bangkit dari tidur sehingga saat kita tidur semula. Teori ini mungkin tidak terdapat dalam mana2 buku yang anda baca. Kalaupun ada, hanya sedikit dari apa yang kita bincangkan ini ditulis dalam buku itu kerana, jawabannya juga tidak terdapat dalam mana2 buku. Pun jika ada , ia hanyalah serpihan dari apa yang kita bincangkan kali ini. Pertama, saat kita terjaga dari tidur, apakah perkara utama yang kita fikirkan dalam fikiran kita ? Jawaban hanya ada pada anda. Namun, beberapa perkara yang mungkin berlegar dalam kotak fikiran manusia saat terjaga. Antaranya; marah, benci, terkejut, malas, lapar, pertanyaan, mencari jawaban, fikiran kosong dan macam-macam lagi. Bukankah begitu ? Jika marah, kenapa? Apakah marah kerana berasa terganggu di saat lena tidur yang belum puas? Atau benci disebabkan gangguan suasana persekitaran? Atau terkejut oleh berita kematian yang tidak di sangka2? Juga rasa malas akibat anggota badan yang keletihan, lapar akibat tidak makan seharian, tertanya-tanya akan mimpi2 yang menjadi persoalan kerana tidak pernah mengalami mimpi seperti itu, atau rasa kekosongan kerana anda tidak pernah merasa perasaan2 seperti itu kerana sememangnya anda rasa kosong.

Ujian kecerdasan akal hadir ketika fikiran berkocak dengan perkara2 di atas. Apakah ketika itu, anda berada dalam kedudukan stabil kerana berpaksi kepada ketenangan dan kedamaian? Atau kalau anda seorang muslim, apakah fikiran, emosi dan jiwa masih dipaksikan kepada Allah ( ingat Allah )? Kalau tidak, maka jelaslah kita berada dalami lingkungan lalai. Ingatkah kita tentang ilmu yang disampaikan oleh guru2 agama berkaitan lalai? Lalai dikupas sebagai sebahagian dari sifat mazmumah yang tidak disukai Allah. Sebab itulah, bila kita buka tafsir al- quran, perkataan lalai jelas disebut kerap kali semata-mata sebagai peringatan kepada manusia. Antaranya disebut dalam dalam surah al- Maun yang bermaksud; “Maka, celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya”. Kemudian, disebutkan lagi dalam surah al- Asr yang bermaksud; “ Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran”. 
Nah, alangkah bahayanya lalai manusia sehingga Allah peringatkan bahawa orang yang solat juga boleh tercelaka kerana lalai. Jika begitu, apa lagilah orang yang tidak solat? Bukankah berkali-kali muflisnya kerana tidak berbuat? Jatuh bangkrapsi kerana tidak ingat dan sebagainya? MasyaAllah.. Di mimbar Jumaat, telinga kita selalu disaji dengan firman Allah; ”wahai jiwa yang tenang kembalilah kepada Allah”. Ingat, di waktu kita sudah tidak ada apa-apa harapan terhadap dunia, sewaktu roh berpisah selamanya dengan jasad, maka kembali dengan jiwa yang tenang inilah yang diharap-harapkan. Amat sedih tatkala kita kembali dengan jiwa yang sebaliknya tika imam mengulangi talqin ini saat itu, walhal ketika hayat, kita sering diingatkan tentangnya. 

Ayat ini juga selalu kita dengar; “Sesungguhnya orang yang bijak itu adalah mereka yang selalu ingat akan mati”. Kita kembali kepada persoalan awal kita. Tentang sejauh mana kepintaran kita. Tika bangun, apakah keadaan bangun kita tergolong dalam golongan yang telah disebutkan awal tadi? Jika ya, maka jelaslah kita bukan berada dalam lingkungan yang Allah kehendaki sebenarnya. Meski kita memiliki pengiktirafan pelbagai sijil dunia, kita masih dapat ditipu dan diperbodoh-bodohkan oleh nafsu yang menjadi alat iblis laknatullah. musuh kita yang jelas. Dia bukan sahabat kita. Oleh itu jangan berani menghulur persahabatan dengan nafsu. Bacalah perjalanan para sufi yang sepanjang kembara sufi mereka, nafsu ditundukkan, diperangi, malah dihapuskan. Jika kabur tentang nafsu, mari kita singkap apa jenis makhluk ini. 

Dalam kitab-kitab yang membicarakan ilmu tasawwuf, telah disebutkan 7 tingkatan nafsu. Iaitu :

1. Ammarah
2. Lawwamah
3. Mulhamah
4. Mutmainnah
5. Radiah
6. Mardiah
7. Kamilah

Nafsu Ammarah adalah nafsu paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang disalut nafsu Ammarah, akan berasa bangga bila melakukan dosa. Dia berasa kebahagiaan dan kelazatan yang teramat sangat apabila berpeluang melakukan dosa. Bukan setakat itu, orang yang berada dalam tingkatan nafsu Ammarah bahkan akan mengajak orang lain juga berbuat dosa dan kemungkaran. Mereka inilah yang menjadi tunggak dan promoter-promoter kepada program maksiat dan kemungkaran. Mereka rayu dan tarbiah manusia-manusia lain untuk bersama-sama melakukan maksiat dan kemungkaran secara berjemaah. 

Andainya ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana yang menghalang kepada program menyeru makruf dan mencegah kemungkaran. Andainya ada manusia yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu akan dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang akan sentiasa menjadi batu api dan melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan adalah neraka. Muktamad. Kalau mati tanpa taubat akan dihumban ke neraka. Manakala dosa-dosa manusia lain yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan beroleh saham darinya. Jadi, bersiagalah kepada mereka yang bernafsu Ammarah. Sejurus maut menjemput, bersiap sedialah untuk dibakar dalam neraka.

Lawwamah. Orang yang bernafsu Lawwamah sedar bahawa dirinya sering terlibat dengan dosa. Sering juga dia mengkritik diri apabila terlibat dengan dosa. Mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kepada Allah, tak ingat kepada syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis melakukan dosa, dia sedar yang dia telah terlanjur. Kemudian, dia akan menyesal dan mengkritik dirinya sendiri atas keterlanjuran yang telah dilakukan. Tetapi setelah masa berlalu, dia akan ulangi dosa kemungkaran yang menjadi kegemarannya. Seandainya orang bernafsu Lawwamah ini berjaya membuat kebaikan, maka senang timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab perjuangan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.

Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tidak merasa bangga apabila melakukan dosa, dia tidak pula mengajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tidak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tetapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tidak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang sebegini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.

Mulhamah. Orang yang bernafsu Lawwamah, apabila dia sedar bahawa dia melakukan dosa, hasil mengkritik diri setelah terlanjur melakukan dosa akan berusaha menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dipelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Orang yang bernafsu Mulhamah, masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidaklah sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun, dosa walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap akan ke neraka.

Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana tidak sengaja. Bukan suka-suka mencari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru sedar akan kejinya perbuatannya itu maka orang bernafsu Mulhamah pula sewaktu buat dosa sudah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dilakukannya. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, mengkritik dirinya, orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat mengkritik diri malahan mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa . Namun, orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hatinya pedih bila melakukan dosa, walau tidak sengaja. Namun, ada usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.

Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Datanglah 1001 macam ujian dan musibah melanda, hatinya tidak akan tergugat malah tetap sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia sujud mensyukuri segala nikmat yang diberikan Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah. Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya di akhirat kelak.

Timbul persoalan. Bagaimana ingin meningkatkan taraf nafsu? Tidak lain dan tidak bukan adalahh dengan bermujahadatunnafsi ( bermujahadah melawan nafsu ). Langkah pertama ialah dengan menimba ilmu Fardhu Ain. Seterusnya beramal dengannya. Dalam beramal inilah berlaku proses mujahadah melawan nafsu.

Mujahadah melawan nafsu tempatnya di hati. Maka dalam proses mujahadah ini, terdapat tiga peringkat yang akan dilalui. Pertama peringkat takhalli (buang). kedua peringkat tahalli ( isi ). Ketiga peringkat tajalli (merasai). Tamsilan yang boleh dibuat tentang ketiga-tiga peringkat mujahadah adalah seperti sebuah bekas yang mengandungi sampah sarap. Sebuah bekas mengandungi sampah sarap yang menyakitkan mata. Apabila sampah sarap tersebut dibuang dari bekas dan bekas dibersihkan, itulah tamsilan kepada proses takhalli. Setelah bekas kosong dan bersih, bekas tersebut diisi pula dengan buah-buahan atau makanan yang lazat, dihias lagi dengan kuntuman-kuntuman bunga yang cantik dan mekar. Inilah tamsilan kepada proses tahalli. Setelah keindahannya terserlah, sesiapa sahaja yang memandang akan merasakan kindahan bekas yang berisi buah-buahan dan bunga, inilah tamsilan proses tajalli. Dalam mujahadah melawan nafsu. Perlawanan berlaku di hati. Di kala nafsu mengajak hati untuk berlaku riyak dan sombong, maka lawanlah bisikan tersebut. Inilah takhalli. Rasa sombong dan riyak, digantikan dengan rasa tawadduk dan rendah diri. Paksa hati untuk tawadduk dan rendah diri. Inilah tahalli. Apabila manusia lain melihat kita memiliki sifat mahmudah dan mencontohi kita. Memanfaatkan sifat yang ada pada kita, itulah tajalli. Maka ini boleh dikiaskan kepada sifat-sifat yang lain. Semoga kita beroleh panduan dalam melakukan mujahadah terhadap nafsu kita, agar nafsu kita mampu dididik dan dijinakkan. Akhirnya, semua ini akan dapat kita manfaatkan untuk keagungan dan kemuliaan Islam.

Untuk mengatahui lebih lanjut berkaitan nafsu, ikuti ceramah online di Cahayafm bertajuk Tingkatan Nafsu. Pendek kata, kita bakal tahu siapa kita sebenarnya.

Jumaat, 2 Julai 2010

Cahayafm




Klik di sini permintaan lagu.


'Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran' (Surah Al-Ashr)

Sabtu, 19 Jun 2010

Wahai Pemerintah.


Wahai para pemerintah yang dikasihi, berilah kami ( para mualaf) ruang untuk bercakap di hadapan kalian. Dengarkanlah degup jantung dan suara-suara hati kami. Betapa sekian lama kami tertanya-tanya kenapa dan kenapa kami tidak dibela? Kenapa dalam banyak hal kami dipinggir? Kenapa kami dilihat hanya dengan sebelah mata? Kenapa kami tidak dianggap penting dalam urusan negara, perjuangan dan sebagainya? Wahai para pemerintah yang dikasihi, bukalah pintu-pntu untuk kami ceritakan derita sebahagian kami. Dengarkanlah suara kami tanpa orang tengah yang tidak jujur mengkisahkan keadaan kami sebenarnya. Wahai pemerintah, manakah janji kamu yang mendahulukan rakyat di samping mengutamakan pencapaian?

Fook Sin




Fook Sin @ Zakaria Bin Apat 58 tahun berasal dari Kg. Dandun, Pitas memeluk Islam pada tahun 1984. mempunyaii 5 orang adik beradik dan 2 daripada mereka adalah Islam. katanya kepada rombongan kami, sejak masuk Islam sehingga hari ini, dia tidak pernah mendapat apa2 bantuan daripada mana2 pihak termasuklah dari jabatan agama. Ketika saya tanyakan pada beliau ‘ apakah kamu masih yakin dengan agama Islam?’, beliau menjawab ‘ya saya yakin agama saya adalah Islam’. Saya bertanyakan soalan ini semata-mata ingin tahu suara hatinya, meskipun saya tahu beliau ini masih tidak tahu serba serbi tentang Islam. Kebarangkalian amat besar bagi orang2 seperti ini berada di pelusuk2 kampung seluruh Sabah. Mereka ini diislamkan oleh kerajaan BERJAYA atas tujuan tertentu dan selepas itu, dibiar bagaikan kain buruk tidak berguna. Inilah nasib para mualaf. 9 Jun lalu ketika ke majlis pengislaman di Kg. Solimpodon, beliau sempat saya temui dan memohon agar pihak2 berkaitan datang ke tempat beliau dan melihat sendiri keadaannya yang memerlukan tempat tinggal. Buat masa ini, beliau hanya menumpang di rumah adiknya sahaja. Beginilah antara keadaan orang2 mualaf yang agak terpinggir. Di mana2 tempat pun pasti ada orang2 seperti ini datang mengadu . Air mata ini sudah kering dengan suara2 para mualaf yang mengalami pelbagai sejarah hitam. Mengatasi masalah mereka ini amat mudah jika umat Islam asal mengambil sikap seperti kaum Ansor yang menyaudarakan diri mereka dengan kaum Muhajirin. Inilah yang dilakukan Rasulullah lakukan pada masyarakat Madinah sehingga kejahilan, kemiskinan dan segala masalah dapat diatasi. Ketika suara2 ini saya paparkan, pelbagailah ulasan dari masyarakat Islam antaranya, teruskan perjuangan, syabas, tahniah atas usaha yang kamu lakukan, saya sokong dan macam2 lagi. Manakala yang lainnya cuba melempar pada pihak2 berkaitan dengan kata2 ikut sedap mereka. Semua itu baik, namun kita lupa yang terbaik dari itu sebenarnya adalah kita muhasabah diri kita sendiri apakah sumbangan kita pada kelompok ini? Berapa banyak ilmu telah kita curahkan pada mereka ? Berapa banyak masa dalam hidup kita telah kita wakafkan untuk mereka? Ingatlah, tanggungjawab ini terletak di bahu kita semua yang mengaku Allah sebagai tuhan dan Muhammad sebagai rasul. Saya secara peribadi menyeru diri saya dan semua individu Islam agar membantu mereka mengikut upaya masing2.

Khamis, 10 Jun 2010

Mualaf Pitas,






Dapatkan gambar lebih banyak FB atas

8hb Jun 2010 , hari kedua saya ke pejabat JAKIM, Kota Kinabalu untuk mendapatkan kelengkapan ibadah sebelum ke program pengislaman seperti kebiasaan yang saya lakukan sebelum ini. Namun kali ini, saya sedikit kecewa ketika diberitahu bahawa barang2 tersebut belum ada ( peruntukan belum ada ). Timbul pelbagai persoalan dalam benak saya sepanjang perjalanan menuju ke daerah kecil Pitas, salah satu daerah yang terletak di utara Sabah. Kehairanan memanjang masih berlegar di fikiran bilamana sebuah badan agama yang cukup penting dalam pentadbiran negara Malaysia dilambatkan penyaluran peruntukan oleh pihak kerajaan sedangkan badan2 atau jabatan2 lain tidakpun mengalami keadaan seperti ini. Lupakah mereka tentang urusan agama yang merupakan perkara no.1 dalam dalam urusan negara ? (Lihat rukun Negara Kepercayaan pada Tuhan ). Lalu, di mana dan bagaimana kedudukannya ? 



Sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu ke Pitas, saya ditemani isteri selaku jurukamera yang merakam peristiwa2 sepanjang perjalanan, lebih kurang jam 4.00 petang, di antara sempadan daerah Tuaran dan Kota Belud, satu kemalangan yang melibatkan 3 buah kenderaan Isuzu, Proton dan Wira telah berlaku ( semoga mereka yang terlibat, dalam keadaan selamat ). Ketika beberapa kilometer menghampiri sempadan Kota Marudu , hujan turun dan mengiringi perjalanan kami. Keadaan hujan lebat dengan mata yang sudah dibantu dengan kanta sesekali mencabar pemanduan saya. Hari tidak lagi terang ketika kami sampai di Kampung Salimandut kerana beberapa jam sebelumnya kami berhenti di pekan Kota Marudu berjumpa kawan. Bermalam di kampung kelahiran, Kampung Salimandut mengingatkan saya akan nostalgia kampung ini yang dulunya hanya dihuni seramai 3 orang Islam. Kini, Alhamdulillah dan selayaknya pujian ini untuk Allah kerana 2/3 penduduk asal kampong ini telahpun bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Syukurlah , usaha2 dakwah dari pelbagai pihak telah menghasilkan keadaan ini.


Ketika detik masa menghampiri angka 9.00 pagi pada 9hb Jun, saudara Jasni atau lebih dikenali DJ. Rumputt selaku penerbit Utarafm menghubungi saya dan mengkhabarkan salah seorang bakal saudara Islam mengalami sakit. Beliau telah beberapa hari sakit setelah kembali dari Kota Kinabalu. Bekas pembantu kedai di salah sebuah kedai di Kota Kinabalu ini perlu segera dibawa ke klinik, ( InsyaAllah kisahnya akan saya paparkan sedikit masa lagi untuk pengetahuan para pembaca). DJRumputt membawanya dari Pitas dan saya menyusulnya selepas itu. Alhamdulillah, keadaannya beransur pulih setelah diberi rawatan dan beberapa jenis ubat. Kami kemudiannya sama2 menuju ke Pitas untuk acara pengislaman. Kami singgah di rumah keluarga bakal saudara Islam untuk mengambil ahli keluarganya yang lain sekali gus melihat sendiri latar belakang dan keadaan hidup mereka. 


Alangkah terkejutnya mata melihat kehidupan mereka yang hanya tinggal di sebuah pondok buruk akibat kemiskinan. Tidak keterlaluan jika saya katakan hidup rakyat seperti mereka diabaikan oleh wakil rakyat setempat. Hidup mereka seolah2 bukan di zaman Slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Ke mana wakil rakyat yang waktu pilihanraya datang ke pondok2 ini untuk meraih undi dengan iringan gula-gula di bibir? Apakah dia masih nyenyak tiduk di tilam empuknya dan masih tidak sedar2 nasib mereka yang tidur, makan dan melakukan segala bentuk aktiviti dalam rumah yang benar2 sempit dan tidak sesuai dihuni manusia seramai 7 orang ini?
Anda para pembaca, lihatlah sendiri kehidupan MUALAF yang hidup dalam kemiskinan dan masih memperjuangkan akidah mereka. Sebagai muslim yang mengaku diri bersaudara denngan muslim yang lain, patutkah dan sanggupkah kita membiarkan mualaf ini ? atau kita tunggu TV3 membuat liputan kehidupan mereka lalu kita sama2 tangisi derita mereka ? Kerana simpati yang mendalam, barulah kita berebut-rebut menghulurkan bantuan waktu itu ? 

Kepada Datuk Bolkiah selaku Wakil Rakyat di Pitas, datuk mungkin lupa janji2 anda pada Puan Odirap @ Faridah Binti Sangkai ketika anda berkempen meraih undi. Sebagai wakil rakyat, kemungkinan2 ini biasa saja terjadi kerana bukan seorang atau 100 orang yang datuk perlu jaga tapi, seluruh manusia yang hidup di kawasan datuk. Namun puan ini tidak lupa janji2 datuk untuk membantu beliau. Silalah bertandang semula ke pondok buruk mereka dan tanyakan apa kata2 yang datuk dan jentera datuk ( UMNO ) janjikan sebelum ini. Jangan pula datuk termasuk dalam individu2 yang disifatkan oleh Tun Mahathir ‘ Melayu mudah lupa..’ Sebagai wakil rakyat, pupuklah sikap prihatin datuk dan ketahuilah jika datuk tidak tahu bahawa, kini mereka sudah menjadi saudara seagama kita. 
Kepada muslimin dan muslimat, kewajiban setiap individu Islam yang lain adalah untuk mendidik mereka, memandu mereka mengenali dan mendalami ajaran Islam. Meski wujud badan2 agama seperti USIA, JHEAINS,JAKIM dan sebagainya, kita sebagai individu juga tidak terlepas dari tanggungjawab untuk membantu mereka.

Kepada mereka yang turut memberi sumbangan semasa pengislaman ini dilangsungkan, saya ucapkan terima kasih. Hanya Allah sahaja yang dapat menilai dan membalas jasa baik tuan2 semua. Nama2 anda biarlah Allah mencatatnya dalam buku amal saudara2 semua.